5 Tahun Berlalu…

5 Julai 2012 – serasa seperti baharu sahaja tarikh itu meninggalkan aku dan Hadi dengan kenangan yang sangat pahit, sakit dan perit. Walaupun hampir 1825 hari telah berlalu dengan 5 kalender kuda dikoyak hari, emosi dan kesedihannya – sama 🙁

Semalam, dalam perjalanan ke Shah Alam untuk ke kedai foto, aku dan Hadi berbual tentang Cahaya Balqis. ‘Kalau dia ada, sudah 5 tahun umurnya. Ada juga kita anak perempuan,’ kata Hadi. Tangan aku dia genggam kemas. Aku dah sebak-sebak sangat rasanya. Mujur Eskandar dan Ezzudin yang melasak-lasak dalam kereta menghilangkan sedikit rasa kekosongan yang ada.

Tak apalah tu…

Memang setiap tahun pada tarikh ini aku akan dilamun perasaan yang sama. Sampaikan kadang-kadang dalam pada mencari baju Eskandar dan Ezzudin, sempat juga mata melilau melihat dress-dress untuk budak perempuan seusia 5 tahun. Melihatkan gambar anak rakan-rakan yang sebaya dia pun aku perasaan aku bercampur. Rezeki orang lain, rezeki aku lain. Tak mahu berlama-lama sangat melayan perasaan sebab itu peluang syaitan memesongkan akal dalam menggali makna suratan hidup.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Tidaklah sekali-kali sepasang muslim ditinggal mati oleh anaknya yang belum baligh, melainkan Allah akan memasukkan keduanya bersama anak-anak mereka ke dalam syurga berkat kurnia dan rahmat-Nya.” Abu Hurairah melanjutkan, “Dikatakan kepada anak-anak tersebut, ‘Masuklah kalian ke dalam syurga!’ Anak-anak itu menjawab, ‘Kami menunggu kedua orang tua kami’. Perintah itu diulangi tiga kali, tetapi mereka mengeluarkan jawapan yang sama. Akhirnya, dikatakan kepada mereka, ‘Masuklah kalian bersama kedua orang tua kalian ke dalam syurga’.”
Bukhari, Kitab Janaiz, 1171
Al-fatehah buat bidadari kecilku – Cahaya Balqis binti Abdul Hadi. Di dunia kami kehilanganmu. Di akhirat kamu penyelamat kami. Mama loves you, sayang…
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...