Ohai, Terengganu!

Aku memang suka pergi Terengganu. Ingat lagi dulu masa mula-mula masuk kerja aku berpeluang outstation di situ. “Kuala Terengganu tu jauh,” kata Wan Muta yang juga orang Terengganu. Memang pengalaman naik pajero ke sana dengan tim penerbitan Sembang@10 tak akan aku lupakan. Kali kedua aku bertugas di sana ialah semasa Pertabalan Pemangku Raja. Merasalah naik MAS dan tak sempat sakit badan.

Untuk bercuti saja-saja, setakat sampai Kemaman untuk makan satar aje. Itupun sebab aku selalu bawa diri ke Cherating dan duduk menyendiri di Impiana Resort. Resort tu pun tengah major renovation entah bila siapnya. Adalah sekali dua rasanya aku bercuti di sana. Itulah….Terengganu tu jauh. Mujurlah bulan lepas aku merasa berkursus di Terengganu.

Kerana itu aku rindu Terengganu….

Rindu untuk berehat-rehat di sana dan rindu untuk mencari port-port makan menarik di sana, khususnya nasi dagang. Entah gila apa saka arimasu nasi dagang menjelma sejak aku termakan nasi dagang yang super sedap – tapi bukan di Terengganu! Nasi dagang itu terletak di RnR Layang, JOHOR!!! Tapi nasi dagang itu resepi asli dari Kemaman kata acik yang niaga tu.

Berbekalkan cuti ganti 3 hari yang belum sempat ditebus kerana edah 28 hari menanggung kerja menyekat diri untuk tidak bercuti, aku berbincang dengan penuh pujuk rayu agar Hadi sudi bercuti meluangkan masa dengan isteri tercinta nun lama 6 jam memandu. Menung juga dia untuk bersetuju..tapi sebab aku urus semua benda, dia hanya perlu mohon cuti, separuh minyak tol dan belanja makan bila perlu – makanya dia bersetuju. Sejak balik dari Jepun, aku belum lagi bercuti rehat. Jadi aku nampak ini aje peluang bercuti berdua.

Jujurnya, kami tak rancang dengan teliti apa nak buat sepanjang di Terengganu. Rasa lapar, berhenti makan. Kalau penat, rehat sekejap tepi pantai. Memang santai aje perancangan kami ini.

Kami bertolak dari Bandar Saujana Putra pada pukul 9.00 pagi. Cadangnya mahu sarapan di tengah jalan sahaja. Bila kami melintasi Petronas di Bentong, perut aku mulalah mendidih minta simpati dan minta diisi. Aku cuba nak tahan sebab kami cadang untuk makan tempoyak ikan patin di RnR Temerloh. Tak boleh dah…aku dah mula berhalusinasi. Selepas makan set sarapan KFC Twister apa benda entah dan milo ais, baharulah sudut pandang aku jelas kembali…seperti cermin mata yang dicuci dengan pencuci beralkohol.

Di RnR Temerloh, kami berhenti lagi sekali untuk makan tengah hari. Aku takdelah lapar sangat, sebab dah makan Twister KFC tadi. Tapi sebab ikan patin kot…aku belasah juga sepotong walaupun dapat bahagian kepala – itu aje yang tinggal di kedai itu. Kedai lain ada, tapi sebab kuahnya sedap, aku terima juga rezeki tengah hari itu seadanya. Sempat kami tapau teh ais dan milo ais ikat tepi untuk menghilangkan dahaga dalam menempuh perjalanan ke Terengganu yang masih jauh lagi nak sampainya.

Masa ke Terengganu bulan lepas, aku tak merasa coconut shake. Kedai yang wajib aku pergi itu tutup. Kali ini misi aku berjaya. Memang singgah untuk merasa coconut shake di kedai ini akan menjadi agenda wajib jika aku ke Terengganu. Oh, dulu nama kedai ini ialah King Coconut Shake. Sekarang namanya sudah bertukar menjadi Arif Coconut Ice Blended.

Kemudian perjalanan diteruskan. Kami singgah pula di Pantai Kelulut untuk pekena ICT. Aku tak makan…kenyang sangat rasanya. Aku sekadar minum air dan melayan angin pantai. Syahdu susah nak ungkap. Macam lama tak menyedut udara segar.

Selepas itu kami terus menuju ke Kuala Terengganu. Selamat daftar masuk di Hotel Felda Residence Kuala Terengganu. Ini yang seronok kalau cuti weekdays sebab harga hotel murah. Untuk 2 malam, aku hanya bayar RM280.42 sahaja. Kami terus tidur kerana kepenatan.

Menjelang maghrib, kami bangun dan merancang destinasi untuk makan malam. Cadangan asal mahu ke Uptown Kontena. Disebabkan aku tengok Hadi pun macam dah letih, kami ambil keputusan untuk makan di bawah hotel sahaja. Di situ, ada satu restoran yang aku tak ingat apa namanya. Menu yang ada tak kurang menarik. Aku memilih untuk makan mee bandung. Memang sedap…cuma lebih sedap kalau mereka celur dahulu mee itu.

Kemudian, kami terus naik bilik – layan movie dan tidur…

***

Hari kedua di Kuala Terengganu. Hari ini kami mulakan misi jalan-jalan cari makan dengan menuju ke kedai Nasi Dagang Kak Jah, Bukit Besar. Aku tak pernah makan di sini. Saja aje cuba disebabkan carian google yang aku buat rata-rata cadangkan makan di sini.

Memang sedap! Rasanya ikan tongkol itu dikukus kerana kuahnya berasingan. Kami boleh tambah ikut suka hati kerana bekas kuah disediakan disetiap meja makan.

Kononnya cadangan asal ke Kuala Terengganu untuk bantai makan sampai lebam. Tak mahunya..kami berdua sudah lama tidak menonton wayang. Jadi kami memenuhkan hari ini dengan menonton wayang di PB Sentral. Tempat ini baharu dibuka…hanya ada panggung wayang dengan tempat boling sahaja. Kami menonton It dan Kingsman di sini. Puas hati dapat layan filem setelah sekian lama tak berkesempatan.

Kami makan tengah hari di medan selera di dalam bangunan UTC. Aku mencuba mee ayam cendawan. Hmmm….sedap lagi mee ayam cendawan di Giant Taman Permata. Tidak banyak pilihan makanan dalam bangunan ini. Cuma satu yang aku kagum – bilik air cun habis!

Petangnya kami melepak tepi pantai dan melayan ICT. Gambar sekeping pun tak ada sebab kami tengah piranha masa itu. Malamnya pula, aku ke rumah Raudah. Sudah 4 tahun aku tak jumpa kawan seorang ni. Sempatlah kami berdua berkenalan dengan suami dan anaknya. Tapi itulah…langsung lupa ambil gambar. Yang aku sibukkan ambil gambar ketupat daun tebu itu aje. Pertama kali aku makan ketupat yang dibungkus dengan daun tebu.

Selepas menziarah Raudah, kami menuju Uptown Kontena. Tapi malam ini langsung tak meriah. Sempat minum segelas air teh air berbuih-buih tu dan kemudian terus balik. Bosan ya amat! Mujurlah di premis itu ada jualan bundle. Sempat aku sambar satu baju sejuk berharga RM5 jenama Columbia. Walaupun macam muat tak muat, mengenangkan RM5 aku beli juga. Kang dah balik KL teringat-ingat menyesal pula. Aku rahsiakan dahulu rupa paras baju itu. Nanti bila aku guna, aku akan tunjuk 🙂

Menutup agenda makan-makan di Terengganu ialah nasi dagang di kedai Nasi Dagang Mok Kiter (Kak Pah Nasi Dagang).  Sedap…dap dap dap!

Demikianlah catatan perjalanan aku ke Terengganu sebulan yang lalu, yang hari ini baru sempat aku siapkan selepas sebulan duduk dalam kotak draf. Kak Bennny is super sibuk…Walaupun ada apps WordPress dalam handphone, tapi motivasi menulis itu hilang sekejap. Ini baru datang balik…

Jaga-jaga Cik Salmah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...