Kansai Trip Day 6 : Cuti Dah Habis!

Hari terakhir di Tennoji dan hari terakhir di Jepun. Sedih tak usah cakap. Sedih nak balik satu hal, sedih sebab Kitamura san tak jadi jumpa aku hari ini sebab dia terpaksa berkerja menggantikan kawannya yang tidak sihat. Tak ada rezeki, nak buat macam mana…Walaupun sibuk, kami sempat berbalas-balas emel dan ucapkan selamat tinggal secara maya sahaja.

Sepatutnya pagi ini kami pergi makan Marugame Udon bersama-sama. Walaupun Kitamura tidak jadi datang, misi tetap diteruskan. Aku teringin sangat nak makan Bukkake Udon panas dan mengingati kembali kesedapannya tatkala kuahnya dihirup 🙂 Rupa-rupanya di Tennoji ini memang banyak kedai ramen dan udon yang sedap mengikut hasil carian Google. Tapi jiwa raga nurani aku tetap mahu Marugame Udon juga. Iya, mengada…aku mengaku.

Bukkake Udon!

Kedai itu terletak di Q Mall, dalam 7 minit berjalan dari hotel. Buka pukul 10.00 pagi. Pagi ini Tennoji hujan. Jadi aku bergerak awal dari hotel dan bersejuk-sejuk menunggu di pintu Q Mall sebab belum buka lagi. Sejenis gigih dan tabah. Menu wajib aku, Bukkake Udon dengan tempura sayur manakala Hadi ambil apa benda telur ikan pedas entah dengan fish stick. Beriya-iya dulu nak cuba Bukkake Udon, tapi ambil yang lain. Dia cakap apa yang dia pilih tu sedap. Entahlah….aku tidak akan berpaling kot 🙂

Telur ikan apa entah

Kemudian kami balik bilik dan berkemas untuk daftar keluar. Untuk ke KIX Airport, hanya naik JR lines sahaja. Tiket berharga 1080 yen. Tapi itulah…ada pulak tomakninahnya. Gerabak 1-4 akan terus ke lapangan terbang manakala 5-8 akan ke lokasi lain. Mujurlah kami sedar. Itupun 2 kali keluar masuk pintu sebab asalnya kami masuk pintu 5. Bila sedar, kami meluru ke pintu lain. Rupanya pintu 6, jahanam! Amazing race terakhir tu baharulah berjaya ke pintu 4. Panik aku kejap sebab aku tak nampak kelibat Hadi. Mujur dia ada di belakang sambil menyorong beg.

Urusan daftar masuk beg tidaklah lama sangat sebab 5 kaunter dibuka serentak. Usai urusan, kami terus cari kedai makan sebab dah mula rasa lapar. Aku tak pernah makan soba, jadi aku ajak Hadi untuk makan soba di Sojiba. Kedai ini berstatus halal. Jadi boleh makan dengan tenang dan tanpa was-was.

Tapi ini bukan selera aku. Jadi, ini pertama dan terakhir untuk aku. Ok bye…

Maka berakhirlah percutian sementara aku di bumi Kansai, percutian yang aku usaha untuk realisasikan semata-mata untuk menyambut ulangtahun perkahwinan kami yang ke-11. Walaupun banyak halangan dan sedikit last minute untuk Hadi, ia berjaya. Cuba aku tak boleh dapatkan tarikh 18 November sebab tiket bapak mahal tarikh itu.

Terima kasih kepada kakak dan keluarga kerana sudi jagakan Eskandar dan Ezzudin untuk kami. Terima kasih juga kepada kenalan di Jepun – Kitamura san, Sekino san, Nakatani san dan Musha san kerana sudi luangkan masa untuk kami berdua.

Aku akan kembali satu hari nanti, tapi bukanlah 2025, lama sangat tu, pakcik. Nakatani minta aku datang 2025 nanti kerana Kansai akan menganjurkan World Expo 2025 seperti gambar yang aku tampal itu.

Aku akan ke Kansai dan aku akan ke Hiroshima. Oh, Hiroshima….tragedi itu menggamitku. Aku mahu cari kubur rakyat Malaysia yang disemadikan di sana kerana menjadi mangsa bom atom.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Published by

akusangpenerbit

I’m a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *