Kansai Trip Day 2 : Ohai, Himeji!

Selamat pagi, Tennoji! Hari ini kami akan ke Himeji dan akan menggunakan Kansai Thru Pass. Kos pengangkutan di Jepun jatuh kategori mahal. Jadi penggunaan pas yang bersesuaian sangat membantu dan menguntungkan – dengan syarat dibelasah sampai lebam!

Kalau ikut perancangan asal, aku mahu bergerak pukul 5:00 pagi dari hotel. Ambil tren yang pertama dan sampai awal untuk mengelakkan kesesakan di lokasi pilihan yang ingin kami kunjungi. Aku memilih untuk ke Istana Himeiji atau Himeiji Castle.  Hari ini hari Sabtu, percayalah kesesakan manusia pasti akan berlaku di mana-mana tempat tumpuan sekalipun.

Takde maknanya… Pukul 7:00 pagi baru kami terbangun. Itupun disebabkan staff hotel tekan loceng bilik untuk hantar sarapan. Selepas bersiap dan sarapan ringkas, baharulah kami bertolak dari Tennoji Eki menuju ke Umeda Eki. Dari sini, kami harus menukar tren menuju ke Himeji.  Agak lama juga perjalanan hampir 2 jam kalau tak silap menuju ke Sanyo Himeji Eki. Dari sini, kita boleh jalan kaki selama 15 minit atau naik bas 5 minit untuk ke Istana Himeiji. Kami memilih untuk berjalan sambil bergambar. Lagi pula aku memang mahu berjalan kerana sudah lama tidak merasa berjalan jauh.

Ya, umat sangat ramai! Kami bergambar di bawah istana sahaja. Lepas bergambar, kami terus menuju perhentian bas untuk ke Gunung Shosha atau Mt.Shosha. Kami gigih ke sini kerana mahu melihat lokasi penggambaran filem The Last Samurai lakonan Tom Cruise. Cadangan asal selepas Istana Himeiji ialah untuk ke Koko-en. Taman ini sebelah istana aje pun. Tapi aku kena pangkah dari plan asal sebab Kansai cepat gelap. Pukul 5:00 petang sudah macam 7:00 malam di Malaysia!

Dari Istana Himeiji ke Gunung Shosha tak susah sangat, hanya naik bas nombor 8. Tapi kena bayar tiket berharga 260¥ (kalau tak silap) kerana bas ini dibawah seliaan pihak Sarutto. Jadi ia tidak termasuk dalam pengangkutan percuma untuk pengguna Kansai Thru Pass. Siapa yang beli KTP ini harus buat kajian dahulu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh digunakan kerana setiap tempat adalah berbeza.

Aku hanya makan segigit roti (yang keluar balik) dan minum ais kohii suku gelas sahaja pagi tadi. Tapi peliknya tidak pulak rasa lapar. Aku hanya makan beberapa keping biskut kapal sahaja, itupun sementara menunggu bas sampai. Jadi sepanjang perjalanan menaiki bas itu, aku masih ada tenaga walaupun ada rasa sedikit letih. Kaki masih okay…Excited berjalan barangkali. Perjalanan menaiki bas ke Gunung Shosha memakan masa antara 15-20 minit sahaja.

Kami kemudiannya menaiki ropeway untuk sampai ke Gunung Shosha. Tiket ropeway berharga 1800¥ untuk 2 orang – pergi dan balik. Untuk masuk ke dalam kawasan ini pula, kita kena bayar 500¥ untuk satu kepala. Mula-mula aku pelik juga kenapa tak disekalikan sahaja harga tiket ropeway dengan yuran masuk. Kemudian itu baharulah aku faham. Jauh bapak kalau nak meneroka dan berjalan dalam tu! Tapi ini trip alang-alang… Aku capai satu buluh dan mula mendaki. Jujurnya aku tak tahu apa nama laluan yang kami ambil atau betul / tidak laluan yang kami pilih. Yang ada dalam kepala hanya tempat lokasi filem The Last Samurai dan pokok yang daunnya bukan warna hijau. Aku datang musim luruh kot…nak juga merasa melihat daun pelbagai warna.

Walaupun penat menapak, tapi aku sangat hargai pemandangan yang ada sepanjang pendakian ini. Subhanallah, cantik ya amat! Orang pun tak ramai atas gunung ini. Jadi sebaik sampai dan bergambar, kami terus turun balik. Memang kejar masa. Kami mahu ke Kobe pula. Dalam otak aku hanya nampak Garlic Naan, Mutton Curry Masala dengan coke berpeluh di Naan Inn. Dalam pada masa yang sama, aku tak sabar juga nak tengok reaksi Amin, pekerja di restoran ini. Adakah dia masih ingat lagi pada aku?

Memang memori menjelma kembali sebaik sahaja kaki aku menjejak Sannomiya Eki. Pantas langkah dihayun ke Naan Inn. Aku nampak Amin sedang mengambil pesanan makanan dari pelanggan dan dia sangat terkejut melihat kelibat aku di situ.

Amin: Tell me what you want…
Me: You know what i want… Garlic naan, mutton curry masala and Chai Tea…

Aku dapat Chai Tea..dan aku dapat coke. Ya, dia tahu apa yang aku nak 

Rasanya sedap macam yang aku rasa 3 bulan lalu. Memang berbaloi aku tak isi perut hari ini. Sebelum balik, kami bergambar dahulu.

Selepas makan, kami menuju ke Meriken Park. Hadi memang serah pada aku untuk tunjuk jalan. Mujurlah ingatan dory aku ini tidak menghampakan. Sampai tanpa kesesatan. Seperti biasa, kami bergambar sepuas-puasnya. Oh, cuaca malam sangat sejuk! Mujur baju sejuk RM5 ini berkhidmat dengan cemerlang.

Kami kemudiannya ke Motomachi Eki untuk ambil tren balik ke Umeda dan tukar tren untuk ke Tennoji. Ini kesesatan kedua yang terjadi. Sekali lagi kami tak jumpa pintu keluar yang dekat dengan hotel! Terpusing lagi sekali macam semalam. Kaki pun sudah mula minta simpati.

Sebelum balik, kami singgah Family Mart untuk beli air coklat Van Houten. Sampai sahaja bilik, aku terus tertidur – sangat solid tanpa mimpi!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...