Selamat Tinggal 2017!

Hari ini, 26 Disember 2017….bermakna 26 hari sudah aku tidak menulis dalam blog ini. Bukannya sebab tiada masa, tapi sebab banyak sangat yang berlaku tetapi terlalu sulit untuk aku ceritakan. Nantilah…bila ada kekuatan aku kongsikan juga.

Hari ini aku mahu imbas kembali apa yang terjadi sepanjang 2017. Yang seronok dan tidak semua itu pengalaman hidup untuk dikenang.

Aku menyambut hari lahir ke-36 di Krabi, Thailand pada bulan Januari. Memang rezeki sangat sebab aku dapat hotel 4* dan tiket flight dengan harga tak sampai RM450 seorang.

Aku menyambut ulang tahun 17 tahun bersama Hadi di Pulau Pinang. Tak sangka hubungan kami selama ini. Merasa juga duduk di Lexis Premier Suites, Teluk Kumbar. Bilik berharga RM400, campur tolak cukai dan diskaun keahlian. Kalau harga weekends lebih mahal. Kerana itu aku suka bercuti pada hari berkerja.

Aku berpeluang menghadiri Konsert Wings & Superfriends. Yang buat teruja sangat tu sebab ada M.Nasir aje hehehe…

Aku dapat kiriman bunga dan cokelat sempena Kiriman Kasih BKTV. Terima kasih kepada yang memberi.

Sempena Hari Ibu, Hadi belikan aku durian. Tak kisahlah bukan berstatus raja atau binatang yang penting dia belikan aku durian. Aku memang suka durian. Nak-nak kalau yang kuniang-kuniang warnanya…

Tahun ini – 2017, puteri syurga yang sangat aku rindukan berusia 5 tahun. Sehingga kini, aku belum pernah berjumpa dia di dalam mimpi. Aku masih menantikan saat itu.

Aku dipilih untuk berkursus di Jepun selama 26 hari! Ini memang mimpi jadi nyata dan ini juga adalah sejenis doa yang aku minta pada tuhan. Aku ingat lagi, doa aku bunyinya macam ini, “berikanlah aku peluang ini supaya dapat aku abaikan apa juga kekecewaan yang aku alami sepanjang 13 tahun aku berkerja.” Alhamdulillah…rezeki aku di sini. Aku dapat kawan-kawan baharu dan berjumpa dengan pelbagai ragam dan jenis manusia. Yang tak dijangkakan, aku berpeluang ke tempat-tempat menarik di sana. Agak gila kalau aku tampal semua gambar di Jepun itu kerana terlalu banyak gambar dan cerita menarik di sana. Boleh rujuk catatan bulan Julai dan Ogos untuk lebih faham.

Buat sendiri berus tu…

 

Garlic Naan + Mutton Curry Masala.

Satu yang paling aku ingat – Garlic Naan dan Mutton Curry Masala di Naan Inn, Kobe. Sumpah! Memang epik gila makanan ini. 5 kali aku berulang makan. Tak boleh kerap sangat sebab harga mahal 🙂

Menu wajib – Bukkake Udon + Fish Tempura

Satu lagi – Bukkake Udon di San Plaza, Sannomiya. Semenjak terjebak, hari-hari aku mengulang makan sampaikan atuk buat udon tu sudah kenal muka aku. Kalau takde member pun takde hal. Aku sanggup jalan kaki seorang diri. Padahal aku bukannya rajin sangat keluar berjalan. Penat berkursus membuatkan kecintaan aku pada katil di Kobe Monterey Hotel lebih tinggi. Itu belum cerita bathtub dia yang memanggil-manggil.

Suka menyakat acik ni

Dalam ramai-ramai umat Jepun yang aku kenal dan jumpa, aku paling rapat dengan Nakatani san. Dia makan semeja dengan aku dan beberapa geng lain masa jamuan makan malam di Doma-Doma. Lepas kenal-kenal dan bersembang, memang aku selesa dengan dia. Detik yang membuatkan kami lebih rapat adalah masa di Tokyo. Aku, Nakatani dan Kitamura melepak bertiga di Ginza. Memetik filem Cassablanca, “this is the beginning of a beautiful friendship”.

Akhirnya, rezeki aku datang juga. Aku dapat kenaikan pangkat B44 selepas 13 tahun berkhidmat. Aku hampir tidak mahu datang pada hari itu atas sebab-sebab tertentu. Selepas ditazkirahkan, aku setuju hadir dan aku tidak membuat throwback kenangan lalu disebabkan aku sudah “bersetuju” untuk mengabaikan kenangan-kenangan pahit masa lepas.

Jamuan perpisahan

Disebabkan itu, aku bertukar unit dari Unit Kandungan dan Kreatif ke Bahagian Pemasaran dan Promosi untuk mengetuai Unit Promosi. Maka berpisahlah aku dengan Unit Pentadbiran, Kewangan dan Dokumentasi yang hampir 3 tahun aku jaga.

Sepanjang 2017, 3 kali aku tidak boleh bercuti selama 28 hari. Aku menanggung 44 di UKK, kemudian di Unit Promosi kerana kenaikan pangkat dan kemudian menanggung 48 juga di sana. Seronok sangatlah sebab naik pangkat tiap-tiap bulan padahal yang menanggung pertama itupun elaunnya tak nampak bayang lagi.

Tapi badan penat ya amat..susah aku nak terangkan. Aku berkursus 26 hari di Jepun, balik aje terus masuk pejabat dengan tak sempat bercuti. Kemudian tak boleh bercuti lagi 28 hari. Habis aje edah, terus aku ajak Hadi ke Terengganu. Ingatkan cuti ini untuk masa berdua – tidak juga. Penuh agenda makan dan tengok wayang.

Sejak balik dari Jepun, aku belum lagi move on. Banyak benar memori dan rasa rindu pada pak angkat membuatkan aku terasa mahu ke sana lagi. Berkat bersukat-sukat belanja dengan elaun semasa di Jepun, aku berjaya juga merealisasikan hasrat untuk menyambut ulang tahun perkahwinan kami ke-11 di Osaka, Jepun. Maka elaun berkursus itu dari Jepun dia datang, kepada ekonomi Jepun juga dia kembali.

Aku bukan sahaja dapat jumpa dengan Nakatani, malah aku berpeluang berjumpa dengan coordinator aku di Kobe iaitu Kitamura.

Aku juga dapat berjumpa kembali dengan pegawai-pegawai dari Pacific Resources Exchange Center (Prex) iaitu Musha dan Sekino. Sempat kami merakam video bersama.

Kunjungan ke Osaka ini sangat bermakna sebab aku dapat bergambar sepuas-puasnya dan pergi ke mana destinasi yang aku tak sempat pergi dahulu. Masa berkursus, aku tidak berjalan sangat. Maka kali ini aku manfaatkan sepenuhnya. Merasalah ke Kobe, Himeiji, Kyoto dan tempat-tempat menarik lain di Osaka. Tapi paling tidak dapat aku lupakan ialah kisah menjejak kubur Allahyarham Syed bin Mohamed Alsagoff – salah seorang dari 3 rakyat Malaysia mangsa pengguguran bom atom di Hiroshima.

Mujur juga aku berjaya dapatkan tiket dengan harga yang murah, sekitar RM750 seorang. Hotel percuma kerana menggunakan kelayakan kelab percutian yang kami langgan. Belanja pengangkutan dalam RM250, simkad RM60 dan belanja makan RM250. Makan banyak save sebab rezeki aku murah, ramai yang sudi belanja. Paling aku tak sangka, aku berkenalan dengan seorang pengembara dari Australia, Olivia namanya. Kami bersembang semasa menunggu tren dan dia kemudiannya bersetuju untuk saing bersama untuk ke Umeda Sky Building. Sebelum itu, kami makan dahulu di Hooters,Osaka dan dia belanja kami berdua di sana. Memang aku dan Hadi terkejut gile sebab dia makan fries dan minum coke aje. Kami makan macam-macam sebab tak makan lagi dari pagi. Rezeki…rezeki…

Sejak balik dari Jepun, aku mula berhenti menulis. Ini sangat peribadi. Aku belum cukup kuat untuk berkongsi.

Eskandar dan Ezzudin akan mula masuk tadika tahun depan. Aku langsung tak sangka belanja untuk masuk tadika aje boleh luruh segala-mala simpanan yang ada. Kalau tidak, pasti aku tidak bercuti ke Jepun dan berjimat untuk duit persekolahan mereka. Nampak gayanya tahun depan aku kena lebih berhati-hati dalam berbelanja.

Apapun, aku berharap 2018 nanti akan terus gemilang dan memberikan warna-warna ceria dalam kehidupan aku kelak. Aku akan ke Thailand untuk meraikan hari lahir aku ke-37 di sana. Ini sudah dirancang awal kerana aku dapat baucar hotel percuma. Ini juga adalah masa yang sangat aku dan Hadi nantikan – masa berehat dan habiskan masa berdua.

Itu ajelah janjinya setiap kali nak bercuti bersama. Lepas sampai aje sana, mulalah berjalan tak henti-henti dan kemudian balik penat. Kemudian melalak lagi nak cuti dan berehat!

Kansai Trip Day 2 : Ohai, Himeji!

Selamat pagi, Tennoji! Hari ini kami akan ke Himeji dan akan menggunakan Kansai Thru Pass. Kos pengangkutan di Jepun jatuh kategori mahal. Jadi penggunaan pas yang bersesuaian sangat membantu dan menguntungkan – dengan syarat dibelasah sampai lebam!

Kalau ikut perancangan asal, aku mahu bergerak pukul 5:00 pagi dari hotel. Ambil tren yang pertama dan sampai awal untuk mengelakkan kesesakan di lokasi pilihan yang ingin kami kunjungi. Aku memilih untuk ke Istana Himeiji atau Himeiji Castle.  Hari ini hari Sabtu, percayalah kesesakan manusia pasti akan berlaku di mana-mana tempat tumpuan sekalipun.

Takde maknanya… Pukul 7:00 pagi baru kami terbangun. Itupun disebabkan staff hotel tekan loceng bilik untuk hantar sarapan. Selepas bersiap dan sarapan ringkas, baharulah kami bertolak dari Tennoji Eki menuju ke Umeda Eki. Dari sini, kami harus menukar tren menuju ke Himeji.  Agak lama juga perjalanan hampir 2 jam kalau tak silap menuju ke Sanyo Himeji Eki. Dari sini, kita boleh jalan kaki selama 15 minit atau naik bas 5 minit untuk ke Istana Himeiji. Kami memilih untuk berjalan sambil bergambar. Lagi pula aku memang mahu berjalan kerana sudah lama tidak merasa berjalan jauh.

Ya, umat sangat ramai! Kami bergambar di bawah istana sahaja. Lepas bergambar, kami terus menuju perhentian bas untuk ke Gunung Shosha atau Mt.Shosha. Kami gigih ke sini kerana mahu melihat lokasi penggambaran filem The Last Samurai lakonan Tom Cruise. Cadangan asal selepas Istana Himeiji ialah untuk ke Koko-en. Taman ini sebelah istana aje pun. Tapi aku kena pangkah dari plan asal sebab Kansai cepat gelap. Pukul 5:00 petang sudah macam 7:00 malam di Malaysia!

Dari Istana Himeiji ke Gunung Shosha tak susah sangat, hanya naik bas nombor 8. Tapi kena bayar tiket berharga 260¥ (kalau tak silap) kerana bas ini dibawah seliaan pihak Sarutto. Jadi ia tidak termasuk dalam pengangkutan percuma untuk pengguna Kansai Thru Pass. Siapa yang beli KTP ini harus buat kajian dahulu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh digunakan kerana setiap tempat adalah berbeza.

Aku hanya makan segigit roti (yang keluar balik) dan minum ais kohii suku gelas sahaja pagi tadi. Tapi peliknya tidak pulak rasa lapar. Aku hanya makan beberapa keping biskut kapal sahaja, itupun sementara menunggu bas sampai. Jadi sepanjang perjalanan menaiki bas itu, aku masih ada tenaga walaupun ada rasa sedikit letih. Kaki masih okay…Excited berjalan barangkali. Perjalanan menaiki bas ke Gunung Shosha memakan masa antara 15-20 minit sahaja.

Kami kemudiannya menaiki ropeway untuk sampai ke Gunung Shosha. Tiket ropeway berharga 1800¥ untuk 2 orang – pergi dan balik. Untuk masuk ke dalam kawasan ini pula, kita kena bayar 500¥ untuk satu kepala. Mula-mula aku pelik juga kenapa tak disekalikan sahaja harga tiket ropeway dengan yuran masuk. Kemudian itu baharulah aku faham. Jauh bapak kalau nak meneroka dan berjalan dalam tu! Tapi ini trip alang-alang… Aku capai satu buluh dan mula mendaki. Jujurnya aku tak tahu apa nama laluan yang kami ambil atau betul / tidak laluan yang kami pilih. Yang ada dalam kepala hanya tempat lokasi filem The Last Samurai dan pokok yang daunnya bukan warna hijau. Aku datang musim luruh kot…nak juga merasa melihat daun pelbagai warna.

Walaupun penat menapak, tapi aku sangat hargai pemandangan yang ada sepanjang pendakian ini. Subhanallah, cantik ya amat! Orang pun tak ramai atas gunung ini. Jadi sebaik sampai dan bergambar, kami terus turun balik. Memang kejar masa. Kami mahu ke Kobe pula. Dalam otak aku hanya nampak Garlic Naan, Mutton Curry Masala dengan coke berpeluh di Naan Inn. Dalam pada masa yang sama, aku tak sabar juga nak tengok reaksi Amin, pekerja di restoran ini. Adakah dia masih ingat lagi pada aku?

Memang memori menjelma kembali sebaik sahaja kaki aku menjejak Sannomiya Eki. Pantas langkah dihayun ke Naan Inn. Aku nampak Amin sedang mengambil pesanan makanan dari pelanggan dan dia sangat terkejut melihat kelibat aku di situ.

Amin: Tell me what you want…
Me: You know what i want… Garlic naan, mutton curry masala and Chai Tea…

Aku dapat Chai Tea..dan aku dapat coke. Ya, dia tahu apa yang aku nak 

Rasanya sedap macam yang aku rasa 3 bulan lalu. Memang berbaloi aku tak isi perut hari ini. Sebelum balik, kami bergambar dahulu.

Selepas makan, kami menuju ke Meriken Park. Hadi memang serah pada aku untuk tunjuk jalan. Mujurlah ingatan dory aku ini tidak menghampakan. Sampai tanpa kesesatan. Seperti biasa, kami bergambar sepuas-puasnya. Oh, cuaca malam sangat sejuk! Mujur baju sejuk RM5 ini berkhidmat dengan cemerlang.

Kami kemudiannya ke Motomachi Eki untuk ambil tren balik ke Umeda dan tukar tren untuk ke Tennoji. Ini kesesatan kedua yang terjadi. Sekali lagi kami tak jumpa pintu keluar yang dekat dengan hotel! Terpusing lagi sekali macam semalam. Kaki pun sudah mula minta simpati.

Sebelum balik, kami singgah Family Mart untuk beli air coklat Van Houten. Sampai sahaja bilik, aku terus tertidur – sangat solid tanpa mimpi!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...