Happy 17th Anniversary To Us – Part 2

Ok, sambung balik cerita semalam. Lambat sikit update sebab ada kerja.

Pagi itu kami bangun awal. Tidur pun solid. Not bad juga Hotel Sentral tu. Cadangan asalnya mahu sarapan pagi di hotel sahaja. Bila kami turun ke kafe, staff sana bagitahu pakej percuma kami itu tidak termasuk dengan sarapan pagi. Aku pun tak berharap sangat sebab Hadi macam nak cuba makan roti bakar di Jalan Transfer. Terus kami menghala ke sana sahaja.

Aku tidaklah terlalu lapar. Sekadar pesan satu set roti bakar dan milo ais sahaja. Ok, nota minda…minuman di Penang ini manis-manis belaka. Sebelum Keluargaku Semanis Makarun dan diabetes kerananya, berpada-padalah minum air manis di sini.

Roti bakar ini kategori not bad. Hadi pesan roti canai dan juga roti bakar. Secara peribadi, roti canai di Jalan Argyll jauh lebih sedap kuahnya. Lepas makan, terus kami balik bilik dan berkemas. Hadi merancang untuk bawa aku ke Pulau Pasir Panjang. Pulau itu bersebelahan dengan kem BTN. Dia pernah kursus di sana. Jadi dia positif tempat itu sesuai untuk melepak dan bergambar.

Yup, memang cantik…kami bergambar seadanya dan melepak sebentar. Tak lama sangat pun. Elok kami mahu beransur, ada 2 buah kereta mewah masuk dan melakukan aktiviti sama yang kami buat tadi – bergambar. Ini mesti bekas-bekas pegawai kerajaan juga ni…

Seterusnya kami terus menghala ke Bayan Lepas. Inilah yang amat kami nantikan…Kami akan menginap di Lexis Premier Suites. Memang rezeki kami berdua dapat harga yang logik akal, potongan 50% dan ditambah 10% diskaun oleh Agoda. Memang super berbaloi!

Sepanjang perjalanan kami berpegangan tangan. Bercerita seadanya dan ditemani dengan lagu Halestorm. Itu kira romantik jugalah untuk kami yang memang menantikan percutian berdua sebegini. Apapun, makan tengah hari dahulu. Tidak susah membuat keputusan. Kami hanya memilih kedai yang mana nampak menarik semasa perjalanan. Akhirnya mata kami tertancap di Kedai Mee Rebus Pak Mid. Orang ramai beratur untuk bungkus. Mesti sedap ni, kata aku pada Hadi.

Kami pesan satu mee rebus sotong dan satu mee rebus sotong. Mee rebus tu sedaplah..tapi mee goreng tu ya, ampun…sedap sangat-sangat. Aku hampir tambah lagi satu tapi Hadi minta aku bertenang sebab kami merancang untuk berendam dalam private pool sepanjang hari. Dah alang-alang bayar mahal, jangan rugi tidur aje.

Inilah pertama kali aku duduk di hotel yang ada private pool, memang terasa eksaited belaka. Bilik kami mengadap laut dan ditingkat 21. Sengaja aku request high floor. Pemandangannya mesti cantik.

Masuk aje bilik, longgar lutut. Punyalah cantik! Aku dan Hadi sibuk mengambil gambar untuk simpanan dan rujukan kami untuk percutian akan datang (nampak tu, dah ada planning).

Selain dari private pool, sauna pun ada. Ini kami tak reti guna. Kalau reti pun, takde perasaan nak guna. Bak kata Hadi, “i nak sound check, bukannya sauna” 🙂

Kami banyak mengenang cerita lama, cerita zaman kami susah dahulu dan masih bergelar pelajar sampailah kehidupan kami sekarang. Yang orang nampak yang indah-indah aje. Susah-payah yang kami lalu dahulu tak ramai yang tahu. Aku takkan lupa bila dia cakap, “17 tahun lalu I pilih you untuk jadi teman I, dan sekarang you masih lagi menjadi teman I. Terima kasih atas kesabaran you sepanjang hubungan ini”. Berkaca jugalah mata aku sekejap.

Sudahlah sedih syahdu-syahdu ni, jom terjun kolam!

Kami berendam sampai 6.00 petang! Aku takkan lupakan moment-moment itu semua berlatarbelakangkan lagu Maggie Day, Have I Told You Lately dan Sailing…diikuti alunan lagu Bryan Adams yang melambak-lambak selepas itu. Eh, lain macam pemilihan lagu dia petang itu.

Kemudiannya kami makan malam di Bangkok Tomyam. Ambil set aje senang. Cuma ayam masak kunyit dalam set asal aku tukar dengan padrik sotong. Total semua RM64 termasuk GST 🙂

Malam itu, kami melepak di Sky Lite Bar di rooftop hotel. Hadi sempat mengajak seorang kawannya yang kebetulan duduk di Bayan Lepas untuk lepak dengan kami. Aku memesan Roselle Punch dan cuba untuk bersembang sekali. Tapi memang aku dah super pancit! Aku minta izin melepak dalam bilik dan Hadi terus bersembang dengan kawan dia, Wawa namanya.

Aku naik dan konon-konon nak berendam badak lagi sekali. Air kolam pulak sejuk giler…sudahnya aku terus tidur.

Esoknya selepas berendam lagi sekali (alang-alang bayar mahal), kami daftar keluar hotel dan terus mencari port untuk makan tengah hari. Hari ini kami mahu mencuba Nasi 7 Benua. Namanya aje sudah catchy. Sayangnya perjalanan kami tersangkut kerana kemalangan yang baharu sahaja berlaku. Yang syahdunya, itu sahaja jalan yang perlu dilalui jika mahu ke kedai tersebut. Terus kami tukar rancangan. Patah ke belakang menghala ke Teluk Kumbar.

Tiba-tiba aje aku terperasan satu kedai makan yang pernah kami cuba makan dahulu. Yang aku ingat, ikan bakar dia sedap. Tetapi bila aku tengok lauk-lauk yang berderet, mata aku tidak lepas memandang ayam bakar dan sotong bakar. Terus aku pilih yang itu dan rasanya, sumpah sedap! Memang bahan marinate yang untuk bakar-bakar itu sedap sangat.

Lepas makan, terus pecut balik KL. Aku macam nak ajak Hadi makan lobster bagi menutup acara meraikan anniversary kami ini. Tetapi sebab kami berdua dah kenyang nasi, aku cadangkan kami tunda hari lain sahaja.

Kami sampai di Kota Damansara sekitar pukul 5.30 petang. Takdelah lapar sangat, kenyang sangat pun tidak. Hadi ajak makan ketam! Whaaaaat….mata aku dah bersinar-sinar twilight. Dalam pada tak mahu makan nasi, pesan juga nasi goreng dia yang sedap giler tu. Oh, ya…kali terakhir aku ingat aku makan di sini ialah ketika aku mengandungkan Cahaya Balqis. Punyalah lama tanpa kunjungan lanjut.

Kemudian baharulah kami balik ke Taman Permata untuk ambil anak-anak yang ditinggalkan di sana. Kedatangan kami di sambut oleh Ezzudin. Nampak-nampak aku muka aku, terus minta dukung. Eskandar sudah tidur…tapi kemudian dia terjaga juga bila dengar suara kami. Rindu sangat pada budak berdua ini…

Tapi aku kena adil dengan semua pihak. Aku kena adil dengan suami, anak-anak dan aku kena adil dengan mama dan adik-beradik. Aku kena allocate masa untuk mereka semua. Macam mana caranya kena pandailah aku uruskan. Ada masa aku kena spend masa untuk semua orang serentak. Ada masa aku kena spend masa solid untuk Hadi sahaja. Aku tak akan ubah itu. Aku tak mahu jadi macam perempuan yang bila dah kahwin dan beranak, laki tu dah tak wujud dah. Asyik gambar budak, budak lagi, dia dengan budak dan budak-budak belaka. Dah macam ibu tunggal aku tengok kau ni…

Dalam pada masa bersama entiti di atas, aku terlupa…Aku terlupa aku sebenarnya ada kawan-kawan yang memerlukan aku juga. Aku marah dan kecewa dengan diri aku kerana disebabkan kesibukan yang lain, ada kawan-kawan lain yang aku abaikan. Aku kena kejar balik hubungan yang lama tercicir ini…

Sebagai penutup, aku ucapkan terima kasih kepada Hadi atas masa yang diperuntukkan, pada Mama dan Ameera kerana menjaga anak-anak dan kepada staf-staf di bawah seliaan aku kerana membantu urusan kerja sepanjang aku tiada.

Aku pergi bercuti dengan suami sendiri, janganlah cemburu. Kalau aku cuti dengan laki kau, itu patut sangatlah kalau nak terasa pun…Hubungan kami dan cara menyemarakkannya, itu bergantung kepada komitmen kami berdua. Bukan mudah untuk mempertahankan sesuatu perhubungan terutama kalau sudah mengikat kontrak perkahwinan.

Sebenarnya, kami bersungguh-sungguh mencuba…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Published by

akusangpenerbit

I'm a TV producer and full-time dreamer..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *