Aku Menunggumu..

Malam itu seperti menoktahkan penantian yang lama. Lama kerana selepas apa yang berlaku dan mencuba kosong-kosong setelah apa yang berlaku, ia pertama kali kami mencuba bertemu dan bersembang kembali seperti tiada apa berlaku lagaknya. Apabila siang menjelang, dia mengambil aku dari rumah dan meninggalkan aku di sekolah. Tiada perbualan serius berlangsung selain bertanyakan apakah perlu dia membawa aku sarapan atau terus ke tujuan asal.Dia pula terus ke pejabat kerana sibuk menyiapkan karyanya yang akan keluar sedikit masa lagi. Dia meminta aku melihatnya dahulu, memberikan komen dan mungkin dia akan membuat sedikit pengubahsuaian saat akhir berdasarkan pendapat profesional dan peribadi yang bakal aku berikan – seperti yang pernah aku buat sedikit masa dahulu untuk karyanya yang terdahulu.

Aah..itulah yang menguat jalinan kami. Minat yang sama, cerita sedih yang tak pernah hilang dan kekejaman dunia. Kami boleh larut berjam-jam lamanya, minum bersama sampai separa bentak dan mabuk. Tapi salah faham mengubah semua itu. Aku keras hati. Dia juga begitu. Dia sebenarnya refleksi aku, aku juga refleksi dia. Itu selalu kami debatkan bila adanya pertelingkahan kecil dalam hubungan seharian.

Hampir petang, aku hubungi dia kembali. Kapankah mengambil aku ini? Kita punya banyak perkara peribadi yang perlu diselesaikan sebelum aku mengambil keputusan semuanya ok kembali. Menerima dia kembali dalam hidup aku seperti membuka jahitan luka lama yang dalam. Masih berdarah dan terasa sakit. Dia meminta aku menunggu…Ada kerja yang masih tersisa dan memerlukan dia terus di situ.

Aku tidak menunggu lama di ruang kelas. Sekolah ini besar..Setiap sudut sudah aku tahu walaupun hanya sekali-sekala ‘situasi’ membawa aku ke sini.

Aku membawa diri di satu bangunan, ditingkat paling tinggi dan mencari laluan untuk panjat melepak di atas bumbung. Nyata aku tenang dan aman di situ. Telefon model terkini itu aku godek dan membaca catatan lama antara kami. Aku mulai sangsi dengan pertemuan hari ini. Kerana sebagai refleksi diri, aku tahu apa yang akan aku lakukan bilakala aku berada dalam situasi mendesak seperti ini. Tapi tak mungkin..Aku yakinkan diri. Dia yang memulakan semua ini dan meminta aku memberikannya peluang.

Aku memerhatikan sungai mengalir lesu dari atas bangunan tidak bercat ini. Sekali sekala adanya bot lalu lalang membawa penduduk kampung menyeberang jalan. Meneruskan kehidupan yang serba-serbi menyakitkan dalam keadaan miskin bandar. Aku leka dengan pemandangan itu.

Lama kelamaan aku mulai bosan. Aku berbelah bahagi. Perlukah aku melayangkan panggilan sekali lagi? Ia nampak seolah mendesak. Tapi aku tidak mahu bermalam di sini. Akhirnya aku mengalah. Aku terpaksa bertanyakan dirinya juga kerana seharian dia membuat aku menunggu.

“Babe, u dont get it..apa yang akan kamu buat kalau berada dalam situasi ini? Memang aku mahu membiarkan kamu menunggu. Hati aku masih sakit dengan apa yang kamu buat dahulu” katanya panjang lebar. Aku mula menyesali hari dan keputusan yang aku buat.

Babi betul! Aku membuka ruang untuk disimbah garam pada luka lama. Serentak aku rasa sejuk yang menggila. Aku menggigil. Ia lebih pada menahan marah yang meluap-luap. Nampaknya kata-kata maaf lalu hanya untuk mengumpan aku melalui rasa sakit hati berganda.

Aku pejamkan mata sekuat tenaga yang ada. Penumbuk juga sudah aku kepalkan. Serentak aku buka dan terjaga. Terus aku mematikan penyaman udara purba dan ke bilik air. Kemudian aku sambung tidur kembali. Kalau aku jumpa kau sekali lagi, penumbuk ini pasti singgah di muka, perut dan nunek engkau!

Dalam mimpi pun nak menyakitkan hati! Hakikatnya rindu ini masih milikmu..Kuhadirkan sebuah tanya untukmu. Harus berapa lama aku menunggumu? Aku menunggumu…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Author: akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *