Kansai Trip Day 5 : Ohai, Tennoji!

Hari ini super santai. Santai bukan sebab banyak tempat dah pergi, tapi sebab aku dah mula sakit badan. Semalam rendam kaki, rasa legalah sikit. Tapi sakit dan menangkap badan pula. Jadi hari ini kami mulakan dengan merayau-rayau sekitar Tennoji sahaja sementelah memang aku tinggal di sini. Cuma segala shrine dan temple aku tak gagahkan diri untuk pergi. Sudah banyak yang aku pergi, lama-kelamaan aku nampak semua sama sahaja.

Agenda pertama ialah ke Tsukenkaku Tower. Dari hotel, hanya berjalan kaki dalam 2 kilometer macam tu. Jalan pun perlahan-lahan aje. Kami sempat menempuh Zoo Tennoji tapi Hadi tak mahu masuk walaupun percuma. Ok, aku setuju sebab zoo ni seronok masuk kalau bawa anak-anak.

Sebelum sampai ke Tsukenkaku Tower, kami banyak bergambar kerana banyak pemandangan menarik di sini. Kami melalui lorong yang seakan-akan Dotonbori dan melalui pembacaan aku dahulu memang ramai pelancong akan bergambar di lorong dengan berlatarbelakangkan menara ini. Masuk adalah percuma dengan Osaka Amazing Pass. Oh, hari ini hari akhir menggunakan pass ini.

Dari atas menara ini, kita boleh nampak pemandangan Osaka. Tapi lebih cantik di Umeda Sky Building – tidak kisahlah malam atau siang. Sementara Hadi sibuk masuk kedai yang menjual pelbagai produk makanan Glico, aku menonton video tentang menara Tsukenkaku ini. Walaupun dalam bahasa Jepun, aku boleh fahamlah pulak apa yang cuba disampaikan.

Banyak patung Billiken di sini. Billiken ialah The God of Things As They Ought To Be / God of Good Luck. Memang melalui Shinsekai kita pasti akan nampak patung ini. Orang akan gosok-gosok kaki dia untuk mendapatkan tuah itu. Tapi aku tidaklah buat macam itu 🙂

Kemudian kami ke Umeda untuk mencari Tomica, ada orang pesan. Aku ni sudahlah tak faham kereta-kereta ni. Sayangnya apa yang orang itu mahu semua takde. Jadi aku hanya ambil gambar dan minta dia pilih berdasarkan nombor pada gambar tersebut. Kalau dia sebut Imprezza, Subaru point berapa bla..bla…bla…memanglah akak tak reti 🙂

Mujurlah ada juga yang dia berkenan, jadi tidaklah sia-sia amazing race mencari Tomica hari ini.

Aku memang dah tak larat…”I want to sleep” macam ayat Nakatani aje ni. Hadi masih ada tenaga untuk berjalan-jalan. Dia mahu ke Onsen dan juga Owl Cafe. Sudahnya kami berpisah di Eki Umeda. Dia meneruskan membelasah OAP, aku balik dan terus tidur.

Petang itu, aku sudah berjanji dengan Sekino san untuk berjumpa di hotel pada pukul 6.00 petang. Kami akan dinner bersama-sama Musha san dan juga Nakatani san. Ketiga-tiga mereka dari PREX. Kami ke Umeda dengan menaiki teksi. Perasaan aku dan Hadi masa tu “Wah, naik kereta setelah sekian lama asyik mengejar tren :)”

Kami makan malam di Ka-You. Aku difahamkan bahan-bahan masakan di sini semuanya organik dan ditanam dan disemai di tempat yang elok juga. Ringkasnya, seolah-olah semua sayur-sayuran itu semua dipetik segar dari Cameron Highlands dan dibelai dengan kasih sayang. Sayangnya semua menu dalam tulisan Jepun, jadi aku tak berapa memahami sangat kenapakah pilihan air teh sahaja sampai tiga muka surat 🙂

Masa kami sampai, Musha san sudah pun menunggu di Ka-You. Nakatani tiba agak lambat kerana dia ada welcome party di Umeda. Aku dan Hadi dijamu dengan pelbagai jenis makanan yang tidak pernah kami makan sebelum ini. Kami bersembang, bergelak ketawa dan Hadi sempat berkongsi video yang kami buat disemua tempat yang kami pergi. Sudahnya, mereka pun mahu buat video yang sama…Jadi sebelum berpisah, kami berlima sempat merakam video dengan gaya yang sama.

This is it…aku tahu tiada lagi Nakatani, Musha dan Sekino untuk aku jumpa – mungkin untuk tempoh setahun. Kami bersalam dan berpelukan sebelum balik. Oh, sumpah sedih…menangis kejap 🙁

Kami kemudiannya berpisah. Sebelum balik, Hadi ajak naik HEP 5 Ferris Wheel dan menutup penggunaan OAP untuk hari ini (bagi kemudahan percuma tempat tumpuan. Kami masih boleh gunakan pass itu untuk balik ke Tennoji.)

Naik HEP 5 Ferris Wheel ni, sama aje gayatnya macam naik Tempozan Ferris Wheel dan Umeda Sky Building. Lutut menggeletar juga sebab ferris wheel ini terletak di atas pusat beli belah. Cuma sayangnya gambar tak berapa cantik sebab glare.

Selepas itu kami terus balik ke Tennoji – singgah Family Mart untuk beli air cokelat Van Houten dan tidur. Apa nak fikir lagi…OAP tamat hari ini dan esok aku harus kembali ke tanah air.

Selamat malam, Tennoji..ini malam terakhir di sini.

Selamat malam, Tennoji

Kansai Trip Day 1 : Ohai, Dotonbori!

Bukan mudah untuk merealisasikan percutian ke Kansai. Pada mulanya aku teragak-agak untuk kembali ke sini sebab rasa macam baru sangat aku balik dari Kobe. Tapi rindu aku pada bumi Jepun, pak angkat dan beberapa kenalan lain sangat kuat. Lantas aku uruskan semuanya sendiri tanpa berbincang bersungguh-sungguh dengan Hadi.

Tiket aku dapat murah, RM667 untuk tiket kosong pergi dan balik. Terima kasih kepada Hanif Ahmad atas bantuan ini. Kemudian baharulah aku tambah kos untuk bagasi, kos makan dalam kapal terbang dan insurans. Cadangan asalnya mahu pergi antara tarikh 17-23 November dan terus meraikan ulang tahun perkahwinan kami ke-11. Tapi tiket pada tarikh itu mahal giler. Jadi tarikh 3-8 November inilah yang paling logik.

Masalah pertama timbul apabila tarikh yang sama ini, mama pula akan ke Sabah. Ah, sudah… Siapa nak uruskan anak-anak. Kakak pula tengah sarat mengandung. Untuk tukar tarikh tiket memang rugi besar. Might as well batalkan sahaja. Akhirnya urusan ini dipermudahkan juga. Kakak sanggup jaga anak-anak kami. Terima kasih, kakak dan keluarga 🙂

Paling serabut yang aku lalui ialah urusan hotel. Untuk jimatkan kos, kami mahu gunakan kelayakan hotel yang ada sahaja. Aku sudah survey hotel yang bersesuaian. Tapi syarikat tenuk ni memanglah penuh carutan. Hadi uruskan semua benda selepas beberapa kali edisi aku mengamuk besar pasal tempahan. Ini memang aku serahkan pada dia sepenuhnya. Aku tak mahu serabut lagi. Elok-elok satu hari guna satu kelayakan dah jadi satu hari guna 2 kelayakan. Memang aku nak habiskan cepat-cepat. Booking pakai Agoda aje senang… Tak guna pakai ejen.

Untuk memudahkan pergerakan di Jepun, kami beli Kansai Thru Pass untuk kegunaan 2 hari dan Osaka Amazing Pass juga untuk 2 hari. Ini beli siap-siap di HIS Travel Malaysia cawangan Bukit Bintang. Persiapan lain hanya bantal leher, baju hujan dan sehelai dua pakaian. Travel light

Penerbangan ke Osaka dari KLIA2 ialah pada pukul 8:00 pagi. Subuh itu, Ameera dan Mama hantar kami ke lapangan terbang. Anak-anak kami, kakak dah ambil malam Khamis yang lalu. Setiap kali aku teringat jeritan Eskandar, aku akan jatuh sedih. Tapi apakan daya… Ini masa untuk kami berdua.

Pagi itu hujan. Urusan di KLIA2 takdelah rumit sangat tapi entah apa jadahnya mesin passport itu seakan bermasalah. Mujur masa giliran kami berdua takde apa yang pelik berlaku. Kami dijangka tiba di KIX pada pukul 4:50 petang. Pun tak rumit urusan kami ini. Cuma rushing tak ingat sebab sudah berjanji dengan Kitamura san untuk berjumpa di Tennoji pada pukul 6:00 petang.

Dari KIX ke Tennoji lebih kurang sejam menaiki tren. Serabut hari pertama ini memang pengalaman untuk kami. Punya banyak pintu, punya banyak tren. Nak naik yang mana?

Kami sampai di Tennoji Eki sekitar 5.50 petang. Jalan kaki dalam 5 minit menuju Hotel Fine Aroma dan terus daftar masuk. Rasanya sempat kemas barang dan buang air aje sekejap, Kitamura san sudah sampai! Kami sama-sama excited, terpeluk-peluk dan menjerit di lobi hotel. Terus kami menuju ke Tennoji Eki untuk ke Namba. Pak angkat, Nakatani san akan tunggu kami di sana.

Kami sampai di lokasi yang dijanjikan tapi Kitamura tak jumpa Nakatani kerana manusia punyalah ramai. Maklum sahaja Jumaat malam Sabtu. Semua umat keluar berhibur. Tidak susah untuk aku mencari kelibat dia dalan keramaian itu. Aku terus pergi belakang dia, dan tarik beg dia dari belakang. Terkejut acik tu… Maka puaslah hati aku dapat jumpa Nakatani san. Selepas hampir sejam mencari tempat makan dan menunggu, mereka bawa kami makan Okonomiyaki. Seperti di Ginza beberapa bulan lalu, kami makan dan kampai! Cuma bezanya hari ini, Hadi bersama-sama kami. Kami banyak bersembang pasal kenangan kursus yang lalu, action plan dan pergerakan kami di Kansai nanti. Sempat Hadi ajak dia untuk ikut kami ke Himeiji sebab dia kata dia lahir di sana. Tapi dia tak mahu ikut sebab “i want to sleep” katanya. Oh, itu kekal jadi tagline aku dan Hadi bila letih kerana sudah banyak sangat berjalan 🙂

Punyalah banyak aku makan malam itu. Selagi ada menu seafood, semua nak dipesannya. Aku gembira ya amat.. Susah nak explain. Jumpa Nakatani san dan Kitamura san macam mimpi pulak aku rasa. Cuma mereka sebenarnya hendak makan daging babi, tapi mengenangkan aku memang tak boleh makan, jadi mereka tak pesan makanan itu. Aku langsung tiada halangan. Tak mahulah hanya kerana aku ada di situ menyekat selera mereka pula. Sudahnya, mereka pesan juga makanan itu, cuma bezanya ia ditempatkan dalam aluminium foil dan dimasak di tempat lain.

Sedap katanya…

Sekitar pukul 10:00 malam selepas bergelas-gelas bir, mereka berdua mengajak aku mencari monumen God of Fury di Hozenji Temple. Tuhan ini penuh berlumut kerana setiap orang yang datang akan menyimbah air dan berhajat di sini. Tuhan ini dikatakan paling “bermurah hati” dalam menunaikan hajat. Pak angkat mengajak aku berdoa di sini, tapi aku minta dia yang berdoa. Dia tak tahu nak doa apa so, aku minta dia doa supaya ada rezeki aku datang ke Jepun tiap-tiap tahun. Terus dia tergelak besar. Dia punya gelak memang lain macam sikit.

Nakatani dan Kitamura kemudiannya meminta diri untuk balik. Oh, aku mula rasa sedih sebab aku tak pasti sama ada kami akan berjumpa kembali atau tidak selepas pertemuan ini. Kami bersalaman dan berpelukan – mengandaikan ini adalah pertemuan terakhir. Kitamura mungkin akan berjumpa kami lagi pada 8 November sebelum kami daftar keluar dari hotel.

Kami kemudiannya menuju ke Dotonbori untuk acara wajib – bergambar dengan Glico Man! Jenuh cari sudut yang sesuai, kosong dan cantik dalam keramaian manusia yang ada. Kami kemudiannya berjalan-jalan menikmati suasana malam dan mengambil gambar untuk simpanan sendiri.

Hampir pukul 11.30 malam baharulah kami terkial-kial mencari subway untuk balik ke Tennoji. Kami sesat tak tahu keluar dekat mana padahal masih dalam Tennoji Eki.  Sebelum balik, kami singgah Family Mart untuk beli susu coklat Van Houten. Ini kekal menjadi agenda wajib kami setiap kali sebelum balik hotel.

Masuk sahaja bilik, Hadi terus lena. Aku terkebil-kebil menonton adult movies dalam bilik hotel kami. Tak lama kemudian aku tidur juga selepas celaru dan runsing dengan pekikan tak tentu hala.

Esok, kami ke Himeiji!!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...