Sayonara – So Hard To Say Goodbye

Pada tahun 2013, sebaik kembali dari cuti belajar, aku ditempatkan di Unit Kandungan & Kreatif. Aku bermula di Unit Swasta. Kerja aku ketika itu sekadar menjawab surat syarikat dan menguruskan keurusetiaan mesyuarat. Memang mula-mula aku tak tahu prospek apa yang aku ada di sini. Macam ada dan tiada pun ada.

Tetapi aku redah aje kerana masa itu aku baharu diberikan rezeki cahaya mata. Aku fikir, tidak perlu aku kembali ke zaman penerbitan yang super sibuk dan aku boleh menguruskan keluarga dengan aturan masa kerja sebegini. Kebetulan, aku terus diaturkan rezeki mengandung sekali lagi dan dalam pada masa yang sama, aku menyambung pengajian ke peringkat PhD. Aku fikir aku boleh capai semua – serentak! Aku terdengar juga kata-kata seolah-olah aku tidak menyumbang di sana. Tapi kata-kata orang cakap belakang ni, dibelakang juga tempatnya. Tak apalah tu…

Selepas aku melahirkan Ezzudin, aku kembali ke UKK dan diminta menjaga Unit Pentadbiran dan Kewangan. Tempat ini, berilah pada sesiapapun – dengan pantas semua orang akan tolak. Ia serabut, dua tiga rabut dan rabut-rabut lain. Tapi siapalah aku untuk menolak selepas 3 bulan bercuti kerana bersalin. Karang dikata mengada-ngada menolak kerja. Aie Sarkase adalah manusia yang selalu percaya pada aku. Masa itu, dia pegang Unit Swasta. Aku terima dalam keterpaksaan – sumpah! Aku yakinkan diri. Kalau bos aku, Puan Kalsom tak suka, pandailah dia gantikan tempat aku itu dengan orang lain.

Itulah bermulanya riwayat aku di UKK yang sebenar-benarnya…

Menguruskan kewangan, pentadbiran, dokumentasi dan masalah duniawi yang lain seperti lawatan audit, MoF, CDC dan Dana Industri Kreatif Negara yang aku tak tahu punca. Kerana serabutnya kerja di sini, aku tak boleh commit study dan perjalanan mengejar PhD aku tunda seketika. Diam tak diam, 3 tahun aku bertahan dan 2 tahun unit ini selamat dari musibah AP58 dan AP59!

Bukan sebab aku di situ..bukan sebab aku bagus mentadbir. Bukan juga sebab aku handalism. Bukaaaan!

Dibelakang aku, kakitangan sokongan yang efisyen, cekap dan paling penting – mereka komited.

Aku mana tahu kewangan. Aku penerbit rancangan! Prinsip Akaun pun dapat 2 aje, matematik moden asal lulus. Korang ingat, aku amik Masscomm sebab nak main nombor??? Pentadbiran tiada masalah sangat sebab admin akan bantu.

Satu demi satu kami baiki cara kerja mengikut teguran audit dan berpandukan Arahan Perbendaharaan. Aku mula belajar dan hafal kontrak. Yasin pun aku terketar-ketar nak hafal tapi kontrak Klausa berapa aku kena tahu. Tentera aku di bawah kewangan banyak membantu kalau aku tak tahu apa-apa proses melibatkan kewangan. Sebab itu, What’s App group pun namanya Menteri Kewangan UKK 🙂

Oh, susah senang tawa air mata memang terhambur banyak sebab bahagian kewangan. Paling aku takkan lupakan, bila semuanya sepakat bantu aku mengemaskini tarikh dan notis-notis penting untuk dikeluarkan kepada syarikat kerana masalah-masalah dalaman yang berbangkit. Sampai larut malam semuanya bagi kata-kata semangat pada aku yang memang tengah kecewa dengan suasana yang tidak membantu. Ditambah dengan staff UPPF yang tiba-tiba aku juga kena jaga…memang korang terbaik dan akak akan ingat itu sampai bila-bila. That was my lowest moment in UKK and u guys stood by me 🙂

Pentadbiran – macam aku kata tadi admin akan bantu. Kak Yam, Ruby dan Abang Mie memang sudah lama di UKK. Kemudian tu, baharulah Saliza bantu. Menguruskan booking la, aset, kursus, cuti dan urusan pentadbiran memang lancar. Aku tenyeh aje mana-mana dokumen yang berkaitan.

BMS paling mudah sebab geng ini tersorok di belakang. Key in data dan bertahan dengan sistem kura-kura tersenut. Paling tidak banyak ragam, unit inilah.

Banyak benar memori, banyak benar story. So aku tak tahu nak pilih yang mana…semua itu kenangan. Pahit manis itu biasa. Aku tahu, kadangkala mereka pun meluat kalau aku dah mula sawan dan menyumpah-seranah bila masalah yang tidak semena-mena kami kena tanggung. Aku juga kadang-kadang rasa macam tak berguna bila mereka mengadu masalah kerja, tapi aku tak boleh berikan penyelesaian yang memihak kepada mereka. Dalam bebel-bebel 15 kilometer itu mereka buat juga.

Apapun, kita kenang yang indah-indah ajelah…kita kenang masa kita semua berkerjasama jayakan jamuan raya…

Kita kenang bila kita bergembira berpakaian tema filem semasa dinner UKK…

Kita kenang bila kita semua berkumpul dan bergelak ketawa semasa berkursus di Lumut mendengar ceramah Encik Hafiz Cute Carry…

Yang air mata Maria, air mata duyong, air mata kasih yang termeleleh tak semena-mena ketika taufan melanda kita buang jauh-jauh. Saya yakin, kita akan berkerjasama juga di masa hadapan. Paling tidak, kita akan bertemu dan berkomunikasi melalui Facebook.

Saya akan memulakan perjalanan kerjaya seterusnya di Bahagian Pemasaran dan Promosi. Sebagaimana kalian memberi kerjasama kepada saya, saya harapkan kakitangan saya yang baharu akan buat begitu juga. Kerana itu, saya mohon berikan kerjasama kepada bos baharu nanti sebab kekuatan kita semua tidak sama. Mana kurang, bantu. Saya turut berharap kehadiran saya nanti diterima dengan hati terbuka oleh pihak belah sana.

Kurang 2…inilah tim kak Beni

Geng Pentadbiran & Kewangan – Kak Yam, Ruby, Abang Mie dan Saliza…terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Saya memang rasa lega sebab dapat barisan pentadbiran yang kuat dan cekap.

Geng BMS – Kak Rosz, Kak Gayah, Abang Zahari dan Kak Mira…walaupun di belakang, saya tahu sumbangan kalian. Sabarlah, tahun depan akan dapat sistem baharu yang lebih hebat.

Ok, geng kewangan…Eza, Huda, Liz dan Maz…saya memang sentimental di sini sebab inilah kumpulan yang kena hayak hari-hari. Ini muka kaunter, ini muka LAD, notis peringatan, amaran tsunami dan malapetaka lain memang banyak harung di sinilahnya. Teruskan kecemerlangan korang, sawan sekali-sekali ok tapi jangan berlarutan. Work together, nescaya korang akan selamat bahagia. Begitu juga buat Wawa dan Lia yang sempat di bawah regim sementara, terima kasih atas bantuan dan sokongan kalian. Ingatlah balik detik-detik sawan menghabiskan RM3juta dalam satu hari masa menutup akaun tahun lepas. Kalau tak lejen, tak mungkin Puan Kalsom belanja kita semua Nasi Arab sedap…itu memang satu lagi kenangan separa seram yang akan saya ingat.

Terima kasih yang sesungguhnya

Untuk itu, ikhlas dari hati saya kepada semua staff Pentadbiran, Kewangan & Dokumentasi yang saya tinggalkan…mohon maaf atas sebarang salah dan silap. Saya sangat terharu dengan majlis yang kalian aturkan. Seperti yang saya beritahu, saya tidak pernah diraikan sebegitu. Rasa tak layak sangat. Be the best in what ever you do…Family first, friendship is forever.

(Memang bulan Ogos ini banyak betul perpisahan yang berlaku. Belum lagi boleh move on dengan perpisahan dengan rakan-rakan sewaktu di Jepun dan pak angkat, aku kena ucapkan selamat tinggal pada unit ini pula. Berganda-ganda kepiluan. Memang drastik semua ini sebab aku belum ada tempoh bertenang.)

Dengan rendah diri, saya mengundur diri. Sayonara semua…

Boifren hensem kena ada

Jamuan Raya Bahagian Strategik RTM

Semalam, usailah sudah Majlis Sambutan Hari Raya – Warna-Warni Aidilfitri Syawal 2017 Bahagian Strategik RTM. Unit Kandungan Kreatif baharu sahaja menjadi sebahagian daripada keluarga Bahagian Strategik. Ini menjadikan majlis semalam penglibatan UKK yang pertama secara berjemaah untuk acara sosial, kekeluargaan dan jimba.

Rancangan untuk menganjurkan majlis ini tidaklah terlalu mengejut, tidak juga terlalu awal. Seminggu sebelum Ramadan berakhir, mesyuarat penyelarasan diatur dan pembahagian kerja terus dibuat. UKK diminta menyediakan juadah lemang dan rendang. Agak gelap kejap mata aku masa itu kerana kosnya agak tinggi, kami diminta menyediakan makanan untuk 400 orang tetamu.

Menu itu kemudiannya dipecah-kecilkan mengikut kadar kemampuan unit-unit dibawah UKK supaya audit tidak pick-up (lawak kewangan) dan pembahagian yang adil berjaya dicapai. Unit Pentadbiran, Kewangan dan Dokumentasi akan menyediakan lemang, Unit Kawalan Kualiti dan Unit Syndicated menyediakan rendang daging, Unit Swasta akan menaja rendang ayam manakala unit baharu yang terdiri dalam kalangan staff piecemeal dan Contract of Service iaitu Unit Pematuhan Kontrak akan menyediakan pinggan kertas, sudu-garfu dan tisu. Begitu caranya pembahagian harta Sulaiman Akhlaken ya..bukan suka-suki sahaja 🙂

Lemang ni, kalau beli yg dibakar dalam buluh banyak matematik yang perlu diambil perhatian. Satu, harganya mahal. Dua, lemang tak tentu elok masak dan yang tiga ini masalah besar, kudrat siapa nak dipepah mengusung berbuluh-buluh lemang itu? Serabut sangat, sebagai ketua aku putuskan kita beli lemang segera. Rebus seorang sedikit dan pada hari kejadian bersama-samalah kita merewang menguruskan juadah itu.

Untuk mencari lemang sahaja, tak kurang 7 pasar raya aku keluar masuk. Masa nak, payahnya nak jumpa. Bila tak nak, bersepah-sepah lemang segera aku jumpa. Apapun, misi itu berjaya dengan bantuan Huda dan Mazlina yang top-up paket lemang yang tak cukup. Huda pula volunteer untuk rebuskan semua lemang-lemang itu. Settle satu masalah.

Rasanya aku seorang aje yang pernah masak lemang segera. Ada yang kata kena tambah air santan, ada yang kata tak payah. Mujur Jijat kata dalam peket itu memang dah ada serbuk santan. Tabur aje…kami pun macam sangsi betul ke tidak. ‘Apa susah, gunting peket tu tengok ada ke tak, pastu stapler la balik,’kata Jijat. Kaaaan…benda mudah macam itu pun aku tak boleh fikir. Aku memang serabut sangat dengan urusan logistik untuk ke Jepun.

Sementara itu, urusan hiasan gerai juga perlu diselaraskan. Apa tema, nak bubuh apa, nak set-up bila semua kena fikir. Hal-Hal seperti ini memang Alia Jalani paling layak. Dialah yang menguruskan semuanya. Aku tenyeh aje booking apa yang dia perlukan. Tema kali ini ialah Hijau Kaw-Kaw. 

Persembahan pun kena fikir juga. Yang itu diserahkan kepada Unit Pematuhan Kontrak. Pandailah mereka fikir nak buat apa dalam keadaan staff UKK masih sibuk dengan urusan mesyuarat penerbitan/pitching.

 

Hari yang dinanti pun tiba…

Seawal pagi, kakitangan yang tak berapa nak sibuk dikerah membantu hiasan gerai. Carilah kad raya ke, pasu ke apa juga asalkan nampak meriah. Aku sendiri rembat kapal terbang dan sombrero dari bilik Aie. Eh, mintak izin dulu….harta orang.

Menjelang tengah hari lemang pun sampai. Wanita-wanita nan anggun semuanya berkerjasama memotong lemang itu dengan penuh semangat disusuli gosip-gosip setempat. Bau lemang tu, sumpah menggoda! Sangat mengasyikkan. Rasanya juga sedap, lembut dan mendayu-dayu. Sampai macam itu aku menggambarkan kesedapan lemang segera tu.

Majlis bermula pada pukul 3.00 petang. Terima kasih kepada Eja kerana sudi gosokkan instant shawl yg aku pakai. Aku memang tak retilah nak bergaya beregek-regek ni. Gincu aje 3 kali aku calit. Ruby tak habis-habis ‘tak nampaklah Kak Baini, teranglah lagi’. Berapa skala terang pakai lipstik pun aku tak tahu. Sampaikan aku makan lemang dengan rendang semalam aku konfius, yang sedap sangat tu rendang ke lipstik?? Dua kali aku menambah…

Majlis memang meletup-letup. Semuanya nampak seronok dengan kehadiran tetamu yang memenuhi segenap ruang di Balai Perdana. Terima kasih AJK BKTV yg turut sama hadir. Persembahan UKK seperti biasa happening dan menghiburkan. Semua orang sangat sporting termasuk dengan bosses sekali.  Sebagai staff biasa, ini yang kita nak. Masa kerja, kerjalah sesungguhnya manakala masa berhibur, begitulah juga-tapi berpada. Tapi tengok Dr. Zainal senyum tak hilang, siap sumbangkan suara kira berjaya jugalah matlamat majlis ini dibuat. Selain berhari-raya, kita lebih mengenali dan mesra sesama sendiri.

Secara peribadi, aku memang all out untuk majlis ini. Aku mahu semua orang di bawah UKK turun untuk membantu ataupun setidak-tidaknya hadir makan. Inilah peluang untuk berjumpa dan ramai yang turun kecuali yang berpuasa. Itupun mereka sudah tapau siap-siap untuk bekalan berbuka nanti. Pendek katanya, terima kasih atas komitmen semua. Nak aku namakan semua orang, tak terdaya sebab semua terlibat! Aku tagged aje ya…

Dalam majlis itu, ada beberapa moment kali pertama yang berlaku. Itulah kali pertama aku bergambar dengan Dato Adilah, Puan Noriah Letuar dan Datin Suriani. Nampak sangat aku bukannya kaki foto…terima kasih kerana sudi bergambar dengan saya 🙂 

Buat Liz, terima kasih kerana sudi berkongsi gambar. Seperti biasa, akak mohon izin gunakan gambar itu…

Terima kasih semua, Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin!

P/s: 2x aku ditahniah badakkan semalam. Seakan raya meksiko semakin dekat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...