Big Bad Wolf 2012

Ini adalah kali pertama aku berpeluang untuk melihat sendiri kegilaan memborong buku dikalangan masyarakat Malaysia. Berdasarkan pemerhatian rambang, sukacitanya aku mengandaikan kajian yang mengatakan purata buku dibaca oleh rakyat Malaysia hanya 2 buah buku hanya ilusi optik semata-mata. Pemerhatian juga jelas menunjukkan keghairahan memborong buku di sini lebih dasyat daripada penangan M-Pop dan Planet Matoki.

Beberapa rakan kelas telah bersembang dan bersetuju untuk berjumpa pada Sabtu tengah malam. Kami sangkakan orang tidaklah berduyun sangat kala ini. Jangkaan meleset sama sekali. Kereta berpusu-pusu masuk ke perkarangan Mines Convention Center. Jam menunjukkan hampir 11.30 malam dan ruang parkir juga seakan misi mustahil. Mungkin kerana niat suci-murni kami bertiga malam itu tidaklah sakit kepala pilot mencari parkir. Oh, ini adalah kali kedua aku ke sini. Kali pertama ialah beberapa tahun lepas semasa menerbitkan siaran langsung Hari Pekerja. Jadi dalam kepala otak aku sudah membayangkan layout, blueprint dan susun atur pameran ini.

Ruang pameran sangat besar dan orang pun ramai. Buku melonggok-longgok menggoda iman untuk dimiliki. Hampir semua ruang pameran kami jelajahi kecuali kawasan ‘Self Help’. Ini adalah kawasan loser mencari cinta, mencari kehidupan, mencari duit dan mencari diri yang hilang. Kami bertiga amat yakin tidak tergolong dalam kelompok itu hahaha 🙂

Dari jam 11.45 malam sehingga 3.15 pagi kami di situ. Aku sempat membeli 11 buah buku dengan harga RM 83.00. Yup, memang sangat berbaloi. Itupun aku tahan-tahankan juga dari membeli buku yang tidak perlu. Rasanya aku tidak akan pergi untuk kunjungan kedua kerana risaukan pembelian mengikut nafsu, sementelah yang ada ini pun semput untuk dihabiskan. Agak terkilan kerana tidak ada buku tentang Human Security dijual secara berleluasa dan membabi buta di situ.

Tips di Big Bad Wolf

  1. Sila memakai kasut bergetah. Elakkan kasut tumit tinggi kerana anda bakal menyeksa kaki untuk tempoh yang sangat lama.
  2. Bawa troli, beg beroda atau tote bag yang besar. Kotak ada disediakan jika datang melenggang tapi percayalah, badak semput engkau nak memikul borongan itu nanti.
  3. Tunai atau kad kredit? Sama saja mudahnya. Tapi aku bayar dilaluan kad kredit sebab lagi pantas.
  4. Kadang-kala, buku yang bernilai tinggi cepat habis di kawasan pameran. Ini disebabkan ada pembeli bernafsu ganas, tapi tak cukup duit nak beli. Jadi mereka akan meletakkan buku-buku yang tak mampu dibeli itu di sudut-sudut kawasan pameran. Luangkan masa sebentar membelek di kawasan itu kerana anda mungkin jumpa buku-buku ‘rare’ di situ.
  5. Kalau ada pembeli lain melanggar anda tanpa sengaja, maafkanlah dia. Sebab tak boleh tidak, kita sendiri ada potensi melanggar orang. Tempat berjalan agak sempit.
  6. Kalau bawak anak tu, janganlah biarkan anak tu gigit-gigit buku macam barang mainan. Baran pulak aku menengoknya.
  7. Korang dah habiskan masa berjam-jam membeli buku. Alang-alang pergilah keruangan setem percuma untuk mendapatkan cop kenang-kenangan Big Bad Wolf 2012.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *