Ohai, Happy 11th Anniversary!

18 November 2017 lalu, genaplah usia perkahwinan aku dengan Hadi selama 11 tahun. Cadangan asal, aku mahu sambut di Jepun. Tetapi tiket super mahal, maka aku anjakkan percutian ke Jepun seminggu awal dari tarikh ulang tahun perkahwinan kami ini. Tak apalah, merasa juga bercuti di sana walaupun kosnya agak gila juga. Tapi aku tak belanja banyak mana pun. Elaun semasa berkursus aku simpan dan catu berbelanja menjadikan percutian ke Jepun ini seolah ditaja juga. Jadi duit itu dari Jepun ia datang, kepada Jepun ia kembali 🙂

Jadinya Sabtu lalu, kami memikirkan di mana untuk kami raikan hari istimewa ini bersama-sama anak-anak. Mujur cuaca pagi itu menyebelahi kami lantas kami bersetuju untuk pergi ke satu tempat yang membahagiakan anak-anak, tapi merengsakan ibu dan bapa iaitu….Zoo Negara!

Anak-anak tak boleh duduk diam

Ini adalah kali pertama aku bawa anak-anak ke sini. Eskandar sangat seronok melihat binatang-binatang yang ada sebab dia sudah kenal binatang. Ezzudin seperti biasa, tiada perasaan dan meragam kerana cuaca agak panas. Sampaikan masa persembahan haiwan, dia tidak boleh duduk diam. Mana tempat yang tak boleh masuk, situlah dia nak pergi. Sudahnya aku bawa dia masuk dalam akuarium manakala Hadi dan Eskandar dapat melayan persembahan dengan tenang.

Aku tak ingat bila kali terakhir ke Zoo Negara. Ia berlaku sama ada semasa aku bawa rakan-rakan aku dari Brunei atau semasa aku tidak tahu aku mengandungkan arwah Cahaya Balqis. Antara 5-7 tahun macam tu. Masa itu, panda pun tak pernah bermimpi akan bermigrasi ke Malaysia. Penguin aje tarikan terkini yang ada di Zoo Negara kala itu.

Tiket masuk aku sifatkan agak mahal, RM44 untuk dewasa dan RM16 untuk kanak-kanak. Tapi mengenangkan kos untuk maintain penjagaan tempat itu sendiri bukannya murah, aku tabahkan juga. Naik tram juga kena bayar secara berasingan untuk pergi dan balik. Aku tak pasti berapa ringgit sebab Hadi yang bayar. KFC yang aku bangga-banggakan ada dalam zoo ini pun sudah tutup dan dikhabarkan sudah menjadi surau. Makanan dalam ini juga mahal. Baiklah bawa bekal kalau rajin dan ramai kerabat. Bayangkan keropok Super Ring yang harga tak sampai RM2 itu dijual dengan harga RM4.50 sepeket. Boleh almarhum kalau bawa anak-anak ramai dan semua nak seorang satu.

Mujurlah ada vending machine yang mempromosikan air isotonik baharu yang dijual dengan harga RM1.50 satu. Sedap juga air Lucozade Sport ini, macam 100Plus sikit rasanya. Bolehlah aku tekan 2 kali. Standard air tin biasa dijual dengan harga RM3 dan ke atas.

Oh, sempat juga aku ambil gambar tempat dating Cikgu Shaari dan Cikgu Norkiah dalam filem Masam-Masam Manis.

Apa yang penting, anak-anak seronok dalam zoo ini. Kasihan juga melihatkan Hadi terpaksa memikul Eskandar bila dia mahu lihat binatang yang nun sayup menyorok di belakang kandang masing-masing. Semua binatang keletihan dan tidak aktif…Banyak terdampar kelesuan dalam kepanasan kecuali panda yang bersuhukan penyaman udara seperti dalam pejabat aku nan indah tersergam itu. Oh, sekarang tidak perlu bayaran masuk untuk melihat panda. Tiket yang kita beli tu dan disekalikan untuk semua tempat di dalam zoo ini.

Selepas balik dari zoo, anak-anak kami tempatkan dirumah mama seketika. Aku dan Hadi mahu menikmati makan malam berdua. Dalam kepala otak, aku sudah terbayangkan Tennessee Steak TGIF yang super enak bersari. Kami ke Wangsa Walk sahaja kerana di situ premis TGIF paling dekat dengan rumah mama. Sebaik masuk ke Wangsa Walk, Hadi terperasan ada satu kedai Jepun, Ajitei Teppan & Grill Restaurant. Dia ajak aku makan di sini. Aku okay aje, kalau ada okonomiyaki. Sejak makan di Dotonbori dua minggu lepas, aku asyik terbayang-bayang sosnya yang sedap itu.

Ya, ada jual dan aku langsung setuju!

Kami memesan Okonomiyaki, Yaki Tori, Oyster Cheese, Niku Udon, air sirap dan teh hijau.

Okonomiyaki!
Niru Udon
Yaki Tori
Oyster Cheese
Not bad untuk makanan Jepun

Iya, yang memilih sirap kahwin itu hakaklah orangnya.

Sambil makan, kami bersembang-sembang kecil dan lebihnya menikmati makanan dengan tenang. Adalah ucapan Happy Anniversary to you, Happy Anniversary to me, i love you, i love you more dan madah-madah cinta biasa berbalas sesama sendiri. Tahun ini, banyak cabaran dan dugaan dalam perkahwinan kami. Tapi kami tahu, cabaran masa hadapan lebih menduga dan kami kena sabar untuk melalui semua ujian tuhan ini.

Aku berharap hubungan kami ini berpanjangan dan cinta sentiasa kuat dalam hati masing-masing. Banyak-banyakkan bersabar dalam mendepani urusan anak-anak dan sama-samalah kita memudahkan urusan masing-masing.

Hadi Hamzah, me love you long time 🙂

Mama dan abah bersama-sama tangan anak zombie yang tidak boleh tengok kami bergambar berdua
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...