Aku, Dia & Lagu

Sometimes, it’s not the song that makes you emotional, it’s the people and things that come to your mind when you hear it.

Bukan mudah untuk aku singkap balik kenangan lama ini. Tapi kenangan sifatnya tetaplah menjadi kenangan. Yang baik dikenang, yang pahit itulah pengajaran paling agung. Itu yang menjadikan aku hari ini.

Banyak kali Aie Sarkase minta aku berkongsi pengalaman, banyak kali juga aku tolak. “Cerita kau lain..kau kena tulis,” katanya. Setiap kali itu juga aku menolak dan mengelak. Tetapi disebabkan dia telah bersusah-payah mendapatkan aku satu video khas, maka permintaannya kali ini dengan senang hati aku usahakan. Sebagai tanda terima kasih dan sebagai menghargai persahabatan kami. Dalam seminggu ini baharu kerap kami melepak dan bersembang. Hilang sekejap duka lara kami dengan lawak-lawak tak bermoral dari dua-dua belah pihak yang kebanyakannya hanya kami sahaja yang faham.

Untuk pengetahuan, coretan pengalaman itu selamat disampaikan oleh DJ Klasik iaitu Safura Draoh. Terima kasih yang teramat kerana menyampaikannya sedemikian rupa. Entah berapa kali aku kesat air mata yang memang tak tertahan. Sampaikan ada bekas staff Hadi di pejabat lamanya turut menzahirkan kesedihan setelah mendengar coretan pengalaman kami itu. Aku sempat meminta ahli keluarga, saudara mara terdekat dan rakan-rakan untuk mengikuti siaran itu semalam. Kalau siapa yang tidak sempat dengar dan mahu salinan, aku boleh send melalui What’sApp. Tapi lagu yang mengiringi cerita itu tidak pula adik aku, Ameera rekod. Mungkin panjang sangat 🙂

Tetapi bila Hadi sendiri beritahu dia sedih mendengar catatan itu, baharulah aku sedar yang jauh di sudut hatinya dia juga teringatkan anak kami, Cahaya Balqis. Selama 6 tahun ini, reaksi Hadi hanya penuh dengan kesabaran dan ketenangan. Pernah awal-awal dahulu aku terasa dia macam dia sudah lupa pada Cahaya Balqis.

“I yang tanam dia, i yang pegang dia sebelum dia dikebumi. Takkan I lupa!” Sejak itu aku jarang bersembang pasal hal ini lagi.

Lagu-lagu yang aku pilih ketiga-tiganya memang dekat di hati dan menzahirkan perasaan aku sepanjang masa. Lagu itu adalah Hujan dan Airmata – Datuk Sudirman Hj. Arshad, Aku dan Kesepian – Azlina Aziz dan lagu terakhir Aduhai Sayang – Tan Sri P.Ramlee. Walaupun aku akan bersedih mengenangkan kisah lalu setiap kali mendengarnya, tetapi tidak boleh tidak, lagu-lagu itu juga membuatkan aku kuat dalam melalui semuanya.

Terima kasih Aie Sarkase atas peluang ini dan percaya pada cerita aku,  terima kasih juga kepada Radio Klasik.

****

Setiap pasangan yang berumahtangga pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata bagi melengkapi kehidupan. Namun tidak semua orang bernasib baik, memiliki anugerah itu seawal setahun dua perkahwinan.

Aku dan Hadi berkenalan dari zaman di universiti. Selepas 6 tahun bercinta, kami disatukan dalam satu majlis yang penuh gilang-gemilang. Kami sudah bersedia memulakan hidup bersama dengan harapan dikurniakan cahaya mata seperti rakan-rakan yang lain.

Mencecah 6 tahun usia perkahwinan, harapan hanya tinggal harapan. Kami masih belum berjaya mendapatkan zuriat sendiri. Sudah habis ikhtiar yang kami buat. Kalau dengar mana-mana makcik yang pandai mengurut, semuanya aku cuba. Produk kesihatan tak payah cerita. Selagi ada yang menawarkan harapan, kami tidak pernah putus asa mencuba.

Setiap kali orang tanya “eh, takde anak lagi ke? ” atau “kamu tidak mencuba nak dapatkan anak ke? ” perasaan aku rasa bagai disagat-sagat.

Aku jadi malas untuk berjumpa saudara mara. Malas menghadiri kenduri dan malas bersosial. Sampai satu tahap, kalau ditanya bila kamu nak dapat anak, mahu sahaja aku jawab “malam ini kami cuba, 9 bulan lagi makcik bawang boleh cuba tanya”.

Aku sudah tidak punya air mata apabila memikirkan nasib kami yang masih belum berjaya mendapat anak. Pernah aku berikan Hadi kebenaran untuk berkahwin lain, andainya dia mahu. Tetapi dia enggan. Susah senang, kita lalulah bersama, itu janjinya.

Aku kemudiannya memutuskan untuk cuti belajar dan menyambung pengajian di peringkat sarjana. Satu hari, aku diminta membuat pembentangan di dalam kelas dan aku diserang gemuruh yang sangat teruk. Selalunya, usai pembentangan perasaan gementar akan hilang. Tapi gemuruh itu melarat sampai dua hari dan aku kerap loya muntah!

Ah, sudah… Tiba-tiba aku terdetik untuk membuat ujian kehamilan. Sah, dua jalur kelihatan. Aku ingat lagi masa berita itu aku khabarkan pada Hadi. Dia menangis dan memeluk aku dengan kuat. 6 tahun kami nantikan detik ini. 6 tahun! Aku dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh. Mintalah apa sahaja, Hadi akan usaha belikan.

Aku terlalu gembira sampaikan aku lupa, suka adakalanya boleh membawa duka.

Satu hari aku terasa seolah-olah air ketuban mengalir tanpa henti. Kandungan masa itu baharu berusia 5 bulan. Aku dikejarkan ke hospital dan doktor memberitahu air ketuban telah pecah.

“Kandungan puan tidak dapat diselamatkan…bayi terlalu kecil dan organnya belum matang. Jika hidup, anak mungkin akan cacat dan tidak akan hidup lama.”

Masa itu, aku rasa langit runtuh! Aku menangis semahu-mahunya. Ya, Allah… Ujian apakah yang kau berikan serasa terlalu berat untuk aku tanggung. Aku dipaksa melahirkan anak kami yang berusia 5 bulan pada keesokan harinya – secara normal. Paling menyedihkan, dia masih bernyawa dan aku terpaksa melepaskan dia pergi bertemu ilahi. Aku masih terbayang-bayang lagi bayi merah yang pernah menghuni rahimku itu. Aku tatap tubuh kecil itu tanpa jemu. Turun naik nafasnya cuba bertahan, tapi takdirnya dia bukan milik kami. 2 jam selepas dia dilahirkan, dia kembali ke pangkuan ilahi. Dia kami namakan, Cahaya Balqis….

Sejak itu, tiada satu malampun yang aku lalui tanpa menangisi kehilangan Cahaya Balqis…

Aku mengalami kemurungan yang serius. Doktor menyarankan aku mendapatkan khidmat kaunseling, tapi aku enggan. Aku bukannya gila, aku tidak meroyan. Aku hanya perlukan masa untuk lalui semua detik hitam ini.

Apapun, doktor memberitahu sekiranya aku mengandung lagi, aku perlu melalui proses mengikat rahim bagi mengelakkan risiko keguguran. Tiga bulan kemudian, aku disahkan mengandung sekali lagi. Aku dan Hadi langsung terpana. Kami nekad menyembunyikan kehamilan ini dari pengetahuan sesiapa termasuk ahli keluarga.

Namun rahsia terpecah juga. Satu malam, kereta Iswara yang kami naiki dilanggar lari oleh sebuah lori. Kereta kami berpusing tiga kali sebelum kemudiannya terbabas dan merentang longkang. Kereta remuk teruk, tapi syukurlah kami berdua selamat tanpa sebarang kecederaan. Ia seperti satu keajaiban dan peluang kedua buat kami.

Saat keluargaku sampai ke tempat kejadian, Hadi terlepas cakap “Tengokkan Baini tu mama..dia mengandung!” Mama beristighfar tanpa hanti dan memeluk aku di situ.

Kali ini aku sangat berhati-hati. Pengalaman lalu membuatkan aku takut sesuatu yang tidak diingini terjadi pada kandungan ini. Aku melalui proses mengikat rahim seperti yang disarankan doktor ketika usia kandungan mencecah 14 minggu.  Aku juga masih sibuk dengan pengajian semester akhir. Bayangkan, aku membentangkan tesis pengajian dalam keadaan sarat mengandung 36 minggu.

Akhirnya pada 7 Julai 2013, selepas 3 jam berjuang di hospital, aku selamat melahirkan seorang cahaya mata lelaki yang sangat comel yang dinamakan Eskandar Dzulkarnain selang setahun 2 hari selepas kelahiran arwah Cahaya Balqis. Setahun kemudian, seorang lagi bayi lelaki mungil menghiasi hidup kami pada tanggal 12 November 2014 yang diberi nama Ezzudin Dzulfikar. Bila diingatkan, aku sepatutnya sudah ada 3 cahaya mata berbeza kelahiran selang setahun.

Akhirnya penantian kami selama 7 tahun itu berakhir jua. Eskandar dan Ezzudin, kamulah cahaya yang sebenarnya bagi kami…

Adila…aku dia dan lagu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...