Ohai, Kobe! – The Great Hanshin-Awaji Earthquake 1995

Bayangkan kita lahir dan membesar dalam negara yang terdedah kepada ancaman bencana alam. Kalau kita berduit, tukar kerakyatan dan pindah ke negara lain adalah satu pilihan. Tapi bagaimana jika kita memilih untuk terus duduk di sini dan hidup sehari-hari sambil memikirkan bencana mungkin terjadi pada hari ini?

Selamat datang ke Jepun.

Rakyatnya kaya dengan etika dan budaya. Mereka mengharung kehidupan secara autopilot dan teguh bersatu kerana homogeneity. Musibah yang berlaku, baik kerana hukum  alam atau faktor ekonomi tidak menekan mereka ke bawah sebaliknya mereka bangkit lebih gagah dan bersatu kerana malapetaka itu.

Kedudukan geografi Jepun menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai ancaman bencana seperti gempa bumi, tsunami, tanah runtuh, letusan gunung berapi dan macam-macam lagi. Boleh buat kajian sendiri tentang kedudukan Jepun yang berdekatan dengan 4 plates (tak berdaya untuk terjemah).

Pada tahun 1995, pukul 5.46 pagi 17 Januari, seluruh dunia gempar apabila dikhabarkan gempa bumi berlaku di Kobe. Ketika itu  aku berusia 14 tahun. Setiap hari aku baca suratkhabar dan melihat gambar kesan gempa bumi itu. Tetapi apa sangatlah yang aku rasa baya itu setakat sedih dan bersyukur Malaysia tidak terdedah dengan bencana seperti itu.

22 tahun selepas itu, untuk pertama kalinya aku berpeluang menjejak kaki ke bumi Jepun. Aku berpeluang ke Kobe. Masih ada dalam ingatan akan peristiwa gempa bumi itu tetapi saka Kobe Beef lebih kuat untuk aku ingat. Aku difahamkan daging Kobe adalah  daging yang mahal dan sedap dimakan. Insyaallah sebelum balik aku akan mencuba makan daging mahal ini (lebih kurang RM200 sekepala).

Aku menginap di Kobe Monterey Hotel. Setiap hari aku akan berjalan ke Sannomiya Eki untuk menaiki tren ke Iwaya Eki dan kemudian berjalan kaki ke JICA Kansai. Kawasan ini penuh dengan bangunan dan kedudukannya rapat-rapat. Ada beberapa subway di sini yang menghubungkan warganya ke lokasi yang mereka mahu. Boleh dikatakan kawasan ini seperti pusat bandar Kuala Lumpur.

Dalam banyak-banyak kelas yang diaturkan, aku memang menantikan kelas ini – Disaster Risk Reduction Administration in Japan. Tajuk ini hampir sama dengan tajuk PhD tak jadi aku dulu. Ia disampaikan oleh Mr. Kanji Yasuda dari ICA Kansai/DRLC. Kerana itu aku familiar dengan beberapa terma yang digunakan dan bertanya banyak soalan berkaitan pengurusan bencana dan sistem amaran bencana. Dalam sesi ini, boleh dikatakan aku mula faham dengan bencana-bencana yang berpotensi menimpa negara ini dan sejarahnya yang sempat direkodkan bermula gempa bumi Zenkoji pada tahun 1847 sehinggalah gempa bumi timur Jepun/ Tsunami pada tahun 2011 yang mengorbankan hampir 16,000 nyawa. Gempa bumi paling banyak mengorbankan nyawa ialah gempa bumi Kanto pada tahun 1923 yang menelan 140,000 nyawa! 

Dalam sesi ini, kami diberi penerangan tentang persediaan kerajaan Jepun dalam bersedia menghadapi ancaman bencana alam. Juga usaha mereka dalam membangunkan kembali ekomoni di kawasan yang terjejas ekoran gempa bumi pada tahun 2011. Usaha itu masih berlanjutan sehingga kini. 

Petang itu, kami dibawa ke The Great Hanshin-Awaji Earthquake Memorial. Tayangan video hampir 15 minit menceritakan tentang detik-detik beberapa saat sebelum gempa bumi terjadi. Di rumah, di hospital, di landasan keretapi, bangunan dan pusat membeli belah semua ditunjukkan. Ia sangat meruntun perasaan dan menakutkan. Dalam sekelip mata bangunan runtuh, jalanraya retak, fly over menyembah bumi dan api marak diseluruh Kobe. Aku terpempan. Tak tahu nak cakap macam mana. Dalam video itu, seorang adik menceritakan pengalamannya ketika gempa bumi berlaku pagi itu. Dia dan kakaknya cuba menyelamatkan diri tetapi kakak dia suruh  dia lari selamatkan diri dia dulu. Kakak mati dalam runtuhan. Adik tertanya kenapa tuhan tak pilih dia untuk gantikan kakak dia. Tetapi memang kalau dalam situasi bencana kena selamatkan diri sendiri dahulu. Betul atau tidak keputusan itu – itulah yang akan menghantui kita sepanjang hayat.

Aku banjir di situ juga…aku membayangkan kalau situasi itu terjadi pada aku. Aku dah mula ada rasa selesa untuk tinggal di Jepun. Aku ada 2 anak kecil. Kalau apa-apa jadi, aku pasti akan salahkan diri aku sampai mati. Alangkan apa yang jadi pada arwah Cahaya Balqis pun aku tetap salahkan diri aku sampai bila-bila. 

Membayangkan Sannomiya – laluan aku hari-hari lagilah memberi satu perasaan yang bercampur. Kawasan ini pernah musnah…bangunan semua runtuh! Api dan asap kepal merata-rata. Sejak semalam seakan bayangan aku lalui jalan itu pada tahun 1995. Sumpah aku takut. Akak tak kuat.

Dan tadi aku ke Memorial Gempa Bumi Pelabuhan Kobe. Aku lihat sendiri kawasan gempa bumi yang sengaja ditinggalkan untuk tatapan generasi akan datang. Sebenarnya sedari minggu lepas aku sudah berusaha mencari tempat ini, tapi tak jumpa – padahal aku dah lalu kawasan ini. Mujurlah Aifa sudi menjadi tour guide, teman saka makan dan geng kopi yang setia sudi menunjukkan lokasi ini pada aku. Memang teruk…aku sendiri tak sanggup tengok tayangan video sampai habis.

Kerana itu Jepun sedar pembangunan yang tidak terkawal, ditambah dengan pelepasan gas dan buangan sisa pepejal yang kerap  akan memberi kesan kepada alam semulajadi. Mereka memberikan nasihat, tunjuk ajar malah menaja pegawai yang terlibat seluruh dunia untuk datang ke Jepun melihat sendiri bagaimana mereka menguruskan semua itu. Jepun adalah jenis yang kalau dia tahu, dia  kongsi untuk manfaat ramai. JICA banyak memainkan peranan itu, begitu juga dengan kerjasama PREX.

Jadi, menjawab soalan beranikah untuk aku duduk di sini? Aku tinggalkan tanda tanya sahaja…kalau ditakdirkan mati, mana-mana pun kita boleh mati.

Catatan di atas juga adalah esei yang aku hantar kepada JICA tapi dalam versi Inggeris. Sebenarnya banyak lagi maklumat lain, tapi aku terlalu lelah untuk mengingat semua.

Sekian…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Published by

akusangpenerbit

I’m a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *