Archive for the ‘Jiwa Retak’ Category

Karipap nie semua inti kentang, dik. Kentang lagi murah dari keledek. Lagipun kentang tahan lama dan ramai orang suka makan inti kentang. Yang itu karipap kentang campur daging. Yang sana pulak karipap kentang campur ayam. Yang berpusing tu karipap sardin. Tapi memang ramai orang suka karipap inti kentang, dik. Abang beli kentang nie dari Cameron Highlands. Dan bertahun beli dengan pembekal yang sama. Dia kasi abang pun harga murah. Tu sebab walaupun karipap inti kentang nie sedap, tapi harga dia masih sama. Abang nak naikkan harga pun tak sampai hati..Abang masih mampu gajikan 3 pekerja nie untuk bantu abang meniaga. Meniaga karipap dan kuih-kuih bukan mewah mana pun,dik. Tapi abang percaya rezeki Allah. Kita kena rajin usaha dan jangan kedekut. Inti karipap kentang nie semua meriah, bukannya inti angin aje, adik oi..Marah orang sebab diorang bayar nak makan karipapkan…Adik nak karipap apa?

Saya nak karipap kentang 2 biji aje, abang..

“Karipap kentang campur daging ke kentang campur ayam?  Kentang lagi murah dari keledek. Lagipun kentang tahan lama dan ramai orang suka makan inti kentang.Yang itu karipap sardin…..

(Aku sempat memancung) Kentang kosong aje terima kasih!

Lepas ini aku akan pastikan memakai headset jika mahu mengulang membeli karipap ditempat yang sama. Menitik airmata 8 kilometer..

 

Makam Sultan Alauddin Riayat Shah

Minta maaflah, papan tanda untuk ke tempat menarik sekitar Muar ini jatuh kategori gagal. Ia cuma ada barang satu atau dua, kemudian pandai-pandailah cari sendiri. Nak dikata Jabatan Warisan, Jabatan Pelancongan atau Majlis Daerah buat mendidih darah aje. Tempat terakhir yang dilawati sebelum petang semakin rembang ialah Makam Sultan Alauddin Riayat Shah. Baginda merupakan Sultan Melaka ke-7 yang mana makam beliau adalah satu-satunya yang masih wujud di Malaysia. Makam ini terletak di Kg. Raja, di dalam masjid. Kalau tak bertanya memang tak jumpa.

Menurut blog ini, Raja Hussain atau Sultan Alauddin Riayat Shah merupakan sultan Melaka yang ketujuh. Baginda menaiki takhta selepas kemangkatan ayahandanya, Sultan Mansur Shah pada tahun 1477. Baginda merupakan sultan yang paling mementingkan keamanan negeri Melaka. Baginda akan menyamar sebagai rakyat biasa dan meronda kota Melaka pada waktu malam. Akibatnya, Melaka menjadi negeri yang selamat untuk berdagang. Baginda juga adalah seorang sultan yang adil dan warak. Walau bagaimanapun, kedudukan baginda telah dicabar oleh kekandanya, iaitu Raja Ahmad (pemerintah negeri Pahang, sebuah wilayah di bawah pemerintahan Melaka), kerana Raja Ahmad mendakwa bahawa beliau berhak menduduki takhta kerajaan Melaka. Sultan Alauddin mempunyai banyak musuh, sama ada di dalam atau di luar negeri.. Baginda mempunyai empat anak iaitu dua anak daripada setiap isterinya dan ini telah menimbulkan perselisihan tentang siapa yang akan mewarisi takhtanya selepas kemangkatannya. Isteri kedua Sultan Alauddin berketurunan India-Muslim.

Kunjungan ke makam ini menutup agenda kunjungan ke Muar. Sebenarnya ada satu lagi lokasi yang mahu dikunjungi iaitu Kota Buruk. Malangnya kami gagal mendapatkan info yang tepat untuk ke sana. Sistem papan tanda memang jatuh kategori gagal teruk.

Pagi itu aku bangun awal. Mungkin kerana malam tadi tidur awal, makanya aku bangkit dalam keadaan segar dan bersemangat. Rasanya tiada lagi tujuan kami di Tanjung Sedili. Kami check-out awal kerana mahu ke Kluang untuk merasa kopi Kluang yang terbaik di sana. Kalau trafik baik, sekitar jam 11.00 pagi kami akan sampai ke Kluang dari Tanjung Sedili. Sepanjang perjalanan, perut hanya beralas Mr. Potato perisa tomato dan air mineral. Dalam perjalanan, kami bertembung dengan satu kemalangan yang agak menakut dan menyedihkan. Hadi sudah pesan, jangan pandang tapi tidak boleh tidak aku terpandang seorang makcik terbaring di sisi jalan. Terus emosi aku berubah. Aku doakan semua yang terlibat selamat dan tidak melibatkan kehilangan nyawa.

Sampai sahaja di Kluang, terus kami mencari cadangan kopi terbaik di sini dengan bantuan google. Barulah aku faham, Kluang Rail Coffee dan Station Kopitiam Kluang adalah dua benda yang berbeza. Disebabkan kami benar-benar mencari yang asal, asli dan authentic, maka kami memilih untuk mencuba Kluang Rail Coffee. Ia terletak di premis stesen keretapi Kluang. Ya, kami sesat sebab memang tak pernah sampai kawasan ini :)

2 Kopi Ais dan 3 set roti bakar menemani “sarapan pagi” kami. Agak sedih aku tak sempat merasa nasi lemak sebab semuanya sudah habis. Waktu perniagaan mereka hanya pagi sahaja rupanya.. Akan datang kami akan berusaha untuk sampai sebelum subuh. Cadangnya mungkin dengan menaiki keretapi. Kool bukan.. :)

Entah di mana silapnya, subuh itu aku terjaga dalam kesakitan perut yang melampau. Kalih kiri-kanan semuanya sakit. Tapi bila perut semakin menegang dan terasa pedihnya nak bergerak, aku terus minta Hadi hantar ke PPUM. Terus ke wad kecemasan. Ingatkan mungkin kena sedas injection, lepas tu bolehlah aku balik. Rupanya tidak..aku ditahan.

Mujur aku ke sana awal pagi. Sebaik sahaja sampai di wad di mana aku ditempatkan, doktor pakar baharu saja memulakan sessi rondaan. Nasib sangat baik sebab kebetulan Dr. Valli yang sedang meronda. Terkejut juga dia tengok aku masuk wad, sebab semalam aku baru lepas buat US dengan beliau.  Lepas 2 botol air dimasukkan dalam badan, barulah aku mula rasa mengantuk. Lena ayam sekejap dan hanya jaga balik bila waktu melawat bermula.

Dua malam aku ditahan. Mengerekot membentuk huruf “s” kecik sebab kesakitan dan kesejukan di wad. Mujur malam kedua Farah bawakan aku KFC yg ayamnya masih panas. Malam itulah baru aku tidur lena, mungkin kerana sudah 6 botol air dipaksa masuk dalam badan. Kalau ikutkan doktor mahu tahan lagi untuk pemerhatian. Aku dah tak mahu..serba-serbi payah bila aku di sana. Yang utama aku tah mahu susahkan Hadi dengan mana nak sibukkan bini dan kerja yang melonggok selagi tak election.

Kaler ubat nie macam kasut Nike yang aku mahu beli tapi tak mampu..

Satu yang utama, aku kena tahankan selera makan makanan yang pedas ini buat sementara waktu. Insaf rasanya.. 3 bulan aje lagi, permudahkanlah.  Dengan mana runsing nak menyiapkan tesis lagi. Aku mahu semua – jadi terus kayuh tanpa banyak bunyi!

14 Januari lalu adalah ulangtahun kelahiran Mama. Aku hanya mampu telefon, sedikit lewat kerana keletihan ekoran perjalanan dari Kuantan dan kemudiannya BBQ rakan sekelas.. Mama selalu memahami anak-anak. Hanya aku serba-salah sendiri kerana tidak ada bersama dia untuk meraikan hari bertuah itu.

Semoga Allah berkati Mama dan kurniakan aku ehsan untuk membahagiakan dia selamanya..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...