Sekitar Debaran Pengumuman Kabinet 2008

Pagi aku bermula agak kelam kabut. Sedikit terlewat sampai ke RTM, tetapi awal 10 minit sebelum siaran. Mungkin sebab aku begitu teruja menantikan perbincangan topik semasa pagi ini.

Ya, Debaran Pembentukan Kabinet 2008. Itulah topik perbincangan pagi ini. Yang mana aku yakin, RTM mendahului yang lain dalam membincangkannya. Mungkin AWANI ada juga, tapi aku tak perasan sebab aku bandingkan morning show yang lain. Dr. Sarjit Singh, Penganalisis Politik dan juga Dr. Lee Yok See, Pemerhati Politik menjadi tetamu untuk perbincangan pagi ini. Semalam, aku sempat berbuat dengan Dr. Sarjit dan kami ada juga merencana beberapa percaturan yang mungkin Pak Lah akan pertimbangkan dalam barisan Kabinet 2008.

Aku terpaksa menjadi penerbit dan penonton dalam pada masa yang sama. Dalam pada sibuk menjalankan kerja, mata dan telinga tetap memainkan peranan menganalisa setiap biji butir bicara tetamu yang diundang. Hmmm…aku rasa sudah sampai masanya keterbukaan media dan masyarakat diaplikasikan demi membentuk masa depan Malaysia yang lebih gemilang. Rasional sekiranya ada penggabungan kementerian turut dibahaskan dan juga andaian kerancakan sidang parlimen yang bakal dibuka nanti. Aku yakin, tiada lagi perwakilan yang culas, tidur semasa sessi penggulungan dan tiada juga perbincangan yang tidak matang di dalam dewan parlimen yang mulia itu nanti.

Kedua-dua panel mengulas dari kaca mata penganalisa dan pemerhati dengan begitu bijak sekali. Apapun, aku sangat bersetuju dengan hujah Dr. Sarjit bila mana beliau mengatakan ini adalah masa yang terbaik untuk semua pemimpin bermuhasabah diri (baik yang menang atau yang kalah). Juga istilah Yang Berhormat wajar digantikan dengan Yang Berkhidmat.Yang penting, ahli politik yang ada perlu memperjuangkan Politik Bakti, bukan politik kroni.Apapun situasinya, berpeganglah kepada 5 Prinsip Rukun Negara, prinsip yang akan menjadikan kita rakyat Malaysia yang setia.

12.00 tengah hari. Warga UESTV berlonggok didepan TV 21 inci menantikan pengumuman Perdana Menteri. Apakah tepat ramalan ahli nujum politik tentang kedudukan beberapa kerusi panas kabinet, termasuk kerusi Kementerian Penerangan sendiri. Sebelum itu, aku sempat menelefon Dr. Sarjit, dan beberapa miscall aku terima dari beliau. Kita saksikan dulu perkembangannya di kaca TV dan aku menumpukan perhatian penuh sambil mencatat beberapa isi penting pengumuman terbabit.

Akhirnya, terjawap juga teka-teki yang bermain-main di kepala warga Malaysia. Aku agak terkejut melihat percaturan Pak Lah kali ini. Tapi beliau mempunyai justifikasinya yang tersendiri yang perlu aku hormati. Hmmm…tahniah sajalah, dan selamat berkhidmat kepada barisan Kabinet 2008. Selesai pengumuman, satu sms aku layang pada Dr. Sarjit dan jawapan beliau membuatkan aku senyum sendiri. ” Kita sama-sama jadi nujum belalang…”

Hmmm,nampaknya selepas ini ruang penulisan aku akan mempunyai perspektif dan dimensi yang berbeza..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...