Salam Aidilfitri Untukmu…

Assalammualaikum semua yang membaca coretan terakhir sebelum Syawal menjelang 2 hari lagi. Dikala ramai umat pekerja kerajaan, swasta, berkerja sendiri, penganggur dan pelajar sudah berpusu-pusu balik ke kampung masing-masing, aku masih dipejabat menyiapkan beberapa kerja yang tidak pernahnya surut. Yang surut kadang kala hanya kesabaran dan keimanan yang disebabkan kekurangan aku sebagai seorang insani yang lemah.

Subuh tadi, tatkala hujan mencurah-curah membasahi bumi Bandar Saujana Putra, aku dan suami memaksa diri kami untuk bangkit dan bersiap siaga untuk ke pejabat. “Kenapalah kita kena kerja diwaktu hujan subuh-subuh ini?” Sebab kita tak amik cuti, bapa beruang…Trafik pagi tadi tidaklah seteruk selalu. Mungkin ada yang terus bergerak ke kampung masing-masing selepas sahur.

Selepas menyelesaikan beberapa tugasan wajib, aku mengambil peluang yang ada untuk spring cleaning meja Menteri Kewangan yang super serabut dilanda taufan audit dan MoF. Bersilih ganti acara melawat kawasan sampaikan aku tiada masa untuk menguruskan susunan kertas yang bertimbun.

Umum mengetahui kalau aku mula acara spring cleaning besar-besaran itu, tandanya jiwa raga aku tengah serabut. Betul la..ada sedikit. Maklum sahaja semakin akhir Ramadan, semakin mudah jiwa kita diusik. Aku membelek kad-kad raya yang aku terima dan aku sangat bersyukur dan berterima kasih kerana ada juga yang mengingati diri aku. Terima kasih kepada Puan Noriah Letuar, Puan Norma Aziz, En. Aie dan Puan Liz atas kiriman kad raya, kuih tart dan dodol.

Aktiviti aku pagi ini dilatari lagu-lagu raya oleh artis Ambang Klasik Sdn Bhd. Tidak boleh tidak, aku teringat seorang kawan lama yang sukakan semua lagu dalam album itu. Entah apa ceritanya sekarang? Kami pun sudah tidak berkawan dan berhubung. Dia berubah, aku lagilah berubah jauh dari paksi. Biarlah masing-masing membawa haluan dan kenangan kami sejak zaman sekolah dahulu anggap sahaja memori lama nan berhabuk.

Oh, ya…anak-anak sudah kami tinggalkan di rumah mama pada malam Rabu yang lalu. Taska mereka tutup. Saat ini, anak-anak, mama dan Ameera sudahpun sampai di Melaka. Tahun ini, insya Allah semua anak-anak Khairi akan berkumpul di Melaka. Aku tidak boleh ingat barang satu tahun yang kami berlima beradik beraya bersama pada hari raya pertama. Memanglah tak boleh ingat – memang tak ada! Yang sudah kahwin akan tetap dengan sistem penggiliran balik kampung. Tetapi sejak rumah yang aku beli di Melaka siap dan boleh diduduki, hari raya pertama tetaplah di Melaka. Aku dan Hadi tidak perlu bergilir-gilir hatta membaling dadu untuk tentukan giliran beraya. Krismas ke, Tahun Baharu Cina ke, semuanya di Melaka. Don’t mess with Melaka! (eh, tiba-tiba…)

Aku belum sempat ke kubur arwah abah dan arwah anakanda Cahaya Balqis di Tanah Perkuburan AU4. Hadi terlalu sibuk menyiapkan tesis. Hanya sekali sahaja kami balik ke Taman Permata. Hujung minggu yang lain banyak dihabiskan di rumah sahaja. Tapi tahun ini, aku okay. Tahun lepas yang mencabar sikit. Tarikh hari raya jatuh sehari selepas tarikh Cahaya Balqis meninggalkan aku. Emosinya lain macam…

Tahun ini konsepnya, tak mahu sedih-sedih. Banyak sudah rahmat yang tuhan berikan. Yang bersalam-salam sebelum cuti juga aku pesan, tak mahu sedih-sedih. Pesanan khidmat masyarakat yang kononnya meruntun jiwa sedu sedan hiba memang aku tak mahu tengok.

Persiapan hari raya juga seadanya. Aku tidak ada pakaian baharu, Hadi pun sama. Kami dahulukan anak-anak dan keperluan mama. Aku pun tak tahu mama akan masak apa untuk juadah pagi raya nanti. Tapi aku harap kuah kacang beliau yang datang dari syurga itu tidak ditinggalkan. Itu menu wajib..Aku bercadang untuk masak spagetti dan cucur udang pada hari raya kedua atau ketiga nanti. Masa itu, pandang rendang pun dah tak sudi.

Rasanya sampai sini sahaja dahulu aku menyusun cerita. Dari hati yang paling dalam, aku ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua. Maafkan sekiranya ada salah dan silap sama ada yang aku sedari ataupun tidak. Berhati-hatilah di jalan raya dan santunilah semua manusia yang ada disekeliling kita.

Salam ikhlas,

Siti Nurbaini Khairi a.k.a akusangpenerbit

Rasa Macam Lailatul Qadar

Pada mulanya aku hanya mahu menyimpan cerita ini kerana ia ada unsur-unsur berbuka puasa dan menu. Hajat asalnya awal Ramadan dahulu ialah tidak mahu berkongsi tentang saat-saat berbuka puasa. Tetapi kerana aku tidak mahu lupa, aku tulis juga untuk kenangan aku di masa hadapan.

Jadinya petang semalam aku dan Aie berbuka puasa bersama-sama di satu kedai makan yang terkenal, terletak di Jalan Kelang Lama. Ini kali kedua kami mengulang berbuka puasa di sana. Kali pertama dulu, orang agak ramai dan kami hampir tidak dapat meja kerana sampai 2 minit sebelum waktu berbuka. Kunjungan kali kedua juga seperti kunjungan pertama, cuma bezanya kami sampai 2 minit selepas waktu berbuka. Apa yang peliknya, hanya ada kami berdua sahaja di situ!

Pelik amat…..

Pelayan yang mengambil pesanan pun turut menzahirkan perasaan pelik yang mereka rasa. “Selalunya, kami terpaksa pasang meja sampai ke depan pintu” kata adik pelayan itu dengan ramah usai dia mengambil pesanan makanan kami.

Sambil menunggu makanan sampai, aku jamah dahulu kuih atas hijau bawah pulut (kuih apa ni?) yang dibeli oleh Aie. Tak baik melengah-lengahkan waktu berbuka. Sementara itu, aku meninjau keadaan sekeliling yang penuh dengan kedai makan Cina yang sibuk menyiapkan masakan yang dipesan oleh pelanggan mereka yang penuh sepanjang deretan kedai.

Tiba-tiba lalu seorang makcik yang menjinjit beg plastik dan berhenti di meja kami. Dalam hati, aku membayangkan makcik ini menjual keropok-kerepek dan meminta kami membeli jualannya. Spontan aku tanya, makcik ni dah buka puasa ke belum?

“Belum…”balasnya perlahan.

Kami kemudian mempelawa makcik itu duduk dan berbuka puasa bersama. Kebetulan pesanan makanan kami juga sampai dan aku meminta pelayan membawakan satu lagi nasi tambah.

Kami menyantuni makcik ini dan meminta dia mengambil lauk yang ada – ayam dan kerabu mangga. Pantas dia menolak…

“Makcik tak makan ayam ni…menjaga keturunan…Makcik ini orang asli, keturunan belah nenek memang tidak makan ayam dan telur” terang makcik itu melihatkan reaksi muka aku yang ketara.

Langsung aku minta pelayan tadi bawakan nasi putih bagi menggantikan nasi tambah yang dia bawa tadi. Kalau nasi ayam, setahu aku memang akan pakai air rebusan ayam.

Pelayan kemudiannya datang dengan sepinggan nasi putih. ┬áMakcik tadi rupanya ada membeli lauk ikan berkuah, ikan keli berlada untuk sahur dan bubur sum sum (betulkah namanya bubur sum sum?). Terus dia mencurahkan kuah ikan dan makan dengan penuh berselera sementara aku dengan Aie penuh syahdu melayan makanan yang ada di depan mata. Tak sampai 3 suap aku makan, aku jelinglah makcik tu – nasi dia dah habis!

Makcik nak nasi lagi? Kalau nak saya minta lagi satu?

“Boleh juga…”

Langsung aku memesan nasi putih lagi sepinggan. Seperti tadi, dia mencurahkan kuah ikan ke dalam pinggan nasi dan kali ini baharu aku perasan yang dia tidak makan nasi dengan ikan. Dia makan nasi dengan kuah ikan! Pun laju dia makan. Lapar sangat agaknya. Dia cakap berbuka puasa hari ini bukan main sedap rasanya, tak tahu kenapa. Aie cakap mungkin sebab berbuka ramai-ramai, perasaannya lain.

Kemudian perlahan-lahan kami mula mengenali figura ini. Dia berkerja sebagai cleaner di KL Sentral, asal Batu Pahat, Johor…keturunannya orang asli belah bapa, Indonesia belah ibu. Namanya ialah Siti Aminah manakala nama arwah ibunya ialah Siti Khadijah. Banyak juga yang kami sembangkan, tapi kena pandai agak apa yang cuba disampaikan sebab laras bahasa memang lari jauh. Dia bercerita pasal barang-barang serba mahal di sini. Di kampungnya dahulu petik-petik aje semua ada. Tapi ada satu masa dahulu semua tanaman habis tenggelam (banjir rasanya). Sambil bercerita, dia menguit-nguit ikan dalam plastik dan makan. Aku tak pasti sama ada memang makcik ni tak makan lauk dengan nasi atau dia memang suka makan lauk kemudian.

Makcik ini bercerita, dia sudahpun membeli tiket bas untuk balik berhari raya di Batu Pahat. Tambahnya lagi, kerjanya kali ini dia boleh cuti raya. Kerja lamanya dahulu tak benarkan sangat cuti-cuti ni. Bila aku tanya, kenapa tak kerja di Batu Pahat sahaja, barang-barang lebih murah. Tidak semahal KL. Dia jawab kerja di KL gaji lebih besar.

Aku mula-mula nak sembang logik gaji besar barang mahal, gaji kecil barang murah macam itulah. Tapi aku shut up aje sebab makcik ini berusaha untuk mengubah ekonominya. Kenapa perlu aku jadi Profesor di situ?

Kami kemudiannya meminta diri untuk beransur. Sebelum balik, berkali-kali dia luah rasa tidak percaya dengan apa yang terjadi hari ini pada dia. Alahai, pada aku dan Aie pula setakat makan 2 pinggan nasi dan teh o kosong aje pun…Tak luak mana.

Di deretan kedai makan Cina yang kami telusuri, ada satu kedai buah yang menjual durian. Aku ni memanglah hantu durian. Untuk melepaskan hajat, Aie beli sebiji sebab aunty tu kata durian tu warnya oren-oren macam baju aku hehehe…Rasanya, sumpah sedap weh! Bercucuran air mata aku sekejap…warnanya kuning pekat nan menggoda iman. Dan aunty itu menyantuni kami dengan sangat ramah. Dalam hati aku rasa agak terharu juga sebab aku jumpa manusia yang baik-baik hari ini.

Sekali lagi, makcik tadi lalu dimeja kami. Kami mempelawa dia makan bersama-sama. Mula-mula dia ambil seulas, uik sedapnya! Kami beri dia seulas lagi dan dia makan dengan penuh berselera.

“Terima kasihlah…aku rasa macam Lailatul Qadar malam ini” katanya sebelum dia berlalu.

Aku dengan Aie gelak dengar dia cakap macam tu. Dia ingatkan kitorang ni malaikat. Kami pulak ingatkan entah-entah dia tu yang malaikat. Ini biasalah dialog-dialog tak membina pasca makan yang membuatkan kami tersadai seketika.

Betullah orang kata, kadang kala perbuatan kita yang kecil itu memberi kesan yang besar kepada orang yang menerima. Sebenarnya, makcik Khadijah itu adalah pengajaran untuk aku dan Aie. Lepas ini, setiap kali puasa konfem cerita makcik ini akan kami kongsi semula ­čÖé

Sebenarnya makcik itu tidak jual apa-apa pun. Aku masih musykil kenapa dia berhenti di meja kami tetapi bukanlah itu juga satu cara untuk kita mengakui kuasa tuhan?

Selamat berpuasa dan selamat mencari Lailatul Qadar…

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...