Alhamdulillah – Setelah 6 Tahun Kahwin!

Scan Pertama : 3 bulan katanya..

Catatan ini agak menduga jadi sila bersabar dengannya…

****

Rabu lalu adalah hari pembentangan untuk kelas En. Suhaimee dan aku antara manusia yang kena bentangkan kertas  malam itu.  Secara normanya, memang setiap kali menjelang ke arah presentation aku akan rasa mual, nak terbarai isi perut, nebes melampau dan lain-lain perasaan tak best. Sejak Isnin, sudah bertungkus-lumus menyiapkan secara berperingkat tapi tidaklah ada perasaan pelik-pelik berlaku.

Pagi Rabu, aku melalui satu keteringinan makan nasi kerabu – tapi mesti yang di depan Jalan Kubur itu jugak. Sayangnya, setiap kali aku nak makan, mesti dia tak bukak. Pagi itu, kebetulan Hadi masuk lewat ke pejabat. Aku mohon ehsan beliau bawakan aku menapau nasi di sana. Misi berjaya.. bersarapan pagilah aku dengan nasi kerabu yang pada aku sedap sangatlah itu!

Masalah dengan nasi kerabu itu ialah – setiap kali aku makan pasti aku kena keracunan makanan. Aku pernah bertaubat kerananya..Tapi bila keinginan datang, aku belasah juga dan berhari-hari aku sakit perut kerananya. Mungkin perut aku sangat sensitif dengan nasi kerabu ini.

Petang Rabu, Hadi menunggu di Restoran Syid, Padang Jawa. Sup cendawan super sedap yang selalu aku makan hanya lalu aku hirup tak sampai 3 sudu – aku muak. Itu pun tanpa nasi. Sejak balik Cambodia, berat badan aku memang susut, jadi aku hanya menjaga pola pemakanan supaya tidak naik balik. Nak kata perut kosong sangat hari itu, tak mungkin sebab aku dah sarapan. Aku mula syak penangan nasi kerabu bakal menghuru-harakan hidup aku lagi.

Petang itu, 2 kali aku muntah tanpa sebab. Sampai rasa macam kain buruk. Hadi masih kata – ini mesti sebab nak presentation..Lepas u present nanti hilanglah benda-benda nie. Malam itu, aku tidur terganggu. Aku terjaga jam 3.00 pagi – berlari ke bilik air tapi tidak pula memerut. Aku muntah angin dan langsung aku tidur-tidur ayam sampai jam 7.00 pagi. Sebelum tersentak dari tidur, aku mimpi budak-budak lelaki yang ramai. Salah seorang datang dan dan minta aku masakkan meggi untuk diorang. Wait, mimpi mcm ini dah dua tiga kali aku kena. Aku kenal anak-anak saudara aku aje tapi yang lain itu buat aku bertanya – eh, anak siapa tu?

Pgi itu aku buat urine test. Alamak – ada 2 line! Aku panggil Hadi dan dia cakap “mcm mana nak baca nie, macam mana nak baca nie” dengan separa panik. Aku beritahu, kalau ada 2 line tu maknanya ada isi. Tapi kami dua-dua panik. Aku kena siap pergi seminar, Hadi kena ke pejabat untuk mesyuarat. Aku diamkan dulu rasa nak panik lebih-lebih dan aku tak tahu nak rujuk pada siapa sebenarnya masa tu.

Mujur aku bawa laptop, jadi sambil-sambil mendengar seminar, aku online FB dan chat dengan Mak Hayam, yang kebetulan lebih kurang ceritanya dengan aku. Jadi tidaklah aku menggelabah sangat. Masa seminar sendiri aku terasa loya-loyi tak menentu. 2 kali aku lari ke restroom. Rasanya kali kedua ke sana barulah aku terserempak dengan Kak Ros yang hadir lewat ke seminar. Awal-awal dia dah tegur aku nampak tak sihat, tapi aku tak cukup berani lagi nak beritahu siapa-siapa sebab aku blank nak buat apa sebenarnya hari ini.

Masa break minum pagi, aku dah tak boleh tahan – aku tarik Kak Ros ke sudut belakang dan mintak bantuan dia untuk temankan aku buat confirmation di klinik swasta. Dia kalau bole dan-dan itu juga nak suruh aku pergi. Tapi aku nak tunggu sampai pensyarah aku, Prof. Munis selesai membuat pembentangan baru aku nak cabut. Jadi, kami semua makan tengah hari dulu, dan kemudian barulah mencari klinik yang terdekat. Masa doktor sahkan urine test itu betul, dia jugalah bersorak paling kuat dalam bilik doktor. Aku masih fasa kunyah perlahan-lahan informasi yang doktor berikan.

***

Pag tadi kami nekad mencari klinik untuk scan dan tentukan berapa bulan sebenarnya usia kandungan ini. Jadi, di atas adalah zahirnya..yang aku dan Hadi terdiam bila scanning dilakukan. Dengar denyut jantungnya..kuat fizikal dan lehernya.. cantik bentuk fizikalnya – kata doktor.

Petang tadi baru kami berani memberitahu rakan-rakan. Ini penantian 6 tahun..jadi kami rasa tak salah nak kongsi sebab ramai juga yang menunggu giliran kami mendapat cahayamata. Ya, macam-macam boleh jadi tapi pohon doakan yang terbaik dan kami sendiri berusaha melalui dunia baru ini dengan mengurangkan kadar panik dan dalam pada masa yang sama – mengharapkan bantuan kalian yang  berpengalaman jugak.

Yang penting, aku buat Hadi gembira dengan berita ini..satu berita yang lama aku dambakan untuk aku hadiahkan padanya 🙂

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *