Taufan Noru – Kelas Tetap Terus!

Hari ini kami berkumpul di lobi seperti biasa – masa yang sama, drill yang sama. Cuma bezanya suasana di lobi tidak setenang hari biasa. Semua penglihatan tertumpu kepada papan peringatan notis Taufan Noru yang dijangka akan melanda sekitar kawasan Jepun. Kobe dan Osaka dijangka akan menerima tempias Taufan Noru yang dikatakan semakin melemah. Lemah tak lemah pun hujan tidak berhenti sedari semalam dan angin kencang mengiringi perjalanan kami hari ini.


Yang tiada payung, sibuk cari atau beli payung. Ada yang beli baju hujan. Aku tanpa persiapan apa-apa. Kalau hujan, redah ajelah. Apa nak buat. Alangkan di Malaysia pun aku tidak berpayung. Aku tengok Musha san pun hari ini bawa payung besar. Nakatani san pun sama. Amaran seperti ini biasa bagi mereka. Aku tenang-tenang aje sebab hujan tanpa henti ini bukannya hujan lebat seperti di KL yang berpotensi mengundang banjir kilat – sangkanya!

Kelas tetap terus. Jadual yang mereka sediakan tetap kami patuhi walaupun ada sedikit pindaan lokasi disebabkan faktor amaran taufan. Hari ini hari terakhir kami ke Osaka. Kami akan melawat Maishima Incineration Plant. Walaupun hujan, trafik tidaklah teruk sangat. Kami tetap sampai mengikut masa yang ditetapkan.

Semasa perjalanan, aku terpandang satu bangunan seolah-olah kubah masjid yang cantik dan unik. Dalam hati terasa seperti mahu ambil gambar, tapi disebabkan hujan, aku sekadar mengamati bangunan itu dari kejauhan. Tanpa aku sangka, itulah sebenarnya Maishima Incineration Plant!

Stuktur bangunan dan rekaannya memang cantik. Sayang…hujan! Kalau korang nak tahu bangunan ini macam mana rupa parasnya, google la sendiri. Aku boleh payung gambar replika aje. Menariknya bangunan ini tiada satu pun rekaanya mempunyai garis lurus. Semuanya senget-benget tetapi disebabkan ia direka seolah dalam taman tema, kita langsung tidak akan perasan hakikat itu. Masa jejak kaki sahaja aku dah rasa macam A Whole New World sangat. Kata Kak Linda, memang ada yang kata bangunan ini macam Aladin!

Di sini kami diberi pendedahan tentang pelupusan sisa di Osaka. Seperti biasa, tayangan video tentang tempat ini yang dibuat dalam versi Jepun. Aku dah boleh agak video itu ceritanya pasal apa. Cuma aku serabut dengan shot movement shot tilt up, tilt down, terus pan left, pan right kemudian zoom in, zoom out sepanjang video Langsung tak ada statik…moving memanjang. Ingatkan aku aje…rupanya ada lagi seketul dua yang berperasaan yang sama. “Dah macam tengok sinetron” kata seseorang yang aku tak ingat siapa. Terjemahan yang dibuat oleh Kitamura san juga menambahkan kadar kesembaban yang ada.

Kami kemudiannya dibahagikan kepada 2 kumpulan. Aku memilih untuk berada dalam kumpulan Katayama san sebab sure aku mengantuk kalau Kitamura san yang terjemah. Wakil Maishima Plant yang  membawa kami menjelajah kawasan ini ialah “Mamat Khalid”..tak pasal-pasal. Di Jepun, kami sudah jumpa muka-muka yang seakan-akan selebriti Malaysia. Antaranya Esma Daniel, Datin Seri Maznah Rais, Azalina Othman, Maman Teacher’s Pet dan ramai lagi.

Kami berada ditempat pelupusan sampah, tapi bau sampah takde! Maksud aku, bau tengik nirrojim nak muntah tu takde. Bau-bau pelik sikit itu adalah, terutama dikawasan terbuka. Tetapi disebabkan ada taman dikeliling kawasan itu, tidaklah kronik sangat rasanya. Kami melihat sendiri proses bagaimana pelupusan sampah dibuat dari lori sampah datang, sampa itu hala ke mana dan proses pengasingan yang semuanya automation belaka. Memang konsep kaizen diamalkan dengan meluas di sini. Sebesar-besar tempat ini, pekerja mereka hanya 101 orang sahaja – beroperasi 24 jam.

Di sini, mereka merawat sendiri air yang tercemar, 40% tenaga yang terhasil digunakan dalam bangunan ini manakala bakinya dijual kepada Osaka Electric. Sisa aluminium dan besi juga dijual manakala yang mana boleh dikitar semua, dikitar semula.

Tour guide kami memang kelakar, tapi kelakar Jepun. Yasmin aje faham. Yang lain berkerut-kerut juga nak hadam lawak dia. Agaknya dah lama sangat tak jumpa lelaki sampaikan ada yang nampak menarik juga dia ni. Saspek itu dirahsiakan untuk keamanan sejagat 🙂

Tapi macam aku cakap, sayangnya hujan.Tak dapat nak mengabadikan sendiri kecantikan tempat pelupusan ini. Ia sengaja di reka sebegitu untuk membuatkan masyarakat keliling selasa dan turut menjadi tumpuan keluarga membawa anak-anak bersiar-siar di sini. Tiada siapa yang selesa kalau duduk dekat dengan tapak pelupusan sampah. Tetapi dengan odorless macam itu ditambah dengan rekaan bangunan yang menarik, ia menjadi tumpuan ramai.

Selepas itu kami berhenti makan di Asia & Pacific Trade Center untuk makan tengah hari. Pertama kali aku tidak bawa bekal bila ada field trip. Jadi aku ke combini untuk membeli sandwich telur dan udon sejuk kejung.Masa aku amik sandwich, tiba-tiba Shaq berada di belakang aku dan cakap, “mana boleh makan”. Eh, apasal? Telur aje kot..

“Tak, maksud aku, mana yang boleh makan?”.

La…nada tadi tu macam menidakkan pilihan aku aje 🙂

Sudahlah aku dikhabarkan Mos Burger pun tak boleh makan sebab minyak yang digunakan itu ada bahan terlarang. Tapi yang dah makan tu, makan ajelah. Mujur aku beli 2 makanan..udon sejuk tu rasa macam kapur kasut. Ya, aku pernah makan kapur kasut hehehe…

Kami kemudiannya ke pejabat Hitachi Zosen dan diberi penerangan tentang Waste Power Management and Tide Gate. Rupa-rupanya yang jaga slides tu orang Malaysia! Tersengih-sengih dia kena bahan…Aku baru nak cakap, kadet PTD mana jaga slides tu, rupa-rupanya orang Sepang. Ada beberapa soalan yang teknikal, jawapannya pun sama juga. Laju aje diorang suruh Faiz ni terjemah. Sebenarnya tak sesuai buat macam tu…dia ada senior. Amalan ‘senpai and koohai’ ini tidak begitu dikisahkan khalayak sangat. Bila dia explain dalam bahasa Malaysia, aku tengok Jepun-Jepun lain dan gelak-gelak sebab diorang tak tahu kami sembang apa. Comel dia ni..boleh buat adik ipar.

Apapun aku respect dengan Mr Toyohito Fushita yang berusaha membuat pembentangan dalam bahasa Inggeris. Dia ini generasi muda, semangat dia lain sikit. Macam aku cakap dahulu, perbezaan generasi antara Malaysia dan Jepun sama sahaja. Belum lagi effort dia belajar beberapa salutation. Patutlah banyak aje ayatnya, ini mesti Faiz dah bantu dia.

Ceramah seterusnya ialah berkenaan Tide Gate. Aku tak pasti siapa yang beri ceramah sebab dia duduk depan, sederet dengan kerusi aku. Aku dengar aje apa yang dia diterangkan. Disaster Risk Management memang topik yang aku gemar. Jadi aku abaikan faktor-faktor lain. Sepatutnya kami dibawa ke kawasan mereka beroperasi tetapi atas faktor cuaca dan keselamatan, mereka gantikan dengan ceramah ini.

Ini adalah kelas terakhir kami bukan sahaja di Osaka, malah untuk keseluruhan kursus. Waah, cepatnya masa berlalu. Semasa kami turun ke lobi, barisan panjang seakan menutup laluan kami untuk keluar dari lif. Eh, apa berlaku ni?

Semua pekerja diminta balik awal kerana ancaman Taufan Noru. Osaka antara tempat yang berpotensi menerima impak taufan ini, Walaupun dikatakan Taufan Noru semakin melemah, aku rasa angin semakin kuat dan kincir angin di luar berpusing laju. Kalau mereka lambat, kemungkinan besar lambat sampai rumah sebab banyak tren yang delayed

Dikhabarkan 400 penerbangan terpaksa ditunda disebabkan faktor cuaca, 2 mati dan 9 dilaporkan hilang. Sepanjang perjalanan aku tawakal ajelah. Aku tengok air longkang dah semakin naik. Kawasan Osaka ini macam Pattaya, keliling semua laut. Kot ada pokok bakau tu lambatlah sikit impaknya. Yang nyata kalau tsunami membadai, memang pelabuhan-pelabuhan dan kilang-kilang di pesisir ini kena dulu. Aku dapat tengok orang yang berjalan  bawa payung pun berusaha mengawal payung agar tidak diterbangkan angin. Itu belum masuk payung-payung jahanam yang ada di pinggir jalan.

Hujan masih tak berhenti. Dalam takut-takut tu, perut sudah lapar dan saka Marugame Udon menjelma tak menahan. Mujur pakcik bas yang setia ini sudi memberhentikan kami di Sun Plaza untuk kali ketiga dan kali terakhir. Tertunduk-tunduk aku ucapkan terima kasih pada dia. Dia memang sangat baik. 

Usai makan, aku balik ke hotel seorang diri. Yang lain saka shopping masih tak hilang. Dalam 10 minit juga aku ditimpa hujan dengan angin yang agak kuat. Terus aku mandi dan tidur. What’s App bertalu-talu masuk pun aku tak sedar. Dalam pukul 8.40 malam aku terbangun dan capai handphone, beratus-ratus pesanan masuk. Semua dah mengaruk pasal Indivual Action Plan tak buat lagi! Terus aku buka laptop dan buat dengan segera. Esok tiada kelas…jadi aku nak berehat seharian. Kalau nak berjalan setakat area Motomachi aje.

Panjang sembangnya. Dari assigment membawa ke persembahan, melarat pasal bunyi-bunyi pelik dalam hotel kami yang lama ini. Aduh, aku dah la pentakut. Ada pulak yang kasi gambar budak Ju On dengan pompuan The Ring tu. Terus aku minta mereka stop. Kita ni, kadar ketakutan masing-masing berbeza. Korang mungkin nampak badut tu kelakar, tapi aku pandang padut tu seram sebab aku dah tengok badut yang tak senonoh macam tu dalam It dan American Horror Stories – The Carnival.

Aku tidur pukul 3.00 pagi melayan berita. Sebenarnya aku dalam mode berjaga-jaga. Lepas tengok video The Great Hanshin-Awaji Earthquake dan The Great East Japan  Earthquake, aku jadi paranoid sikit. Apapun syukurlah tiada apa yang major melanda Kobe. 

Sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Published by

akusangpenerbit

I’m a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *