Rasa Macam Lailatul Qadar

Pada mulanya aku hanya mahu menyimpan cerita ini kerana ia ada unsur-unsur berbuka puasa dan menu. Hajat asalnya awal Ramadan dahulu ialah tidak mahu berkongsi tentang saat-saat berbuka puasa. Tetapi kerana aku tidak mahu lupa, aku tulis juga untuk kenangan aku di masa hadapan.

Jadinya petang semalam aku dan Aie berbuka puasa bersama-sama di satu kedai makan yang terkenal, terletak di Jalan Kelang Lama. Ini kali kedua kami mengulang berbuka puasa di sana. Kali pertama dulu, orang agak ramai dan kami hampir tidak dapat meja kerana sampai 2 minit sebelum waktu berbuka. Kunjungan kali kedua juga seperti kunjungan pertama, cuma bezanya kami sampai 2 minit selepas waktu berbuka. Apa yang peliknya, hanya ada kami berdua sahaja di situ!

Pelik amat…..

Pelayan yang mengambil pesanan pun turut menzahirkan perasaan pelik yang mereka rasa. “Selalunya, kami terpaksa pasang meja sampai ke depan pintu” kata adik pelayan itu dengan ramah usai dia mengambil pesanan makanan kami.

Sambil menunggu makanan sampai, aku jamah dahulu kuih atas hijau bawah pulut (kuih apa ni?) yang dibeli oleh Aie. Tak baik melengah-lengahkan waktu berbuka. Sementara itu, aku meninjau keadaan sekeliling yang penuh dengan kedai makan Cina yang sibuk menyiapkan masakan yang dipesan oleh pelanggan mereka yang penuh sepanjang deretan kedai.

Tiba-tiba lalu seorang makcik yang menjinjit beg plastik dan berhenti di meja kami. Dalam hati, aku membayangkan makcik ini menjual keropok-kerepek dan meminta kami membeli jualannya. Spontan aku tanya, makcik ni dah buka puasa ke belum?

“Belum…”balasnya perlahan.

Kami kemudian mempelawa makcik itu duduk dan berbuka puasa bersama. Kebetulan pesanan makanan kami juga sampai dan aku meminta pelayan membawakan satu lagi nasi tambah.

Kami menyantuni makcik ini dan meminta dia mengambil lauk yang ada – ayam dan kerabu mangga. Pantas dia menolak…

“Makcik tak makan ayam ni…menjaga keturunan…Makcik ini orang asli, keturunan belah nenek memang tidak makan ayam dan telur” terang makcik itu melihatkan reaksi muka aku yang ketara.

Langsung aku minta pelayan tadi bawakan nasi putih bagi menggantikan nasi tambah yang dia bawa tadi. Kalau nasi ayam, setahu aku memang akan pakai air rebusan ayam.

Pelayan kemudiannya datang dengan sepinggan nasi putih. ┬áMakcik tadi rupanya ada membeli lauk ikan berkuah, ikan keli berlada untuk sahur dan bubur sum sum (betulkah namanya bubur sum sum?). Terus dia mencurahkan kuah ikan dan makan dengan penuh berselera sementara aku dengan Aie penuh syahdu melayan makanan yang ada di depan mata. Tak sampai 3 suap aku makan, aku jelinglah makcik tu – nasi dia dah habis!

Makcik nak nasi lagi? Kalau nak saya minta lagi satu?

“Boleh juga…”

Langsung aku memesan nasi putih lagi sepinggan. Seperti tadi, dia mencurahkan kuah ikan ke dalam pinggan nasi dan kali ini baharu aku perasan yang dia tidak makan nasi dengan ikan. Dia makan nasi dengan kuah ikan! Pun laju dia makan. Lapar sangat agaknya. Dia cakap berbuka puasa hari ini bukan main sedap rasanya, tak tahu kenapa. Aie cakap mungkin sebab berbuka ramai-ramai, perasaannya lain.

Kemudian perlahan-lahan kami mula mengenali figura ini. Dia berkerja sebagai cleaner di KL Sentral, asal Batu Pahat, Johor…keturunannya orang asli belah bapa, Indonesia belah ibu. Namanya ialah Siti Aminah manakala nama arwah ibunya ialah Siti Khadijah. Banyak juga yang kami sembangkan, tapi kena pandai agak apa yang cuba disampaikan sebab laras bahasa memang lari jauh. Dia bercerita pasal barang-barang serba mahal di sini. Di kampungnya dahulu petik-petik aje semua ada. Tapi ada satu masa dahulu semua tanaman habis tenggelam (banjir rasanya). Sambil bercerita, dia menguit-nguit ikan dalam plastik dan makan. Aku tak pasti sama ada memang makcik ni tak makan lauk dengan nasi atau dia memang suka makan lauk kemudian.

Makcik ini bercerita, dia sudahpun membeli tiket bas untuk balik berhari raya di Batu Pahat. Tambahnya lagi, kerjanya kali ini dia boleh cuti raya. Kerja lamanya dahulu tak benarkan sangat cuti-cuti ni. Bila aku tanya, kenapa tak kerja di Batu Pahat sahaja, barang-barang lebih murah. Tidak semahal KL. Dia jawab kerja di KL gaji lebih besar.

Aku mula-mula nak sembang logik gaji besar barang mahal, gaji kecil barang murah macam itulah. Tapi aku shut up aje sebab makcik ini berusaha untuk mengubah ekonominya. Kenapa perlu aku jadi Profesor di situ?

Kami kemudiannya meminta diri untuk beransur. Sebelum balik, berkali-kali dia luah rasa tidak percaya dengan apa yang terjadi hari ini pada dia. Alahai, pada aku dan Aie pula setakat makan 2 pinggan nasi dan teh o kosong aje pun…Tak luak mana.

Di deretan kedai makan Cina yang kami telusuri, ada satu kedai buah yang menjual durian. Aku ni memanglah hantu durian. Untuk melepaskan hajat, Aie beli sebiji sebab aunty tu kata durian tu warnya oren-oren macam baju aku hehehe…Rasanya, sumpah sedap weh! Bercucuran air mata aku sekejap…warnanya kuning pekat nan menggoda iman. Dan aunty itu menyantuni kami dengan sangat ramah. Dalam hati aku rasa agak terharu juga sebab aku jumpa manusia yang baik-baik hari ini.

Sekali lagi, makcik tadi lalu dimeja kami. Kami mempelawa dia makan bersama-sama. Mula-mula dia ambil seulas, uik sedapnya! Kami beri dia seulas lagi dan dia makan dengan penuh berselera.

“Terima kasihlah…aku rasa macam Lailatul Qadar malam ini” katanya sebelum dia berlalu.

Aku dengan Aie gelak dengar dia cakap macam tu. Dia ingatkan kitorang ni malaikat. Kami pulak ingatkan entah-entah dia tu yang malaikat. Ini biasalah dialog-dialog tak membina pasca makan yang membuatkan kami tersadai seketika.

Betullah orang kata, kadang kala perbuatan kita yang kecil itu memberi kesan yang besar kepada orang yang menerima. Sebenarnya, makcik Khadijah itu adalah pengajaran untuk aku dan Aie. Lepas ini, setiap kali puasa konfem cerita makcik ini akan kami kongsi semula ­čÖé

Sebenarnya makcik itu tidak jual apa-apa pun. Aku masih musykil kenapa dia berhenti di meja kami tetapi bukanlah itu juga satu cara untuk kita mengakui kuasa tuhan?

Selamat berpuasa dan selamat mencari Lailatul Qadar…

 

Kamu Yang Bawaku Terbang

image
Aku sudah beritahu. Aku tidak suka dalam keramaian. Aku serabut dan rasa sendiri. Aku tidak tahu mahu menumpukan perhatian kepada siapa sebab semua orang seolah gila perhatian. Kerana itu aku cenderung bersendiri dan menanti kamu dengan melayan diri sendiri.

Aku meneroka daripada satu ruang hibur ke ruang hibur yang lain. Bukan jenis itu yang aku suka. Bukan jenis itu yang aku mahu. Aku tidak suka muzik hiruk-pikuk macam nak pecah gegendang telinga. Juga lelaki yang kecenderungannya boleh dipertikai mengutus salam kenal dengan niat terselindung. Apatah lagi dalam satu ruang seolah akuarium yang aku perlu berbasahan untuk ke seberang sana.

Aku bosan! Aku rasa asing..

Aku nanti akan dikau di luar pintu masuk. Selepas semua khalayak bangun bertepuk sorak terkhayal dengan persembahanmu memainkan imaginasi mereka. Kamu akhirnya muncul di situ.

Aku ingat jelas. Warna baju itu Royal Blue, ada Ace Club di depannya. Kamu pantas mendapatkanku. “Adakah kamu gembira melihatku?” Masakan tidak. Dadaku berombak kencang tanda keterujaan yang teramat. Sumpah aku sukakan apa yang aku lihat di depan mata ini. Sumpah cantik! Entah berapa kali aku katakan padanya. Dia hanya ketawa kecil. Kalau tidak disebabkan keadaan, mahu sahaja aku mendakap dia di situ juga!
image

“Okay, sekarang kamu mahu apa? Mintalah apa sahaja.”
Seriously?
Boleh bawaku terbang?

Serentak tanganku ditarik dan betul…dia bawaku terbang. Tidak terbang ke langit. Kami terbang menembus setiap jalan utama. Semua manusia yang ada dikeliling jalan bersorak tatkala kami berdua melintasinya khalayak dengan bergaya dalam bersahaja. Aku perhatikan riak-riak dengki mata yang melihat. Tentu mereka tertanya mengapa aku yang dipilih, bukannya mereka yang berhabis beratusan ringgit semata-mata mahu melihat persembahan dia.

Jauh aku dibawa mengembara. Daripada satu jalan ke jalan..daripada satu lorong ke lorong sampaikan aku jadi kagum dan simpati padanya. Dia membawaku terbang dengan penuh kudrat yang ada. Sampai aku katakan peluh yang mengalir itu lebih meriah berbanding peluh yang terhasil apabila dia beraksi. Aku akui..aku jatuh sayang padanya.

Makin lama, kami menghampiri satu kawasan perumahan. Kelihatan sekumpulan manusia seperti sedang berkumpul seolah sesuatu yang tragis telah berlaku. Aku perhatikan keliling. Tiada muka yang aku kenali. Adakah ini perhimpunan satu bangsa sahaja? Serentak itu kelihatan satu kakak bertudung – anak mami barangkali dan terus kami merapati dia.

Kamu maklum sahajalah..dengan nama yang dikenali dan baju persembahan yang masih tersarung membuatkan kamu terus dikerumuni gadis-gadis cantik yang pantas mengambil peluang untuk bersembang. Perlahan-lahan aku kebelakang dan kemudian aku terus terasa dipinggirkan. Sudah aku katakan…aku tidak selesa dalam keramaian manusia.

Tidak lama aku menyendiri. Dia menghampiriku dan membisikkan mengapa dia perlu masa untuk bersama gadis-gadis itu. Salah seorang daripada mereka telah berjanji untuk menyelesaikan satu masalah yang membebaninya.

“Kamu perlu faham itu..kamu perlu faham itu. Aku akan mendapatkanmu selepas semuanya selesai.” Dalam pada rancak dia bersembang dengan mereka, adakalanya matanya tetap mencuri memerhatikan aku yang setia menanti.

Tidak lama untuk otakku memberitahu kebenaran hujung pangkal cerita ini. Dia akan datang bila dia perlukan aku sementara aku sentiasa memerlukan dan menghargai dia. Cuma dia perlu tahu…dia yang bawaku terbang.

Sekian.

Kata-Kataku Bukan Mimpi

image

Satu mimpi besar yang aku kejar.
Mimpi itu aku harap akan mengubah keadaan daripada sedia ada kepada lebih baik.

Tapi aku bertindih dengan mimpi yang satu lagi. Mimpi itu juga aku kejar bersama mimpi-mimpi yang lain.

Sekarang aku harus kejar keduanya – walau serabai, walau rabak, walau barai. Yang nyata aku berperang dengan masa.

Aku tidak sempat untuk lari ke hutan dan belok ke pantai. Aku hanya larat menambah bilangan mimpi dan mencungap mengejarnya satu persatu…

Teruskan bermimpi, badak!

Hari-Hari Hari Guru…

Kami-kami yang hadir
Kami-kami yang hadir

 

Hari Guru pada aku sama seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Bomba dan Hari Lesbian, tidak perlu satu hari yang khusus untuk meraikannya. Sambut sahaja tiap-tiap hari tanda menghargai insan yang dimaksudkan. Lebih indah dan aman begitu.

Lewat Hari Guru yang lalu, aku memang terlewat mengutus ucap selamat dan salam terima kasih kepada pendidik-pendidik yang masih berhubung baik dengan aku yang tak berapa baik sangat zaman belajar dahulu. Jujur aku katakan, ada cikgu yang baik, ada cikgu yang aku tak suka dan ada yang aku sangat suka sampai kalau dah suka tu dia duduk mana pun aku tahu. Cikgu ingat kita mungkin ada beberapa sebab yang kuat. Satu, mungkin kita outstanding yang teramat dalam sukan atau akademik. Kedua mungkin kita nakal dajalism yang melampau. Ketiga mak bapak kita sambadi-sambali yang sambadi. Memanglah akan dikenali sepanjang jaman.

Aku mungkin diingati sebab yang kedua. Pada mulanya beliau sendiri tak pasti aku ini murid beliau yang mana. Jenuhlah diterangkan salasilah dan mungkin dari penjelasan itu beliau tahu. Kalau tidak, itu normal. Yang tak normal, anak murid tak kenal guru.

Berbalik kisah di atas. Aku ke luar negara sewaktu sambutan Hari Guru diraikan. Seminggu selepas itu baharulah aku berpeluang berhubung dengan Cikgu Misel.  Cikgu Misel adalah guru bahasa Inggeris masa aku dalam darjah 2 pada tahun 1989. Beliau juga merupakan cikgu sukan di SKLK yang sangat aktif, dedikasi dan garang. Cikgu korang mampu koyakkan buku teks? Takkan? Takkan..?

Keterujaan berhubung dengan Cikgu Misel aku khabarkan di media sosial. Rakan-rakan dari SKLK mula bertanya khabar Cikgu dan satu rancangan spontan diutarakan untuk membuat kunjungan ziarah ke rumah cikgu, minggu itu juga. Aku ok aje..walaupun tanpa perancangan rapi, aku dan 2 sahabat lain setuju melapangkan hujung minggu kami untuk melawat Cikgu Misel. Aku bawa seluruh keluarga, alang-alang mahu bawa mereka ke rumah kakak yang tinggal di Bukit Beruntung.

Sedapnya kami dijamu dengan laksa dan nasi goreng cili api
Sedapnya kami dijamu dengan laksa dan nasi goreng cili api

 

Kami dijamu dengan laksa dan nasi goreng cili padi. Punyalah sedap sampai rasa macam nak bungkus bawa balik aje. Kami bersembang cerita lama. Kisah perlawanan akhir bola tampar bawah 12 di Sabak Bernam paling epik.  Setidaknya masa cikgu bercerita aku mahu Mama, Hadi dan Ameera tahu apa yang aku lalui zaman sekolah rendah dahulu. Itu antara kisah klasik yang selalu aku kenang setiap kali aku melintas SK Seri Badena.

Masa kecil dahulu, setiap kali aku mewakili sekolah dalam apa-apa acara, memang Cikgu Misel banyak jadi guru pengiring. Ditambah dia pernah menjadi guru aku, jadi hubungan kami memang rapat. Itu sebab kalau cikgu menasihatkan aku, walaupun aku rasa aku betul – aku tidak melawan. Kalau cikgu lain tu, memang laju aje aku mempertahankan diri.

Cikgu bercerita kisah lama..memang terasa down memory lane
Cikgu bercerita kisah lama..memang terasa down memory lane

 

Apapun, terima kasih Mar Izwan dan Ayen Rap kerana sudi menjayakan kunjungan pertama ini. Minggu lepas satu lagi kumpulan telah melakukan perkara yang sama. Baguslah begitu…semoga kita semua dapat membuat satu perjumpaan mega dan mengumpulkan cikgu-cikgu yang pernah mengajar kita.

Qurnia Qornea Cordelia..

images (1)

Ia bermula dengan sembang kosong tentang ‘macam mana hari awak hari ini’ ketika kami dalam usaha mencari tong air. Maklum sahaja masalah air di Selangor yang memuncak berkemungkinan melarat catuannya dikawasan kediaman kami.

Hari itu biasa sahaja..mengendali proses ‘pitching’ yang kalau dinukilkan banyak warna-warni yang melatari kehidupan aku sejak berpindah ke unit baharu ini. Ada tajuk yang ‘catchy’ ya amat tapi jalan ceritanya tidak menarik dan mengikat. Ada tajuknya yang skema macam karangan darjah 5, tapi jalan ceritanya punyalah mencengkam dan memberi kesan.

Aku dan Hadi selalu bersembang pasal drama melayu. Tidaklah sangat bercerita perihal kerja aku kerana dia sendiri tidak gemar bercerita perihal kerja dia. Tapi setakat bercerita tentang drama melayu dengan props wajib jus oren, make-up macam nak pergi clubbing ketika dirumah/sawah/atas katil dan anak Datuk/Tan Sri super kaya tapi gagal dalam cinta – kami memang handal!

Jadi berceritalah kami tentang kecenderungan menggunakan abjad Q menggantikan K untuk mencantikkan tajuk sesuatu drama atau filem. Contohnya Qudrat, Qaseh, Qalbu dan qalqalah lain. Tiada pula dalam perbualan itu menjadikan drama barat menggantikan abjad F dengan P. Kebetulan kami baharu selesai menonton American Horror Story :Coven. Siapa yang pernah tengok pasti faham matlamat catatan ini yang lucu sebenarnya. Kalau fahamlah..Tak faham sila gugel.

Akhirnya Hadi mencadangkan satu tajuk drama tanpa sinopsis khusus iaitu ‘Kurnia Kornea’. Aku menerangkan kepada dia tentang kecenderungan K menjadi Q – maka tajuk itu menjadi ”Qurnia Qornea”. Kami berdekah-dekah gelak dalam kereta sambil meredah kesesakan jalanraya yang sedikit jahanam di kawasan Shah Alam. Belum reda ketawa, aku mencadangkan dibubuh nama pelaku yang menerima kornea itu agar ia lebih menarik. Maka jadilah ia “Qurnia Qornea Qordelia”.

Cordelia-Acid-Eyes-American-Horror-Story-Coven-

Oh, kami masih akan ketawa jiwa cerita Qurnia Qornea ini disembangkan sesama sendiri.. Ia boleh menjadi 3Q. Kalau mahu, juga boleh menjadi 4Q – Qurnia Qaseh Qornea Qordelia..

Qah…Qah..Qah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...