RSS
 

Seminggu Telah Berlalu..

26 Jan

Penjaga hati yang sentiasa bersama..

Bukan mudah untuk aku memulakan catatan ini. Ia lebih kurang sama kisahnya mengapa sampai sekarang aku tidak berani menulis tentang kelahiran dan kepergian Cahaya Balqis dengan lebih terperinci. Mengenangkan mengingat kembali apa yang terjadi mungkin boleh menguatkan aku masa hadapan, jadi begitulah dikuatkan hati, digagahkan menaip dan disusuli perasaan sabar menggunung. Juga yang membuatkan aku harus menulis sebab aku melaluinya tanpa banyak catatan pengalaman terperinci dari yang pernah melaluinya. Blog melonggok di alam siber tapi tak banyak yang membantu. Banyak yang bercorak peribadi, tidak banyak penceritaan apa yang bakal terjadi untuk manusia yang takut. Jadi aku harap dengan catatan aku ini dapat membantu melegakan tekanan emosi dari mereka yang bakal melalui apa yang sudah aku lalui.

Bila diberitahu aku harus melakukan cervical cerclage operation atau pembedahan mengikat rahim, seminggu aku susah nak tidur. Perasaan takut yang melampau dan pelbagai kemungkinan yang pelik-pelik bermain di kepala otak. Mujur Hadi sentiasa bersama dan memahami apa yang aku rasa. 2 bulan berulang-alik ke PPUM dan aku dijadualkan menjalani pembedahan itu pada 17 Januari 2013. Jadinya 16 Januari aku sudah mendaftar masuk ke PPUM dan menanti 17 Januari dengan perasaan yang tersangat kusut. Kusut itu sebab aku difahamkan aku hanya diberi spinal injection, makanya selama pembedahan berlangsung aku sedar, cuma tak rasa sakit – begitulah difahamkan..Oh, aku manusia penakut. Aku akui itu..

Aku banyak membuat kajian sebelum menyerahkan nasib pada takdir. Lagi banyak kita tahu, lagi menakutkan sebenarnya. Paling menyesal, aku melihat kaedah cervical cerclage di Youtube. Tak sampai 10 saat aku dah panik melantun-lantun! Jadi untuk meredakan merasaan, aku menelefon seorang rakan sekolah yang kebetulan seorang Gynae. Atas penjelasan yang dia beri, barulah aku sedikit tabah untuk melalui prosedur ini. Sehari sebelum pembedahan, pakar bius akan berjumpa pesakit dan menerangkan serba-sedikit tentang bius yang bakal diberi kepada pesakit. Percayalah, meminati siri House dan Grey Anatomy hanya memburukkan keadaan :) Jadi malam itu aku diminta berpuasa kerana pembedahan dijadualkan sekitar jam 8.30 pagi.

Pembedahan ini dibuat pada minggu ke 14 dan 2 hari. Aku difahamkan dia seeloknya dibuat pada minggu ke 12-14. Ada catatan  mengatakan antara minggu 14-16. Melalui pembacaan, ada juga yang melaluinya pada minggu ke 20. Jadi aku sifatkan, ia bergantung kepada banyak faktor sebelum seseorang pesakit dijadualkan menjalani cervical cerclage (kecuali untuk kes kecemasan).

Sekitar 8.30 pagi, katil aku disorong ke dewan pembedahan yang berada di bangunan yang lain. Perjalanan itu sahaja membuatkan aku muak sebab aku berbaring dalam keadaan tiada bantal menampung kepala. Sebelum itu, aku sudah pun membuang air seperti yang diminta oleh misi bertugas. Hadi tidak dibenarkan masuk ke dewan pembedahan. Aku nampak dia melambai-lambai sayup dalam keadaan aku kerabunan tidak dibenarkan memakai cermin mata. Terus pakaian disalin dan perasaan debar aku memuncak. Aku mohon izin untuk membuang air kecil. Mujurlah mereka faham situasi aku yang dalam keadaan panik dan kesejukan melampau (dewan pembedahan sangat sejuk!).

Kepanikan yang melanda tidak pula menyebabkan tekanan darah aku naik. Ia stabil sepanjang masa. Jadi bila semuanya telah sedia, aku diminta duduk dalam keadaan kedua-dua bahu ditampan oleh dua orang pembantu. Ketika jarum terasa memasuki badan, aku sedikit panik namun ditenangkan oleh doktor. Dia minta aku bertenang dan jangan melawan. Agak sakit – tapi sekejap sangat. Jadi satu fasa telah aku lalui. Aku dibaringkan, mereka membuat sempadan agar aku tidak nampak bahagian yang bakal dibedah. Aku sedar – tidak kebas – hanya perasaan debar menghantui diri.

Hampir sejam ia berlangsung. Aku tak rasa sakit – itu benar. Aku dengar bunyi gunting, aku dengar bunyi ketukan dan apa juga perbualan doktor. Memang aku berserah. Sudah habis rasanya surah lazim dan doa-doa yang aku ingat. Dewan pembedahan sangat sejuk. Mujur selimut panas dipasang menutupi aku yang hampir menggigil kesejukan. Bila semuanya selesai, doktor menghampiri aku dan mengatakan semuanya lancar. Aku hanya perlu menjaga diri supaya tidak terlalu lasak dan sedaya upaya mengelakkan jangkitan. Saat itu juga aku sudah membabai plan ke Hatyai pada akhir Januari. Untuk 8 jam pertama, aku tidak boleh membuang air secara normal kerana tiub dipasang untuk mengelakkan banyak pergerakan ke bilik air.

Keluar dari bilik pembedahan, mata aku meliar mencari kelibat Hadi. Ya, mukanya berubah sejurus melihat aku keluar dari dewan pembedahan. Aku tak larat bercakap, hanya memandang sayup. Tapi rasa laparnya tak usah nak cakap. Aku memang kebulur, dan dalam otak aku hanya bubur Mc D yang mudah. Aku risau kalau makan nasi menangis-nangis pulak bila buang air besar. Lepas makan, aku bersembang ala kadar dengan Hadi dan aku tidur keletihan. Menjelang petang doktor datang memeriksa. Katanya kalau aku sudah boleh buang air sendiri, esok juga aku boleh balik. Jadi bila misi mengeluarkan tiub, itu sakit. Aku tak tipu..dan aku seram memikirkan macam mana perasaan membuang air yang pertama. Ia menakutkan! Tapi surprisingly langsung tak sakit. Malam itu hampir 2 kali aku berjalan ke bilik air. Makanya aku sifatkan pasca pembedahan semuanya okay.

 

***

Seminggu sudah berlalu. Setakat ini semuanya okay. 30 Januari adalah temujanji pertama dengan doktor pakar selepas pembedahan dibuat. Aku harap semuanya lancar dan tiada yang pelik-pelik. Setiap hari aku mohon pada tuhan permudahkanlah perjalanan kami kali ini.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Tags: , ,

Leave a Reply