Subarashii! – Kuasa Komunikasi

Semalam, kumpulan kami mendapat pelepasan dan kepercayaan untuk berjalan-jalan di Osaka. Selalunya koordinator akan menghantar kami balik sampai Stesen Sannomiya. Tetapi kerana ramai yang mahu melawat Osaka selepas kelas berakhir, maka pelepasan yang kepercayaan itu berjaya kami dapat dengan 3 syarat. 1) Jangan balik lambat sangat sampai hotel 2) Kalau sesat, pergi jumpa mana-mana orang Jepun dan minta mereka telefon koordinator (rata-rata kami ada aja simkad sini) dan 3) Esok datang kelas jangan lambat sebab mengkomer dah penat berjimba-jimba. Itupun kami bernasib baik sebab papa angkatku (hahahaha 8km) turut ikut sama dan memastikan kami sampai betul-betul depan pintu Hard Rock Osaka.

Semua di atas terjadi kerana komunikasi yang baik dan tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberi. Pagi tadi, walaupun Teddy lambat menyertai kami bersemut-semut ke Stesen Sannomiya kerana dia tidak berapa sihat, tapi dia berjaya naik tren yang sama dengan kami. Jadi kami semua sampai serentak di pejabat JICA. Sepanjang seharian kelas sampailah ke malam, kami tetap bersemangat dan participate dengan aktif dalam semua aktiviti. Cuma Nakatani-san tu nampak penat sikit. Bila Leza mula bersembang riang ria dengan dia, baharulah dia nampak ceria sikit. Hep, jangan curi hak orang, k…

Semalam aku beritahu Nakatani-san yang akan beri ceramah. Typo aje tu…sebenarnya penceramah kami ialah Prof. Nakaya dari Universiti Kindai. Aku tulis semalam berdasarkan maklumat dalam buku teks yang mereka bekalkan. Ok, abaikan itu. Kecik hal aje.

Prof. Nakaya banyak bercakap pasal etika sebagai seorang pekerja – tidak kisahlah penjawat awam atau swasta. Dia memberikan senario suasana kerja yang tidak sihat di pejabat dan meminta kami memberikan persepsi individu untuk setiap komunikasi yang terjalin antara mereka. Sebelum kelas bermula, kami diminta memilih satu kertas untuk menentukan kumpulan bagi tugasan ini. Aku, Kak Dilla, Teddy dan Nina berada dalam satu kumpulan. 

Kami kemudiannya harus membuat analisis persepsi itu secara individu sebelum berbincang sesama ahli kumpulan. Menariknya, dalam pada banyak jawapan kami yang hampir sama, aku ada banyak sisi lain menilai persepsi. Jawapan aku banyak yang positif, seolah-olah aku boleh consider kenapa setiap individu dalam kajian kes itu berperangai macam itu. Nina cakap, Kak Baini aje yang ada positive side. Kita semu banyak negatif aje. Entahlah, memang dah biasa pandang dua sudut. Itu belum asymmetrical lagi. Teddy bertindak sebagai pencatat manakala Kak Dilla membentangkan hasil perbincangan. Ini tak complicated sangat. Tunggulah kejap lagi….

Kami kemudiannya berhenti rehat dan makan tengah hari di kafe. Aku tak berapa lapar. Semalam aku sudah makan banyak. Disebabkan semalam balik lambat, aku tiada masa untuk masak nasi. Jadi aku hanya bawa 2 pek mini biskut Julie dan cicah dengan Nescafe panas. Wah, indahnya Syawal 🙂 Tapi Nina nie memang baik hati, dia sedekah sikit makanan dia pada aku. Aku makan jugalah. Oh, Nina ialah junior aku di Sekolah Kebangsaan Lembah Keramat. Kecilnya dunia…itupun kisah ini terbongkar masa kami duduk di dalam bas dalam perjalanan ke sekolah Okanmuri beberapa hari lalu.

Kelas kemudiannya bersambung lagi. Sekali lagi kami berpecah kumpulan. Kali ini, kami dipisahkan mengikut persamaan masalah dalam tugasan Problem Cycle Management. Kumpulan aku terdiri daripada AJ in the house, Aifa dan Radin. Dalam kelas inilah dahi masing-masing mula berkerut-kerut. 

Setiap kali sesi soal jawab, soalan semua akan menjurus kepada cara bagaimana orang Jepun menangani sesuatu masalah khususnya di tempat kerja. Ia membiak-biak sampailah kepada isu punishment, mental health dan suicide rate pun keluar. Walaupun macam-macam soalan pop kuiz yang kami lontarkan, semuanya cuba dijawab oleh Prof. Nakaya. Kalau complicated sangat, koordinator kami akan terjemahkan  soalan itu dalam bahasa Jepun. 

Secara peribadi, aku rasa situasi ini berlaku sebab semalam Prof. Emeritus Odano telah bersyarah dengan panjang lebar sejarah Jepun secara makro. Hari ini banyak soalan lebih mikro. Yang melarat suicide rate tu akulah puncanya. Aku hairan dalam pada mereka bercerita pasal teamwork yang kuat, gaji yang besar, masih ada masa bersosial tetapi Jepun adalah nombor 6 tertinggi bagi kes bunuh diri.

Kelas berakhir selepas Prof. Nakaya merumuskan matlamat pembentangan kami tadi. Apa juga yang dikongsikan pasti terdapat perbezaan atas faktor budaya dan praktis yang berbeza. Menurut beliau, mana-mana budaya dan etika orang Jepun yang baik boleh ambil dan amalkan. Jika tidak sesuai boleh abaikan. Dia juga mengamalkan konsep yang sama dalam menilai budaya dan etika kita. Apapun, dalam menyelesaikan masalah, komunikasi sangat penting.

Kelas kemudiannya bersambung dengan subjek bahasa Jepun. Ha, ini yang aku nervous ni. Sejak semalam aku sudah mula mengingat dan menghafal beberapa dialog. Macam mana nak minta kunci bilik, macam mana nak tanya harga barang dan macam mana mahu tunjuk arah. Yang aku lupa, hari ini kami akan dipecahkan kepada 2 kumpulan dan satu kumpulan akan mendapat cikgu baharu. Kalau dia minta sesiapa volunteer untuk masuk kelas Cikgu baharu itu, aku memang dah pasang hajat untuk tukar. Memang nasib aku sangat baik semalam. Aku dapat cikgu baru.

Cikgu itu memulakan kelas dengan sesi memperkenalkan diri. Ok ini semua sudah handal. Selepas itu, dia mulai recap beberapa soalan lain. Ini okay sangat sebab langsung kami tak terkejut. Ada masa untuk uuuuuu,aaaaaa,ooooooh…..aso bagai-bagai jeda yang lain tapi tetap gelak aje memanjang. Abih tu yang ada dalam ni semuanya gila-gila belaka dan ada masalah mini alzheimer

Hari ini, 2 tempat di Malaysia menjadi sebutan. Haji dan Hajah Mashitah sudah tiada lagi, mungkin itu kesilapan kecil pada kumpulan lain. Memang seronok dan lazat gelakkan orang lain. Sepatutnya, sebutan yang betul ialah ‘kaite kudasai‘ tapi dah jadi ‘kaite kundasang’ manakala sebutan ‘shitsurei shimasu‘ dah jadi ‘shitsurei masai’! Kedua-dua sebutan ini AJ in the house yang cakap. 

Shitsurei shimasu ni mula-mula macam liat juga nak ingat. Tapi Leza dah permudahkan…’ala,yg menyumpah tu’. 

Untuk belajar bahasa, kita kena selalu bercakap untuk lebih cepat faham. Jadi bila cikgu suruh tanya sesuatu benda itu ada atau tidak, contoh- ‘Sumimasen, camera arimasu ka? (Excuse me, do you have camera?) jawapan yang kami bagi semuanya ‘Hai, arimasu-ya, ada’. 

Kami diminta bertanya soalan seperti ini kepada rakan yang duduk di depan (meja bertentang). Tanyalah apa saja semuanya sama aje jawapannya. Paling kelakar, Sumimasen, shaitonnirrojim arimasu ka? Memang pecah gelak tak menahan 🙂

Selepas itu, kami dibawa ke supa yang berhampiran. Cikgu memberikan tugasan kepada kami iaitu membeli beberapa barang dengan menggunakan bahasa Jepun. Aku berpasangan dengan AJ. Kami diminta membeli Ooba. Apakah bendanya? Entahlah macam daun makan dengan sushi katanya. (Nanti aku google gambar).

Itu adalah kelas terakhir bahasa Jepun. Lepas ini aku tidak perlu berjaga malam lagi untuk mengulangkaji. Sayonara, cikgu…

Kelas habis dalam pukul 8.00 malam. Aku dah mula lapar, peko-peko desu kata orang sini. Justeru aku minta koordinator memberikan tiket sahaja dan tidak perlu menghantar kami ke Stesen Iwaya. Ada yang balik terus, ada yg merayap di mall dan ada yang makan di kafe dahulu sebelum balik. Malamnya kami berbincang di WA untuk aktiviti pada hari esok. Oh, ya…esok kami tiada kelas. Kami berjaya memindahkan kelas pada hari Ahad kepada hari Sabtu. Itu antara kuasa komunikasi juga jika diamalkan dengan baik dan berkesan….

So, ke mana kita?

Kaite Kudasai – Pembentangan Pertama

Semalam, aku tidur lambat. Sekitar pukul 2.00 pagi baharulah rasa mengantuk. Mungkin sebab banyak sangat minum kopi sambil menelaah nota bahasa. Kerana itu pagi tadi aku bangun agak lambat. Call time pagi ini pun lambat juga. Selalunya kami diminta berkumpul di lobi pada pukul 9.00 pagi tetapi pagi ini kami diminta berkumpul pada pukul 9.05 minit pagi. Aku turun awal iaitu pada pukul 8.45 pagi.

Seperti hari pertama, kami berjemaah menuju ke Stesen Sannomiya untuk ke pejabat JICA. Hari ini kami diajar cara untuk menyelesaikan masalah dengan menggunakan Project Cycle Management Method (PCM Method). Sebelum itu, kami dibahagikan kepada 2 kumpulan dan diminta menyenaraikan masalah berdasarkan pernyataan masalah yang kami pilih. 

Semua orang diminta menulis punca-punca masalah secara individu dan menampal jawapan itu pada papan jawapan yang disediakan. Sekiranya ada jawapan yang sama, ia akan disatukan. Kunci kepada proses ini ialah cause and effect. 

Kami kemudiannya dibimbing cara untuk membahagikan punca utama masalah dan seterusnya memberikan kesan sekiranya masalah yang kami hadapi itu tidak dapat diselesaikan. Seorang wakil kumpulan akan dipilih untuk membentangkan hasil perbincangan tadi. Untuk kumpulan aku iaitu kumpulan 1, AJ in the house dipilih untuk menjadi pembentang manakala bagi kumpulan 2, Aiesa dan Yasmin ialah wakil mereka. Kumpulan 2 ni, masalah kepada pernyataan masalah mereka ada banyak. Kerana itu mereka memerlukan 2 pembentang.

Memang semua peserta yang dipilih gila-gila belaka. Kami saling memberi semangat sesama sendiri, mengambil bahagian dengan aktif dan pada masa yang sama terhibur dengan gelagat masing-masing.

Kami kemudiannya berehat untuk makan tengah hari. Aku masih setia dengan bekalan nasi dan sambal ikan bilis, kentang dan kacang tanah yang aku bawa. Sayangnya, itulah stok terakhir yang selamat habis pada hari ini. Aku sempat mengepau serunding rusa yang Leza bawa dan sambal ikan bilis Brahmin yang Kak Sue bawa. 

Kelas kemudiannya disambung semula, masih lagi modul PCM Method tetapi kali ini kena buat secara individu. Kami diberikan semula pernyataan masalah yang kami hantar semasa memohon kursus ini dahulu. Bila aku baca balik dan buat perbandingan dengan peserta lain, rata-rata masalah kami semuanya hampir sama. 

Pada mulanya, aku sangat blur-blur lipas juga sebab tidak tahu mahu mula dari mana. Aku tengok sebelah, masalah aku dengan Aifa hampir sama. Baharulah ilham tiba mahu memberanakkan masalah itu macam mana. Aku, Yasmin dan Aifa saling berbincang logik sesama sendiri untuk menampal masalah-masalah itu supaya susunannya menjawab konsep cause and effect tadi. 

Penceramah kami ialah  Yokotani-san. Apabila dia menyemak ‘problem tree’ yang kami semua buat, dia telah memilih 4 pokok untuk membentangkan hasil kerja itu di dalam kelas. Pokok pertama yang bertuah tu, pokok akulah. Dah rasa macam dapur Masterchef juga tadi 🙂

Usai kelas PCM Method, kami sekali lagi mengikuti kelas bahasa. Tidak sia-sia aku menelaah dan menghafal semalam. Hari ini, memperkenalkan diri dengan 4 baris ayat itu lancar aku ucapkan.

Kelas ini memang kelakar. Kalau hari pertama keluar Haji Mashitah, hari ini Haji Mashitah dah jadi Hajah Mashitah pula. Dengan beberapa lagi ayat baharu yang diajar, berselirat balik otak dan lidah seketika. Yang ini aku kena study balik sebab hari ini aku rasa macam too much information. Tapi sekali bila sensei main panggil-panggil nama, mulalah aku panik balik. Nasib baik bila kena part aku yang aku boleh jawab.

Cuaca hari ini sangat panas membahang. Tak sampai petang aku sudah lapar balik. Ingatkan aku seorang, yang lain pun sama. Siapa yang bawa bekalan macam biskut atau cokelat memang untunglah. Aku berkali-kali togok air kosong.

Balik sahaja dari kelas, aku terus panaskan nasi sambil membasuh baju kotor. Dengan tidak menyempat, serunding pemberian seorang abang aku buka dan ohainyaaaa….baharulah aku rasa tenang. Langsung aku tidak keluar berjalan-jalan sebaliknya duduk dibilik dan mengkaji program TV Jepun pula. 

Setakat itu dahulu. Aku kena cukup rehat sebab esok ada field trip ke Muzium Matsushita.

Dewa, mata 🙂

Dozo Yoroshiku – Ohai, Okanmuri Primary School Visit!

Hari ini kami dijadualkan melawat Okanmuri Primary School. Kami diminta memakai pakaian tradisional atau pakaian yang melambangkan budaya. Ketika masih di Malaysia, rata-rata peserta perempuan mengatakan mereka akan memakai baju kurung atau kebaya. Ada yang kata nak pakai baju pengantin pun ada. Itu aku dengar semasa taklimat di pejabat JICA beberapa minggu lalu.

Kerana itu, aku memilih untuk memakai Punjabi suit. Nampaklah meriah sikit. Apapun terima kasih kepada kawan aku, Farah yang membantu proses mencari baju yang memang last minute aku decide untuk pakai. 

Sehari sebelum kejadian aku sudah siap gosok baju ini. Seterika ialah satu benda yang menjadi rebutan ramai, sampaikan ada senarai penggunaan yang dicipta khusus untuk mengesan pergerakan seterika. Selesai masalah gosok baju, masalah hendak memakai juga satu hal. Part pakai selendang ni memang aku gagal teruk. Untuk itu kena ada talian hayat yang tolong. Ketuk bilik Aifa, dia tak buka. Tengah sibuk bersiap agaknya. Ketuk bilik Kak Dilla, dia kata lilit-lilit aje. Mula-mula tu aku setuju, tapi nampak macam udang pun ada. Betul dah Ebi (udang) macam tu. Terpaksa mohon bantuan dalam group WA. Mujurlah Leza banyak tolong. Pin kiri, kanan dan atas siap juga aku akhirnya…

Kami bergerak ke sekolah dengan menaiki bas. Okanmuri Primary School terletak di bandar Takatsuki, Osaka. Perjalanan mengambil masa kira-kira 40 minit. Kami diminta membawa pek makan tengah hari sendiri dan makan bersama pelajar pada waktu rehat nanti.

Ketibaan kami disambut oleh guru-guru sekolah ini. Usai sesi bergambar ringkas di depan pintu sekolah, kami dibawa ke bilik tetamu dan diberikan taklimat perjalanan acara pada hari ini. 

Seterusnya kami dibawa ke gimnasium sekolah. Semua pelajar telahpun berada di sini. Acara bermula dengan guru besar mengalu-alukan kehadiran kami disusuli dengan nyanyian beramai-ramai lagu ‘Let’s Be Friend’ oleh semua pelajar dan guru. Ohai, perasaan aku..sangat terharu. Delegasi kami membalas kembali lagu itu dengan lagu Kalau Rasa Gembira. Semua orang nampak gembira 🙂

Semua peserta kemudiannya diminta memperkenalkan diri. Mujur juga giliran aku dihujung-hujung sekali. Jadi aku sempat merancang nak cakap apa. Harapnya tidak keras kejung seperti apa yang berlaku masa kelas semalam.

Ok la…tidak tersangkut sangat. 

Aktiviti seterusnya ialah kuiz tentang Malaysia. Soalan akan ditayang di projektor dan pelajar diminta meneka jawapan berdasarkan soalan yang diberikan. Gamat juga dewan gimnasium itu dengan jerit pekik pelajar-pelajar yang teruja ini. Pelajar juga diberikan peluang untuk bertanya apa-apa soalan mengenai Malaysia. Wakil peserta bergilir-gilir memberikan jawapan berdasarkan soalan yang ditanya. Adalah satu soalan bertanya tentang makanan di Malaysia. Azwan pun jawab segala jenis nasi yang ada dalam ingatan dia. Paling aku tak boleh tahan gelak, dia cakap nasi lemak USA! Mana boleh tahan, terpecah juga gelak aku tu. Sorry, Azwan 🙂

Kami semua kemudiannya kembali ke bilik tetamu dan dipecahkan kepada 6 kumpulan kecil. Aku ditempatkan dalam kelas Gred 1 bersama Yusli dan Aifa.

Let’s play Japanese Origami! Nama permainan yang kami dapat ialah Poku-Poku. Kami diajar cara membentuk mainan ini dengan kertas warna. Rasanya aku pernah main benda ni dulu masa kecik-kecik. Macam puppet, masukkan tangan dan minta orang pilih nombor. Bezanya di Malaysia kita pilih warna, di Jepun mereka gunakan haiwan. Tetapi boleh sahaja kalau mahu tukar benda lain.

Ramainya pelajar beratur untuk bermain dengan kami bertiga. Ada juga yang datang mengulang 4-5 kali! Aku sangat gembira berada di sini. Gred 1 terdiri dalam kalangan pelajar yang berusia 7 tahun. Mereka semua sangat comel.

Selesai aktiviti tadi, kami balik semua ke bilik tetamu. Tidak lama kemudian, wakil pelajar menjemput kami untuk acara makan tengah hari bersama-sama. Kami makan bersama pelajar Gred 1, tapi kelas yang lain.. Bekalan yang aku bawa memang ringkas. Nasi dengan sambal ikan bilis, kentang dan kacang. Pelajar-pelajar mengambil kesempatan untuk bertanya tentang baju yang aku pakai. Kenapa ada pin? Apa yang aku makan? dan lain-lain soalan yang ringkas-ringkas.

Selesai makan tengah hari, kami kemudiannya berehat seketika di bilik tetamu. Selepas rehat, aku dijadualkan untuk masuk ke kelas Kaligrafi Jepun (Gred 4). Aktiviti dimulakan dengan semua kumpulan memberitahu makna kaligrafi kumpulan masing-masing. Antara yang sempat aku ingat ialah Friendship, Peace, Japanese Spirit, Kindness dan Current. Aku sendiri tak ingat ada berapa banyak kumpulan sebenarnya. Setiap kumpulan bersorak-sorak memanggil kami duduk dalam kumpulan mereka dan meminta kami menulis kaligrafi berdasarkan tajuk kumpulan mereka. Ohai, riuh! Memang aku terasa famous hari ini. Ebi san, Ebi san memanjang 🙂 Sebelum aktiviti berakhir, kami dihadiahkan kompilasi kaligrafi yang sempat kami buat. Kumpulan kaligrafi pertama yang aku duduk ialah kumpulan Friendship. Mereka siap buat satu lagi tulisan Friendship dan berikan pada aku. Ohai, sweet sangat…

Itulah antara aktiviti sepanjang kami berada di Okanmuri Primary School. Sebelum balik semula ke Hyogo, kami memberikan cenderamata kepada guru besar dan mereka sangat terharu dengan pemberian itu. Terasa berbaloi sangat usaha aku dan Kak Dilla mencari frame gambar.

Kami kemudiannya balik ke Hyogo. Ramai yang tidur dalam bas. Akupun sama…cuaca agak panas dan aku sebenarnya sudah tidak sabar untuk balik bilik dan salin baju yang lebih ringan. 

Pada pukul 5.30 petang, kami semua berkumpul di lobi hotel dan berjalan beramai-ramai ke restoran untuk makan malam. Koordinator kami iaitu dari JICA, Katayama san dan Kitamura san turut bersama-sama kami selain wakil dari PREX iaitu Musha san dan Nakatani san.

Nakatani san duduk semeja dengan aku selain Kak Su, Leza dan AJ. Boleh dikatakan meja-meja lain berborak macam serius aje. Meja kami ini borak santai-santai aje. Nakatani san pernah duduk di Malaysia selama 5 tahun. Kami pun tanyalah, apa perkataan bahasa Malaysia yang dia ingat. Banyaknya makanan…tapi satu yang buat kami ketawa ialah “kopi o kosong”. 

Tidak lama kemudian, Prof. Nakaya sampai dan menyertai kami. Kami semua akan membuat plan tindakan dengan beliau pada akhir kursus nanti.

Setakat itu dahulu…mengantuk sangat rasanya ni. Sebelum tidur aku kena mengulangkaji nota semalam.

Apapun…

KAMPAI!!!

Nihon E Youkoso – Ohai, Kobe!

17.07.17…cantik tarikh ini.

Seawal 4.00 pagi aku sudah mula bergerak dari rumah menuju ke KLIA 2. Lagu-lagu yang berkumandang di radio pagi itu seolah-olah menzahirkan perasaan kami berdua. How Do I Live, One Sweet Day dan When You’re Gone terasa menusuk dihati. Aku dan Hadi bersembang ala kadar. Banyaknya melayan emosi. Kami tiba di KLIA 2 pada pukul 4.30 pagi – sebelum lalat bangun 🙂

Kalau ikut perbincangan semalam, kami semua rancang untuk berkumpul pada pukul 5.00 pagi. Rupanya sudah ada peserta lain yang sudah sampai di KLIA 2. Setiap seorang dibenarkan membawa barang dengan berat 40 kilogram sahaja. Agak panik juga aku pagi itu kerana aku bawa 2 bagasi yang agak besar dan berat. Itu belum campur 3 kotak cenderamata yang kami putuskan strap wrap sahaja. Tumpanglah kelayakan berat sesiapa yang sekadar bawa satu beg.

Urusan pagi itu lancar. Terima kasih kepada Aifa sebab dia yang cargas untuk melancarkan proses renyah-renyah ni. Siap buatkan kami tagging untuk memudahkan kami mengesan beg semua peserta di lapangan terbang nanti.

Sebelum masuk, aku babai Hadi dulu. Yu jaga diri yu, ai jaga diri ai tu standard la. Kemudian aku telefon mama untuk maklumkan yang aku akan naik pesawat. Mama bagitahu yang Ezzudin pulak deman. Alahai…kesian dia. Demam nak membesar tu.

Pagi itu aku sarapan segelas milo ais kaw dengan sandwich telur (yang tak nampak telurnya). Aku, Aiesa, Kak Linda dan Syarqawey bersembang-sembang kosong sementara menanti peserta lain. Yang lain ada yang di surau dan ada yang minum di tempat lain. Aku tak banyak ambil gambar. Tumpang-tumpang sahaja siapa yang ambil gambar. Gajet Aiesa tu canggih sangat. Rasanya semua umat akan menumpang kamera dia nanti.

Kami bertolak dengan pesawat Air Asia dari KL ke Kansai, Osaka. Penerbangan mengambil masa selama 6 jam 10 minit. Jam 12.04 petang, pesawat terbang pada ketinggian 40 ribu kaki dan dijangka masuk ke ruang udara Jepun 20 minit dari pengumuman itu. Penerbangan masih ada berbaki kira-kira 2 jam lebih…wow, aku dengar keluhan perantau. 

Kami kemudiannya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai. Kepada yg bernasib baik, dapatlah 2x makan dalam flight. Akulah salah seorang tu. Kepada yang tidak, bertabahlah hahaha…Mujurlah pagi tadi kami dibekalkan pakej Nasi Ayam Uncle Chin. Kemudian aku dapat Nasi Lemak Pak Nasser pula 🙂

Urusan kastam berjalan lancar. Cuma masa giliran aku mereka minta jadual sepanjang di sini. Mujur semua dokumen memang aku sudah cetak dan bawa bersama. Wakil JICA menyambut kami di lapangan terbang, Haja-san kalau tak silap namanya. Kami kemudiannya menaiki bas untuk ke hotel. Perjalanan mengambil masa hampir satu jam. Syukurlah sebelum bergerak ada 3 manusia sealiran dan fahaman untuk misi rahsia 🙂

Bas pula terpaksa berhenti di tepi jalan kerana laluan yang sempit. Kami diminta berjalan kaki untuk ke hotel. Ohai, dengan beg macam dibuang keluarga ditambah dengan jalan naik bukit, terasa ya ampun ya ampun seketika. Untungnya kebanyakan peserta saling bantu-membantu dan semuanya kembali lancar.

Urusan check in tak lama, cuma serabut sikit sebab Hotel Monterey yang kami duduk ini memang menjadi tumpuan ramai. Sebelum naik bilik, kami mengambil beberapa nota yang dibekalkan untuk kursus ini. Bilik selesa – untuk seorang. Sampai sahaja bilik, aku pulak naik serabut dengan simkad sini yang entah macam mana kaedahnya. Sudahnya aku guna wifi hotel aje walaupun tak laju mana. 

Malam itu kami berjalan-jalan dikawasan sekitar. Takdelah jalan jauh mana pun. Aku agak keletihan. Boleh dikatakan ramai yang mengambil peluang untuk pecahkan duit di sini. Hari pertama ini, aku belum berbelanja lagi. Stok makanan yang aku bawa perlu diberi keutamaan. Tapi tengok kopi ais tadi aku goyah juga 🙂 Sila bawa bersabar, Beni…

Setakat itu sahaja dulu catatan pertama dari Jepun. Aku masih menunggu seterika aku yang berjalan-jalan dipinjam kawan-kawan. Satu pesanan aku, pulangkan seterika Cinderella aku tu sebelum pukul 12.00 malam waktu tempatan ya.

Watashitachiha Kazokudesu – WA JICA 2017

Awal-awal tertubuhnya group ini, boleh dikatakan aku hanya kenal AJ dan abang bomba – Fatta Amin selain Kak Dilla. Itupun sebab kami duduk sebelah-menyebelah dan ada wavelengths yang sama. Tok Penghulu/Ketua yang dilantik pun aku tak ingat siapa, cuma aku tahu dia pernah ada pengalaman berkursus di Jepun sahaja. Makanya logik sangat dia dilantik menjadi ketua dan menyelamatkan tembolok kami-kami yang lain 🙂
Hari pertama penuh dengan salam memperkenalkan diri. Hari kedua penuh dengan update siapa dah ambil visa dan progres kelulusan ke luar negara masing-masing manakala hari-hari seterusnya ialah perbincangan perlukah mempunyai simkad Jepun untuk memudahkan urusan perhubungan dan kadar pertukaran wang semasa. Disebabkan aku manusia yg agak attach dengan media sosial atas pelbagai urusan, maka perlunya aku sentiasa ada data setidak-tidaknya untuk What’s App, Facebook, WordPress dan BingoBlitz hahaha…(tak menahan nak main bingo konon.)

Kemudian-kemudian itu beranaklah inisiatif untuk persediaan cenderamata, banner dan hal-hal lain. Memang gila group ni. Asal cakap, ada yang buat dan volunteer. Nanti kos itu kami bahagilah 20 orang. Tak banyak mana pun, tapi dalam keadaan elaun dan gaji yang belum masuk, semput jugalah sikit-sikit. Sempat juga aku berseloroh, kalau tak bayar pun takpe. Setiap hari, seorang belanja aku set bento. Jimatlah belanja aku di sana 🙂

Sekonyong-konyong aku mendapat gelaran ‘Bainipedia’. Mungkin sebab aku aktif dalam menjawab nota-nota kabinet yang berbangkit dalam group ini. Mudahnya, aku jawab mana yang aku tahu. Ramai lagi yang hebat-hebat dalam tu, tapi mereka semua sibuk dan tak dapat jawab dengan segera. Teddy Marshall tu sekali berbunyi, gelak sendiri aku membacanya. Ha, by the way...punyalah nak dapatkan respond dia ni masa kami semua sibuk minta gambar, aku sampai telefon pejabat dia di Sandakan. Super sibuk Dr. Teddy ni tuan puan.

Elaun pula dijangka masuk ketika kami semua sudahpun menjejak kaki di Jepun. Dalam catatan terdahulu ada aku tulis tentang balasan yang setimpal atas perbuatan kita. Ha, inilah aku mendapatnya. Rezeki aku agaknya…aku swap giliran kutu dengan Abang Mie tahun lepas. Sepatutnya aku dapat pada November 2016, tetapi disebabkan Abang Mie memohon pertukaran untuk tukar kerana keperluan yang mendesak, aku setuju untuk giliran pada Julai 2017. Makanya kewangan aku sedikit lapang sementara menanti elaun sebenar masuk nanti. 

Boleh dikatakan semua umat dalam group ini badan sahaja di Malaysia. Jiwa dah sampai Jepun! Tak terkecuali aku juga. Mujurlah majlis raya baru-baru ini menyibukkan fizikal dan minda aku. Kalau tak lemang tu semua dah jadi sushi telur!

Ketika catatan ini dibuat, aku masih termenung nak packing baju apa. Semuanya sudah aku campak ke tepi apa yang perlu, hanya perlu kemaskan sahaja. Nanti-nantilah aku buat. Banyak masa lapang aku digunakan untuk menelaah nota bahasa Jepun sahaja. Dulu masa ambil bahasa ketiga mengada-ngada ambil bahasa Perancis. Sekarang mendapatlah…

Ok setakat itu dahulu…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...