Kansai Trip Day 4 : This Is Osaka!

Selepas 2 hari menggunakan Kansai Thru Pass, hari ini kami akan gunakan Osaka Amazing Pass untuk meronda-ronda sekitar Osaka. Seperti Kansai Thru Pass, OAP ini akan betul-betul berbaloi kalau dibelasah sampai lebam dari terbit fajar hinggalah kereta api terakhir pada hari ini. Maksudnya, kalau kita gunakan kad ini pada pukul 8.30 pagi, penggunaan sehari bermula 8.30 pagi hingga kereta api terakhir pada hari itu dan bukannya guna 8.30 pagi hari ini, tamat 8.30 pagi esoknya. Itu adalah satu pemahaman yang salah. Disebabkan kebanyakan tempat yang kami mahu pergi hanya mengambil masa antara 15-30 minit menaiki tren, jadi kami tidak begitu terkejar-kejar. Santai-santai aje, ya udah.


Lokasi pertama untuk merasmikan OAP ialah kami ke Osaka Castle atau Istana Osaka. Aku ingat lagi masa berkursus dahulu, kami diberi masa 10 minit sahaja utk bergambar di sini. Itupun jenuh merayu pada Musha san dan acik driver bas. Tapi masa tu aku tak larat nak turun. Dalam hati aku berazam kalau aku sampai lagi ke Osaka, aku akan bergambar di sini. Jadi hari itu tiba juga. Pun kami tak masuk dalam kerana mahu berkejar ke tempat lain. Mujur juga tidak ada keinginan masuk kerana aku diberitahu istana ini ditutup untuk satu majlis rasmi.

Usai di Istana Osaka, kami terus menuju ke Tenpozan untuk mencuba menaiki Tempozan Ferris Wheel. Hadi nak naik juga sebab percuma kalau ada OAP. Oh, tuhan… Aku dah la gayat. Lemah lutut segala-mala semua terasa tapi aku tabahkan juga dengan sibuk mengambil gambar. Hampir 15 minit di dalam ferris wheel ini. Lambat aje masa berjalan. Dalam takut-takut nak tercabut lutut itu, berjaya juga aku tenangkan diri.


Sebaik turun dari situ, aku terus buka handphone dan dapat emel dari Sekino san! Aku ingatkan tiada peluang untuk jumpa dia sebab dia senyap aje tak balas emel yang aku hantar sejak minggu lepas. Dia akan aturkan dinner esok malam dengan Musha san dan Nakatani san. Ohai, happy giler! Terus aku terapung… Rasa macam tak sabar sangat nak tunggu malam esok. Sejak balik dari Jepun, Musha san tak pernah balas emel aku. Aku rasa sebab dia pun tak berapa suka gunakan emel atau tiada kepentingan untuk dia gunakan emel. Ok ini cerita esok 🙂

Kami berdua kemudiannya menaiki Santa Maria Cruise Ship. Masuk percuma sahaja kerana menggunakan OAP. Aku tak banyak bergambar, lebih pada bersantai dan melayan pemandangan.

Destinasi seterusnya ialah Universal Studio dan Hard Rock Cafe. Kisahnya pun sama macam Istana Osaka yang lalu. Tapi di sini kami diberi masa dalam 30 minit. Apa sangat aku boleh buat 30 minit. Jadi aku bergambar sepuas-puasnya dan nampak juga bumbung Hogwarts. Nak masuk memang tak mampu…


Kemudian, kami ke Hooters, Osaka. Ini Hooters kedua yang pernah aku singgah selepas Hooters Pattaya. Semasa menunggu tren, aku dan Hadi sempat berkenalan dengan Olivia – rakan baharu kami dari Australia. Puncanya borak-borak kosong semasa menunggu tren yang terasa sangat lama pergerakannya berbanding tren di eki lain. Sembang punya sembang, kami pun bagitahu malam ini mahu ke Umeda Sky Building. Disebabkan tujuan kami sama, aku ajak dia untuk pergi sana bersama-sama, tapi kami mahu singgah Hooters dahulu. Dia langsung setuju dan bermulalah persahabatan aku dengan Olivia 🙂


Kami makan malam dan bersembang-sembang tentang kerja, percutian dan pengalaman di Jepun. Walaupun muda, Olivia sangat matang sebab dia rajin mengembara. Terima kasih kerana belanja kami makan di sini. Sebelum balik, kami bergambar dahulu. Kemudiannya kami singgah ke Hard Rock Cafe, Osaka kerana Hadi mahu membeli t-shirt untuk kawannya.


Agak jauh kami berjalan untuk menuju Umeda Sky Building dari Umeda Eki. Mana bangunannya? Aku ingatkan ia paling tersergam tetapi nyata aku salah. Punya banyak bangunan tinggi di situ. Akhirnya kami sampai juga. Ok kegayatan aku datang kembali. Soraya tanya pasal pengalaman aku naik elevator see through itu – jawapannya memang longgar lutut weh! Baik siang, baik malam sama aje azabnya untuk pesakit takut tinggi ini. Tapi aku rasa pemandangan waktu senja di sini pastinya sangat cantik dan syahdu. Alangkan aku di sini waktu malam pun terasa kagum! Oh, masuk percuma dengan OAP 🙂


Kami melepak dan bergambar dalam sejam. Esok, Olivia akan ke Hiroshima manakala aku dan Hadi masih lagi berpeluang meneroka bandar Osaka. Memang rasa nak ikut tapi memandangkan kos untuk ke sana lebih kurang macam harga tiket kapal terbang, aku tangguhkan dahulu. Aku mahu ke Hiroshima di masa hadapan…Itu janji aku pada diri sendiri.

Jangan pandang bawah!

Kami kemudiannya berpisah di Umeda Eki dan terus balik ke Tennoji Eki dan rutin biasa ke Family Mart untuk membeli air cokelat Van Houten sebelum balik dan tidur. Malam ini aku sudah mula rasa sakit kaki yang teramat. Badan boleh tanggung lagi, tapi kaki aku memang sudah minta ampun.

Sebelum tidur, aku rendam kaki dengan garam mandi yang dihadiahkan oleh Fickry beberapa bulan lalu. Lega sangat…mandi dan terus tidur. Esok hari yang aku nantikan. Aku akan berjumpa dengan rakan-rakan dari PREX!

Kansai Trip Day 1 : Ohai, Dotonbori!

Bukan mudah untuk merealisasikan percutian ke Kansai. Pada mulanya aku teragak-agak untuk kembali ke sini sebab rasa macam baru sangat aku balik dari Kobe. Tapi rindu aku pada bumi Jepun, pak angkat dan beberapa kenalan lain sangat kuat. Lantas aku uruskan semuanya sendiri tanpa berbincang bersungguh-sungguh dengan Hadi.

Tiket aku dapat murah, RM667 untuk tiket kosong pergi dan balik. Terima kasih kepada Hanif Ahmad atas bantuan ini. Kemudian baharulah aku tambah kos untuk bagasi, kos makan dalam kapal terbang dan insurans. Cadangan asalnya mahu pergi antara tarikh 17-23 November dan terus meraikan ulang tahun perkahwinan kami ke-11. Tapi tiket pada tarikh itu mahal giler. Jadi tarikh 3-8 November inilah yang paling logik.

Masalah pertama timbul apabila tarikh yang sama ini, mama pula akan ke Sabah. Ah, sudah… Siapa nak uruskan anak-anak. Kakak pula tengah sarat mengandung. Untuk tukar tarikh tiket memang rugi besar. Might as well batalkan sahaja. Akhirnya urusan ini dipermudahkan juga. Kakak sanggup jaga anak-anak kami. Terima kasih, kakak dan keluarga 🙂

Paling serabut yang aku lalui ialah urusan hotel. Untuk jimatkan kos, kami mahu gunakan kelayakan hotel yang ada sahaja. Aku sudah survey hotel yang bersesuaian. Tapi syarikat tenuk ni memanglah penuh carutan. Hadi uruskan semua benda selepas beberapa kali edisi aku mengamuk besar pasal tempahan. Ini memang aku serahkan pada dia sepenuhnya. Aku tak mahu serabut lagi. Elok-elok satu hari guna satu kelayakan dah jadi satu hari guna 2 kelayakan. Memang aku nak habiskan cepat-cepat. Booking pakai Agoda aje senang… Tak guna pakai ejen.

Untuk memudahkan pergerakan di Jepun, kami beli Kansai Thru Pass untuk kegunaan 2 hari dan Osaka Amazing Pass juga untuk 2 hari. Ini beli siap-siap di HIS Travel Malaysia cawangan Bukit Bintang. Persiapan lain hanya bantal leher, baju hujan dan sehelai dua pakaian. Travel light

Penerbangan ke Osaka dari KLIA2 ialah pada pukul 8:00 pagi. Subuh itu, Ameera dan Mama hantar kami ke lapangan terbang. Anak-anak kami, kakak dah ambil malam Khamis yang lalu. Setiap kali aku teringat jeritan Eskandar, aku akan jatuh sedih. Tapi apakan daya… Ini masa untuk kami berdua.

Pagi itu hujan. Urusan di KLIA2 takdelah rumit sangat tapi entah apa jadahnya mesin passport itu seakan bermasalah. Mujur masa giliran kami berdua takde apa yang pelik berlaku. Kami dijangka tiba di KIX pada pukul 4:50 petang. Pun tak rumit urusan kami ini. Cuma rushing tak ingat sebab sudah berjanji dengan Kitamura san untuk berjumpa di Tennoji pada pukul 6:00 petang.

Dari KIX ke Tennoji lebih kurang sejam menaiki tren. Serabut hari pertama ini memang pengalaman untuk kami. Punya banyak pintu, punya banyak tren. Nak naik yang mana?

Kami sampai di Tennoji Eki sekitar 5.50 petang. Jalan kaki dalam 5 minit menuju Hotel Fine Aroma dan terus daftar masuk. Rasanya sempat kemas barang dan buang air aje sekejap, Kitamura san sudah sampai! Kami sama-sama excited, terpeluk-peluk dan menjerit di lobi hotel. Terus kami menuju ke Tennoji Eki untuk ke Namba. Pak angkat, Nakatani san akan tunggu kami di sana.

Kami sampai di lokasi yang dijanjikan tapi Kitamura tak jumpa Nakatani kerana manusia punyalah ramai. Maklum sahaja Jumaat malam Sabtu. Semua umat keluar berhibur. Tidak susah untuk aku mencari kelibat dia dalan keramaian itu. Aku terus pergi belakang dia, dan tarik beg dia dari belakang. Terkejut acik tu… Maka puaslah hati aku dapat jumpa Nakatani san. Selepas hampir sejam mencari tempat makan dan menunggu, mereka bawa kami makan Okonomiyaki. Seperti di Ginza beberapa bulan lalu, kami makan dan kampai! Cuma bezanya hari ini, Hadi bersama-sama kami. Kami banyak bersembang pasal kenangan kursus yang lalu, action plan dan pergerakan kami di Kansai nanti. Sempat Hadi ajak dia untuk ikut kami ke Himeiji sebab dia kata dia lahir di sana. Tapi dia tak mahu ikut sebab “i want to sleep” katanya. Oh, itu kekal jadi tagline aku dan Hadi bila letih kerana sudah banyak sangat berjalan 🙂

Punyalah banyak aku makan malam itu. Selagi ada menu seafood, semua nak dipesannya. Aku gembira ya amat.. Susah nak explain. Jumpa Nakatani san dan Kitamura san macam mimpi pulak aku rasa. Cuma mereka sebenarnya hendak makan daging babi, tapi mengenangkan aku memang tak boleh makan, jadi mereka tak pesan makanan itu. Aku langsung tiada halangan. Tak mahulah hanya kerana aku ada di situ menyekat selera mereka pula. Sudahnya, mereka pesan juga makanan itu, cuma bezanya ia ditempatkan dalam aluminium foil dan dimasak di tempat lain.

Sedap katanya…

Sekitar pukul 10:00 malam selepas bergelas-gelas bir, mereka berdua mengajak aku mencari monumen God of Fury di Hozenji Temple. Tuhan ini penuh berlumut kerana setiap orang yang datang akan menyimbah air dan berhajat di sini. Tuhan ini dikatakan paling “bermurah hati” dalam menunaikan hajat. Pak angkat mengajak aku berdoa di sini, tapi aku minta dia yang berdoa. Dia tak tahu nak doa apa so, aku minta dia doa supaya ada rezeki aku datang ke Jepun tiap-tiap tahun. Terus dia tergelak besar. Dia punya gelak memang lain macam sikit.

Nakatani dan Kitamura kemudiannya meminta diri untuk balik. Oh, aku mula rasa sedih sebab aku tak pasti sama ada kami akan berjumpa kembali atau tidak selepas pertemuan ini. Kami bersalaman dan berpelukan – mengandaikan ini adalah pertemuan terakhir. Kitamura mungkin akan berjumpa kami lagi pada 8 November sebelum kami daftar keluar dari hotel.

Kami kemudiannya menuju ke Dotonbori untuk acara wajib – bergambar dengan Glico Man! Jenuh cari sudut yang sesuai, kosong dan cantik dalam keramaian manusia yang ada. Kami kemudiannya berjalan-jalan menikmati suasana malam dan mengambil gambar untuk simpanan sendiri.

Hampir pukul 11.30 malam baharulah kami terkial-kial mencari subway untuk balik ke Tennoji. Kami sesat tak tahu keluar dekat mana padahal masih dalam Tennoji Eki.  Sebelum balik, kami singgah Family Mart untuk beli susu coklat Van Houten. Ini kekal menjadi agenda wajib kami setiap kali sebelum balik hotel.

Masuk sahaja bilik, Hadi terus lena. Aku terkebil-kebil menonton adult movies dalam bilik hotel kami. Tak lama kemudian aku tidur juga selepas celaru dan runsing dengan pekikan tak tentu hala.

Esok, kami ke Himeiji!!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...