Hajimemashite – Orientasi Ekspresi Dirimu

Seperti yang diceritakan semalam, seterika aku tak jumpa jalan pulang. Nasib baik kebanyakan pakaian yang aku bawa tidak cepat kedut dan keronyok. Semuanya tenang-tenang aja dalam bagasi meski digegar perjalanan berbukit dan berliku.

Sepanjang kursus ini, makan & minum tidak disediakan. Boleh sahaja untuk peserta bersarapan di hotel jika mahu dan bayarlah dikaunter. Malam semalam aku sudah tanak nasi. Jadi aku bersarapan dengan nasi itu berlaukkan sambal kering dan selebihnya aku bungkus untuk makan tengah hari. Aku memang bawa tumbler siap-siap sebab sepanjang 26 hari ini memang banyak berjalan. Jadi kena selalu minum air.

Tepat 9.00 pagi kami berkumpul di lobi. Koordinator dari JICA Kansai kemudiannya tiba dan memberikan taklimat akan perjalanan kami ini. Kami akan ke pejabat JICA Kansai dengan menaiki tren. Tak jauh mana sangat, hanya 2 perhentian sahaja dari stesen Sannomiya ke Iwaya.

Kemudiannya kami berjalan kaki untuk ke pejabat JICA. Tengok macam sepelaung aje. Tapi rasanya macam dari RTM nak ke Midvalley juga jaraknya. Mujurlah walking shoe Power yang sentiasa aku pakai ini berkhidmat dengan cemerlang. Cuaca pagi tadi agak mendung, walaupun di sini sekarang ialah musim panas.

Tidak semua benda, aktiviti dan gambar dapat aku kongsikan kerana warga Jepun sangat mementingkan privacy. Yang mana boleh aku kongsi dengan terperinci, tiada masalah untuk aku ceritakan. Yang mana tidak, aku sepintas lalukan sahaja cerita itu.

Ini hari pertama. Ia penuh dengan aktiviti wajib memperkenalkan diri. Seperti biasa, nama aku agak tergeliat juga untuk mereka menyebutnya dan aku cenderung untuk menggunakan nama AB. Lebih mudah. Yang buat lebih mudah diingat ialah kerana maksud AB tu ialah shrimp/udang.

Ha, bolehlah bunyi sama

Kami semua dibekalkan dengan medical card. Awal-awal sudah diberitahu, plastic surgery mereka tak cover 🙂

Kami melalui 2 sesi orientasi iaitu dengan pihak JICA Kansai dan Pacific Resource Exchange Center (PREX). Kedua-dua orientasi menekankan aspek yang sama iaitu ketepatan masa, kepentingan kesihatan peserta dan mengalakkan penglibatan aktif dalam semua aktiviti. Masa memperkenalkan diri tadi, kami diminta menyatakan jenis manusia yang macam mana kita ini. Ramai yang jawab happy go lucky, baik, rendah diri dll. Aku jawab aku ini jenis yang penuh curiosity. Disebabkan itu, aku akan selalu bertanya. Jadi penglibatan memang bukan satu masalah.

Kami kemudiannya berehat untuk makan tengah hari. Boleh sahaja jika mahu makan tengah hari di kafe JICA Kansai ini. Menu halal disediakan. Harga makanan dan jenis menu aku tak pasti sebab setakat seminggu dua ini ramai aje umat membawa bekal dan kami merancang berkongsi apa yang ada. Bukan sebab kedekut, tamak, takut dll, tapi aku mahu habiskan bekalan yang aku bawa dahulu kemudian baharulah berbelanja. Makan di Hyogo tidaklah rumit sangat. Di 7E boleh aje dapatkan nasi atau onigiri. Kedai makanan halal pun banyak. Cuma makanan Jepun la…

Waktu rehat itu aku gunakan untuk mengenalpasti kenapa simkad Jepun yang aku beli masih gagal berfungi. Segala mak nenek aku dah cuba masih gagal. Rupa-rupanya kalau handphone jenis 2 simkad kita kena slot simkad Jepun di slot satu. Ohainya…

Kelas kemudiannya disambung pada pukul 2.00 petang. On time di Jepun bermaksud 5-10 minit lebih awal. Mereka sangat mementingkan masa. Ada beberapa nilai yang boleh diikuti oleh kita semua. Satu yang menarik ialah finding memo. Finding memo ini ialah apa-apa input yang menarik perhatian kita hendaklah dicatat. Aku rasa ini sejenis cara untuk memahamkan diri sendiri tentang apa yang kita pelajari atau lalui. Konsep finding memo ini besar. Ini sejenis cara bersyukur juga dan menghargai nikmat jika diamalkan.

Satu lagi ialah sharing time/peer learning iaitu berkongsi dengan rakan (konsep rakan ini juga besar) apa yang kita dapat dalam sesuatu aktiviti atau kerja. Kadang-kadang kita akan dapat perkongsian maklumat baharu dengan kaedah ini. Mungkin kerana itu team work orang Jepun sangat kuat.

Kelas terakhir pada hari ini ialah kelas bahasa. Kalau anda pernah tengok Mind Your Language atau Kelas Malam, anda akan faham betapa banyaknya peristiwa lucu akan berlaku dalam usaha mempelajari sesuatu bahasa. Menggelakkan orang memang mudah. Bila kena diri sendiri, membeku batu seribu bahasa sendu aku tadi. Terpempan seketika. Bukannya tak tahu nak jawab apa, tapi tak ingat hahaha…dalam waktu yang singkat banyak benda yang kena ingat. Berselirat kejap urat-urat dan lidah kelu. Hajimemashite bunyi Haji Mashitah pun ada tadi. Setakat mengira 1-20 aku sudah boleh ingat. Cuma masa sesi dialog untuk bertukar business card tu aje aku teragak-agak nak cakap apa. It was fun…

Konon-konon business cards la ni

Habis kelas, sekali lagi kami berjalan beramai-ramai untuk ke Stesen Iwaya. Rasanya kalau beli sendiri tiket untuk berjalan tiada masalah sangat. Cuma menentukan laluan mana yang kena ikut itu yang sedikit rumit.

Malamnya aku tidak keluar ke mana-mana. Aku kena pastikan baju yang akan aku pakai esok tidak berkedut. Justeru aku menyeru dalam group WA agar seterika itu dikembalikan. Gigihnya menggosok dalam keadaan seterika itu lambat pulak nak panas. Cas handphone pun sama, lambat penuh. Nasi pun lambat pulak masaknya. Maka bungkusan Maggi Kari cawan yang pertama selamat aku rasmikan.

Setakat itu dahulu. Esok aku kongsi pakaian yang aku pakai untuk ke Okanmuri Elementary School. Kami diminta untuk berpakaian tradisional atau pakaian kebudayaan.

Nihon E Youkoso – Ohai, Kobe!

17.07.17…cantik tarikh ini.

Seawal 4.00 pagi aku sudah mula bergerak dari rumah menuju ke KLIA 2. Lagu-lagu yang berkumandang di radio pagi itu seolah-olah menzahirkan perasaan kami berdua. How Do I Live, One Sweet Day dan When You’re Gone terasa menusuk dihati. Aku dan Hadi bersembang ala kadar. Banyaknya melayan emosi. Kami tiba di KLIA 2 pada pukul 4.30 pagi – sebelum lalat bangun 🙂

Kalau ikut perbincangan semalam, kami semua rancang untuk berkumpul pada pukul 5.00 pagi. Rupanya sudah ada peserta lain yang sudah sampai di KLIA 2. Setiap seorang dibenarkan membawa barang dengan berat 40 kilogram sahaja. Agak panik juga aku pagi itu kerana aku bawa 2 bagasi yang agak besar dan berat. Itu belum campur 3 kotak cenderamata yang kami putuskan strap wrap sahaja. Tumpanglah kelayakan berat sesiapa yang sekadar bawa satu beg.

Urusan pagi itu lancar. Terima kasih kepada Aifa sebab dia yang cargas untuk melancarkan proses renyah-renyah ni. Siap buatkan kami tagging untuk memudahkan kami mengesan beg semua peserta di lapangan terbang nanti.

Sebelum masuk, aku babai Hadi dulu. Yu jaga diri yu, ai jaga diri ai tu standard la. Kemudian aku telefon mama untuk maklumkan yang aku akan naik pesawat. Mama bagitahu yang Ezzudin pulak deman. Alahai…kesian dia. Demam nak membesar tu.

Pagi itu aku sarapan segelas milo ais kaw dengan sandwich telur (yang tak nampak telurnya). Aku, Aiesa, Kak Linda dan Syarqawey bersembang-sembang kosong sementara menanti peserta lain. Yang lain ada yang di surau dan ada yang minum di tempat lain. Aku tak banyak ambil gambar. Tumpang-tumpang sahaja siapa yang ambil gambar. Gajet Aiesa tu canggih sangat. Rasanya semua umat akan menumpang kamera dia nanti.

Kami bertolak dengan pesawat Air Asia dari KL ke Kansai, Osaka. Penerbangan mengambil masa selama 6 jam 10 minit. Jam 12.04 petang, pesawat terbang pada ketinggian 40 ribu kaki dan dijangka masuk ke ruang udara Jepun 20 minit dari pengumuman itu. Penerbangan masih ada berbaki kira-kira 2 jam lebih…wow, aku dengar keluhan perantau.

Kami kemudiannya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai. Kepada yg bernasib baik, dapatlah 2x makan dalam flight. Akulah salah seorang tu. Kepada yang tidak, bertabahlah hahaha…Mujurlah pagi tadi kami dibekalkan pakej Nasi Ayam Uncle Chin. Kemudian aku dapat Nasi Lemak Pak Nasser pula 🙂

Urusan kastam berjalan lancar. Cuma masa giliran aku mereka minta jadual sepanjang di sini. Mujur semua dokumen memang aku sudah cetak dan bawa bersama. Wakil JICA menyambut kami di lapangan terbang, Haja-san kalau tak silap namanya. Kami kemudiannya menaiki bas untuk ke hotel. Perjalanan mengambil masa hampir satu jam. Syukurlah sebelum bergerak ada 3 manusia sealiran dan fahaman untuk misi rahsia 🙂

Bas pula terpaksa berhenti di tepi jalan kerana laluan yang sempit. Kami diminta berjalan kaki untuk ke hotel. Ohai, dengan beg macam dibuang keluarga ditambah dengan jalan naik bukit, terasa ya ampun ya ampun seketika. Untungnya kebanyakan peserta saling bantu-membantu dan semuanya kembali lancar.

Urusan check in tak lama, cuma serabut sikit sebab Hotel Monterey yang kami duduk ini memang menjadi tumpuan ramai. Sebelum naik bilik, kami mengambil beberapa nota yang dibekalkan untuk kursus ini. Bilik selesa – untuk seorang. Sampai sahaja bilik, aku pulak naik serabut dengan simkad sini yang entah macam mana kaedahnya. Sudahnya aku guna wifi hotel aje walaupun tak laju mana.

Malam itu kami berjalan-jalan dikawasan sekitar. Takdelah jalan jauh mana pun. Aku agak keletihan. Boleh dikatakan ramai yang mengambil peluang untuk pecahkan duit di sini. Hari pertama ini, aku belum berbelanja lagi. Stok makanan yang aku bawa perlu diberi keutamaan. Tapi tengok kopi ais tadi aku goyah juga 🙂 Sila bawa bersabar, Beni…

Setakat itu sahaja dulu catatan pertama dari Jepun. Aku masih menunggu seterika aku yang berjalan-jalan dipinjam kawan-kawan. Satu pesanan aku, pulangkan seterika Cinderella aku tu sebelum pukul 12.00 malam waktu tempatan ya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...