Kansai Trip Day 3 : Ohai, Kyoto!

Jadual hari ini sangat padat. Jadi bertabahlah dengan pembacaan anda kerana hari ini aku cuba untuk menuju sebanyak mungkin tempat tumpuan di Kyoto yang tidak pernah aku sampai. Cuma exception untuk Arashiyama Bamboo Forest sahaja sebab Hadi mahu ke situ. Jadi aku layankan aje. Suka untuk aku ingatkan, Kyoto banyak tempat yang menarik tapi kebanyakannya ialah rumah ibadat. Mustahil untuk aku pergi semua dan aku tak punya alasan pun untuk pergi semua. Baik aku cari masjid 🙂 Aku pilih yang unik sahaja, tapi aku tak nafi ada yang tidak sempat aku pergi tidak kurang uniknya juga. Cuma yang kurang ialah masa aku…Lagi pula jarak antara satu tempat ke tempat yang kami mahu pergi agak jauh.

Lagi satu sebab mengapa aku mengulang melawat Kyoto ialah kerana sedih dengan kualiti gambar yang aku ambil beberapa bulan dulu. Aku harap dengan penggunaan telefon baharu tajaan seseorang ini maka berbaloilah percutian aku kali ini. Nanti kalau rajin aku buat satu post gambar di Jepun pada kunjungan yang lalu, tapi macam berlatar belakang Bagan Lalang pun ada. Sedih kejadiannya!

Seperti semalam, kami bangun sekitar pukul 7:00 pagi selepas terkejut dengan bunyi loceng bilik yang ditekan oleh staff hotel. Sarapan masih menu yang sama and aku masih juga tidak berselera untuk bersarapan. Terus bangun dan bersiap-siap kerana hari ini kami akan ke… Kyoto! Lokasi pertama yang kami pergi ialah Fushimi Inari. Sebelum masuk, kami beli satu set Takoyaki dan makan dahulu… Sudahlah sampai dekat pukul 10:00 pagi. Umat ramai seramai-ramainya. Oh, ya.. Hari ini Ahad. Patutlah ramai…

Tak boleh jadi. Tersenut-senut menapak. Aku minta Hadi pintas ikut laluan belukar dan tembus balik di hadapan. Mustahil nak bergambar kalau kami masih tabah untuk naik sampai atas. Sudahnya kami bergambar dilaluan untuk turun. Aman damai bahagia! Orang tak ramai sangat nak turun dan tenanglah sikit. Kalau naik tadi, dah macam bertawaf ramainya. Ai is tak rajin bersesak-sesak. Cukuplah asal dapat gambar yang cantik sebagai kenangan. 

Kami kemudiannya ke Arashiyama Bamboo Forest. Jujurnya aku seakan menyesal ke sini sebab latar belakang buluh waktu ini macam dekat Hulu Langat pun ada. Takpelah tu… Mungkin faktor musim. Masa aku datang 3 bulan lepas, petang – pemandangan tak kurang cantik. Kali ini macam misi gagal sikit.

Cadangan asal mahu naik Sagano Romantic Train. Kalau anda ada masa, naiklah. Tapi aku lebih suka cadangkan sewa basikal dan merondalah kawasan ini sampai lebam sebab lebih berbaloi. Sayangnya aku tiada masa untuk naik kereta api romantik itu. Banyak destinasi hari ini cuba aku pergi.

Seterusnya kami bergerak ke Kinkakuji. Aku ke sini kerana binaannya berwarna emas dan ia terapung. Jadi cantik dan uniklah berbanding temple lain. Kita kena bayar 400¥ seorang utk masuk. Aduh, ramai juga… Ramai tu aku tak kisah sangat. Tang nak bergambar tu. Mana celah aku amik, akan ada makcik tanah seberang yang akan ikut semua angle yang aku amik. Kemudian berbondong-bondong umat lain mengikut. Apapun, aku sangat gembira dengan gambar-gambar yang aku dapat.

Kami terus keluar selepas ambil gambar. Kinkakuji tutup pukul 4.30 petang. Sekarang pukul 3.30 petang. Sempatkah untuk ke Enkoji? Aku harus ke Enkoji… Tidak, aku mesti ke Enkoji!

Jenuh menapak ke perhentian bas dan menunggu bas. Hari makin gelap. Dalam hati sudah dup dap dup nervous. Kami sampai di Enkoji kira-kira 5 minit sebelum tempat ini tutup. Aku rasa hampa dan kecewa dalam kepenatan. Tapi reaksi Hadi lebih membuatkan hati aku hiba. Dia nampak macam sangat sedih sebab tempat ini sudah hampir tutup.

Laluan mencari Enkoji

Tak boleh jadi. Alang-alang sampai! Aku terus ke kaunter dan merayu. Mulanya tak dibenarkan masuk kerana tempat ini sudah nak tutup. Tapi aku bagitahu aku mahu ke pusara arwah sahaja. 5 minit pun cukup. Penjaga tiket akhirnya sudi membenarkan aku masuk dan memberi sedikit masa, sebelum pukul 5:15 petang Tetap aku kena beli tiket dengan harga 500¥ seorang. Tak kisahlah…Aku bertanya gambaran lokasi pusara arwah agar tidak tercari-cari dalam kegelapan dan cepat selesai urusan menziarah.

Oh, tuhan…..Macam amazing race aku berkejar masuk ke dalam premis ini dan terus berlari-lari mencari pusara arwah. Selalunya aku memang benak dengan arahan mencari tempat, tapi memang Allah permudahkan urusan kami ini. Terus sampai dan dalam banyak-banyak deretan kubur di situ, kami jumpa! (Ini lebih pada usaha Hadi, dia yang banyak buat research pasal tempat ini.)

Dalam termengah-mengah kami sedekahkan Al-fatehah. Tiada yang perlu kami bersihkan. Kuburnya cantik terpelihara. Ambil gambar pun ala kadar. Senja kot..memang bulu roma aku meremang sepanjang masa. Bila Hadi masih nak ambil gambar kawasan ini, aku tidak boleh kompromi lagi. Kami sudah diberi masa kecemasan 15 minit. Eloklah kami keluar selepas hasrat tercapai.

Elok sahaja kaki kami keluar dari pintu utama, pintu itu terus ditutup. Nampak sangat memang hanya tunggu kami keluar sahaja untuk mereka tutup tempat ini. Apapun terima kasih kerana beri sedikit kelonggaran buat kami berdua. Aku sangat hargainya.

Ok, masa aku post pasal pusara Allahyarham Syed bin Mohamed Alsagoff ini, ramai yang tanya siapakah dia. Beliau adalah salah seorang dari 3 rakyat Malaysia mangsa pengguguran bom atom di Hiroshima. Aku difahamkan seorang meninggal dan dikebumikan di Hiroshima, seorang lagi berjaya pulang ke Malaysia manakala Allahyarham cedera dan dirawat di Kyoto. Sayangnya, dia hanya bertahan selama kurang lebih 2 minggu sebelum tewas dan disemadikan di Kyoto. Sedikit gambaran cerita boleh dibaca di sini.

Kerana itu agenda lain di Kyoto aku abaikan dahulu untuk memberikan penghormatan aku kepada beliau. Difahamkan kedatangannya ke Jepun adalah untuk belajar di Universiti Hiroshima. Al-fatehah buat Allahyarham 🙁

Omar,

Kamu datang jauh dari Malaya ke Hiroshima, Jepun untuk belajar di sini, tetapi bom atom yang menyambutmu.

Ia adalah satu hakikat yang amat menyedihkan.

Ketahuilah, Jepun tidak akan melupakanmu

  • Mukasa Michinagi Atsushi

(Ini adalah terjemahan yang aku buat, mungkin tak berapa kena tapi maksudnya lebih kurang sama.)

Setelah misi di atas selesai, baharulah aku rasa lapar-selapar-laparnya. Makan malam di Restoran Noorani dan memesan Cheese Paratha. Sementara menunggu makanan, aku dan Hadi tak putus-putus bersembang pasal pengalaman kami di Enkoji tadi. Selepas makan malam dan sedikit bertenaga, kami kemudiannya ke Gion. Semua orang cakap sini lagi penuh umat tapi masa aku sampai tempat ini seakan mati! Tak ramai manusia dan takde seorang Geisha, Geiko atau Maiko yang aku jumpa. Oh, kaki aku dah mula rasa sakit sebab hari ini banyak berjalan dan tadi berlari mengalahkan amazing race.

Yasaka Shrine

Aku ajak Hadi balik. Tapi jalan perlahan-lahan sebab aku dah pancit. Sepanjang 38 eki untuk balik, boleh dikatakan separuh perjalanan aku terlelap. Tapi malam itu kami dah tahu nak keluar pintu mana yang dekat dengan laluan untuk balik hotel. Jadi, tiada kesesatan yang terjadi. Bangga kejap dengan diri sendiri. Esok hanya meronda sekitar Osaka. Jadi kami tak rushing. Seperti malam sebelumnya, harus ke Family Mart dan membeli air cokelat Van Houten.

Jujurnya badan rasa nak rebah…

Kyujitsu! – Ohai, Kyoto!

Semalam ialah hari jalan-jalan seKyoto. Semalam tiada kelas, jadi hari ini aktiviti bebas. Mulanya memang aku bercadang untuk belasah tidur seharian sebab penat sangat seminggu ini asyik berjalan kaki bepuluh-puluh ribu tapak. Tetapi kerana galakan kawan-kawan dan Hadi pun minta aku consider balik, maka aku pun tabahkan hati, kuatkan iman dan gagahkan badan.

Ada beberapa pilihan aktiviti pada hari ini. 1) Tidur dan aktiviti bebas 2)Mount Rokku 3) Kyoto dan 4) Kobe. Majoriti mahu ke Kyoto. Pada mulanya aku, AJ in the house dan Leza bercadang untuk ke Mount Rokku. Terasa ingin menikmati alam semulajadi dan gunung-ganang di sini. Tapi bila aku bandingkan kos dan baca review, macam rushing dan tak cukup masa aje. Oh, agak mahal…

Jadi aku bersetuju untuk ikut majoriti umat ke Kyoto. Pukul 4.30 pagi aku sudah bangun dan bersiap-siap dan turun ke lobi pada pukul 5.15 pagi. Sudah 2 hari aku tak masak disebabkan kelas habis lewat. Untuk tanak nasi aje ambil masa antara 2-4 jam disebabkan kadar penggunaan elektrik di sini rendah. Tak mampu aku nak menunggu.

Sekitar 5.50 pagi, kami semua ke Stesen Sannomiya untuk ke Kyoto. Tiket berharga 1080 yen sehala. Aku memang mengalami kesukaran untuk membaca peta dan membeli tiket. Semuanya rakan-rakan yang tolong. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam. Walaupun penat, aku tak pula rasa nak tidur. Aku menikmati pemandangan sepanjang perjalanan.

Sampai sahaja di Kyoto, kami membeli tiket bas whole day ride dengan harga 500 yen. Kalau nk beli runcit-runcit, kadar naik bas lebih kurang 230 yen sekali naik. Sekali aje senang. Apapun, jangan convert kepada RM, kalau tak konfem tak makan, konfem tak berjalan. Seterusnya kami menaiki bas dan ke Kiyomizudera, turun Ninenzaka, Sannenzaka dan melepak sebentar di Starbucks…Inilah Starbucks paling klasik yang pernah aku tengok. Tapi aku tak beli air di sini. Starbucks Malaysia pun aku harapkan 30% diskaun guna kad abam loyer inikan pula kopi 550 yen! Aku sekadar beli air di vending machine sahaja. Kadar air antara 100 yen – 180 yen. Air kosong aku bawa, 2x refill. Kyoto panas…dengan berjalan lagi. Memang harus banyak minum air.

Kami kemudiannya naik bas dan berpisah kepada 2 kumpulan. Satu kumpulan ke temple (aku tak ingat nama) manakala aku, AJ, Kak Su dan Leza ke Kyoto Imperial Palace. Sebelum itu kami singgah di Subway untuk membeli makanan. Aku beli roti inti telur aje. Harga dalam 360 yen. Tapi tak makan di situ, sebaliknya kami berjalan lebih kurang 2 kilometer untuk ke Imperial Kyoto Palace. Kami cuma singgah rehat untuk makan di tepi sungai untuk makan tengah hari sambil memberi ruang kepada AJ untuk solat – di situ sahaja. Sangat student, sangat tourist.

Masuk di Kyoto Imperial Palace adalah percuma. Pemeriksaan beg dibuat oleh pegawai keselamatan dipintu masuk. Risau juga kalau-kalau ada barangan yang aku bawa tidak lepas semasa pemeriksaan. Dengan mempamerkan wajah riang ria dan kerjasama yang baik, kami berjaya masuk. Nasib aku baik sebab compartment yang ada bahan yang tidak dibenarkan itu dia tidak perasan. Beg aku ada banyak zip ya tuan puan.

Apapun, aku cari tandas dulu. Berbotol-botol air sudah aku minum. Kemudian top-up air kosong dan baharulah kami bergambar dengan gembira. Tetapi tidak semua kawasan yang boleb kita masuk. Justeru, kami di luar-luar sahaja. Sebenarnya kalau sudah lama di sini, kita akan nampak rupa paras kesenian Jepun ini sama sahaja.

Kami kemudiannya berjalan ke stesen yang berhampiran untuk balik kembali ke Stesen Kyoto. Di situ kami perlu ambil tren untuk ke Bamboo Forest. Dalam 6 stesen lebih kurang. Sorry nama stesen aku gagal. Kos tiket ialah 240 yen sehala.

Kalau sampai awal, aku nasihatkan sewalah basikal. Sewa basikal berharga 1000 yen. Kami sampai pada pukul 2.30 petang. Basikal boleh disewa secara seharian atau 2 hari. Masa kami bagitahu nak sewa basikal, penjaga kaunter tu pesan kena pulangkan  sebelum pukul 5.00 petang.  Aku memang dah tak kuasa nak berjalan kaki. Agak jauh dari satu tempat ke tempat yang lain. Di sini misinya bergambar. Tetapi orang sangat ramai. Memang tidaklah kami berjalan-jalan di pokok-pokok buluh tu. Cukup sekadar di tepi jalan. Kebanyakan gambar yang aku post adalah gambar yang diambil oleh AJ dan Christine. 

Kami meronda-ronda hampir diseluruh kawasan di situ. Paling tak menahan siap nyanyi lagu Pok-Pok Bujang Lapok lagi semasa kayuhan santai dibuat. Selalunya aku akan kayuh dibelakang sekali. Maklum sahaja, aku banyak pit stop 🙂

Kami kemudiannya naik tren untuk ke Stesen Kyoto. Kalau ikutkan boleh sahaja naik bas, alang-alang sudah ada tiket bas. Tapi tak kuasa nak menunggu. Sampai Stesen Kyoto, kami terus beli tiket untuk ke Sannomiya dan di sinilah panik badak jadi sekejap. Kami salah naik tren! Patah balik ke Stesen Kyoto dan akhirnya sampai juga ke Sannomiya. Konon-konon nak lajak ke Kobe, tapi kaki aku dah minta maaf zahir batin. Penat, pancit, badak Jumanji semua ada!

Sebagai penutup, aku ingin katakan bahawa dengan melawat Kyoto sebenarnya kita lebih memahami budaya dan warisan Jepun. Aktiviti hari ini adalah sebahagian pelajaran secara tidak langsung yang berjaya aku kutip alang-alang ada peluang ke sini.

Sekian dahulu. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...