Ohai, Julai!

2014-july-calendar-image

Seperti biasa, aku meletakkan alasan sibuk kerana tidak dapat mengemas kini blog berbayar ini dengan sempurna. Bukan kerana tidak menghargai duit. Aku menghargai masa dengan keluarga dan masa-masa itu menyebabkan aku sedikit sibuk. Juga 2 minggu aku berehat panjang selepas menjalani pembedahan kecil yang sengaja aku diamkan atas sebab-sebab tertentu.

Ok, Ohai Julai…!

Sudah 7 bulan kita melayari tahun 2014. Punyalah pantas masa berlalu. Syukur kepada Maha Pencipta kerana hampir beberapa azam 2014 yang aku suratkan sedang dalam proses pelaksanaan.

Umat Islam juga menyambut Ramadan pada bulan ini. Selamat berpuasa kepada semua. Aku sendiri cuba untuk berpuasa penuh tapi dalam keadaan sekarang, aku memang tidak memaksa diri. Kalau larat puasa, tak larat tak puasa.

Oh, aku mengandung lagi..nampaknya sudah 3 tahun berturut-turut. Semoga ada rezeki Eskandar Dzulkarnain menjadi abang.

Cahaya Balqis lahir dan meninggalkan kami pada 4 Julai, hari yang sama hari lahir M.Nasir.

Eskandar Dzulkarnain akan menyambut ulang pertama pada 7 Julai.

Hadi pula lahir pada 14 Julai.

Ada lagi adik-beradik, ipar-duai dan kenalan lain lahir pada bulan Julai.

Pendeknya, Julai ini padat. Dan Insyaallah, Julai ini indah 🙂

Penantianku : Eskandar Dzulkarnain Abd Hadi

Baby ED baru lahir. Putih macam Jepun..

Setiap pasangan yang berumahtangga pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata bagi melengkapi kehidupan. Namun tidak semua orang bernasib baik, memiliki anugerah itu seawal setahun dua perkahwinan. Ada yang berkahwin 10 tahun, namun rezeki belum lagi memihak pada mereka. Sekali dua orang bertanya, bolehlah dipamer muka manis dan dengan sabar menjawab ‘belum ada rezeki’. Lama kelamaan mulalah keluar jawapan sinikal. Aku maklum semua itu..Aku menunggu 6 tahun untuk kehamilan pertama. Sayangnya anak itu bukan rezeki aku di dunia, dia menjadi bidadari syurga dan saham aku dan suami di akhirat sana. Dialah kesayangan kami, Cahaya Balqis Abd Hadi. Peristiwa itu berlaku 5 Julai 2012, sudah setahun pun menjadi memori.

Dan tahun ini, alhamdulillah…Eskandar Dzukarnain lahir pada 7 Julai 2013, jam 1053 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selang setahun 2 hari selepas kelahiran Cahaya Balqis. Aku tahu, ramai yang tidak menyedari kehamilan aku kali ini. Sebenarnya memang sengaja tidak aku canangkan. Yang mana tahu, tahulah. Aku lebih risaukan jika diduga dengan peristiwa yang sama untuk kali kedua. Jadi kehamilan kali aku mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya seperti yang disaran oleh doktor di PPUM dan klinik swasta yang aku kunjungi untuk pandangan kedua. Aku menjalani pembedahan ‘cervical cerclage’ pada minggu ke 14 untuk memastikan rahim dapat menampung berat bayi ini sepanjang masa dia dalam kandungan.

Eskandar Dzulkarnain…macam-macam cerita pelbagai warna terjadi sepanjang aku mengandungkan dia. Pagi Sabtu bila aku menyedari aku sudah berbadan dua, aku dan Hadi masih dalam mode tidak percaya, sedikit panik dan keliru. Jujurnya kami belum cerna sepenuhnya berita itu. Tiada siapa pun aku khabarkan dengan berita kehamilan itu. Dalam hati, aku mahu rahsiakan pada semua, termasuk pada ahli keluarga yang lain. Aku terus ke kelas yang kebetulan berlangsung dari pagi sampai petang. Tapi kerana fikiran aku sudah menerawang aku mohon balik awal dan berbincang dengan Hadi tentang apa langkah seterusnya selepas ini. Malam itu, kami mengambil keputusan untuk menenangkan fikiran dan Hadi membawa aku berjalan-jalan tanpa tujuan dengan menaiki Iswara kami. Malam itu jugalah kami terlibat dalam kemalangan. Kereta berpusing tiga kali sebelum merentang longkang berdekatan Kepong. Mujur kami tidak cedera, tapi kereta hampir total loss di situ. Aku menelefon adik-beradik yang kebetulan ada di rumah mama di Taman Permata. Semuanya datang ke lokasi kejadian untuk membantu kami. Nak tak nak, aku lepaskan berita kehamilan aku di situ. Reaksi mama dan kakak memang lejendari! Mama menjerit terkejut dan beristifar entah berapa kali. Beberapa hari selepas itu baru aku beritahu pada rakan-rakan sekelas dan beberapa rakan terdekat.

Baby ED selepas mandi..

Mengandung dalam keadaan menjadi pelajar agak memenatkan. Tapi berjaya juga aku lalui semua itu. Paling menduga, menyiapkan tesis dan VIVA dalam keadaan aku sudah sarat 36 minggu. Mujurlah rakan-rakan sekelas sangat memahami dan sanggup membantu sepanjang proses pembelajaran berlangsung. Memang tiada ruang rehat langsung untuk aku selagi VIVA tak selesai. Sudah selesai hal itu, kena uruskan hal hard copy pula. Maka Sabtu, 6 Julai aku menguruskan semuanya – sarapan di Lontong Kelang, print di Seksyen 2, petang di Festival Bon Odori di Seksyen 16 dan malamnya makan di Foodilicious Seksyen 7, Shah Alam. Kala itu memang terasa senak dan semput. Tapi aku sangkakan sebab hari ini aktiviti sangat padat. Mungkin aku dan anak keletihan. Tak cukup dengan itu, selepas makan malam aku dan Farah Zamira sempat berhugah-hugah di Putrajaya dan bersembang hal pelajar yang baru saja berakhir. Aku pula sangat kerap terasa untuk buang air kecil. Selepas melepak di Putrajaya, kami makan lagi sekali di Pantai Dalam, itu berlaku sekitar jam 12.00 malam.

Malam membawa ke pagi, aku mulai sakit perut. Pergerakan anak seakan aktif sangat tapi aku sikit pun tidak sangka itulah tanda-tanda kelahiran sebab aku dijadualkan bersalin pada 15 Julai. Hadi pula keluar dengan kawannya. Bertabahlah aku menanti dia balik sambil mencuba untuk tidur, mengerekot ke kiri dan ke kanan. Menjelang 7.30 pagi, aku sudah tidak boleh tahan. Aku minta Hadi hantar ke PPUM. Biarlah aku ditahan kerana duduk dirumah pun apa sangat yang boleh dilakukan.

Tak sangka pula, aku ditahan, dikhabarkan sudah terbuka beberapa cm dan terus dalam mode standy untuk bersalin. Tak payahlah aku ceritakan pengalaman melahirkan bagai-bagai. Cuma aku bersyukur aku ditahan sekitar 8.00 pagi. Jam 9.15 pagi sudah mulai terasa sakit bersalin dan semuanya selesai jam 1053 pagi. Masa misi tunjukkan ‘inilah anak awak’ perasaan aku bercampur-baur. Aku bersyukur semuanya berlaku dengan pantas. Sebab aku sudah tak boleh menanggung sakit lagi.

Eskandar Dzulkarnain…aku minta Hadi pilihkan nama. Dia memilih nama itu, aku menentukan ejaannya. Adil bukan. Kami tidak mempunyai senarai nama yang panjang. Beberapa nama telah dikenalpasti dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Lebih mudah begitu. Mungkin kerana ini anak lelaki, jadi biarlah bapanya yang tentukan.

Apapun, penantian aku sudah berakhir. 7 tahun menanti, Eskandar Dzulkarnain lahir 7 Julai dan seminggu selepas itu adalah hari lahir Hadi. Nampaknya 7 itu membawa tuah kepada kami..Bulan 7 tahun lepas aku diuji dengan pemergian Cahaya Balqis, tahun ini aku dikurniakan dengan Eskandar Dzulkarnain.

Hari ini, hari ke 25. Barulah aku berpeluang menulis di sini. Bukan kerana tiada masa, Di Facebook dan Twitter juga begitu. Tiadalah hari-hari aku bercerita tentang Eskandar Dzulkarnain di sana. Kerana aku memahami perasaan rakan-rakan yang belum ada anak. Masakan tidak, aku menjadi penanti selama 7 tahun. Eskandar Dzulkarnain sangat beruntung, dia mempunyai ramai ibu dan bapa angkat yang menyayanginya sedari dia dalam kandungan lagi. Aku berdoa supaya rakan-rakan yang lain mendapat peluang yang sama menjadi ibu dan bapa berkat kesabaran mereka menanti.

Alhamdulillah…akhirnya penantian kami berakhir dengan kelahiran Eskandar Dzulkarnain 🙂

Outing pertama Baby ED..

 

Menetap Tarikh..

image

Semalam misi ke PPUM utk dapatkan tarikh membuka ikatan cerclage gagal sebab Dr. Valli ada urusan di Klang. Jadi doktor yang menggantikan beliau masa scan semalam cadangkan aku datang secara walk-in hari ini sebab Dr. Valli ada di klinik hari ini. Nak tak nak kena datang sebab aku kena dapatkan tarikh itu segera sementelah doktor lain pun tak boleh set tarikh. Hanya Dr. Valli yg boleh bagi tarikh sebab dia yg uruskan rekod aku dari mula.

Memang aku dah agak…acara menunggu mesti lama. Ada kecemasan di operation theatre dan kena tunggu beliau habis taklimat. Apapun aku lega sebab tarikh sudah ditetapkan. 27 Jun aku akan buka cerclage. Nak kata bersalin terus, tak tentu juga. Apapun, harapnya dipermudahkan urusan aku pada hari itu.

Viva Voce juga dijadualkan tarikh yg sama. Apapun aku dapat laluan buat awal..

Tahun ini aku mahu miliki semuanya.. ya, semuanya. Insyaallah semoga dipermudahkan oleh-Nya.

1/3 : Hantar Tesis!

Setelah berbulan-bulan mencuba dengan gigih untuk menyiapkannya, tesis aku usai juga. Isnin lalu, berakhirlah seketika tersentap tengah awal pagi, membuka PC dan memerah otak membuat halaman demi halaman. Kerana itu jugalah kehidupan aku akhir-akhir ini sedikit berkecamuk. Dengan mana nak menyiapkan kerja sekolah dan cabaran melakukannya dalam keadaan aku sudah sarat amat ini sangatlah menduga. Jangan tak percaya, aku sudah lupa minggu ini minggu keberapa. Pagi semalam sewaktu di PPUM baru aku tersentak hakikat amuk, ya rabbi sudah 36 minggu rupanya!

Sepatutnya Viva Voce dijadualkan 20 Jun. Aku sudah bersedia ke arah itu sebab lagi cepat habis lagi cepat aku boleh siapkan diri untuk menyambut orang baru pula. Tiba-tiba dilanjutkan pula tempoh itu seminggu lewat, yang menyebabkan rakan-rakan lain lompat NSYNC, aku pulak tepuk dahi! Tak apalah, aku sudah berjaya siapkan ikut jadual asal pun sudah sejuta rahmat.

12% similarity index

Disebabkan faktor fizikal itu, aku ditawarkan untuk melalui acara Viva lebih awal dari rakan-rakan yang lain.  Hmmm…kalaulah boleh diusahakan, memang aku mahu menghabiskannya secepat mungkin. Aku minta diberi masa untuk bincang dengan doktor bilakah tarikh jahitan cerclage akan dibuka. Sayangnya semalam Dr. Valli pula ada hal di Klang. Jadi pagi ini aku akan ke PPUM sekali lagi untuk berjumpa Dr. Valli. Harap-harapnya dapat tarikh bulan Julai. Tak kisahlah satu tarikh dengan bapanya, emak-emak saudaranya atau kakaknya, Cahaya Balqis 🙂

Semoga semuanya berjalan lancar. Aku mahu memiliki kesemuanya..!

Seminggu Telah Berlalu..

Penjaga hati yang sentiasa bersama..

Bukan mudah untuk aku memulakan catatan ini. Ia lebih kurang sama kisahnya mengapa sampai sekarang aku tidak berani menulis tentang kelahiran dan kepergian Cahaya Balqis dengan lebih terperinci. Mengenangkan mengingat kembali apa yang terjadi mungkin boleh menguatkan aku masa hadapan, jadi begitulah dikuatkan hati, digagahkan menaip dan disusuli perasaan sabar menggunung. Juga yang membuatkan aku harus menulis sebab aku melaluinya tanpa banyak catatan pengalaman terperinci dari yang pernah melaluinya. Blog melonggok di alam siber tapi tak banyak yang membantu. Banyak yang bercorak peribadi, tidak banyak penceritaan apa yang bakal terjadi untuk manusia yang takut. Jadi aku harap dengan catatan aku ini dapat membantu melegakan tekanan emosi dari mereka yang bakal melalui apa yang sudah aku lalui.

Bila diberitahu aku harus melakukan cervical cerclage operation atau pembedahan mengikat rahim, seminggu aku susah nak tidur. Perasaan takut yang melampau dan pelbagai kemungkinan yang pelik-pelik bermain di kepala otak. Mujur Hadi sentiasa bersama dan memahami apa yang aku rasa. 2 bulan berulang-alik ke PPUM dan aku dijadualkan menjalani pembedahan itu pada 17 Januari 2013. Jadinya 16 Januari aku sudah mendaftar masuk ke PPUM dan menanti 17 Januari dengan perasaan yang tersangat kusut. Kusut itu sebab aku difahamkan aku hanya diberi spinal injection, makanya selama pembedahan berlangsung aku sedar, cuma tak rasa sakit – begitulah difahamkan..Oh, aku manusia penakut. Aku akui itu..

Aku banyak membuat kajian sebelum menyerahkan nasib pada takdir. Lagi banyak kita tahu, lagi menakutkan sebenarnya. Paling menyesal, aku melihat kaedah cervical cerclage di Youtube. Tak sampai 10 saat aku dah panik melantun-lantun! Jadi untuk meredakan merasaan, aku menelefon seorang rakan sekolah yang kebetulan seorang Gynae. Atas penjelasan yang dia beri, barulah aku sedikit tabah untuk melalui prosedur ini. Sehari sebelum pembedahan, pakar bius akan berjumpa pesakit dan menerangkan serba-sedikit tentang bius yang bakal diberi kepada pesakit. Percayalah, meminati siri House dan Grey Anatomy hanya memburukkan keadaan 🙂 Jadi malam itu aku diminta berpuasa kerana pembedahan dijadualkan sekitar jam 8.30 pagi.

Pembedahan ini dibuat pada minggu ke 14 dan 2 hari. Aku difahamkan dia seeloknya dibuat pada minggu ke 12-14. Ada catatan  mengatakan antara minggu 14-16. Melalui pembacaan, ada juga yang melaluinya pada minggu ke 20. Jadi aku sifatkan, ia bergantung kepada banyak faktor sebelum seseorang pesakit dijadualkan menjalani cervical cerclage (kecuali untuk kes kecemasan).

Sekitar 8.30 pagi, katil aku disorong ke dewan pembedahan yang berada di bangunan yang lain. Perjalanan itu sahaja membuatkan aku muak sebab aku berbaring dalam keadaan tiada bantal menampung kepala. Sebelum itu, aku sudah pun membuang air seperti yang diminta oleh misi bertugas. Hadi tidak dibenarkan masuk ke dewan pembedahan. Aku nampak dia melambai-lambai sayup dalam keadaan aku kerabunan tidak dibenarkan memakai cermin mata. Terus pakaian disalin dan perasaan debar aku memuncak. Aku mohon izin untuk membuang air kecil. Mujurlah mereka faham situasi aku yang dalam keadaan panik dan kesejukan melampau (dewan pembedahan sangat sejuk!).

Kepanikan yang melanda tidak pula menyebabkan tekanan darah aku naik. Ia stabil sepanjang masa. Jadi bila semuanya telah sedia, aku diminta duduk dalam keadaan kedua-dua bahu ditampan oleh dua orang pembantu. Ketika jarum terasa memasuki badan, aku sedikit panik namun ditenangkan oleh doktor. Dia minta aku bertenang dan jangan melawan. Agak sakit – tapi sekejap sangat. Jadi satu fasa telah aku lalui. Aku dibaringkan, mereka membuat sempadan agar aku tidak nampak bahagian yang bakal dibedah. Aku sedar – tidak kebas – hanya perasaan debar menghantui diri.

Hampir sejam ia berlangsung. Aku tak rasa sakit – itu benar. Aku dengar bunyi gunting, aku dengar bunyi ketukan dan apa juga perbualan doktor. Memang aku berserah. Sudah habis rasanya surah lazim dan doa-doa yang aku ingat. Dewan pembedahan sangat sejuk. Mujur selimut panas dipasang menutupi aku yang hampir menggigil kesejukan. Bila semuanya selesai, doktor menghampiri aku dan mengatakan semuanya lancar. Aku hanya perlu menjaga diri supaya tidak terlalu lasak dan sedaya upaya mengelakkan jangkitan. Saat itu juga aku sudah membabai plan ke Hatyai pada akhir Januari. Untuk 8 jam pertama, aku tidak boleh membuang air secara normal kerana tiub dipasang untuk mengelakkan banyak pergerakan ke bilik air.

Keluar dari bilik pembedahan, mata aku meliar mencari kelibat Hadi. Ya, mukanya berubah sejurus melihat aku keluar dari dewan pembedahan. Aku tak larat bercakap, hanya memandang sayup. Tapi rasa laparnya tak usah nak cakap. Aku memang kebulur, dan dalam otak aku hanya bubur Mc D yang mudah. Aku risau kalau makan nasi menangis-nangis pulak bila buang air besar. Lepas makan, aku bersembang ala kadar dengan Hadi dan aku tidur keletihan. Menjelang petang doktor datang memeriksa. Katanya kalau aku sudah boleh buang air sendiri, esok juga aku boleh balik. Jadi bila misi mengeluarkan tiub, itu sakit. Aku tak tipu..dan aku seram memikirkan macam mana perasaan membuang air yang pertama. Ia menakutkan! Tapi surprisingly langsung tak sakit. Malam itu hampir 2 kali aku berjalan ke bilik air. Makanya aku sifatkan pasca pembedahan semuanya okay.

 

***

Seminggu sudah berlalu. Setakat ini semuanya okay. 30 Januari adalah temujanji pertama dengan doktor pakar selepas pembedahan dibuat. Aku harap semuanya lancar dan tiada yang pelik-pelik. Setiap hari aku mohon pada tuhan permudahkanlah perjalanan kami kali ini.

 

Ohai, Trimester Kedua, Minggu 15!

Ohai, anakku..apakah jantinamu?

Minggu ini minggu ke 15.. Ia lebih hebat dari debaran program realiti kerana durasinya yang lama. Setakat hari ini, masih tiada loya-loyi dan nafsi-nafsi lain yang luarbiasa. Semuanya takat normal, dan aku bersenang hati kerana pembawaan anak ini tidak membuatkan aku tersadai. Sekali sekala keletihan itu normal. Aku pernah tertidur depan PC masa buat assignment kerana terlalu letih.

Hari ini temujanji di klinik swasta. Aku masih tidak dapat nak tetapkan hati untuk ke hospital kerajaan atau swasta. Memandangkan swasta penjadualannya lebih cepat, aku ke sana dahulu. Di PPUM, aku dijadualkan 18 Jun..lama lagi tu dan sepatutnya aku sudah ada appointment kedua kalau aku dengan kerajaan.

Temujanji dijadualkan 9.30 pagi. Kami sampai awal, sekitar 9.15 pagi selepas bersarapan di gerai berhampiran PJ Old Town. Berat badan diambil, naik sekilo lebih. Alhamdulillah…tapi tidak terasa sangat kenaikan itu sebab muka aku sudah jatuh kategori cengkung. Tidak lama selepas itu, aku diminta masuk berjumpa doktor dan dia mengambil darah untuk dua ujian – salah satu darinya untuk memastikan anak tidak mempunyai Sindrom Down dan satu lagi ujian err..err..aku tak ingat. Urine dari rumah sudah aku sediakan, jadi tidak perlu menambah urusan di klinik itu.

Doktor tanya soalan biasa..Ada alahan atau tidak? Adakah aku loya? Jangan minum susu itu ini lalalala… dan jangan makan makanan yang manis, masin dan berminyak. Setakat ini, aku tidak mempunyai pertanyaan lanjut sebab ramai kawan-kawan yang membantu dengan tips mereka. Dan aku menggunakan apps Pregnancy di Samsung SII untuk memastikan aku mengetahu perkembangan bayi dari hari ke hari.

Waktu paling indah, rasanya saat scan perut dan doktor beri kami dengar denyutan jantung bayi. Oh, sangat mengujakan. Ini kali kedua, jadi aku tidak sepanik kali pertama dengar denyutan jantung bayi 🙂 Saat doktor tanya – mahu tahu jantina bayikah? Aku dan Hadi tersenyum gatal. Hadi tak mahu tahu..Aku tak kisah tapi dalam keadaan 15 minggu mungkin scan boleh mengaburi perhatian kita dan memberi andaian yang silap.

Fuh, anak aku freestyler masa kena scan. Everyday i’m shufflin perasaannya. Bila doktor mula mencari organ sulit, sepantas itu dia bergerak-gerak riang. Aku tergelak memandangnya. Jadi aku cakap pada doktor, akhir bulan inilah kita tengok. Dia malu tu.. “Anak awak tidak mahu beri kerjasama hari ini”, kata doktor tu 🙂 Tapi kalau mahu tengok, saya kena scan dari dalam. Tak apalah..biarlah itu keterujaan akan datang.

Hari ini bayi berukuran 10cm,seganda dari mula-mula aku mengenali dia. Beratnya sudah 115 gram dan kakinya sudah terbentuk. Harapnya kamu sihat sejahtera dengan alunan Al-Quran, zikir dan sekali-sekala Klasik Nasional…

Nanti Apa Pulak Katanya…

image

Ia satu pengalaman baru dalam hidup kami. Kami tunggu lama untuk detik ini,maafkan jika ianya biasa dimata khalayak. Kami mahu merasa dan adakalanya tidak tahu cara yang wajar melalui momen ini.

Syukur aku tidak melepek..tiada loya kronik..tiada uwek uwek yang berpanjangan dan kelaziman lain. Keinginan makan agak besar,tapi tidak tahulah siapa disebaliknya..aku atau anak yang nak makan? Aku juga punya selera dan tahu lapar. Tidak adil selera yang ada,digunakan alasan mengandung untuk menjamahnya.

Setakat hari ini,apa yang nak aku makan memang kegemaran aku belaka, terutama masakan mama. Nak buat macam mana..26 tahun aku berada dalam syurga itu. Semuanya sedap-sedap belaka-walaupun sekadar teh o kosong. Sudah ada signature di situ..walaupun sibuk,mama usahakan juga masakkan laksa dan pajeri nenas untuk aku.

Bukan mengada,kalau berbaloi masak untuk ramai,dah lama aku masak sendiri. Dua-dua tu Hadi tak gemar sangat makan. Jadi baik aku pohon ehsan mama, sambil intro errr err anu…anu… Confirm tak membazir.. Masih,itu masakan normal sebab memang aku suka amat dua masakan ini.

Hadi lain pula kisahnya. Tidak pernah gemar makan kambing, tiba-tiba terus bole makan nasi arab kambing dan oblong kambing. Itu baru pelik dan kategori teringin atau mengidam bagai. Mungkin dia rasa pelik disakat rakan-rakan bilakala orang bertanya eh, siapa yang mengandung nie? Jadi ayatnya pagi tadi buat aku tergelak dalam hati..

H:Sy nk soya sebotol bole?
(minggu lepas aku beli 10 soya botol sebab soya kotak aku loya)
A:eh, ambik ajelah..
H:Nanti cakap siapa yang mengandung pulak…

Dia sangat mesra dalam kesopanan. Suami aku ini lagi hebat menyusun kata sebenarnya. Pantas aku ulang apa yang pernah aku khabarkan padanya minggu lepas. “Kalau bukan i yg teringin,maybe u yang kena..layankan aje”

Jangan berkecil hati dengan gurauan rakan-rakan. Apapun selera kamu dan fizikal yang terbentuk, saya tetap sayang tinggi menggunung 🙂 Rasanya memang dia yang mengidam bagi pihak..

Selepas Awan Kelabu,Sinar Menunggu..

Banyak soalan-soalan pelik memenuhi inbox aku. Aku tahu, mereka terkejut dan gembira sebenarnya. Tak kurang ada yang bertanya macam-macam soalan seolah aku baru menang pertandingan Spelling Bee peringkat universe 🙂 Yang mana terdaya aku jawap, sudah pun aku jawap. Yang mana tertinggal dan soalan berganda, mungkin post ini ada jawapan kepada persoalan anda semua, sama ada terluah atau tidak.

Aku rasa gembira nak berkongsi berita ini. Disebabkan ia masih segar,biarlah aku merasa keterujaannya. Aku menanti momen ini sangat lama, jadi aku layak untuk masih di fasa gembira.  Jika siapa rasa annoyed,aku minta maaf. Bukan itu tujuannya..

Adakah Kami Merancang Kehamilan Ini?
Kami dah bersedia untuk ada anak sejak awal perkahwinan lagi. 2 tahun pertama aku separa meroyan sebab tidak ada rezeki. Siap berhabis duit sebab aku mencuba treatment di klinik swasta. Lagi pula period mmg tak regular,jadi susahlah usaha nak merancang. Selain itu, doktor syak berat aku (70kg) tidak memudahkan proses kehamilan. Aku malas nak memanjangkan masalah jiwa. Sejak itu, aku dan Hadi terus jadikan agenda bercuti aktiviti wajib kami.

Kerja juga semakin sibuk. Aku dilelong mergastua dan ditempatan di unit yang orang insaf nak masuk iaitu unit ehwal semasa. Agaknya difikirkan aku akan menderita di sini. Sebaliknya aku pulak rasa gembira di sini. Aku diberi peluang buat program besar-besar. Sabtu Ahad memang tergadai. Aku selalu outstation. Kalau aku tak kerja luar,Hadi pulak entah kerja mana tak lekat umah. Paling klasik,dua-dua outstation serentak. Jumpa dlm facebook aje.

Tahun lepas,aku nekad cuti belajar. Aku taubat dgn manusia yang gunakan orang berkuasa untuk kepentingan diri. Aku sempat fikir setidaknya kalau pangkat aku tak naik, biarlah kemajuan akademik bersama aku. Hadi suruh fikir banyak kali sebab aku tak mohon biasiswa pun masa tu.

Rezeki anak berat,tapi syukur yang lain dipermudahkan. Aku dapat Hadiah Latihan Persekutuan akhirnya, aku dapat tempat di U dan cuti diluluskan. Biasiswa hanya mula tahun 2012. Sebelum itu,semua kos kena tanggung sendiri.

Disember tahun lepas, selepas balik dari Padang, aku jatuh sakit,emosi aku kusut dan aku selalu hiba bila teringat arwah abah. Lebih teruk,aku bleeding non-stop 14 hari. Mujur Ekin bersungguh-sungguh bawa aku ke hospital. Tapi aku sudah panik sebab berdasarkan pembacaan,aku rasa masalah ini hampir kronik. Dalam masa yang sama, aku ada isu dengan seorang kawan aku atas alasan yang malas aku nak terangkan.

Bermula Disember, aku kerap berkunjung ke PPUM. Lepas sahih tiada yang perlu aku risaukan,doktor cadangkan kami merancang untuk berzuriat. Disebabkan Januari kami akan ke Cambodia, tarikh di susun selepas percutian. Kala ini, aku dan Hadi bersedia berusaha kembali memandangkan usia aku yang sudah lanjut.

Bermula tengah Februari pula aku kena kursus 6 minggu untuk mendapatkan biasiswa. Hidup memang huru-hara. Bila ada ujian di hospital, aku kena ponteng dgn MC kehadiran ke kursus. Awal Mac pula kuliah semester 2 sudah bermula. Kelas pulak petang sampai malam. Sangat menduga hidup aku kala itu.

Hampir sebulan ujian kesuburan, aku disahkan subur. Hadi juga sama. Aku diminta berhubung dengan klinik keluarga jika period datang untuk cuba kaedah IUI. KMac aku tak period, April dan Mei juga begitu. Lagipun aku pernah alami period x regular jadi tidaklah musykil sangat.

Jadi bila scan kata dah 3 bulan,terperanjatnya luar biasa. Scan itu yang memberanikan kami memberitahu berita ini. Sebab kami dah nampak bentuk fizikalnya dan sudah dengar denyut jantungnya. Perasaan bila doktor kata inilah bakal anak kamu berdua dan Hadi genggang erat tangan aku itu sangat priceless.

Takde petua atau amalan. Kami dahulu dinasihatkan untuk kurangkan stress. Tapi kalau dah namanya kerja, kerja mana yang tak ada stress? Lepas tu cuti belajar. Stress belajar pula tak pernahnya susut. Tapi rakan-rakan dalam kelas banyak membantu. Mereka dah macam adik-beradik dan saudara-mara aku. Asal jumpa sahaja meledak bahan ketawa dari kisah dalam kelas, setiap individu yang unik, air mutlak dan gabus. Semua perkara akan jadi cerita gembira bersama mereka.

Tak ada jalan mudah. Aku hanya fikir kalau tak dapat waktu ini, apa benda lain yang boleh aku dapatkan untuk membuatkan ingatan aku lari dari masalah asal. Tak ada rezeki anak, kami sibuk cuti. Tak ada rezeki naik pangkat, aku cuti dan sambung belajar. Apapun, percaya pada kuasa Allah dan percaya selepas awan kelabu, sinar menunggu 🙂

Alhamdulillah – Setelah 6 Tahun Kahwin!

Scan Pertama : 3 bulan katanya..

Catatan ini agak menduga jadi sila bersabar dengannya…

****

Rabu lalu adalah hari pembentangan untuk kelas En. Suhaimee dan aku antara manusia yang kena bentangkan kertas  malam itu.  Secara normanya, memang setiap kali menjelang ke arah presentation aku akan rasa mual, nak terbarai isi perut, nebes melampau dan lain-lain perasaan tak best. Sejak Isnin, sudah bertungkus-lumus menyiapkan secara berperingkat tapi tidaklah ada perasaan pelik-pelik berlaku.

Pagi Rabu, aku melalui satu keteringinan makan nasi kerabu – tapi mesti yang di depan Jalan Kubur itu jugak. Sayangnya, setiap kali aku nak makan, mesti dia tak bukak. Pagi itu, kebetulan Hadi masuk lewat ke pejabat. Aku mohon ehsan beliau bawakan aku menapau nasi di sana. Misi berjaya.. bersarapan pagilah aku dengan nasi kerabu yang pada aku sedap sangatlah itu!

Masalah dengan nasi kerabu itu ialah – setiap kali aku makan pasti aku kena keracunan makanan. Aku pernah bertaubat kerananya..Tapi bila keinginan datang, aku belasah juga dan berhari-hari aku sakit perut kerananya. Mungkin perut aku sangat sensitif dengan nasi kerabu ini.

Petang Rabu, Hadi menunggu di Restoran Syid, Padang Jawa. Sup cendawan super sedap yang selalu aku makan hanya lalu aku hirup tak sampai 3 sudu – aku muak. Itu pun tanpa nasi. Sejak balik Cambodia, berat badan aku memang susut, jadi aku hanya menjaga pola pemakanan supaya tidak naik balik. Nak kata perut kosong sangat hari itu, tak mungkin sebab aku dah sarapan. Aku mula syak penangan nasi kerabu bakal menghuru-harakan hidup aku lagi.

Petang itu, 2 kali aku muntah tanpa sebab. Sampai rasa macam kain buruk. Hadi masih kata – ini mesti sebab nak presentation..Lepas u present nanti hilanglah benda-benda nie. Malam itu, aku tidur terganggu. Aku terjaga jam 3.00 pagi – berlari ke bilik air tapi tidak pula memerut. Aku muntah angin dan langsung aku tidur-tidur ayam sampai jam 7.00 pagi. Sebelum tersentak dari tidur, aku mimpi budak-budak lelaki yang ramai. Salah seorang datang dan dan minta aku masakkan meggi untuk diorang. Wait, mimpi mcm ini dah dua tiga kali aku kena. Aku kenal anak-anak saudara aku aje tapi yang lain itu buat aku bertanya – eh, anak siapa tu?

Pgi itu aku buat urine test. Alamak – ada 2 line! Aku panggil Hadi dan dia cakap “mcm mana nak baca nie, macam mana nak baca nie” dengan separa panik. Aku beritahu, kalau ada 2 line tu maknanya ada isi. Tapi kami dua-dua panik. Aku kena siap pergi seminar, Hadi kena ke pejabat untuk mesyuarat. Aku diamkan dulu rasa nak panik lebih-lebih dan aku tak tahu nak rujuk pada siapa sebenarnya masa tu.

Mujur aku bawa laptop, jadi sambil-sambil mendengar seminar, aku online FB dan chat dengan Mak Hayam, yang kebetulan lebih kurang ceritanya dengan aku. Jadi tidaklah aku menggelabah sangat. Masa seminar sendiri aku terasa loya-loyi tak menentu. 2 kali aku lari ke restroom. Rasanya kali kedua ke sana barulah aku terserempak dengan Kak Ros yang hadir lewat ke seminar. Awal-awal dia dah tegur aku nampak tak sihat, tapi aku tak cukup berani lagi nak beritahu siapa-siapa sebab aku blank nak buat apa sebenarnya hari ini.

Masa break minum pagi, aku dah tak boleh tahan – aku tarik Kak Ros ke sudut belakang dan mintak bantuan dia untuk temankan aku buat confirmation di klinik swasta. Dia kalau bole dan-dan itu juga nak suruh aku pergi. Tapi aku nak tunggu sampai pensyarah aku, Prof. Munis selesai membuat pembentangan baru aku nak cabut. Jadi, kami semua makan tengah hari dulu, dan kemudian barulah mencari klinik yang terdekat. Masa doktor sahkan urine test itu betul, dia jugalah bersorak paling kuat dalam bilik doktor. Aku masih fasa kunyah perlahan-lahan informasi yang doktor berikan.

***

Pag tadi kami nekad mencari klinik untuk scan dan tentukan berapa bulan sebenarnya usia kandungan ini. Jadi, di atas adalah zahirnya..yang aku dan Hadi terdiam bila scanning dilakukan. Dengar denyut jantungnya..kuat fizikal dan lehernya.. cantik bentuk fizikalnya – kata doktor.

Petang tadi baru kami berani memberitahu rakan-rakan. Ini penantian 6 tahun..jadi kami rasa tak salah nak kongsi sebab ramai juga yang menunggu giliran kami mendapat cahayamata. Ya, macam-macam boleh jadi tapi pohon doakan yang terbaik dan kami sendiri berusaha melalui dunia baru ini dengan mengurangkan kadar panik dan dalam pada masa yang sama – mengharapkan bantuan kalian yang  berpengalaman jugak.

Yang penting, aku buat Hadi gembira dengan berita ini..satu berita yang lama aku dambakan untuk aku hadiahkan padanya 🙂

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...