RSS

Category Archives: Anniversary

Happy 12th Anniversary, My Love!

18.11.1.2018 – Genap 12 tahun usia perkahwinan aku dan Hadi. Syukurlah perasaan yang disemai dari zaman matrikulasi di UiTM pada tahun 2000 masih mampu bertahan sampai hari ini. Tahun ini sambutannya biasa sahaja. Tiada percutian ke luar negara dan makan malam romantika seperti tahun-tahun terdahulu. Dan ini ceritanya…

Tahun ini tahun yang mencabar untuk kami berdua. Kami sama-sama struggle dengan kerja, hubungan sosial dan anak-anak. Tetapi anak-anaklah antara faktor yang menyebabkan tahun ini kehidupan kami begitu banyak turun dan naik. Betullah orang kata, anak itu adalah ujian.

Semuanya bermula dengan Ezzudin Dzulfikar, anak kedua kami yang istimewa. Tadika tempat kami hantar minta kami keluarkan dia kerana mereka tidak mampu menjaga dan mengawal Judin. Judin tidak seperti kanak-kanak lain. Dia dalam dunianya sendiri. Hal ini aku tidak pernah tulis kerana secara peribadi, aku serabut dan cuba membiasakan diri menjadi ibu kepada anak istimewa. Tidak timbul isu malu atau mahu menyembunyikan hakikat. Sudah disuratkan dia seperti itu, apa lagi ikhtiar kami sebagai ibu bapa untuk buat selain berdiri teguh dan melalui kehidupan dengan menjalankan amanah tuhan sebaiknya.

Kami berusaha mencari tadika khas yang boleh menjaga Judin. Setidak-tidaknya, dia mampu menguruskan diri dan mendapat intervensi awal. Alhamdulillah, jumpa juga tetapi lokasinya di Puchong. Dan kos persekolahan Judin membuatkan kami terduduk seketika. Disebabkan ia jatuh dalam kategori keperluan, kami berdua selaraskan balik kehidupan dan berjaya juga kami membiasakan hidup dengan kos yang semakin bertambah.

Sejak itu, hubungan aku dengan Hadi tidaklah semesra dahulu. Banyak masa kami untuk anak-anak sampaikan kami kadang-kadang terkhilaf untuk memberi perhatian kepada pasangan kami sendiri. Dengan aku sentiasa sibuk dengan kerja, berkursus di India dan aktiviti lain, Hadilah yang banyak menguruskan anak-anak. Kalau kami duduk bersembang, anak jugalah isi ceritanya. Agak jarang membelai perasaan masing-masing. Maklum sahaja, balik kerja, urus anak dan terus tidur. Kalau Sabtu, Ahad atau cuti am, kami akan balik Melaka atau memenatkan anak-anak dengan segala macam aktiviti. Harapannya, bila anak letih mereka akan tidur awal.

Takde maknanya!

Anak-anak semua hiperaktif. Dan menjelang malam, kami sendiri sudah letih. Nasib akan jadi sedikit baik kalau aku dapat mencuri masa mama untuk menjaga anak. Kalau tak dapat sehari, beberapa jam pun sudah cukup untuk kami habiskan masa bersama. Masih, masa yang berkualiti untuk kami berdua itu tidak mencukupi.

Tahun ini memang banyak masalah emosi. Rasa tak kuasa, rasa nak lantakkan dan berserah pada takdir semua ada. Ujiannya bukan menguatkan kami, membuatkan kami sendiri sangsi dengan keupayaan kami untuk hidup bersama.

Sampailah pada suatu hari, kami duduk berdua dan berbincang dari hati ke hati – ke mana hala tuju perkahwinan kita berdua ini sebenarnya? Masa inilah apa yang tidak puas hati, apa yang terbuku dan nunek-nunek lain kami bentangkan. Kami bukannya tidak ada rasa cinta. Gila takde…dari tahun 2000 sampai 2018 kot bersama-sama. 18 tahun itu segala turun naik semua kami sudah lalu. Jadi dengan ujian terbaharu, bolehkah kami lalu lagi? Mungkinkah kehidupan kami tiada dimensi lain menjadikan semuanya tepu belaka?

Kesimpulannya mudah…Jangan jadikan anak penghalang untuk menikmati kehidupan. Kalau rasa nak bercuti, pergilah. Nak keluar dengan kawan-kawan pun sama, cuma bagitahu untuk salah seorang susun jadual kembali. Sibuk macam manapun, masa untuk keluarga kena ada. Dan kalau tiba-tiba perasaan berubah, pun bawa-bawalah berbincang.

Tahun lepas menyaksikan Hadi bercuti ke Bangkok bersama rakan-rakannya dan aku kembara solo ke India. Dia ada masa dia, dan aku ada masa aku. Jujur aku beritahu, selama 17 hari di India memang banyak mengajar kuat atau tidak kuat hubungan kami. Aku gunakan masa itu untuk memikirkan apa yang perlu aku baiki bila balik Malaysia nanti. Alhamdulillah…sejak itu semuanya baik-baik belaka.

Sempena 12 tahun ulangtahun perkahwinan ini, kami hanya sambut di Melaka. Kebetulan kami belum menggunakan hadiah percutian 4 hari 3 malam yang kami dapat 2 tahun lepas. Sebelum expired, molek sangatlah digunakan untuk meraikan hubungan kami dan menggunakan peluang itu untuk menggembirakan anak-anak.

Pagi 18 November, kami sekeluarga ke Muar. Aku memang sudah lama mahu makan mee bandung Muar. Disebabkan sukar menguruskan anak di kedai makan, kami makan secara bergilir-gilir. Hadi makan dahulu sementara aku melayan anak-anak dalam kereta. Kemudian, aku pula makan dan dia mengambil alih tugas menjaga anak-anak. Punyalah nak makan mee bandung Muar punya pasal…

Selepas itu kami ke Hutan Lipur Ledang dan menghabiskan masa di sana dengan aktiviti mandi-manda. Judinlah yang paling excited sebab dia memang “pengair”. Walaupun air sejuk, dia steady aje. Eskandar tidak mandi lama sangat sebab dia sudah menggigil-gigil kesejukan. Jadi aku menguruskan Eskandar sementara Hadi melayan Judin mandi. Sampai kecut! Mungkin kerana kepenatan dan kelaparan, 2 bungkus bihun goreng selamat mereka makan dan sempatlah mereka lena sekejap semasa perjalanan balik dari Ledang ke Melaka. Jujurnya, kami berdua sendiri super penat dan merancang untuk berehat di hotel. Malam sahajalah kami keluar balik untuk beli kek, makan sedap sikit dan bersiar-siar.

Namun, kejadiannya tidak seperti itu. Sekitar 7:30 malam aku mendapat khabar Cikgu Misel telah kembali ke rahmatullah. Aku terduduk dan terjelepuk di sofa menangis tak henti-henti. Mujurlah Hadi sangat memahami. Walaupun penat, dialah menguruskan anak-anak. Aku memang rasa kehilangan malam itu. Aku minta pada Hadi untuk tangguhkan rancangan kami pada malam ini kerana aku betul-betul bukan dalam mood untuk meraikan apa-apa.

Keesokan harinya, aku bermula semula. Aku abaikan perasaan semalam dan berikan perhatian pada anak-anak kembali. Siangnya kami berada sekitar Dataran Pahlawan petang itu kami bawa mereka mandi-manda di Blue Lagoon, Melaka. Eskandar dan Ezzudin nampak sangat riang. Dari satu kolam ke satu kolam kami mandi sampai rasa macam nak tidur dalam kolam pun ada. Tetapi budak-budak ini mana tahu penat. Akhirnya menjelang petang, terpaksa aku cue Hadi untuk bersiap balik. Meraung-raung Ezzudin tak mahu balik tapi nak buat macam mana….kami dah pancit!

Aku sudah melakukan apa yang termampu untuk menggembirakan semua sepanjang percutian singkat kami minggu lalu. Masih, untuk Hadi aku belum lagi berikan dia sesuatu sebagai tanda kenangan dan hadiah ulangtahun perkahwinan. Jadinya, aku minta bantuan mama untuk tengokkan anak-anak sekejap sementara aku dan Hadi dating sebentar di Wangsa Walk. Hampir sejam memilih, dan membelek, aku pinangkan idaman hati dia dan kami berjaya makan malam express bersama. Jadilah…dari tiada sambutan langsung.

Alhadihamzah, Happy 12th Anniversary! Ai hanya minta lalu kehidupan ini bersama-sama, maafkan segala salah dan silap yang pernah ai buat dan ai sangat hargai semua pengorbanan yang yu buat untuk family kecil kita. Kalau bukan untuk kamu, untuk siapa lagi? Me love you long time…

#forevermeansforever

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posted by on November 23, 2018 in Anniversary, Famili, Untuk Dikenang

Leave a comment
Skip to toolbar