Sumimasen – Ohai, Jepun!

Semuanya bermula bagai disusun-susun – cantik, rapi tapi serabut. Emel jabatan memang hari-hari aku buka. Pelawaan menghadiri kursus itu hanya dibaca sepintas lalu. Tapi kerana galakan kabadhak Intan, aku cuba mohon juga.

Manalah tahu rezeki. Kot dapat, ada juga sesuatu untuk dijadikan kenangan selain menyemarakkan kembali semangat aku yang kian layu dihambat kelembapan Sumber Samba Rio dan Menusia Medusa.

12 tahun ini seolah tiada apa yang baharu yang boleh dibanggakan. Terasa kemegahan menerbitkan program Merdeka, Mengarak Panji-Panji dan siaran langsung yang lain kemain cepat dipuput zaman. Berapa ketul aje ingat. Diminta kembali ke tempat lama dengan gred yang sama memang minta maaf lahir batin. Ku rela mereput, ku rela dibenci konsepnya. Gred berbeza itu lain cerita.

Ada Sarjana atau takde Sarjana, sama aje. ‘Kamu ben Sarjan’ aje semua ni. Hanya sehelai kertas bermaruah nan kaku dan lagak patung cendana gitu. Tapi aku bersyukur berjaya menamatkannya dengan dugaan-dugaan yang disuratkan. Kemudian kembali berkhidmat RTM pada tahun 2013 dan kini tahun 2017 – gred aku masih sama!

Harapnya permohonan kursus aku ini berjaya dan adalah warna terang dalam rangka pergerakan kerjaya setelah lama kelabu tahi anjing aje warnanya.

Ingat ayat tadi – cantik, rapi tapi serabut. Masa itu jugalah kad pengenalan aku hilang dan perlu diganti. Di denda dan ditazkirahkan agar tidak lalai dalam menjaga kartu itu. Masa itu jugalah pasukan-pasukan audit kiri-kanan memberi salam mahu merenung kembali kisah-kisah silam perbelanjaan yang berlaku walaupun aku tidak terlibat kerana ketika itu aku sedang cuti belajar. Akhir sekali, memohon dengan suci hati kepada bos yang tercinta untuk mencoret bukannya sepatah dua kata, tapi 3-4 helai ulasan mengapa perlu kakitangannya diberikan peluang mendakap ilmu di negara matahari terbit itu. Kerana kesanggupan aku menanti akan ulasan dan tanda tangan beliau sehingga pukul 9.30 malam itu agaknya aku diberikan balasan yang setimpal. Okay cerita balasan ini ada lagi tapi dicatatan yang lain akan aku tulis.

Hampir sebulan aku menanti sebuah jawaban. Dalam hati memang sudah ada konflik kalau dapat dan kalau tak dapat. 26 hari tu…banyak perkara perlu aku aturkan kalau memang ada rezeki di situ. Hadi memang bagi galakan sepenuhnya. Tidak timbul sangat isu anak masih kecil, habis ai dan anak-anak macam mana atau ala, tak payahlah apply. Memang cantik dan rapi kerana tarikh kursus itu berlangsung, Hadi sepatutnya sudah lepas viva (and he did!) Mama dan adik-adik juga sudi memberikan pertolongan cemas sekiranya Hadi tak boleh menguruskan anak-anak. Kebetulan pula taska anak-anak berpindah lokasi dari sebelah lorong menjadi sebelah taman. Itu juga punca serabut sekejap awal-awal dulu.

Alhamdulillah…rezeki aku. Permohonan aku untuk menghadiri kursus LEP2.0 di Jepun berjaya! Selain kak Intan, dipejabat aku hanya berkongsi berita ini dengan Aie. Memang tidaklah aku kongsi di Facebook kerana jujurnya – aku segan. Sehinggalah pada hari aku menguruskan dokumen perjalanan di tingkat 7 baharu aku sedar, aku tidak berkeseorangan. Ada seorang lagi kakitangan RTM yang berjaya. Hanya staff RTM dan satu jabatan lain yang aku tak ingat sahaja berjaya menghantar 2 peserta. Jabatan lain hanya satu kakitangan sahaja.

Jadinya dengan Kak Dilla kami berdua menghadiri taklimat di Pejabat JICA, Jalan Ampang. Itulah kali pertama aku melihat wajah-wajah peserta lain yang datang daripada pelbagai latar belakang. Terasa ameba sangat aku berbanding yang lain. Apa yang terjadi kemudiannya ialah mengagumi sesama sendiri macam lagu Marcell dan Shanty – Hanya Memuji.

Hari yang sama selepas taklimat, kami bergegas pula menguruskan visa di Kedutaan Jepun. Ini pun satu hal. Nak berjalan, agak jauh. Nak jalan juga, tapi tak tahu jalan. Atas bantuan Aifa yang menempah Grab Car, sampai juga aku ke situ. Tapi jam betul-betul pukul 11.50 pagi. Masalahnya ada satu lagi kumpulan masih menunggu Grab Car. Tinggal 10 minit sahaja lagi sebelum kaunter visa berhenti rehat dan dibuka semula pada pukul 2.00 petang. Aku sendiri tak sedar rupanya aku terpisah dengan Kak Dilla dalam pembahagian Grab Car tadi. Jadinya aku sempat buat tapi Kak Dilla kena tunggu kaunter buka pada pukul 2.00 petang. Apapun, semua urusan selesai hari itu juga.

Lewat petang itu, tertubuhnya group What’s App JICA 2017 untuk memudahkan urusan komunikasi dan bermulalah perbincangan pra-kursus nan epik, bersepadu dan penuh dengan komitmen.

Apa yang terjadi selepas itu ialah sejarah, geografi, perhubungan antarabangsa, dasar, pengajian bahasa dan pengajian am – seriously!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...