Kansai Trip Day 2 : Ohai, Himeji!

Selamat pagi, Tennoji! Hari ini kami akan ke Himeji dan akan menggunakan Kansai Thru Pass. Kos pengangkutan di Jepun jatuh kategori mahal. Jadi penggunaan pas yang bersesuaian sangat membantu dan menguntungkan – dengan syarat dibelasah sampai lebam!

Kalau ikut perancangan asal, aku mahu bergerak pukul 5:00 pagi dari hotel. Ambil tren yang pertama dan sampai awal untuk mengelakkan kesesakan di lokasi pilihan yang ingin kami kunjungi. Aku memilih untuk ke Istana Himeiji atau Himeiji Castle.  Hari ini hari Sabtu, percayalah kesesakan manusia pasti akan berlaku di mana-mana tempat tumpuan sekalipun.

Takde maknanya… Pukul 7:00 pagi baru kami terbangun. Itupun disebabkan staff hotel tekan loceng bilik untuk hantar sarapan. Selepas bersiap dan sarapan ringkas, baharulah kami bertolak dari Tennoji Eki menuju ke Umeda Eki. Dari sini, kami harus menukar tren menuju ke Himeji.  Agak lama juga perjalanan hampir 2 jam kalau tak silap menuju ke Sanyo Himeji Eki. Dari sini, kita boleh jalan kaki selama 15 minit atau naik bas 5 minit untuk ke Istana Himeiji. Kami memilih untuk berjalan sambil bergambar. Lagi pula aku memang mahu berjalan kerana sudah lama tidak merasa berjalan jauh.

Ya, umat sangat ramai! Kami bergambar di bawah istana sahaja. Lepas bergambar, kami terus menuju perhentian bas untuk ke Gunung Shosha atau Mt.Shosha. Kami gigih ke sini kerana mahu melihat lokasi penggambaran filem The Last Samurai lakonan Tom Cruise. Cadangan asal selepas Istana Himeiji ialah untuk ke Koko-en. Taman ini sebelah istana aje pun. Tapi aku kena pangkah dari plan asal sebab Kansai cepat gelap. Pukul 5:00 petang sudah macam 7:00 malam di Malaysia!

Dari Istana Himeiji ke Gunung Shosha tak susah sangat, hanya naik bas nombor 8. Tapi kena bayar tiket berharga 260¥ (kalau tak silap) kerana bas ini dibawah seliaan pihak Sarutto. Jadi ia tidak termasuk dalam pengangkutan percuma untuk pengguna Kansai Thru Pass. Siapa yang beli KTP ini harus buat kajian dahulu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh digunakan kerana setiap tempat adalah berbeza.

Aku hanya makan segigit roti (yang keluar balik) dan minum ais kohii suku gelas sahaja pagi tadi. Tapi peliknya tidak pulak rasa lapar. Aku hanya makan beberapa keping biskut kapal sahaja, itupun sementara menunggu bas sampai. Jadi sepanjang perjalanan menaiki bas itu, aku masih ada tenaga walaupun ada rasa sedikit letih. Kaki masih okay…Excited berjalan barangkali. Perjalanan menaiki bas ke Gunung Shosha memakan masa antara 15-20 minit sahaja.

Kami kemudiannya menaiki ropeway untuk sampai ke Gunung Shosha. Tiket ropeway berharga 1800¥ untuk 2 orang – pergi dan balik. Untuk masuk ke dalam kawasan ini pula, kita kena bayar 500¥ untuk satu kepala. Mula-mula aku pelik juga kenapa tak disekalikan sahaja harga tiket ropeway dengan yuran masuk. Kemudian itu baharulah aku faham. Jauh bapak kalau nak meneroka dan berjalan dalam tu! Tapi ini trip alang-alang… Aku capai satu buluh dan mula mendaki. Jujurnya aku tak tahu apa nama laluan yang kami ambil atau betul / tidak laluan yang kami pilih. Yang ada dalam kepala hanya tempat lokasi filem The Last Samurai dan pokok yang daunnya bukan warna hijau. Aku datang musim luruh kot…nak juga merasa melihat daun pelbagai warna.

Walaupun penat menapak, tapi aku sangat hargai pemandangan yang ada sepanjang pendakian ini. Subhanallah, cantik ya amat! Orang pun tak ramai atas gunung ini. Jadi sebaik sampai dan bergambar, kami terus turun balik. Memang kejar masa. Kami mahu ke Kobe pula. Dalam otak aku hanya nampak Garlic Naan, Mutton Curry Masala dengan coke berpeluh di Naan Inn. Dalam pada masa yang sama, aku tak sabar juga nak tengok reaksi Amin, pekerja di restoran ini. Adakah dia masih ingat lagi pada aku?

Memang memori menjelma kembali sebaik sahaja kaki aku menjejak Sannomiya Eki. Pantas langkah dihayun ke Naan Inn. Aku nampak Amin sedang mengambil pesanan makanan dari pelanggan dan dia sangat terkejut melihat kelibat aku di situ.

Amin: Tell me what you want…
Me: You know what i want… Garlic naan, mutton curry masala and Chai Tea…

Aku dapat Chai Tea..dan aku dapat coke. Ya, dia tahu apa yang aku nak 

Rasanya sedap macam yang aku rasa 3 bulan lalu. Memang berbaloi aku tak isi perut hari ini. Sebelum balik, kami bergambar dahulu.

Selepas makan, kami menuju ke Meriken Park. Hadi memang serah pada aku untuk tunjuk jalan. Mujurlah ingatan dory aku ini tidak menghampakan. Sampai tanpa kesesatan. Seperti biasa, kami bergambar sepuas-puasnya. Oh, cuaca malam sangat sejuk! Mujur baju sejuk RM5 ini berkhidmat dengan cemerlang.

Kami kemudiannya ke Motomachi Eki untuk ambil tren balik ke Umeda dan tukar tren untuk ke Tennoji. Ini kesesatan kedua yang terjadi. Sekali lagi kami tak jumpa pintu keluar yang dekat dengan hotel! Terpusing lagi sekali macam semalam. Kaki pun sudah mula minta simpati.

Sebelum balik, kami singgah Family Mart untuk beli air coklat Van Houten. Sampai sahaja bilik, aku terus tertidur – sangat solid tanpa mimpi!

Sayonara Japan…

Here’s to us, here’s to love

Sangat sukar untuk aku mulakan catatan pengalaman terakhir di Jepun ini. Bukannya kerana tidak tahu mana nak mula, tapi lebih pada sarat emosi yang aku rasa setiap kali aku cuba mengingat apa yang perlu aku catat…untuk mengenang pengalaman manis aku 26 hari dibakar mentari Jepun.

Aku masih lagi terbawa-bawa rasa kesedihan semasa mengarang teks ucapan untuk majlis penutup nanti. Walaupun hari sebelumnya aku tidur pada pukul 3.00 pagi, aku tetap bangun pukul 6.30 pagi. Teks ucapan itu aku tambah dan pinda mengikut kesesuaian. Yang penting, teks itu akan mewakili kami semua dan sampai kepada sasaran. Point-point yang Yasmin dan Yus minta, aku masukkan mengikut mood penceritaan.

Katayama san dan Kitamura san tetap setia menanti kami di lobi. Cuma hari itu Kitamura sedikit berbeza sebab dia pakai blazer. Nampak formal sikit…aku aje pakai blazer nak bagi nampak bijak 🙂

Aku berjalan seiringan dengan Katayama. Dia ucapkan terima kasih sebab aku bantu mereka kemas bilik kuliah lepas sesi makan kek dan game yang lalu. Alahai…hal kecil aje tu. Apapun, sebelum sampai ke pejabat JICA aku kena top-up caffeine dalam badan dahulu. Takde rasa mengantuk pun…sekadar memulakan hari dengan aroma yang memukau, gitu. Selepas ini tiada lagi iced latte Lawson 🙁

Hari ini kami diminta memberi maklum balas berhubung beberapa aspek antaranya taklimat sebelum ke Jepun, logistik, jadual dan apa juga komen untuk pihak PREX dan JICA baiki program ini. Kemudian kami melawat sebentar ruang kerja JICA sebelum berkumpul di tingkat 3.

Selamat konvo 🙂

Acara yang semua nantikan pun tiba – majlis penutup dan penyampaian sijil. Pertama kali dalam sejarah hidup aku terima sijil kursus macam dengar lafaz majlis nikah! Kami dapat 2 sijil iaitu dari JICA dan PREX. Mereka baca satu demi satu apa benda yang tulis dalam sijil itu sebelum menyerahkannya kepada penerima. Yusli penerima pertama diikuti oleh Wani (hahahahaha…), aku, Kak Dilla dan lain-lain. Ah, sudah…biar betik mereka akan buat macam itu untuk 20 peserta.

Nasiblah tidak…setakat sebut nama, ucap tahniah dan ‘seperti disijil’ sahaja. Masa Yusli diserapahkan pun aku dan Kak Dilla sudah gigil-gigil nervous. AJ in the house, terima kasih kerana gunakan kamera cantik untuk ambil gambar kami semua. Sangat aku hargai…memang menyesal gila dengan kualiti gambar ASUS yang kelabu asap.

Kemudian, Yusli dipersilakan untuk menyampaikan ucapan penutup. Sejak semalam aku dan Yasmin sudah pesan, baca sahaja, make it light and fun dan gunakan pacing yang betul sebab ini menutup diri kita semua. Dia sempat pinda yang mana patut dan sampaikan dengan cemerlang! Terima kasih yang sesungguhnya. Aku rasa terapung bila mereka cakap, mereka suka dengan ucapan itu. Memang aku lepaskan semua apa yang aku rasa logik untuk dikongsi dalam teks itu.

Thank you so much!

Kak Dilla dah banjir masa ucapan penutup. Aku sedih tapi boleh control lagi. Yang lain-lain aku tak pasti tapi beberapa peserta memang personally bagitahu teks itu memang santai, tapi sedih. Aku sudah sedih dulu huhuhu…

Kemudian, acara pemberian cenderamata kepada JICA, PREX dan koordinator. Ooi san, Musha san, Nakatani san, Sekino san, Katayama san dan Kitamura san…inilah insan yang bersama-sama kami dalam semua aktiviti sepanjang 26 hari kami di Jepun. Aku langsung tak sangka akan ada satu jalinan perasaan dan emosi yang kuat dengan mereka. Kalau tidak, pasti sudah aku sediakan cenderamata khas buat mereka dari Malaysia. Menyesal gila tak prepare hadiah siap-siap.

Bila bagi pada Musha, Leza tadah muka. Nakatani pun mcm tu, Ooi dan Sekino pun sama. Ohai, Leza…tak menahan setiap gambar semua selit muka dia! Acik pegang paper bag sangat 🙂

Bila bagi pada Katayama, dah macam musical chair semua peserta berlari nak menyelit bergambar dengan dia! Weh, dia nangis….aku pun dah mula-mula empangan retak.

Kitamura (left) and Katayama (right)

Kemudian kami menjemput Kitamura untuk menerima cenderamata. Pertama kalu aku tengok dia pakai blazer…pertama kali aku tengok dia cakap dengan perasaan sebak dan pertama kali aku tengok dia menangis….Aku memang rapat dengan Kitamura kerana selalu berjumpa disebabkan hobi yang sama. Masa di Ginza, Tokyo, aku kampai dengan dia dan Nakatani. Itu sebab bonding kami kuat.

Aku tengok semua mula keluarkan cenderamata peribadi untuk diberikan kepada peserta. Aku mulakan dengan berikan pada Sekino. Mujur paper beg Starbucks tajaan Leza membantu menampakkan exclusivity hadiah yang aku beri. Kemudian Ooi, Kitamura dan Katayama. Akhir sekali baharulah aku menuju generasi abah-abah ini. Musha nampak sangat berbesar hati. Masa ini memang aku dah banjir. Pak angkat dapat last…paper bag paling kecil dan gelap. Langsung tak nampak aku tulis nama dia di luar beg.

Kami kemudiannya naik ke tingkat 3 untuk acara makan tengah hari. Aku langsung tak makan apa. Tembikai sepotong dan segelas coke. Perut aku masih sebu. Seperti biasa, kampaaaai! 

Makan time…halallan toyyiban jua
Siapa tadah kamera, kami tadah muka
Kampaaaai!

Tiba-tiba Kitamura datang pada aku. Dia tanya, jadi tak aku ke Kyoto November nanti sebab dia dapat kerja luar pada bulan itu. Macam serba salah masa dia nak bagitahu aku benda tu…Aku cakap pada dia, kalau ada rezeki kita akan jumpa juga. Tak tahu bila, tak tahu di mana..tapi percayalah kuasa tuhan. Ohai, dia peluk aku…aku banjir lagi.

Semua mengambil kesempatan untuk bergambar. Konsepnya- siapa ada,kamera kita semua tadah muka. Aku dah tak kuasa nak guna handphone aku. Patah hati sangat rasanya.

Kebanyakan peserta sudah berkumpul di luar bangunan JICA untuk ambil gambar. Aku tak join. Nakatani bagitahu dia akan bawa aku berjalan hari ini. Sebenarnya kalau dia tak ajak pun aku memang ada niat nak ajak dia keluar spend time sama sebelum aku balik Malaysia. Nasib dia cakap dulu, tak adalah rasa macam memaksa pula. Jadi aku, Nakatani dan Mr Okamoto berjalan bersama-sama ke Iwaya Eki sebelum berpisah di situ. Mula-mula dia nak ajak pergi sky building apa nama entah di Osaka tapi aku tak mahu….jauh. Aku nak santai aje…minum kopi, karaoke macam itulah.

Masa lepak kampai dengan Kitamura di Ginza, Tokyo

Sebenarnya sejak di Tokyo dia dah janji nak bawa aku pergi karaoke. Puncanya simple aje, wishlist apa nak buat di Jepun yang ramai cakap nak pakai kimono la, nak makan makanan Jepun la dan lain-lain. Aku aje nak merasa karaoke di Jepun. Tapi masa di Tokyo tu aku tengok dia pun macam dah letih, aku cakap before balik KL di Sannomiya sahajalah kita pergi. Disebabkan cuaca panas gile, dia ajak lepak minum kopi dahulu di San Plaza. Kami pesan kopi ais dan sembang dekat 1 jam 30 minit.

Sembang macam-macam topik dari sekecil-kecil cerita sampailah melarat pasal disaster, kematian dan topik-topik macam itu. Dia banyak tanya kenapa aku suka sangat sesi Disaster Risk Reduction minggu lepas. Aku bagitahu seperti mana yang aku catat dalam blog terdahulu. ‘What to do…have to live with that‘. Banyak kali juga aku dengar ayat tu. Dia cerita masa The Great Hanshin-Awaji Earthquake 1995 dia ada di Nagoya manakala masa The Great East Japan Earthquake dia ada di Singapura (kalau tak silap).

Baru lepas tengok video disaster…

Kemudian…hahaha ini agak kelakar sedih. Dia kata dia tak dengar langsung aku nyanyi waktu dia round check sorang-sorang. Aku memang tak suka menyanyi ke? Nak karoke macam mana kalau tak menyanyi? Aku ceritalah pasal lagu tu…pasal Cahaya Balqis dan cerita personal lain. Kami lebih kenal sesama sendiri secara peribadi. Cerita duka lara ni tak lama. Banyak sembang pengalaman dia kerja di Malaysia aje. Citer acik pachinko, kopi o kosong dan tempat cuti mana best di Malaysia. Macam ada harapan kunjungan balas aje tu…Oh, juga trivia penyanyi asal Sukiyaki itu maut dalam nahas kapal terbang pada tahun 1985.

Kemudian baharulah dia ajak aku karaoke dekat-dekat dengan Ikuta Road. Tak reti aku sistem karaoke sini. Mujur ada dia yang kaki mikrofon juga sebenarnya. Nak pilih lagu pun banyak tertib. Kalau kat tempat lain klik sekali aje. Ini lepas kita pilih ada arahan lain pula. Sure kau pilih lagu tu? Nasib takde soalan tambahan, kau boleh tarik ke lagu tu tinggi, hanat?

Tuan rumah kenalah buka pentas. Ok, dia memang kaki, suara dia best tapi semua lagu Jepun. Akak memang tak boleh jumpa mic…so, ngam 🙂

Ambil 2 jam aje...lama dah tu, konon. Sempat dia order takoyaki dan semangkuk besar macam ABC, tp ada aiskrim dan kek-kek bertabur atasnya. Weh, siapa nak makan ni…kita 2 ketul aje. Lama-lama tu habis juga. Tengah hari tadi aku tak makan sangat. Tahu-tahu aje 2 jam berlalu…menambah lagi sejam. Setakat Utada Hikaru dgn lagu Sukiyaki aje lagu Jepun yang aku pilih, lain semua lagu Inggeris. Nyanyi pun secara gilir-gilir…ikut peraturan sangat. Tapi tak ada satu keping gambar pun yang aku ambil. Tak usik handphone langsung. Rasa menyesal pulak tak rekod video atau snap beberapa gambar. Lepas karaoke, baharulah kami berpisah. Oh, sedih….speech akhir tu aku simpan sendiri. Kemudian aku balik hotel dan dengan malasnya mulalah mengemas beg.

Oh, funny…

Malamnya, aku, Yasmin, Aifa, Radin dan Ain sudah berjanji untuk berjumpa di Naan Inn. Aku gerak seorang dari hotel. Masa aku sampai, seorang pun takde. Aku memang dah janji dengan Amin akan datang sebelum hari Jumaat. Dah aku toyak kat situ pulak sementara menanti jemaah yang tak sampai-sampai tu…nasiblah Yasmin sampai cepat sebelum macam-macam soalan pelik yang aku dapat. Kemudian Aiesa dan Shaq pun sampai.
Ingatkan tak mahu makan..sekadar minum air sahaja. Tapi disebabkan aku makan seharian ini bukanlah sejenis makanan yang bersifat, maka aku order juga garlic naan dan mutton curry masala. Ini konfem last…Aku pun tak faham punca, malam tu dah macam pasar bollywood dalam kedai ni. Lepas satu lagu Hindi melarat ke lagu Hindi yang lain. Eh, kita ni kat Jepun..bukan Calcutta! Siap ada yang fefeeling tarik-tarik kain saprah. Penutupnya kami semua bergambar dan itu betul-betul sayonara, Naan Inn…Sesungguhnya kami semua akan rindukan masakan dan layanan yang diberikan.

Sedih-sedih pun makan garlic naan juga

Tetapi aku, Yasmin dan Aifa tidak terus balik hotel. Ada saka arimasu nak beli tumbler Starbucks pula. Sementara Wani (Wani..?) sibuk membelek, aku dan Yasmin berjus gosip dah baharulah aku faham kenapa banyak benar yang tanya kenapa aku prefer sangat topik disaster tu…Korang tak tengok lagi saka aku kalau topik cult leader…boleh taubat nasuha.

My group members
Panasonic, Tokyo

Aku menutup catatan berjemaah pengalaman di Jepun dalam catatan ini. Maaf yang sesungguhnya kalau ada salah dan silap. We are only human. Yang indah untuk dikenang. Yang sejuk gedi macam udon salah pilih tu, kambus ajelah. Afterall kita tak tahu bila ada kesempatan untuk berjumpa lagi.

Musha-Linda-Nakatani and me

Truly, i’m gonna miss u guys…geng lepak taman tingkat 3, geng menceceh bujang lapok Kyoto, geng rompak sambal pedas kak Dilla dan Nina (Nina boleh menang kategori cicir barang), kari dan rendang dalam tin serta serunding sekilo, geng lompat bergambar dan tadah muka bila perlu, geng Marugame Udon, geng pinjam kamera untuk ambil gambar sebab handphone kelabu asap, geng onigiri-Luke Lobster dan iced latte Lawson, geng combini…aduhai banyak lagi tapi aku harus beri kredit pada Aiesa atas banyak sumbangan video dan nyanyian Christine dalam penutup video yang setiap kali aku tengok balik, aku akan hiba 36 kilometer…

To-daiji Temple, Nara
Jalan-jalan Osaka
Kelas PCM method
Semua kerumun koordinator

Koordinator kita, Katayama dan Kitamura. Kadang-kadang aku terlepas juga ichi ni san tak semena-mena sebab teringat pada acik Katayama. Juga Ooi, Sekino, Musha san dan pak angkat aku, Hiroyuki Nakatani.

I look up when I walk

Counting the stars with tearful eyes

Remembering those happy summer days

But tonight I’m all alone

Sayonara semua…

Kerja Sampai Mati? – Sisi Lain Budaya Kerja Jepun

Hari Ahad nan indah tatkala kebanyakan umat berpeluang bergolek-golek lama di atas katil, aku harus ke kelas. Pukul 8.55 pagi semua peserta berkumpul di lobi Hotel Monterey Kobe dan seperti biasa bersemut-semutlah kami ke Sannomiya Eki, diberikan tiket dengan sopan dan sabar oleh omak Katayama san menuju ke Iwaya Eki dan kemudian berpeluh-peluh semput badak Jumanji berjalan ke JICA Kansai.

Memang sudah tahu hari ini kami akan berhadapan dengan Nakaya sensei. Belum mula kelas bibit-bibit stress mula menjelma. Kami dikehendaki duduk dalam kumpulan dengan pernyataan masalah yang sama (Ebi, AJ in the house, Aifa dan Radin). Arahan dia – setiap orang senaraikan pengalaman masing-masing secara individu berdasarkan semua kelas dan field trip yang telah kami lalui 3 minggu yang lepas. Kemudian, berdasarkan pengalaman itu, yang manakah bersesuai dengan pernyataan masalah kumpulan untuk diamalkan. Bincangkan dalam kumpulan. 

Biasalah kami dengan kertas tampal dan kertas mahjong. Penuh….selepas ditampal dan dikumpul kami mula berbincang findings masing-masing dan aku diminta membentangkan hasil perbincangan tadi. Aku pun sudah 2 minggu tak bentang apa-apa, so aku setuju ajelah. Mereka minta aku bentang awal, tapi aku sengaja tak mahu bentang dulu. Perasaan macam tak best

Kumpulan Top Management bentang dahulu. Yusli sebagai wakil membentangkan mengikut 3 pecahan sektor seperti yang diarahkan dan kemudian baharulah kaitkan dengan tajuk masalah kumpulan. Tahu sahaja Nakaya sensei, dia celah itu-ini apa kena mengena benda ini dengan masalah kumpulan dan lain-lain. Aik, tadi cakap senarai semua findings – apa juga, there is no wrong or right tiba-tiba member tu kena tikam katana bertubi-tubi. Huh, memang tidaklah aku bentang lepas dia.

Kumpulan seterusnya memang konfiden level dewa. Leza bentangkan tak sampai 2 minit. Entah apa masalah diorang, teamwork kalau tak silap. Siap cakap ‘SYMP’ dan kami menyahut ramai-ramai ‘saya yang menurut perintah’. Yang Jepun semua dah sengih tak faham dan Sekino san dengan penuh comel ‘please translate it for meeee’.

Kemudian Tan mewakili kumpulan Stress Management mengambil giliran sebelum Fatta menghulurkan talian hayat. Mereka tak faham kenapa kita cakap sistem pendidikan negara kita antara penyumbang tekanan, baik untuk pelajar dan guru juga. Tapi selepas aku bertungku tangga di bumi Jepun ini aku rasa ada logiknya anak-anak kita dihayak sebegitu dari kecil. Cuma pelaksanaan boleh dibaiki. Ini memerlukan catatan lain.

Kemudian kumpulan Syaq. Apa masalah dia aku tak ingat sebab aku sibuk memikirkan apa aku nak cakap lepas ni.

Kemudian giliran kumpulan aku.  Aku bentang ringkas aje. Kaitkan dengan kelas Nakaya sensei pasal etika dan Imamura san tentang kalau ada masalah, fikir macam mana ia boleh selesai dan buat balik sampai berjaya. Berdasarkan video yang dirakam semasa pembentangan aku itu, Nakaya sensei seakan bersetuju. Selesai…

Kelas kemudian diteruskan dengan action plan individu dan kumpulan. Disebabkan yang individu itu setakat bentang 1 minit, semua sibukkan perbincangan kumpulan. Tak banyak pun, dalam 4 slides aje pun.

Dalam banyak-banyak budaya kerja Jepun yang boleh dicontohi, mereka ada juga sisi lain yang tidak sesuai untuk kita ambil apatah lagi amalkan secara membabi buta. Sebenarnya, mereka tiada pilihan. Kalau tidak, sama aje diorang dengan kita yang tidak mahu kudrat diperah macam ramas kelapa. Menurut Kunihiko Tanaka dari Kura Corporation, kebanyakan middle-management executives mempunyai kesetiaan yang kuat pada syarikat dan sanggup berkerja walaupun dengan separuh gaji. Macam aku kata, mereka ini tiada pilihan. Kalau syarikat tu bungkus, dengan dia-dia sekali haup sama. Susah untuk mendapatkan kerja lain kerana dianggap tiada kesetiaan, teamwork kurang dan kemungkinan bermasalah.

Shigenobu Nagamori, President & CEO dari Nidec Corporation berucap semasa majlis penutupan akaun pada tahun 2008, 

If you want to have holiday, you can quit. Our company can grow with increased salary because all employees give up holidays to work.

Masa ini kening akak dah bercantum rasanya…Ada salah satu prinsip yang dinamakan Watami Principles. Katanya ‘kerjalah 24 jam sampai anda mati’. 

Dalam hati aku sangat simpati sebenarnya dengan mereka ini. Mereka ada yang beragama tapi setakat ada ajalah. Hatta ajaran Buddha yang ada pun mereka tak pasti apakah itu ajaran yang sebenar. Sambutan keagamaan macam festival. Isnin-Jumaat lelaki kerja sampai 10.00 malam atau lebih manakala isteri duduk rumah jaga anak. Sabtu dan Ahad adalah hari bersama keluarga, itu untuk lelaki yang takde hobi. Kalau gila memancing, main golf atau lain-lain jawabnya Ahad baharu bersama-sama ahli keluarga. Kerana itu generasi muda Jepun kini khususnya wanita tidak mahu atau lambat kahwin. Jepun kini penuh warga tua aje…Birth rate rendah. Pencen umur 60 tahun tapi duit pencen mula dapat umur 65 tahun! Mohon bersyukur orang Malaysia…!

‘I believe that a shop manager who eats within 12 hours is inferior. If you take care of your customers properly, there is no way you can eat’, Miki Watanabe, bekas CEO Watami Group. Mereka menganggap pelanggan itu seperti tuhan. Baharulah aku sedar pengalaman makan di Marugame Udon dari pintu masuk, membawa ke amik udon, cashier sampailah aku hantar tray balik lepas makan semuanya penuh dengan greetings pelbagai nada! Mereka hargai aku memilih makan di situ, mereka gembira dengan pilihan makanan yang aku buat, mereka bersyukur aku setuju makan dan bayar, mereka berterima kasih aku pulangkan tray ke sudut yang disediakan dan sebelun bayang aku keluar dari kedai mereka sudah berterima kasih atas kunjungan aku itu. Mungkin mereka percaya dengan cara itu kesetiaan pelanggan dapat diraih. Memang  saka kuatlah sebab aku sudah 4 hari berturut-turut mengulang makan  disitu 🙂

Jepun memang terkenal dengan kerja lebih masa. Tengok ajelah drama Jepun hatta Doraemon sekalipun. Kita boleh nampak budaya ini. Ramai anak-anak muda yang tertekan dan mengambil jalan singkat – bunuh diri. Kesihatan mental mereka juga membimbangkan. Itu sebab aku bagitahu Nakaya sensei, perkara macam ini boleh dikurangkan kalau pengurus tahu markah ujian kesihatan staff masing-masing. Paling tidak langkah awal boleh diambil kot nak bagi kaunseling ke, suruh dia cuti ke atau hantar ke pakar.

Sesi ini memang hangat. Tapi aku pegang satu perkara – baik ambil, buruk jadikan sempadan. Seperti Sekino san cakap, ada yang kita boleh belajar dari dia, ada yang dia boleh ambil dari kita. Bila puji jangan melambung sangat, bila kutuk jangan memijak sangat.

Kelas kemudiannya bersurai awal. Seperti biasa, setiap kali kelas Nakaya sensei aku pasti reward diri dengan makan garlic naan. Penat sangat rasanya bergasak dengan dia. Jadi aku, Yasmin  dan Aifa berjanji untuk  makan  bersama. Oh, bukan aku aje berperasaan begitu. Ada satu lagi kumpulan iaitu Radin, Kak Dilla, Ain dan Nina pun sama. Punyalah lahap…lapar sangat katanya.

Ada satu lagi  kelas dengan  Nakaya sensei minggu ini. Ohai, naan…rasanya bakal mengulang lagi untuk kali terakhir… 🙂

p/s: kali terakhir ni dh berapa kali cakap, pastu datang lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...