It’s Your Day, Love!

Ini adalah satu kisah tentang pengorbanan dan kesabaran. Ia mungkin kisah biasa bagi orang lain, tapi bagi aku kisah ini membuatkan aku rasa kuat – Kuat dalam erti kata walaupun pernah dipanah racun, harimau itu nekad melayan kesakitan yang ada dan meneruskan kehidupan seperti harimau-harimau terancam yang lain. Fuuuh…tinggi kashafnya ni.

Lama aku dan Hadi nantikan saat ini. Bukan satu perkara yang mudah untuk belajar dan berkerja dalam satu masa yang sama. Walaupun beronak liku dan meniti perjalanan yang sangat panjang, akhirnya Hadi habis belajar juga!

Sedari aku menyimpan hasrat menyambung pengajian ke peringkat sarjana aku sudah mengajak dia untuk menyambung pelajaran bersama-sama. Masa itu kami tiada anak. Sepatutnya pengurusan masa menjadi lebih mudah dan tidak membebankan kedua-dua belah pihak. Tetapi Hadi tidak mahu. Belum tiba masa katanya.

Hidup Spank!

Tetapi semua itu berubah apabila hari konvokesyen aku pada tahun 2013. Aku konvo dengan rakan baiknya – Fariq, yang juga member Spank Intelligence aku dalam kelas dan seorang lagi sahabat yang sangat banyak aku berhutang budi, Farah Zamira. Terus dia memutuskan untuk sambung belajar dengan perbelanjaan sendiri. Aku raikan keputusan itu dengan kegembiraan yang tidak terungkap. Akhirnya ada punca juga untuk dia sambung belajar. Bukannya apa…Untuk skim perkhidmatan dia, eloklah ada sarjana. Ada nilainya. Skim aku lain.

Dia mengambil jurusan yang sama seperti yang aku ambil dahulu iaitu Sarjana Perangsaraf Media dan Informasi. Pada tahun 2014, Hadi masih lagi berkhidmat di MKN Selangor jadi kalau ada kelas malam tidaklah susah sangat untuk dia atur masa untuk ke kelas di Shah Alam. Hanya aku sahaja yang perlu berkorban sikit. Balik kerja, aku selalu tumpang rumah Nana atau rumah Kak Ayu sementara menunggu Hadi habis kelas. Ada sekali tu, aku terpaksa menumpang rumah Ona bila Hadi berkerja di luar kawasan. Dalam pukul 10.30 malam, dia akan ambil aku yang memang selalunya keletihan. Aku letih sebab masa itu aku sedang mengandungkan Ezzudin. Bila aku fikirkan balik, akupun pelik mana datangnya tenaga untuk bertahan seperti itu hampir tiap-tiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Mujurlah masa itu Eskandar dijaga oleh mama dan kami akan mengambil dia pada malam Jumaat atau Sabtu pagi.

Semuanya berubah bila Hadi naik pangkat dan bertugas di Putrajaya. Kami kena susun balik pergerakan kehidupan. Tidaklah berubah mendadak kerana hanya dia sahaja berkejar masa untuk ke kelas selepas habis berkerja. Rutin aku menanti dia masih sama. Dia mula dihambat kerja. Mula sibuk dan mula rasa susah untuk meneruskan pengajian. Sudahnya dia terasa seperti mahu berhenti belajar.

Aku tidak mahu memaksa kalau dia tidak mahu, tapi dalam hati aku memang tak setuju. Aku cadangkan dia tangguh belajar satu semester atau kurangkan subjek. Dia setuju dan aku lega kembali.

Kemudian dia mula sibuk dan mula serabut menguruskan semua benda apabila Ezzudin lahir. Sekali lagi dia menangguh dan bertangguh. Ini memang leceh sikitlah sebab kalau sudah mula bertangguh, lama-lama akan rasa nak quit. Pada masa yang sama, aku sudahpun menarik diri dari pengajian PhD atas faktor-faktor di atas. Aku kena berikan masa pada anak-anak yang masih kecil. Tak terdaya aku nak kejar semua dalam satu masa.

Lama-kelamaan, perbualan bila nak habis belajar hanya akan menyebabkan kami bertegang leher dan bermasam muka. Kesudahannya aku mengambil keputusan untuk biarkan sahaja dia membuat keputusan sendiri. Nak sambung, sambung. Tak mahu sudah. Situasi ini terpakai untuk semua perkara-perkara berbangkit yang membuatkan aku malas mahu menyesakkan kepala aku.

Kemudian, satu per satu kawan dia habis belajar. Semuanya raikan kemenangan itu di media sosial masing-masing. Aku tahu itu tamparan untuk dia. Aku kembali sokong dia mana yang terdaya. Walaupun kami mengambil jurusan yang sama, aku tidak pernah bantu dia buat apa-apa tugasan. Semua dia buat sendiri. Aku cuba bantu sikit aje masa buat tesis, itupun Chapter 3. Yang lain, aku tak campur apapun kajian yang dia buat.

Tadi, majlis konvokesyen Hadi. Hanya aku yang hadir. Anak-anak memang tak boleh bawa. Mahu diorang panjat pentas kalau tidak dibendung. Anak-anak kami bukan macam anak orang lain yang dengar kata dan taat. Mereka belum sampai peringkat itu lagi. Jadi baiklah kami tinggalkan sahaja.

Aku memerhati dari Aras 2 Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM Shah Alam. Saat aku lihat paparan wajah Hadi pada layar skrin semasa pergerakan graduan masuk dewan, aku memang terasa sebak sangat. That’s my man! Nasiblah acara penuh istiadat. Kalau tidak memang aku teriakkan namanya:)

Hari ini aku biarkan Hadi terapung dan raikan kemenangan menghabiskan pengajian sarjana. Aku buat 2 tahun, itupun sebab ada kertas aku terpaksa ulang kerana keguguran arwah Cahaya Balqis. Hadi buat 3 tahun! Aku mahu anak-anak tahu bukan mudah untuk berjaya dalam pelajaran. Tapi semua kesakitan dan pengorbanan itu akan dibalas dengan semanis-manis kejayaan.

Akan datang masih misteri. Jika Hadi mahu teruskan ke kayuhan terakhir PhD, aku tetap setia di sini. Jika dia mahu kami berpimpin tangan dan buat bersama, mungkin juga aku akan lalui sawan dunia ilmu sekali lagi. Tapi dalam dunia ini, not all is about you. Aku sanggup beri laluan pada Hadi. Go for it! Kalau kamu jatuh, aku bangkitkan balik.

Hari ini hari kamu, Hadi. Raikanlah..terapunglah menebak langit setinggi mana kamu mahu. Tapi esok Isnin koje. Cuti dah kena beku. Jejak bumi balik ya.

Hadi, tahniah yang sesungguhnya. Me love you long time!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Published by

akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *