KETAGIH KAFE SIBER vs KETAGIH DADAH

Sebagai seorang manusia, aku maklum manusia mempunyai pemikiran yang tersendiri, unik dan relevan. Walaupun pandangan itu tidak relevan pada orang lain, ia tetap relevan pada orang yang menzahirkan pandangan tadi. Seperti catatan Sabdaluka ini…Mungkin tidak relevan pada anda tetapi relevan pada aku untuk memastikan otak aku tak tumpul dan minda aku tak tepu.

Pagi tadi dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang aku terbitkan membincangkan tentang KETAGIHAN KAFE SIBER. Dua panel diundang dan seperti biasa aku menggalakkan orang ramai mengutarakan pendapat mereka menerusi SMS. Sambutannya boleh tahan…Maklum saja kisah salah-laku pelajar, kisah rumahtangga selain subsidi minyak sentiasa menjadi perhatian orang ramai.

Dalam pada sibuk menjadi penerbit, aku sempat menjeling beberapa SMS yang dihantar. Menyalahkan pihak berkuasa @ kerajaan adalah sesuatu yang lumrah saban hari. Tetap aku siarkan untuk membuktikan ketelusan aku sebagai pekerja media kerajaan. Menyalahkan ibubapa itu perkara biasa. Ada juga yang menyalahkan guru, pengusaha Kafe Siber dan macam-macam lagi jari dituding mencari punca adakah ayam atau telur yang menjadi punca kejadian ayam!

Tetapi kali ini lain sikit..Ramai penonton yang aku rasa memang kaki kafe siber menderu-deru menghantar komen SMS. Yang membuatkan aku pening-pening lipas kena spray dengan Ridsect tu apabila mereka mengandalkan ketagihan terhadap kafe siber wajar diterima secara terbuka. Kerana nasib baik mereka ketagih kafe siber daripada ketagih dadah, seks dan arak. Inilah pandangan yang aku rasa tak relevan tetapi aku terima secara terbuka kerana susuk pandang dan pengalaman kita berbeza.

Ketagihan atau kecanduan apapun membawa konotasi dan kesan yang sama. Jangan kata kasta ketagih kafe siber ini tidak sekronik ketagih dadah. Sering kita dengar ibubapa disepak terajang anak yang menagih kerana tidak memberikan duit secukupnya membeli dadah. Baru-baru ini juga sudah terpampang kanak-kanak yang ketagih kafe siber sudah pandai mengugut ibubapa untuk memberi duit demi tuntutan bermain video games..

Setiap kali melalui perbincangan yang banyak adegan tuding-menuding, aku sering bertanya diri sendiri. Mengapa semuanya menyalahkan antara satu sama lain? Kenapa tidak ada yang cuba memberikan solusi dan bertanggungjawab ke atasnya?

Mungkin aku gagal memberikan solusi atau penyelesaian terbaik. Tetapi aku berjaya menilai mentaliti masyarakat kita yang sentiasa berfikiran positif. Tak apalah ketagih kafe siber daripada ketagih dadah…Tak apalah dapat D dalam periksan daripada dapat E.

Kita dibesarkan dengan pegangan ketidakapaan…Aduhai!

KAFE SIBER OH KAFE SIBER!


Zaman aku kanak-kanak dulu sekitar lewat 80-an dan awal 90-an, kafe siber belum ada. Yang ada hanyalah kedai menjual video game, arked dan pusat hiburan keluarga biasa-biasa saja. Jadinya zaman itu aku seperti kanak-kanak riang yang lain. Membuang duit di arked kerana mama dan abah tak mampu untuk membeli game Sega, Nintendo dan yang seangkatan dengannya. Nak bertenggek di rumah kawan-kawan pula sudah tak boleh sebab mak ayah mereka tahap menyampah melihat aku bersidai di rumah mereka.

Kerana penangan video game, aku sampai sanggup ponteng sekolah demi tuntutan pada Mario Bros, Street Fighter, Antartica, Galaxy dan lain-lain. Kerana itu akhirnya mama dan abah belikan guna game ala-ala Micro Genius buatan lanun. Itu semua semata-mata mahu aku kembali duduk rumah dan tumpukan perhatian pada pelajaran.

Di era ini, kafe siber tumbuh macam cendawan. Celah mana kawasan perumahan, lot-lot kedai pasti ada sekurang-kurangnya 2 kafe siber. Apatah lagi kalau kawasan itu dekat dengan IPTA/IPTS. Soheh banyak kafe siber sementelah perniagaan ini mampu menjana untung lumayan dalam waktu yang singkat. Kalau tak silap, perniagaan ini tumbuh untuk memudahkan orang ramai mendapatkan akses internet untuk tujuan kajian, MIRC, YM dan memudahkan urusan mencari maklumat lain.

Untuk mengimarahkannya kafe siber mereka, disetiap PC akan mempunyai capaian permainan terkini seperti Ragnorak, Counter Strike (dan banyak lagi. Aku tak tahu sebab aku bukan lagi kaki game…) Dengan kos penggunaan sekitar RM 2 untuk satu jam, sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak akan berlonggok di sini dan bermain barang sejam dua. Dan isunya bukan sahaja mengapa kanak-kanak membuang masa di sini. Ia akan berkait-kait dengan isu lain iaitu menggalakkan remaja berpeleseran, membuang duit, hilang fokus pada pelajaran, merokok dan banyak lagi.

Di sekitar bandar besar, rata-rata kanak-kanak ini mempunyai komputer di rumah. Namun ada tarikan lain yang menyebabkan mereka sanggup membuang duit di kafe siber. Ini yang kebanyakan ibubapa tak tahu..Yang diorang tahu “Anak aku pergi main game entah apa yang seronok aku pun tak tahu..”

MMOG…apa tu? Multiple massive online game… yang mana memerlukan lebih daripada seorang pemain untuk menjayakan satu-satu misi permainan. Selalunya bercorak peperangan, bola sepak dan lain-lain. Itulah seronoknya bermain di kafe siber..Macam Datuk-Datuk bermain golf. Tak mahunya main seorang diri. Mesti kena ajak rakan-rakan lain. Tapi keperluan emosi beramai-ramai ini tak pernah satu pun aku baca dan dibincangkan oleh pakar-pakar. Yang selalu diorang cakap – kafe siber – buang masa – kanak-kanak berbaju sekolah – di mana peranan ibubapa?

Bagaimana dengan emosi kanak-kanak? Ataupun kehendak zaman kanak-kanak yang tidak tercapai? Aku tak nafi, ada banyak buruknya cerita di atas berbanding kesan positifnya. Tapi jangan tak tahu..Di kafe siber sekitar Shah Alam turut dikunjungi mahasiswa yang kaki permainan video secara online. Kenapa? Zaman kanak-kanaknya tak merasa benda-benda seperti ini..Tapi gagalkah mereka?

Mengambil contoh aku sendiri, yang dahulunya kaki ponteng, tahi video game dan macam-macam salah laku yang lain. Disebat dirotan dengan ranting kayu kerana tuang kelas. Rentetan pengalaman ini bukannya menjadikan aku seorang ‘loser’ sebaliknya pengalaman ini menjadikan siapa aku sekarang.

Apa yang nak aku sampaikan mudah…Anak-anak ada keinginan.Ibubapa ada sekatan kewangan. Tapi apa yang penting ialah pemantauan dan juga ketegasan mendidik anak. Jangan sampai anak pula berani ugut kita disebabkan ketagihan ke kafe siber..

Pelajar Kini Semakin Memilih?

Sudah hampir 2 minggu IPTA seluruh negara menerima siswa-siswi baru untuk sidang 2008. Tahniah aku ucapkan pada yang berjaya menempatkan diri. Tentu ibubapa anda merasa bangga, apatah lagi guru-guru sekolah yang setia mencurahkan ilmu tanpa rasa jemu. Selamat menjadi warga universiti yang berguna dan janganlah terikut gerakan bawah tanah yang bakal merosakkan CGPA anda.

Ok, intro pun dah berbunga-bunga. Belum pun panas punggung di universiti, ada pulaklah dikalangan kalian yang mengada-ngada tak mahu mendaftar, terutamanya yang dapat di Sabah dan Sarawak, di kampus cawangan dan lain-lain dengan alasan jauh dari keluarga. Alahai…nak aje aku lempang mendengar kenyataan yang gedik santai sebegitu. Itu belum masuk lagi yang menggatal nak tukar jurusan dan menggunakan kerabat-kerabat yang ada di Kementerian Pengajian Tinggi.

Aku faham…susah nak berjauhan dengan keluarga, keluarga adalah segalanya, aku anak emak dan ketiak emak lebih wangi daripada katil asrama. Aku faham sangat…Tetapi perlu diingat. Bukan senang untuk menempatkan diri dikalangan intan terpilih di Universiti. Kalian antara yang bernasib baik. Kemengada-adaan ini telah membunuh peluang puluhan ribu kawan-kawan lain yang gagal ke IPTA. Mereka ini lebih sanggup diletakkan diceruk mana sekalipun asalkan dapat masuk universiti. Apa salahnya berkorban untuk tempoh habis teruk kena repeat paper pun 5 tahun di tempat orang demi segulung Diploma/Ijazah?
Tetapi kalau diterima belajar di luar negara tidak mengapa pula.

Kesemua IPTA di Malaysia bersifat kebangsaan dan keantarabangsaan. Jika di sini pun anak-anak muda kita gagal untuk bersaing, macam mana pula kisahnya setelah melangkah ke alam pekerjaan? Sifat memilih yang melampau-lampau ini membuatkan aku jelak…sangat jelak. Kebanyakan yang memilih ini pula rata-rata anak-anak bandar yang gentar mencuba sesuatu yang baru. Bagi pelajar yang datang dari pedalaman, mereka merebut sepenuhnya peluang yang ada tanpa memikirkan jauh la, susah nak balik raya la dan hal remeh-temeh lain. Golongan ini pada mulanya susah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Tetapi apabila telah berjaya, merekalah intan yang bersinar.

Satu SMS yang aku terima semasa mengendalikan topik ini semalam mengatakan bahawa ibubapa sebenarnya yang tidak membenarkan anak-anak belajar jauh. Mereka rindukan anak-anak dan susah untuk menjenguk. Alahai….menyampah! Bukannya tak ada kemudahan IT. Bila aku fikir balik, patutlah pun…Mereka pun sebenarnya buta IT! Kesian, harap handphone ada 3G tapi nak guna tak reti..

Selamat Tinggal Sahabat…

Aku pernah punya seorang kawan. Kawan yang aku harapkan akan bersama masa susah dan senang, jatuh dan bangun serta dalam sepi dan gembira. Kawan itu sungguh bermakna dalam hidup aku…Dia hadir di kala aku betul-betul memerlukan seorang teman/kawan/sahabat dalam hidup..Dia membuatkan hidup aku sangat indah…Dan dia pernah menjanjikan satu persahabatan yang indah lantas membuatkan aku bersyukur amat punyai dia dalam hidup aku….

Sebagai manusia yang tidak sempurna, aku sedikit terkhilaf dalam hubungan kami. Ia bukan sahaja membuatkan kami semakin jauh, malah aku merasa dia mencambah bibit-bibit benci dalam hatinya. Walau berapa kali aku lafazkan maaf, ianya berlalu seperti angin lalu yang menampar pipi – sekejap dan tak lama bekasnya.

Kali ini aku berani untuk melepaskannya…setelah hampr 4 bulan aku pendam sendiri sengsara bahana persahabatan tak kesampaian ini. Aku aku mahu dia tahu..dia juga pernah membuatkan aku terasa sepanjang aku bersahabat dengannya…Betapa aku bencikan kealpaannnya menjaga masa. Betapa aku terasa dengan dirinya yang hanya menggunakan aku untuk mengisi detik sunyinya. Dan yang paling utama…menjadikan aku sasaran kemarahan tatkala dia gagal mengawal emosi dan amarahnya ketika dia berkabung atas kehilangan yang pernah dia alami..

Untuk terakhir kali, aku mengakhiri ini dengan indah. Aku pohon kemaafan atas apa juga perlakuan aku yang pernah membuatkan kau terasa. Aku minta maaf kerana aku telah berhenti mencuba untuk menyelamatkan hubungan yang membuatkan aku lelah, dalam keadaan kamu yang tidak terfikir keberadaanku..Dan dengan pedih, aku mengakui kita berdua tidak memerlukan ‘mayhem’ ini dalam hidup kita…

Untuk itu, aku ucapkan selamat tinggal…satu perkara yang amat sukar untuk aku lakukan. Tapi aku harus merelakannya kerana aku tidak sanggup menjadi melukut lagi…
I miss u a lot friend…i do..Apa lagi yang tinggal? Persahabatan yang kau janjikan hanya mainan dan aku terkesan olehnya. Sebelum aku menyeksa diri aku lebih jauh…aku undur diri…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...