Belum Kahwin : Kenapa Gelabah Dengan Statistik?

Kredit : Utusan

Sejak semalam banyak post rakan-rakan aku di Facebook berkaitan mereka sebahagian dari statistik 2.5 juta warga Malaysia yang masih bujang. Ini termasuk yang sudah ada kekasih tapi belum merancang untuk berkahwin, belum nampak potensi pasangan apatah lagi nak berkahwin, dan yang gatal dua-dua buah tapi tidak ada duit dan kekasih untuk berkahwin.

Jadi apa yang mahu dikisahkan sangat tentang statistik di atas? Kita semua sememangnya sebahagian dari statistik. Statistik yang sudah berkahwin tapi belum beranak, beranak kurang 3, beranak kurang 5 atau pendapatan isi rumah kurang RM 3000.00 sebulan dan beraneka jenis statistik yang sedang, sudah dan bakal dibuat.

Mahukah anda berkahwin semata-mata tidak mahu tergolong dalam statistik di atas? Bagaimana pula dengan perkahwinan yang terbarai ditengah jalan disebabkan masalah kewangan dan masalah kegatalan kerandut pasangan? Juga berkahwin, tapi tiada kebahagiaan dengan faktor ungkitan – saya dah beli rumah, saya beranakkan anak awak, mak awak tak suka saya dan saya dah beli rumah – apa sumbangan awak dalam keluarga ini? Soalan pengulangan ini adalah bahan bualan untuk sepanjang hayat? Potensi di atas akan melayakkan akan memasuki statistik Tekanan Emosi Dalam Rumahtangga, statistik darah tinggi-kencing manis – sakit jantung dan mungkin statistik kena simbah asid jika keadaan menjadi runcing.

Ya, mungkin ada yang kata aku sudah kahwin. Tapi apanya aku pada dilema bujang ditanya sanak saudara bila nak berumahtangga dan diacukan bakal jodoh sepupu-sepapat, jiran, anak kawan mak abah hatta anak Cikgu Husin belakang rumah sekalipun?

Sudah melaluinya, sudah menjalaninya. Fasa memilih pasangan, fasa tak cukup duit nak kahwin, fasa saudara-mara bertanya bila nak makan nasi minyak, fasa tak diterima ahli keluarga pasangan (ini kategori bekas ya..) dan segala tok nenek dugaan aku dah lalui, termasuk perbezaan umur yang macam bapak dengan anak jua sudah aku rasa.

Ia adalah penutupan pada satu persoalan dan membuka persoalan-persoalan lain sebenarnya. Jujur aku katakan di sini. Sebelum kahwin, bila nak kahwin. Sudah kahwin, bila nak beranak. Sudah beranak lelaki, bila nak ada anak perempuan. Sudah ada 2 anak, bila nak tambah lagi anak.

Sudah satu team futsal anak, tak mahu beli rumah besar ke sebab anak-anak kau ramai?

Lepas itu anak masuk tadika dan ujian untuk darjah satu… Anak kau kelas satu mana, Jemah? Lepas itu, UPSR anak kau berapa Jemah? Mana dapatnya Sekolah Sains, MRSM, Sekolah Agama Maahad mananya? Samalah sampai anak Jemah ambil PMR – SPM – Matriks – Ijazah. Cukup dulu…

Anak kau keja apa Jemah? Bila kau nak dapat menantu, Jemah? Bila kau nak dapat cucu, Jemah? Korang boleh sambunglah cerita di atas mengikut citarasa kreatif yang memang ada dalam kepala otak korang.

Kepada suami Jemah pula – Eh, satu aje bininya…bila nak tambah dua? Sudah tambah 2, ditanya 3 sampailah kuota cukup..

Seperti yang aku katakan ia adalah penutupan pada satu persoalan dan membuka persoalan-persoalan lain. Jadi jangan gusar. Lalui dengan tenang, percaya pada kuasa tuhan dan bak kata Slam – selepas awan kelabu, sinar menunggu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *