Bertiga…

Us :)
Us ­čÖé

 

Ada satu tempat dalam Malaysia, yang kalau aku serabut, susah hati, suka hati hatta makan hati aku suka pergi. Walaupun agak jauh, sekonyong-konyong ada di sana aku rasa gembira. Lebih gembira kalau aku dapat duduk di hotel yang memang aku suka. Harga agak mahal, tapi ketenangan dan memori yang aku dapat = priceless!

Memandangkan cuti tahunan masih ada tersisa ditambah faktor mahu menghabiskan masa bersama keluarga sebelum bersalin sangat memuncak, makanya minggu lalu percutian yang tak sampai 24 jam dirancang terus dilaksanakan. Orang selalu cakap, ‘cuti kalau plan last minute memang selalu menjadi. Entahlah…pengalaman aku merancang percutian seboleh-bolehnya mesti jadi. Kalau berkumpulan, ada yang tarik diri itu masalah diorang.

Tahun lepas, sewaktu Eskandar Dzulkarnain 8 bulan dalam kandungan, aku dan keluarga bercuti di Pantai Timur. Dari Cameron Highlands – Kota Bharu – Kuala Terengganu – Cherating kami berjalan tanpa agenda yang pasti. Kali ini disebabkan hanya bercuti bertiga, agenda yang ada sangat ringkas dan mudah. Rehat-tidur-makan-main dengan anak. Jadi lokasinya….tetaplah bumi Cherating. Mujur dipermudahkan urusan pembelian bilik menerusi Agoda yang memungkinkan kami duduk di Impiana Resort selama 3 hari dan 2 malam dengan harga yang munasabah.

Sebelum bertolak, awal paginya aku di PPUM untuk check-up dan menetapkan temujanji untuk membuka jahitan cervical cerclage. Insyaallah 30 Oktober ini aku akan melalui proses itu. Eskandar pula ada temujanji di Klinik Kg.Pasir. Mama dan Ameera menguruskan Eskandar dan selayaknya suami yang penyayang Hadi menguruskan aku. Semua urusan ini selesai lebih kurang jam 10.30 pagi dan kami terus bertolak ke Cherating. Namun disebabkan banyak pit-stop, kami tiba sekitar jam 5.00 petang. Bilik memang sangat selesa dan Hadi jelas gembira dengan lokasi yang aku pilih ini. Rupa-rupanya aku tidak pernah menginap di sini dengan dia. Aku sendiri hairan kenapa. Padahal sejarah aku dan Impiana ini terjalin sejak tahun 1997 hingga kini. Yang aku pergi tu semua bukannya dengan dia. Takpelah, masih belum terlewat mencipta memori baharu dengan dia dan Eskandar sebelum keluarga kami bertambah besar.

IMG_20141009_092938
First time mandi kolam, sangat eksaited beliau!

 

3 hari 2 malam terasa sangat pantas berlalu. Macam tak cukup masa untuk kami bergembira dan bercuti tanpa tekanan.  Dalam semua itu, malam yang aku dan Hadi bersembang di koridor luar, mengadap laut dalam suasana sikit romantik itu sangat aku hargai. Eskandar tidur keletihan kerana siangnya bergurau kaw-kaw dengan kami. Masa itu kami gunakan untuk bersembang tentang masa hadapan. Bersembang pasal kewangan, sembang pasal rumah, pasal hutang piutang dan pasal perjalanan hidup aku yang serba-serbi terkejar-kejar dengan kerja, anak dan belajar.

Sekarang bertiga….harapnya bulan depan berempat dan mungkin kalau ada rezeki bilangan bertambah barang seorang dua lagi. Aku menginsafi pemberian ilahi pada aku dan bersyukur atas perjalanan yang telah disuratkan. Semoga disusuli dengan rezeki-rezeki lain yang lebih besar. Bila difikirkan balik, bukan senang kerana aku mahu semua. Jadi aku harus berusaha ke arah itu…

Eskandar suka pantai...
Eskandar suka pantai…
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *