Ohai, Kobe! – The Great Hanshin-Awaji Earthquake 1995

Bayangkan kita lahir dan membesar dalam negara yang terdedah kepada ancaman bencana alam. Kalau kita berduit, tukar kerakyatan dan pindah ke negara lain adalah satu pilihan. Tapi bagaimana jika kita memilih untuk terus duduk di sini dan hidup sehari-hari sambil memikirkan bencana mungkin terjadi pada hari ini?

Selamat datang ke Jepun.

Rakyatnya kaya dengan etika dan budaya. Mereka mengharung kehidupan secara autopilot dan teguh bersatu kerana homogeneity. Musibah yang berlaku, baik kerana hukum  alam atau faktor ekonomi tidak menekan mereka ke bawah sebaliknya mereka bangkit lebih gagah dan bersatu kerana malapetaka itu.

Kedudukan geografi Jepun menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai ancaman bencana seperti gempa bumi, tsunami, tanah runtuh, letusan gunung berapi dan macam-macam lagi. Boleh buat kajian sendiri tentang kedudukan Jepun yang berdekatan dengan 4 plates (tak berdaya untuk terjemah).

Pada tahun 1995, pukul 5.46 pagi 17 Januari, seluruh dunia gempar apabila dikhabarkan gempa bumi berlaku di Kobe. Ketika itu  aku berusia 14 tahun. Setiap hari aku baca suratkhabar dan melihat gambar kesan gempa bumi itu. Tetapi apa sangatlah yang aku rasa baya itu setakat sedih dan bersyukur Malaysia tidak terdedah dengan bencana seperti itu.

22 tahun selepas itu, untuk pertama kalinya aku berpeluang menjejak kaki ke bumi Jepun. Aku berpeluang ke Kobe. Masih ada dalam ingatan akan peristiwa gempa bumi itu tetapi saka Kobe Beef lebih kuat untuk aku ingat. Aku difahamkan daging Kobe adalah  daging yang mahal dan sedap dimakan. Insyaallah sebelum balik aku akan mencuba makan daging mahal ini (lebih kurang RM200 sekepala).

Aku menginap di Kobe Monterey Hotel. Setiap hari aku akan berjalan ke Sannomiya Eki untuk menaiki tren ke Iwaya Eki dan kemudian berjalan kaki ke JICA Kansai. Kawasan ini penuh dengan bangunan dan kedudukannya rapat-rapat. Ada beberapa subway di sini yang menghubungkan warganya ke lokasi yang mereka mahu. Boleh dikatakan kawasan ini seperti pusat bandar Kuala Lumpur.

Dalam banyak-banyak kelas yang diaturkan, aku memang menantikan kelas ini – Disaster Risk Reduction Administration in Japan. Tajuk ini hampir sama dengan tajuk PhD tak jadi aku dulu. Ia disampaikan oleh Mr. Kanji Yasuda dari ICA Kansai/DRLC. Kerana itu aku familiar dengan beberapa terma yang digunakan dan bertanya banyak soalan berkaitan pengurusan bencana dan sistem amaran bencana. Dalam sesi ini, boleh dikatakan aku mula faham dengan bencana-bencana yang berpotensi menimpa negara ini dan sejarahnya yang sempat direkodkan bermula gempa bumi Zenkoji pada tahun 1847 sehinggalah gempa bumi timur Jepun/ Tsunami pada tahun 2011 yang mengorbankan hampir 16,000 nyawa. Gempa bumi paling banyak mengorbankan nyawa ialah gempa bumi Kanto pada tahun 1923 yang menelan 140,000 nyawa! 

Dalam sesi ini, kami diberi penerangan tentang persediaan kerajaan Jepun dalam bersedia menghadapi ancaman bencana alam. Juga usaha mereka dalam membangunkan kembali ekomoni di kawasan yang terjejas ekoran gempa bumi pada tahun 2011. Usaha itu masih berlanjutan sehingga kini. 

Petang itu, kami dibawa ke The Great Hanshin-Awaji Earthquake Memorial. Tayangan video hampir 15 minit menceritakan tentang detik-detik beberapa saat sebelum gempa bumi terjadi. Di rumah, di hospital, di landasan keretapi, bangunan dan pusat membeli belah semua ditunjukkan. Ia sangat meruntun perasaan dan menakutkan. Dalam sekelip mata bangunan runtuh, jalanraya retak, fly over menyembah bumi dan api marak diseluruh Kobe. Aku terpempan. Tak tahu nak cakap macam mana. Dalam video itu, seorang adik menceritakan pengalamannya ketika gempa bumi berlaku pagi itu. Dia dan kakaknya cuba menyelamatkan diri tetapi kakak dia suruh  dia lari selamatkan diri dia dulu. Kakak mati dalam runtuhan. Adik tertanya kenapa tuhan tak pilih dia untuk gantikan kakak dia. Tetapi memang kalau dalam situasi bencana kena selamatkan diri sendiri dahulu. Betul atau tidak keputusan itu – itulah yang akan menghantui kita sepanjang hayat.

Aku banjir di situ juga…aku membayangkan kalau situasi itu terjadi pada aku. Aku dah mula ada rasa selesa untuk tinggal di Jepun. Aku ada 2 anak kecil. Kalau apa-apa jadi, aku pasti akan salahkan diri aku sampai mati. Alangkan apa yang jadi pada arwah Cahaya Balqis pun aku tetap salahkan diri aku sampai bila-bila. 

Membayangkan Sannomiya – laluan aku hari-hari lagilah memberi satu perasaan yang bercampur. Kawasan ini pernah musnah…bangunan semua runtuh! Api dan asap kepal merata-rata. Sejak semalam seakan bayangan aku lalui jalan itu pada tahun 1995. Sumpah aku takut. Akak tak kuat.

Dan tadi aku ke Memorial Gempa Bumi Pelabuhan Kobe. Aku lihat sendiri kawasan gempa bumi yang sengaja ditinggalkan untuk tatapan generasi akan datang. Sebenarnya sedari minggu lepas aku sudah berusaha mencari tempat ini, tapi tak jumpa – padahal aku dah lalu kawasan ini. Mujurlah Aifa sudi menjadi tour guide, teman saka makan dan geng kopi yang setia sudi menunjukkan lokasi ini pada aku. Memang teruk…aku sendiri tak sanggup tengok tayangan video sampai habis.

Kerana itu Jepun sedar pembangunan yang tidak terkawal, ditambah dengan pelepasan gas dan buangan sisa pepejal yang kerap  akan memberi kesan kepada alam semulajadi. Mereka memberikan nasihat, tunjuk ajar malah menaja pegawai yang terlibat seluruh dunia untuk datang ke Jepun melihat sendiri bagaimana mereka menguruskan semua itu. Jepun adalah jenis yang kalau dia tahu, dia  kongsi untuk manfaat ramai. JICA banyak memainkan peranan itu, begitu juga dengan kerjasama PREX.

Jadi, menjawab soalan beranikah untuk aku duduk di sini? Aku tinggalkan tanda tanya sahaja…kalau ditakdirkan mati, mana-mana pun kita boleh mati.

Catatan di atas juga adalah esei yang aku hantar kepada JICA tapi dalam versi Inggeris. Sebenarnya banyak lagi maklumat lain, tapi aku terlalu lelah untuk mengingat semua.

Sekian…

Sayonara Tokyo, Ohai Kobe!

Pagi itu aku setakat packing campak-campak aje barang masuk beg. Bahu masih sakit, tapi tidak seteruk hari sebelumnya. Aku terus daftar keluar hostel dan bersarapan untuk kali terakhir di JICA TIC. Masih tak makan sangat….aku hanya tapau 3 keping roti untuk bekalan makan tengah hari.

Sebelum menaiki shinkansen dari Tokyo ke Kobe, pagi ini kami semua dibawa meronda-ronda Tokyo dengan menaiki bas persiaran. Kalau tak silap, harga sekepala dalam 5000 yen. Tapi Katayama san dan Kitamura san tidak join sekali sebab JICA tak sponsor mereka. Hanya kami peserta sahaja.

Pemegang tiket yang riang

Tempat pertama yang kami pergi ialah Menara Tokyo. Menara ini tidaklah setinggi Menara KL, tapi gayat aku tu masih ada. 

Kami kemudiannya ke Imperial Palace. Bertenggek di luar aje sebab tak boleh masuk. Tourist guide tu ada bagi informasi tentang semua tempat tapi boleh dikatakan kami semua rimas sikit dengan dia. Kami dah biasa dengan Katayama san yang lebih bersabar, lembut dan teliti. Eh, rindu pulak….tak sampai 2 jam kot 🙂

Akhir sekali kami dibawa ke Senso-ji Temple (Asakusa). Aku tak tahu apa nak buat di sini. Tak larat rasanya keluar masuk temple. Lagi banyak masuk temple dari masuk masjid dah perasaan aku ni. Disekitar kawasan itu banyak juga kedai-kedai yang menjual baju dan cenderamata tapi mahal. Memang tidaklah….

Habis tour, pemandu bas memberhentikan kami di Eki Tokyo. Sebaik ternampak kelibat Katayama san, semua rasa happy giler (walaupun sementara sebelum semua runsing balik). Setiap kali dia mengira bilangan kami semua, ada satu perasaan rimas yang aku rasa. Dia sangat bertanggungjawab sebenarnya. Jadi bila kurang nombor, of course la dia macam tu. Tapi bila dia takde, teringatlah pulak. Dont get me wrong..dia sebaik-baik umat Jepun sebenarnya. 

Cerita pasal cleaner shinkansen ini akan aku buat dalam post yang lain

Semasa Katayama sana mengagihkan tiket shinkansen, doa aku masih sama seperti semasa kali pertama aku naik shinkansen, cuma instead of duduk kiri, aku mahu duduk belah kanan. Aku dapat tiket 13 E. Aku tak ingat siapa yang cakap, tapi Nina kot rasanya. ‘Ini macam seat sama masa pergi hari tu, saya dapat E juga tapi belah tingkap la…’ Hmmm…tak apalah. Kalau ada rezeki-ada, tak ada-takpelah. Tapi dalam hati aku kuat mengatakan seat aku tu belah kanan.

Aku dengan Nina berjodoh agaknya. Sekali lagi dia dapat seat sebelah aku. Aku offer dia seat tingkap sebab senang aku nak keluar masuk dalam tren tu.

Law of attraction aku menjadi. Seat itu memang belah kanan! Sekali lagi disebabkan faktor cuaca kami semua tidak nampak sangat Gunung Fuji. Tak nampak sangat lebih baik daripada tak nampak langsung. Cuma tak sempat ambil gambar sahaja.

Kami kemudiannya selamat sampai di Shinkobe. Naik satu tren ke subway Sannomiya dan menyeret beg ke Hotel Kobe Monterey. Ohainya….aku rindu giler suasana di sini. Walaupun Kobe hangat membara berbanding Tokyo, tapi aku rasa selamat dan selesa di sini.

Ramai yang sudah mula rindu keluarga masing-masing. Aku pun sama…tapi rasanya semangat kuat lagi. Tapi setiap kali ada masa, memang buka Gallery dan belek gambar anak-anak – termasuklah pusara Cahaya Balqis sekali. Oh, nanti aku akan tulis pasal lagu Sukiyaki…kenapa lagu itu bagi aku mix emotion terutama bila aku dengar di Jepun.

Aku memang malas nak masak. Di Tokyo memang tidak dibenarkan masak langsung dan dengan jujur aku ikut. Bila lama tak buat, nak dapat momentum balik memang bercintalah. Jadi malam itu aku, Aifa dan Kak Dilla makan di Naan Inn. Tempat ini berdekatan dengan Masjid Kobe.

Oh, tuhan….inilah naan dan masala kambing paling sedap pernah aku makan di dunia! Naan tu besar tuala muka, makan 3 orang pun jenuh nak menghabiskan. Rezeki kami semua, dapatlah satu hidangan free, paneer something something namanya. Rezeki aku pula, dapat segelas coke free. Sebelum balik Malaysia, aku nak repeat lagi makan di sini.

Malam itu aku tidur dengan penuh selesa. Mungkin kerana kekenyangan tapi sebenar-benarnya kerana suasana dalam hotel ini. Walaupun bilik aku saiz macam kotak pensel, aku bersyukur ya amat 🙂

Rekishikaido – Ohai, Nara

Hari ini genap seminggu aku berada di Hyogo. So far, tiada masalah sangat menyesuaikan diri. Makan pun bukan masalah besar. Kalau tak kisah makan onigiri setiap hari makanya bolehlah survive di sini. Aku masih setia masak. Stok yang ada perlu dihabiskan untuk ringankan beg. Cuma aku rindu nak makan sambal yang pedas aje.

Rindu itu biasa…itu lumrah manusia. Setiap kali video call dengan Hadi, Eskandar akan ambil teddy bear kecil dan peluk setiap kali aku nyanyi untuk dia. Sekali tu Hadi cakap dia mula cari aku. Ok, goyah sikit tetapi tidaklah sampai menangis diperdu katil.

Hari ini kami akan melawat Nara. Pengetahuan aku pasal Nara kosong..pasal beautifulnara lagilah hampeh geduak. Satu-satunya Nara yang aku ingat ialah roti canai Bangnara di pekan Krabi.

Seperti biasa, rutin kami ialah berkumpul di lobi dan kemudian bersemut-semut menuju ke Stesen Sannomiya untuk ke Stesen Iwaya. Kemudian, berpeluh-peluh sampai di pejabat JICA.

Sebelum ke Nara, kami mengikuti kelas khas Touch With The Spirit of Japan. Sebelum itu, Rekishikaido bermaksud historical travel route. Ia disampaikan oleh Masayuki Kusumoto dari Rekishi Kaido Promotional Council.

Dalam setiap kelas/ceramah, kebanyakan penceramah dan pensyarah akan mengaitkan tentang sejarah Jepun dari zaman emperor sehinggalah selepas perang dunia kedua. Yang ini kalau nak faham lebih bolehlah buat kajian sendiri. Cuma apa yang menarik minat aku ialah tentang pengaruh China terhadap budaya dan peradaban Jepun. Sejak kecil aku selalu keliru dengan tulisan, perkembangan tekstil dan warisan lain negara Jepun sebab sukar aku bezakan. Nampak sama aje. Sampaikan bila aku tengok tulisan Jepun, aku rasa aku nampak karakter tulisan Cina (memang ada rupanya).

Hari ini aku dapat jawapan terhadap semua soalan yang pernah berlegar dalam fikiran aku sejak kanak-kanak lagi.

Pada zaman Dinasti Tang di China (630-894), Jepun telah menghantar ahli akademik, anak-anak kerabat, kakitangan kerajaan dll ke China. Mereka kemudiannya balik ke Jepun dan menyebarkan ilmu yang mereka dapat dari China antaranya dalam bidang tekstil dan fesyen, penyebaran agama Buddha dan pendidikan. Hampir 17,000 buku dari China dibawa balik ke Jepun. Jepun kemudiannya mencipta Hiragana dan Katakana (huruf fonetik) pada abad kelapan dan ini meningkatkan kadar literacy dalam kalangan rakyat Jepun.

Semasa era Edo (Tokugawa Period – 1603-1868), Jepun mengamalkan dasar Closed Door Policy. Orang luar tak boleh masuk, orang Jepun kalau sudah keluar, tak boleh masuk balik. Pasti ada keburukan dan kebaikan sepanjang sistem tutup pintu itu dilaksanakan. Salah satu kebaikan sistem ini ialah kesenian dan budaya mereka adalah yang asli, tiada saduran dan pengaruh budaya negara lain. Contoh paling solid ialah Kabuki, Sumo, Bunraku dan Okiyoe. Keburukannya pulak ialah tidak ilmu yang tidak berkembang. Negara lain sudah ada meriam, mereka masih pakai katana (pedang). Dasar Tutup Pintu ini dinamakan Polisi Sakoku. Sehinggalah ketibaan Commodore Matthew Perry pada 1853 baharulah Jepun membuka pintunya semula. Jepun kemudiannya menyerap beberapa pengaruh barat antaranya dalam bidang teknologi dan kemasukan agama Kristian di Jepun adalah rentetan Dasar Buka Pintu ini.

Ok, berbalik pada Nara. Nara sangat istimewa. Ia menyimpan banyak misteri dan sejarah purba. Kalau hendak diceritakan, makan minggu juga. Kerana itu kami dibawa melawat Nara selepas kelas berakhir. 

 

Sebelum itu, kami makan tengah hari di luar pejabat JICA. Tidak lama kemudian pak angkat aku, Nakatani-san pun join sama. Kami kemudiannya menaiki bas untuk ke Nara. 

Destinasi pertama yang kami pergi ialah Akashiya. Di sini kami belajar cara membuat berus kaligrafi. Sebelum pegang bulu-bulu yang ada atas meja tu, aku perhati dahulu dari binatang apakah datangnya sumber bulu? Antara bulu bintang yang digunakan ialah arnab, tupai, kambing, kuda dan kucing. Bulu yang paling mahal ialah bulu kambing, boleh mencecah 100,000 yen! Kalau nak guna bulu manusia pun boleh, tapi gunalah rambut bayi yang baru lahir. 

Agak rumit juga proses ini. Untuk menghasilkan berus yang baik, bulu binatang-binatang ini akan digabungkan. Ada proses sisir-menyisir, rendam dengan gam rumpai laut dan banyak lagi. Nampak aje mudah. Kami kemudiannya diberikan 2 berus yang belum siap dan melakukan sendiri proses noriire dan naze (rendam bulu dalam gam dan buang gam dengan menggunakan benang). Aku duduk depan sensei. Kalau ada proses yang tak betul, laju aje dia tegur. Siap juga akhirnya. Bangga kejap. Sebagai cenderamata, kami dibenarkan membawa balik berus yang kami siapkan tadi. Di Akashiya ini ada menjual berus untuk kosmetik. Aku nak explain pun payah sebab aku tak bersolek. Ada juga peserta yang beli. Berus itu lembut katanya…kalau kasar berus bajulah kot!? 🙂

Selepas itu, kami dibawa ke bandar Naramachi.  Di sini kami dibawa melihat kilang lama (machiya) yang wujud di akhir era Edo sehinggalah ke era Meiji. Nara adalah bandar yang banyak menerima pengaruh dari China terutama ajaran Buddha. Tempat ibadat yang utama di Jepun adalah ‘Shrine‘ untuk penganut Shinto dan ‘Temple‘ untuk penganut Buddha. 

Di atas ini ialah penjaga ‘Deity‘ di dalam Shrine. Ada sepasang. Satu mulut tertutup dan satu lagi yang mulut terbuka macam dalam gambar ni.

Di shrine ini, kalau nak pasang hajat ke, nak jodoh cepat ke, bolehlah ke sini. Nampak tak tali-tali putih yang diikat di kaki singa itu?  Dikatakan wanita yang sudah berkahwin mengikat tali putih pada kaki penjaga ini untuk hajat agar penjaga ini menjaga suami mereka. ? 

Aku ada ambil satu lucky fortune, 200 yen, tapi tulis Jepun la pulak. Aku minta Katayama-san terjemah apakah kisahnya. Dia kata this is the best. Banyak orang nak bacaan ini. Ok, ini lebih best…dia kata aku akan ada banyak property, ada anak, berjaya dalam pendidikan dan akan ada kemajuan kerjaya. Cuma aku kena jaga kesihatan. Ini dia yang kata…aku ingat aje. Jadi lepas aku balik dari Jepun ni, rasanya konfem raya meksiko 🙂

Seterusnya kami ke Nara Park. Tempat ini banyak rusa. Aku sakit kepala sebenarnya sebab maunya tengik. Lagi satu, aku takut dengan rusa tu. Tapi untuk kenangan aku tadah dan tabahkan juga. Sebelum rusa tu mula menyondol, aku cepat-cepat lari. Tapi Kak Dilla steady aje kena gomol dengan rusa tu. Dia pun dah mula rindu dekat kucing dia. Rusa buat lepas geram, katanya.

Aku pandang kiri kanan, asyik shot rusa mengeluarkan najis aje. 

Todai-ji Temple terletak sekitar kawasan ini. Dikatakan Dewan  Daibutsu-Den adalah the largest single wooden structure di dunia. 

Katanya kalau dapat melalui lubang empat segi tu, dapatlah tiket ke ‘syurga’.

….sebenarnya banyak lagi cerita dan gambar menarik yang aku mahu kongsikan. Tapi tak cukup masa sebab aku kena packing. Esok akan ke Tokyo. Apapun gambaran tentang warisan Jepun yang aku asas semuanya ada dalam catatan ini.

P/s: terima kasih, Aifa untuk gambar dan info

Hai, Daijobu Desu – Ekonomi Jepun dan Perubahannya

Hari ini kami berkumpul di lobi pada pukul 8.30 pagi. Kalau ikutkan call time pukul 8.40 pagi. Sengaja kami semua berkumpul awal agar koordinator kami tidak lama menunggu. Misi ini berjaya.

Perjalanan hari ini agak rumit sebab turun-naik tren. Aku ikut aje sebab memang aku gagal nak memahamkan sistem tren ini macam mana. Yang aku ingat, dari stesen Sannomiya kami bertolak dan kemudian 2x tukar tren. Maaf, tak rajin nak siasat stesen apa dari mana dan ke mana. Yang penting – sampai.

Hari ini kami semua dijadualkan melawat Muzium Konosuke Matsushita yang terletak di bandar Kadoma, Osaka. Cuaca memang panas membahang. Cuma ketika hampir sampai di Muzium Konosuke Matsushita, hari mulai gelap. Dalam hati aku rasa macam bakal nak hujan ni. Aku sempat cakap supaya kita semua ambil gambar dulu sebab langit macam nak gelap. Tapi semuanya terus masuk ke dalam muzium. Mungkin sebab pihak muzium sudah bersedia menanti ketibaan kami.

Kami kemudiannya  menonton 2 tayangan video mengenai Konosuke Matsushita. Boleh dikatakan beliau memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi Jepun. Tengok sahaja peralatan elektrik di rumah kita, pasti ada jenama Panasonic yang kita gunakan.

Sebenarnya, ada banyak perkara yang boleh aku tulis mengenai beliau. Tetapi elok rasanya aku buat dalam satu catatan yang lain, khusus mengenai sejarah hidup dan turun naik Matsushita Electric. 

Kami kemudiannya melawat seluruh kawasan muzium ini. Aku banyak ambil gambar seterika lama, radio lama dan peralatan elektrik yang lain tapi aku gunakan kamera biasa. Entah kenapa semalam charger handphone ini seakan bermasalah. Tak charging! Terpaksa aku bertabah setengah hari cas menggunakan power bank. Justeru aku banyak pinjam gambar-gambar yang dikongsi oleh peserta lain menerusi WA.

Every person has a path to follow. It widens, narrows, climbs and descends. There are times of desperate wanderings. But with courageous perseverance and personal conviction, the right road will be found. This is what brings real joy – Konosuke Matsushita

Apapun, sebelum itu aku AJ in the house dan Azwan awal-awal lagi keluar muzium untuk mengambil gambar monumen Konosuke Matsushita. Itupun kami buat dalam keadaan terkejar-kejar kerana hujan sudah mula rintik-rintik membasahi bumi. Tetapi ketika kami mengambil gambar berkumpulan, cuaca sudahpun bertukar menjadi panas terik. Atsui desu ka!

Usai lawatan ke Muzium Matsushita Konosuke ini, kami kemudiannya ke Osaka Universiti Nakashima Center. Turun naik tren juga ceritanya dan maaf, aku tak kuasa nak ingat. Sebelum kelas bermula, kami makan dahulu dan sempatlah aku merasa sambal ikan bilis yang Kak Dilla buat. Puas hati dapat makan sambal pedas setelah hampir 5 hari sambal manja-manja aje yang aku rasa.

Penceramah kami untuk sesi Ekonomi Jepun dan Perubahannya ialah Profesor Emeritus Sumimaru Odano. Beliau mengajar di Universiti Shiga. Boleh dikatakan sejarah, geografi, ekonomi asas, makro ekonomi semuanya terangkum dalam sesi ini. Kelas beliau bermula dari pukul 1.30 tengah hari – 5.30 petang. Tetapi tidaklah sepanjang masa beliau sahaja bercakap. Kami menggunakan peluang itu untuk bertanya apa juga soalan antaranya kadar kelahiran, perbezaan pendapat antara generasi muda dan tua, bagaimana Jepun bangkit daripada krisis ekonomi dan banyak lagi. Sangat interaktif dan sangat padat.

Sebelum sesi ini berakhir, aku memberikan ucapan penutup merangkap rumusan dan kemudiannya mempersilakan ketua kami untuk menyampaikan cenderamata kepada Prof. Odano. Mujurlah aku sempat buat teks ringkas nak cakap apa. Aku rasa macam kelam-kabut sikit ucapan tu, tapi masa Musha-san jumpa aku dia cakap very good speech maka aku rasa mereka puas hati la tu 🙂

Usai kelas, kami kemudiannya menaiki tren dan berjalan-jalan sekitar Osaka. Kami ditemani oleh bapa angkat aku (hoi,memandai-mandai!) Nakatani-san. Dia sangat tabah melayan ragam kami yang pelbagai ini. Dia dah tahu dah, kalau nak kumpulkan kami semua hanya keluarkan kamera. Maka dengan cargas kami berkumpul. Aku antara yang rajin inter frame. Ada sekali tu dia nak candid gambar aku dan aku sedar terus terbeku kejap. “Oh, shy….” katanya sengih-sengih. Tapi kemudian tu aku posing juga 🙂 Konsepnya di sini siapa tadah kamera, hulur aje muka. Kan dah kabo tadi handphone tak boleh charging. Aku selalu seloroh ‘kopi o kosong’ dengan dia. Dengan Nakatani-san la kami makan semeja masa makan malam beberapa hari dulu.

Aduh, maaflah gagal lagi mana tempat yang kami pergi sebab aku tak boleh ingat. Secara peribadi aku rasa agak complicated nak ingat nama-nama tempat di sini.

Aku berpeluang makan di KENNY Asia. Kedai ini menjual masakan Malaysia. Jadi aku pesan Nasi Putih, dan Sambal Udang. Wow, sedap! Puas hati makan..harganya tak sampai 600 yen. Shaq pesan teh tarik, dan di sinilah uniknya teh tarik itu kerana dia tarik depan mata kita. Siapa alas lantai dengan suratkhabar! 

Kami kemudiannya naik tren lagi untuk ke Hard Rock Cafe. Tapi aku takde beli apa-apa. Puaslah hati semua sebab hajat untuk check-in di sini tercapai.

Ok, itu sahaja dulu. Aku nak study barang sejam dua lagi. Esok ada kelas bahasa. Punca-punca panik juga tu sebab cikgu tu suka petik-petik nama orang.

P/s: hari ini aku sudah mula berbelanja sebab aku perlukan syiling untuk beli tiket tren dan air dari mesin

Happy 17th Anniversary To Us – Part 2

Ok, sambung balik cerita semalam. Lambat sikit update sebab ada kerja.

Pagi itu kami bangun awal. Tidur pun solid. Not bad juga Hotel Sentral tu. Cadangan asalnya mahu sarapan pagi di hotel sahaja. Bila kami turun ke kafe, staff sana bagitahu pakej percuma kami itu tidak termasuk dengan sarapan pagi. Aku pun tak berharap sangat sebab Hadi macam nak cuba makan roti bakar di Jalan Transfer. Terus kami menghala ke sana sahaja.

Aku tidaklah terlalu lapar. Sekadar pesan satu set roti bakar dan milo ais sahaja. Ok, nota minda…minuman di Penang ini manis-manis belaka. Sebelum Keluargaku Semanis Makarun dan diabetes kerananya, berpada-padalah minum air manis di sini.

Roti bakar ini kategori not bad. Hadi pesan roti canai dan juga roti bakar. Secara peribadi, roti canai di Jalan Argyll jauh lebih sedap kuahnya. Lepas makan, terus kami balik bilik dan berkemas. Hadi merancang untuk bawa aku ke Pulau Pasir Panjang. Pulau itu bersebelahan dengan kem BTN. Dia pernah kursus di sana. Jadi dia positif tempat itu sesuai untuk melepak dan bergambar.

Yup, memang cantik…kami bergambar seadanya dan melepak sebentar. Tak lama sangat pun. Elok kami mahu beransur, ada 2 buah kereta mewah masuk dan melakukan aktiviti sama yang kami buat tadi – bergambar. Ini mesti bekas-bekas pegawai kerajaan juga ni…

Seterusnya kami terus menghala ke Bayan Lepas. Inilah yang amat kami nantikan…Kami akan menginap di Lexis Premier Suites. Memang rezeki kami berdua dapat harga yang logik akal, potongan 50% dan ditambah 10% diskaun oleh Agoda. Memang super berbaloi!

Sepanjang perjalanan kami berpegangan tangan. Bercerita seadanya dan ditemani dengan lagu Halestorm. Itu kira romantik jugalah untuk kami yang memang menantikan percutian berdua sebegini. Apapun, makan tengah hari dahulu. Tidak susah membuat keputusan. Kami hanya memilih kedai yang mana nampak menarik semasa perjalanan. Akhirnya mata kami tertancap di Kedai Mee Rebus Pak Mid. Orang ramai beratur untuk bungkus. Mesti sedap ni, kata aku pada Hadi.

Kami pesan satu mee rebus sotong dan satu mee rebus sotong. Mee rebus tu sedaplah..tapi mee goreng tu ya, ampun…sedap sangat-sangat. Aku hampir tambah lagi satu tapi Hadi minta aku bertenang sebab kami merancang untuk berendam dalam private pool sepanjang hari. Dah alang-alang bayar mahal, jangan rugi tidur aje.

Inilah pertama kali aku duduk di hotel yang ada private pool, memang terasa eksaited belaka. Bilik kami mengadap laut dan ditingkat 21. Sengaja aku request high floor. Pemandangannya mesti cantik.

Masuk aje bilik, longgar lutut. Punyalah cantik! Aku dan Hadi sibuk mengambil gambar untuk simpanan dan rujukan kami untuk percutian akan datang (nampak tu, dah ada planning).

Selain dari private pool, sauna pun ada. Ini kami tak reti guna. Kalau reti pun, takde perasaan nak guna. Bak kata Hadi, “i nak sound check, bukannya sauna” 🙂

Kami banyak mengenang cerita lama, cerita zaman kami susah dahulu dan masih bergelar pelajar sampailah kehidupan kami sekarang. Yang orang nampak yang indah-indah aje. Susah-payah yang kami lalu dahulu tak ramai yang tahu. Aku takkan lupa bila dia cakap, “17 tahun lalu I pilih you untuk jadi teman I, dan sekarang you masih lagi menjadi teman I. Terima kasih atas kesabaran you sepanjang hubungan ini”. Berkaca jugalah mata aku sekejap.

Sudahlah sedih syahdu-syahdu ni, jom terjun kolam!

Kami berendam sampai 6.00 petang! Aku takkan lupakan moment-moment itu semua berlatarbelakangkan lagu Maggie Day, Have I Told You Lately dan Sailing…diikuti alunan lagu Bryan Adams yang melambak-lambak selepas itu. Eh, lain macam pemilihan lagu dia petang itu.

Kemudiannya kami makan malam di Bangkok Tomyam. Ambil set aje senang. Cuma ayam masak kunyit dalam set asal aku tukar dengan padrik sotong. Total semua RM64 termasuk GST 🙂

Malam itu, kami melepak di Sky Lite Bar di rooftop hotel. Hadi sempat mengajak seorang kawannya yang kebetulan duduk di Bayan Lepas untuk lepak dengan kami. Aku memesan Roselle Punch dan cuba untuk bersembang sekali. Tapi memang aku dah super pancit! Aku minta izin melepak dalam bilik dan Hadi terus bersembang dengan kawan dia, Wawa namanya.

Aku naik dan konon-konon nak berendam badak lagi sekali. Air kolam pulak sejuk giler…sudahnya aku terus tidur.

Esoknya selepas berendam lagi sekali (alang-alang bayar mahal), kami daftar keluar hotel dan terus mencari port untuk makan tengah hari. Hari ini kami mahu mencuba Nasi 7 Benua. Namanya aje sudah catchy. Sayangnya perjalanan kami tersangkut kerana kemalangan yang baharu sahaja berlaku. Yang syahdunya, itu sahaja jalan yang perlu dilalui jika mahu ke kedai tersebut. Terus kami tukar rancangan. Patah ke belakang menghala ke Teluk Kumbar.

Tiba-tiba aje aku terperasan satu kedai makan yang pernah kami cuba makan dahulu. Yang aku ingat, ikan bakar dia sedap. Tetapi bila aku tengok lauk-lauk yang berderet, mata aku tidak lepas memandang ayam bakar dan sotong bakar. Terus aku pilih yang itu dan rasanya, sumpah sedap! Memang bahan marinate yang untuk bakar-bakar itu sedap sangat.

Lepas makan, terus pecut balik KL. Aku macam nak ajak Hadi makan lobster bagi menutup acara meraikan anniversary kami ini. Tetapi sebab kami berdua dah kenyang nasi, aku cadangkan kami tunda hari lain sahaja.

Kami sampai di Kota Damansara sekitar pukul 5.30 petang. Takdelah lapar sangat, kenyang sangat pun tidak. Hadi ajak makan ketam! Whaaaaat….mata aku dah bersinar-sinar twilight. Dalam pada tak mahu makan nasi, pesan juga nasi goreng dia yang sedap giler tu. Oh, ya…kali terakhir aku ingat aku makan di sini ialah ketika aku mengandungkan Cahaya Balqis. Punyalah lama tanpa kunjungan lanjut.

Kemudian baharulah kami balik ke Taman Permata untuk ambil anak-anak yang ditinggalkan di sana. Kedatangan kami di sambut oleh Ezzudin. Nampak-nampak aku muka aku, terus minta dukung. Eskandar sudah tidur…tapi kemudian dia terjaga juga bila dengar suara kami. Rindu sangat pada budak berdua ini…

Tapi aku kena adil dengan semua pihak. Aku kena adil dengan suami, anak-anak dan aku kena adil dengan mama dan adik-beradik. Aku kena allocate masa untuk mereka semua. Macam mana caranya kena pandailah aku uruskan. Ada masa aku kena spend masa untuk semua orang serentak. Ada masa aku kena spend masa solid untuk Hadi sahaja. Aku tak akan ubah itu. Aku tak mahu jadi macam perempuan yang bila dah kahwin dan beranak, laki tu dah tak wujud dah. Asyik gambar budak, budak lagi, dia dengan budak dan budak-budak belaka. Dah macam ibu tunggal aku tengok kau ni…

Dalam pada masa bersama entiti di atas, aku terlupa…Aku terlupa aku sebenarnya ada kawan-kawan yang memerlukan aku juga. Aku marah dan kecewa dengan diri aku kerana disebabkan kesibukan yang lain, ada kawan-kawan lain yang aku abaikan. Aku kena kejar balik hubungan yang lama tercicir ini…

Sebagai penutup, aku ucapkan terima kasih kepada Hadi atas masa yang diperuntukkan, pada Mama dan Ameera kerana menjaga anak-anak dan kepada staf-staf di bawah seliaan aku kerana membantu urusan kerja sepanjang aku tiada.

Aku pergi bercuti dengan suami sendiri, janganlah cemburu. Kalau aku cuti dengan laki kau, itu patut sangatlah kalau nak terasa pun…Hubungan kami dan cara menyemarakkannya, itu bergantung kepada komitmen kami berdua. Bukan mudah untuk mempertahankan sesuatu perhubungan terutama kalau sudah mengikat kontrak perkahwinan.

Sebenarnya, kami bersungguh-sungguh mencuba…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...