Mengurus Organisasi

Penuh khusyuk mendengar penerangan Nakaya sensei

Bukan senang untuk mengurus orang. 1001 ragam, 1001 kepala dan karenah. Tetapi setiap kita manusia walau apa pangkatnya tetaplah bertanggungjawab menjadi pengurus – baik diri sendiri, rumah tangga, organisasi dan entiti lain.

Selepas 5 hari kelas di JICA TIC, hari ini kami kembali ke JICA Kansai. Ohai, rindunya naik tren dari Eki Sannomiya untuk ke Eki Iwaya dan kemudian menapak berpeluh-peluh sampai kelas. Semua itu aku lalui dengan perasaan yang sangat damai. Memang rasa jiwa raga aku boleh bersatu dengan bumi Kansai ini lebih cemerlang berbanding Tokyo.

Tengok aje jadual, kelas sehari suntuk dengan Nakaya sensei. Alamak…jiwa raga kena kental duduk dalam kelas dia ni. Kami dikehendaki duduk dalam kumpulan berdasarkan krisis masalah yang sama dan dikehendaki membentangkan hasil perbincangan dalam kumpulan mengikut kajian kes yang dipilih. Menariknya, ada satu lagi kumpulan dari Jepun yang terdiri dalam kalangan wakil-wakil PREX, sekretariat dan koordinator kami turut membuat kajian yang sama. Jadi kami akan bandingkan cara Malaysia dan cara Jepun.

Matlamat sesi ini ialah:-

  • Mengetahui dan memahami berbezaan antara sistem pengurusan Jepun dan Malaysia
  • Memahami latar belakang sistem pengurusan kerja dan manusia di Jepun dan bertukar-tukar pendapat dengan pensyarah dan sekretariat
  • Peserta akan memahami tingkah laku manusia yang menyebabkan dia berada dalam keadaan begitu dengan mengkaji beberapa kes yang lazim berlaku di Malaysia.

Untuk pembentangan dalam kalangan peserta memang sangat mudah difahami kerana kita semua membesar dalam latar sosiobudaya dan kenal sistem yang diamalkan dalam kerajaan. Tapi apabila kumpulan dari Jepun menerangkan hasil perbincangan mereka, banyak perkara yang perlu ditapis kalau kita mahu melakukan tindakan yang sama.

Musha san membentangkan untuk kumpulan Jepun

Jepun sangat mementingkan teamwork. Mereka mempunyai kesetiaan yang tinggi pada organisasi dan semua staff adalah satu keluarga besar. Perlu diingat, budaya mereka berbeza. Jangan awal sangat bagus tu, bagus tu sebab hakikat amuknya perbezaan generasi adalah antara ancaman yang menggugat tradisi lama ini. Kalau kita sudah kerja ditempat A selama 5 tahun dan kemudian mahu menukar hala kerjaya ditempat B, kebarangkalian untuk dapat memang tipis sebab akan dianggap tiada kesetiaan dan kemungkinan bermasalah. Di  negara lain lazimnya pertukaran tempat kerja itu mungkin disebabkan faktor kemajuan kerjaya, gaji dan logistik dan ia adalah satu keputusan yang diraikan.

Jika ada staff yang bermasalah, mereka akan gunakan masa kampai untuk menasihati staff yang lain. Pendek kata, semua cerita keluarga anak berapa, asal mana, hobi apa semua ahli dalam unit tahu. Sebab mereka kerja satu tempat aje. Kalau mula dari Honda, pencen Honda juga. Bayangkan kalau kerja dari umur 20 tahun  pencen 60 tahun, 40 tahun kerja dengan orang yang sama. Kerana itu mereka membentuk organisasi itu seperti keluarga besar. 

Kita sendiri, setakat maklumat asas status, anak berapa, asal mana tu laratlah kongsi dengan rakan sekerja apatah lagi bosses. Tapi perkara yang sulit contoh bahagia ke tidak, keputusan peperiksaan anak atau peribadi lain akan berpada-pada juga kita kongsi. Silap-silap dijadikan peluru untuk mengenakan kita balik. 

Ini generasi Jepun sekarang…apa yang mereka rasa sekarang sudah kita alami dulu dan realiti inilah yang ada dalam tiap-tiap organisasi baik  swasta mahupun kerajaan di Malaysia. Mereka pun tak selesa untuk open up tentang hal peribadi. 

Tengok akak punya curious nak tahu…

Memang berkerut-kerut dahi semalam….Masakan tidak, yang detail-detail mak nenek tu semua nak tahu tapi kalau keputusan kesihatan mental staff itu sulit! Itu terlalu peribadi…Ha, bayangkan punya dahsyat sesi semalam sampai menembus jajahan lain. Secara peribadi aku lebih mahu tahu kesihatan mental staff aku daripada kisah dia cuti pergi mana, anak  sudah pandai berzikir ke belum dan cerita-cerita peribadi lain. Waima apapun, hubungan komunikasi dengan staff kena jaga…

Kerana sesi itu telah membakar segala tenaga dan upaya yang ada, aku jatuh lapar ekstrem sehabis sahaja kelas tamat. Aku sudah membayangkan Garlic Naan dan Mutton Curry Masala paling epik pernah aku makan di dunia-setakat ini. Terima kasih kepada Aifa kerana sudi temankan dan melayan tekak t-rex yang melanda. Saka arimasu! 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...