Happy 17th Anniversary To Us – Part 1

Jenuh fikir mana nak pergi. Januari lepas kami ke Krabi untuk menyambut hari lahir aku. Nak ke luar Malaysia lagi macam tak cukup rencana dan bajet. Disebabkan kami ada pakej percutiaan 3 hari 2 malam di Pulau Pinang yang belum ditebus, maka Penang seakan pilihan terbaik.

Tahun 2017 ini, genap 17 tahun aku dan Hadi bercinta. Ya, bercinta…Tiap-tiap tahun kami akan raikan ulang tahun percintaan kami. Sejak dari zaman UiTM lagi tradisi ini bermula. Tapi dulu skala student, tidaklah berjalan ke mana-mana. Paling cemerlang makan KFC dengan termengah-mengah menghabiskan Big Gulp 7E aje.

Kami sepatutnya meraikan hari yang bersejarah ini pada bulan Mac, setepatnya pada 14 Mac 2017. Disebabkan kekangan kerja, masa dan faktor hotel, terpaksa dianjakkan sebulan selepas itu. Jadi pada 15 – 18 April yang lalu, kami dipermudahkan untuk menyambutnya berdua sahaja. Terima kasih yang tak terhingga kepada Mama dan Ameera atas jasa baik dan kerjasama menjaga Eskandar Dzulkarnain dan Ezzudin Dzukfikar sepanjang tempoh berkenaan. Perancangan akan datang ialah bercuti bersama-sama mereka pula. Hadi pulak kena tinggal sebab dia susah nak dapat cuti.

Kali terakhir kami ke Penang berdua sekitar 6 tahun lalu. Kalau tak silap aku, zaman itu kami sibuk mencari koleksi drama dalam bentuk DVD. Pasar malam di Ferringhi adalah port terbaik untuk tujuan itu. Sekarang sudah mudah, muat turun sahaja drama apa yang kami mahu.

Kami sampai di Penang pada pukul 5.30 petang, menginap di Hotel Sentral, Georgetown. Aku hampir terkejut badak kejap sebab bila masuk aje Georgetown tu ada satu hotel nama seakan sama, cuma Sentral dieja dengan C. Mujur bukan yang itu…Urusan daftar masuk tiada masalah sangat. Cuma sekali lagi macam nak terkejut badak juga bila bilik tu dia bagi 2 single bed. Aku terus turun balik dan minta tukar bilik. Ok la…selesai semuanya. Penang sangat panas. Jadi kami rehat sebentar dan mungkin kerana keletihan, kami langsung tertidur.

Malam pertama di Penang, kami bercadang untuk makan malam di Ferringhi. Konon-konon nak makan candle light dinner. Punyalah mahal…tak mampu, buat cara tak mampu. Sudahnya kami cari tomyam di kedai-kedai yang harganya lebih logik. Malam ini, tidak terasa sangat untuk layan live band. Memang badan rasa pancit sangat. Kami hanya melepak-lepas sekitar Love Lane, Georgetown – makan aiskrim kelapa dan balik bilik. Hadi layan filem Real Steel dan aku terus tidur…

Esoknya baharulah kami berjalan-jalan sekitar Georgetown. Bila aku sebut jalan, iya memang berjalan kaki. Kereta kami tinggalkan di hotel. Lagipun trafik di sini agak jahanam sesaknya. Apapun sebelum itu, perut kena isi dulu. Aku selalu bagitahu roti canai yang paling lejen di Penang ini sebenarnya ialah Roti Canai Jalan Argyll. Roti ini kena makan dengan kari daging, baharulah ummmmph! Tapi suka aku peringat kat semua termasuk diri aku yang baru kena ni. Kalau nak daging, bagitahu siap-siap berapa ketul nak. Kang dia suka-suki aje pelayan dia bubuh daging penuh pinggan. Pastu masa nak bayar mulalah rasa tak selesa, tak puas hati dan rasa menyesal. Mujurlah sedap..dan aku tak suka berkira dengan rezeki yang aku jamah. Nampaknya Roti Canai Jalan Argyll jatuh carta nombor 2 roti canai paling sedap aku baham. Tempat pertama telah dirampas oleh Roti Canai Bang Nara di Pekan Krabi. Membayangkan kuah dia aje buat aku terliur..Tapi Hadi cakap perbandingan itu tak adil sebab itu roti canai style Melayu.

Selepas itu baharulah kami mencari mural yang selalu nampak orang amik gambar setiap kali mereka ke Penang. Jujurnya aku tak cari semua. Dengan cuaca terik dan kepancitan yang melanda, aku rasa nak balik hotel dan bersejuk-sejuk aje. Aku pun keliru dengan misi percutian ini. Mula-mula dulu kata nak rehat duduk bilik, layan filem dan makan tidur sahaja. Kemudian penuh dengan agenda mencari itu ini pulak. Hadi cakap Penang dah banyak berubah. Dulu takde benda-benda ni semua. Ok la, aku layankan aje.

Aku tahu di Penang ini banyak tempat makan yang sedap dan menarik untuk diteroka. Tapi bukan untuk trip ini. Percutian kami ini lebih relaks dan santai. Takde satu pusat beli belah pun yang kami masuk. Misi makan durian musng king juga kami tangguhkan. Aku ni kalau overdose durian mulalah merana badan seharian. Jadi setiap kali aku jeling durian yang melambak di tengah jalan, Hadi “hep..hep..”kan aku aje.

Ok setakat itu dahulu..Catatan akan datang aku akan cerita pasal pengalaman bermalam di Hotel Lexis Suites pula.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...