RSS
 

Archive for the ‘Makan’ Category

Da carve! Da Carve!

28 Dec

labu

Cerita ini segar, baru berlaku kelmarin di sebuah restoran selera Indonesia di Damansara. Damansara yang mana cari sendirilah. Siapa yang jumpa sangat handal. Kedai ini sahaja yang mempunyai pekerja Bangla yang ketika peristiwa ini berlaku berbaju kotak hitam putih.

Aku sedang mengadap set ayam penyet yang pedas (tapi tak pedas sangat pun) dengan dua rakan sambil bersembang hal membeli dan membelah. Tiba-tiba telefon di restoran itu berbunyi. Dengan pantas Bangla itu menjawap telefon sambil membawa sedulang hidangan yg penuh di dalamnya.

“Ya…ya…sini.

Itu da carve…da carve bawah sana.. da carve!”

Serentak itu aku menahan semburan makanan agar tidak terkeluar dari rongga mulut.

Da carve..da carve!

Dafuk…

 

BBQ Groupie..

15 Jan

Ahad lalu sangat berkejar dengan masa. Ahad lalu paginya aku di Kuantan, memenuhi agenda yang mahu aku tuntaskan sebelum segera bertolak balik ke Kuala Lumpur. Cadangnya sebelum 4.00 petang perlu sampai di Putrajaya. Alhamdulillah, trafik menyebelahi dan aku sampai sana sekitar 4.15 petang. Hari itu telah ditetapkan acara BBQ untuk penutup Semester 3 2012. Aku bertanggungjawab membawa arang dan “bagai-bagai” untuk membakar. Mujur aku sampai awal dan tidak membuatkan rakan-rakan lain menunggu lama.

Acara ini pertemuan pertama selepas Semester 3 berakhir. Ada yang akan tamat pengajian dahulu, dan ramai juga akan menyambung Semester 4, termasuk aku sendiri. Seorang teman yang bercuti juga meluangkan masanya untuk pertemuan makan-makan ini. Cuma ada seorang tersangkut di Perak kerana urusan kerja. Tak mengapalah…Yang penting bertemu.

Apalah acara BBQ tanpa ayam dan sosej. Dan apalah sangat tragedi sosej tumpah kalau bukan BBQ namanya. Ia sederhana tapi meriah. Sungguh, aku tersangat kenyang air hari itu. Air ada hampir 7 jenis, belum termasuk air panas. Bihun dengan kicap yang aku mohon khas, pavlova, sos salsa, sate kambing dan kudap-kudapan lain memenuhi meja. Ada yang membakar, ada yang bermain PS3 dan ramai melayan diri mengikut keselesaan. Paling epik, kerang yang sepatutnya menjadi kerang rebus bertukar menjadi kerang rebus kerana kakak kerang datang lewat atas urusan kerja. Penutup acara, makan kerang sambil merencana aktiviti seterusnya .

Apapun, selepas ini pasti semuanya berubah. Masa merubah segalanya, kesibukan akan menghambat kami semua. Hanya WhatsApp tempat melabun dan berbicara tanpa muka. Dalam hati aku tahu aku punya satu keluarga yang besar.

 

Mee Tarik Warisan Asli..

16 Dec

Plan untuk makan mee tarik ini sudah lama. Cuma empunya cadangan itu akhir-akhir ini sangat sibuk kerana beliau baru menukar tempat berkerja. Jadi kami sebagai rakan-rakan yang memahami akur dengan kesibukan masanya yang tidak terluang untuk kami lewat malam semalam. Jadinya semalam, 8 manusia yang lapar kerana belum makan malam atau lapar kerana tidak kenal apa itu kenyang berkumpul di rumah Fariq sebelum kami semua menderu mencari lokasi yang dimaksudkan – Mee Tarik Warisan Asli yang terletak di Sungai Besi. Mujur dengan bantuan GPS kami langsung tidak sesat.

Sabtu malamnya Ahad…berbondong-bondong manusia membanjiri kedai dua pintu ini. Itupun ramai lagi menanti giliran di luar kedai untuk menunggu meja kosong. Mungkin kerana kami ramai, dan kerana niat suci murni ingin mencuba mee tarik maka adanya satu meja panjang untuk kami, walaupun sedikit bersempit. Maklum, orang sangat ramai…Jadi pesanan kami tiba hampir sejam menunggu. Namun, pesanan diuruskan mengikut meja, jadi tidak akan ada ahli gerombolan yang tertinggal makanan. Itu aku setuju.. Dapurnya juga kecik jadi aku memang bersiap-sedia dengan kemungkinan makanan akan lambat.

Aku bukan penggemar mee. Aku juga tidaklah begitu sangsi dengan rasa dan rupa mee tarik. Tapi untuk singgahahan pertama, aku cuba Mee Tarik dengan Fungus dan Daging. Oh, fungus tu kulat ya..macam adik-beradik cendawan sikit. Rasanya sedap walaupun bahagian mee yang datang agak banyak dan besar. Sedikit pedas, tetapi tidaklah sampai mematahkan selera. Harganya sekitar RM 8.00

Untuk minuman pula, aku memesan air teh Cina, Ba Bao Tea kalau tak silap namanya. Rasanya seperti teh chamomile, bercampur teh jasmine dengan sedikit tambahan buah aprikot, sebiji longan kering, buah tin dan unsur-unsur lain yang gagal aku kenalpasti. Rasanya sedap dan ia datang dengan mode panas. Air ini serasi dengan aku sebab aku rasa tenang selepas menghirupnya :) Harganya RM 3.50 segelas.

Farah, sahabat aku yang super sibuk dan mencadang pot makan di sini mengusulkan kami mencuba hidangan kambing yang dicucuk dengan pengumpil gigi. Mungkin sebab kami semua bukan penggemar kambing, atau pun sebab ia percubaan pertama justeru cadangan itu diabaikan. Tapi sepanjang sejam menunggu, mata tak lari memandang berpinggan-pinggan kambing yang dipesan oleh pengunjung lain. Yang itu, insyaallah lain kali aku cuba.

Errr…jangan tanya tempat ini area mana, landmark dan tok nenek yang lain sebab aku sendiri tidak arif dengan kawasan ini. Ini alamatnya, gi gugel, gi gugel!

Restoran Mee Tarik Warisan Asli

51A Jalan Tasik Utama 3,

Medan Niaga Tasik Damai,

Sungai Besi,

57000 Kuala Lumpur.
 
 

Buah Dabai..

21 Nov

Gambar carian google..

Sabtu minggu lepas adalah pertama kali aku mencuba buah dabai. Kisahnya begini : Fariq pergi Sarawak – Kimi pesan buah dabai – Fariq bawa balik – Kimi pesan pada rakan kelas bawa 3 in 1 sebab dia bawa cerek – Kelas Sabtu – Kimi rebus buah dabai dan bawa cicah kicap masin – kami makan dengan perasaan pelik dan aneh (untuk yang pertama kali cuba). Begitulah flashback saya yang malas nak mengarang ini.

Masa pertama kali cuba aku makan dalam 2 biji. Rasanya lemak-lemak dan sedap bila dicicah dengan kicap masin. Tambahan pula hari itu Kak Shima sudah tapaukan nasi lemak sebungkus, Kak Ros membawa satu potong Pavlova khas untuk aku sahaja dan sebekas besar puding raja. Aku agak sendat di situ. Bila dah balik rumah barulah rasa macam kecurnya nak makan buah dabai lagi.

Jadi semalam masa kelas deyta, aku sempat tanyakan pada Kimi mana tahu ada rezeki nak makan buah dabai lagi dalam kelas. Kimi setuju membawa beberapa biji untuk dimakan dalam kelas bersama rakan-rakan lain. Untuk cover pelahap, aku bawa 3 bungkus roti john hehehe.

Terima kasih kepada rakan-rakan kelas yang sporting. Alangkan ulat mulung kita semua cuba, inikan pula buah-buahan :)

 

Durian Musang King..

13 Nov

Musang King

Minggu lepas, akhirnya aku merasa untuk mencuba raja buah bertajuk Musang King. Sebelum ini memang langsung tak berkesempatan. Harganya memang sedikit mahal. Tetapi dengan rasanya yang membuatkan aku melayang-layang, ia jatuh bawah kategori berbaloi. Kalau siapa belum rasa, silalah mencuba sementara musim tengah menggila. Durian ini berharga RM25 sekilo. Paling mahal aku jumpa RM 38 sekilo. Yang cerempetnya selepas aku makan member beritahu di Klang dijual Rm 15 sekilo. Entah bila zamanlah nak menyampai ke sana..

Apapun, pasca makan perasaannya sangat indah :)

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...