Selamat Tinggal 2017!

Hari ini, 26 Disember 2017….bermakna 26 hari sudah aku tidak menulis dalam blog ini. Bukannya sebab tiada masa, tapi sebab banyak sangat yang berlaku tetapi terlalu sulit untuk aku ceritakan. Nantilah…bila ada kekuatan aku kongsikan juga.

Hari ini aku mahu imbas kembali apa yang terjadi sepanjang 2017. Yang seronok dan tidak semua itu pengalaman hidup untuk dikenang.

Aku menyambut hari lahir ke-36 di Krabi, Thailand pada bulan Januari. Memang rezeki sangat sebab aku dapat hotel 4* dan tiket flight dengan harga tak sampai RM450 seorang.

Aku menyambut ulang tahun 17 tahun bersama Hadi di Pulau Pinang. Tak sangka hubungan kami selama ini. Merasa juga duduk di Lexis Premier Suites, Teluk Kumbar. Bilik berharga RM400, campur tolak cukai dan diskaun keahlian. Kalau harga weekends lebih mahal. Kerana itu aku suka bercuti pada hari berkerja.

Aku berpeluang menghadiri Konsert Wings & Superfriends. Yang buat teruja sangat tu sebab ada M.Nasir aje hehehe…

Aku dapat kiriman bunga dan cokelat sempena Kiriman Kasih BKTV. Terima kasih kepada yang memberi.

Sempena Hari Ibu, Hadi belikan aku durian. Tak kisahlah bukan berstatus raja atau binatang yang penting dia belikan aku durian. Aku memang suka durian. Nak-nak kalau yang kuniang-kuniang warnanya…

Tahun ini – 2017, puteri syurga yang sangat aku rindukan berusia 5 tahun. Sehingga kini, aku belum pernah berjumpa dia di dalam mimpi. Aku masih menantikan saat itu.

Aku dipilih untuk berkursus di Jepun selama 26 hari! Ini memang mimpi jadi nyata dan ini juga adalah sejenis doa yang aku minta pada tuhan. Aku ingat lagi, doa aku bunyinya macam ini, “berikanlah aku peluang ini supaya dapat aku abaikan apa juga kekecewaan yang aku alami sepanjang 13 tahun aku berkerja.” Alhamdulillah…rezeki aku di sini. Aku dapat kawan-kawan baharu dan berjumpa dengan pelbagai ragam dan jenis manusia. Yang tak dijangkakan, aku berpeluang ke tempat-tempat menarik di sana. Agak gila kalau aku tampal semua gambar di Jepun itu kerana terlalu banyak gambar dan cerita menarik di sana. Boleh rujuk catatan bulan Julai dan Ogos untuk lebih faham.

Buat sendiri berus tu…

 

Garlic Naan + Mutton Curry Masala.

Satu yang paling aku ingat – Garlic Naan dan Mutton Curry Masala di Naan Inn, Kobe. Sumpah! Memang epik gila makanan ini. 5 kali aku berulang makan. Tak boleh kerap sangat sebab harga mahal 🙂

Menu wajib – Bukkake Udon + Fish Tempura

Satu lagi – Bukkake Udon di San Plaza, Sannomiya. Semenjak terjebak, hari-hari aku mengulang makan sampaikan atuk buat udon tu sudah kenal muka aku. Kalau takde member pun takde hal. Aku sanggup jalan kaki seorang diri. Padahal aku bukannya rajin sangat keluar berjalan. Penat berkursus membuatkan kecintaan aku pada katil di Kobe Monterey Hotel lebih tinggi. Itu belum cerita bathtub dia yang memanggil-manggil.

Suka menyakat acik ni

Dalam ramai-ramai umat Jepun yang aku kenal dan jumpa, aku paling rapat dengan Nakatani san. Dia makan semeja dengan aku dan beberapa geng lain masa jamuan makan malam di Doma-Doma. Lepas kenal-kenal dan bersembang, memang aku selesa dengan dia. Detik yang membuatkan kami lebih rapat adalah masa di Tokyo. Aku, Nakatani dan Kitamura melepak bertiga di Ginza. Memetik filem Cassablanca, “this is the beginning of a beautiful friendship”.

Akhirnya, rezeki aku datang juga. Aku dapat kenaikan pangkat B44 selepas 13 tahun berkhidmat. Aku hampir tidak mahu datang pada hari itu atas sebab-sebab tertentu. Selepas ditazkirahkan, aku setuju hadir dan aku tidak membuat throwback kenangan lalu disebabkan aku sudah “bersetuju” untuk mengabaikan kenangan-kenangan pahit masa lepas.

Jamuan perpisahan

Disebabkan itu, aku bertukar unit dari Unit Kandungan dan Kreatif ke Bahagian Pemasaran dan Promosi untuk mengetuai Unit Promosi. Maka berpisahlah aku dengan Unit Pentadbiran, Kewangan dan Dokumentasi yang hampir 3 tahun aku jaga.

Sepanjang 2017, 3 kali aku tidak boleh bercuti selama 28 hari. Aku menanggung 44 di UKK, kemudian di Unit Promosi kerana kenaikan pangkat dan kemudian menanggung 48 juga di sana. Seronok sangatlah sebab naik pangkat tiap-tiap bulan padahal yang menanggung pertama itupun elaunnya tak nampak bayang lagi.

Tapi badan penat ya amat..susah aku nak terangkan. Aku berkursus 26 hari di Jepun, balik aje terus masuk pejabat dengan tak sempat bercuti. Kemudian tak boleh bercuti lagi 28 hari. Habis aje edah, terus aku ajak Hadi ke Terengganu. Ingatkan cuti ini untuk masa berdua – tidak juga. Penuh agenda makan dan tengok wayang.

Sejak balik dari Jepun, aku belum lagi move on. Banyak benar memori dan rasa rindu pada pak angkat membuatkan aku terasa mahu ke sana lagi. Berkat bersukat-sukat belanja dengan elaun semasa di Jepun, aku berjaya juga merealisasikan hasrat untuk menyambut ulang tahun perkahwinan kami ke-11 di Osaka, Jepun. Maka elaun berkursus itu dari Jepun dia datang, kepada ekonomi Jepun juga dia kembali.

Aku bukan sahaja dapat jumpa dengan Nakatani, malah aku berpeluang berjumpa dengan coordinator aku di Kobe iaitu Kitamura.

Aku juga dapat berjumpa kembali dengan pegawai-pegawai dari Pacific Resources Exchange Center (Prex) iaitu Musha dan Sekino. Sempat kami merakam video bersama.

Kunjungan ke Osaka ini sangat bermakna sebab aku dapat bergambar sepuas-puasnya dan pergi ke mana destinasi yang aku tak sempat pergi dahulu. Masa berkursus, aku tidak berjalan sangat. Maka kali ini aku manfaatkan sepenuhnya. Merasalah ke Kobe, Himeiji, Kyoto dan tempat-tempat menarik lain di Osaka. Tapi paling tidak dapat aku lupakan ialah kisah menjejak kubur Allahyarham Syed bin Mohamed Alsagoff – salah seorang dari 3 rakyat Malaysia mangsa pengguguran bom atom di Hiroshima.

Mujur juga aku berjaya dapatkan tiket dengan harga yang murah, sekitar RM750 seorang. Hotel percuma kerana menggunakan kelayakan kelab percutian yang kami langgan. Belanja pengangkutan dalam RM250, simkad RM60 dan belanja makan RM250. Makan banyak save sebab rezeki aku murah, ramai yang sudi belanja. Paling aku tak sangka, aku berkenalan dengan seorang pengembara dari Australia, Olivia namanya. Kami bersembang semasa menunggu tren dan dia kemudiannya bersetuju untuk saing bersama untuk ke Umeda Sky Building. Sebelum itu, kami makan dahulu di Hooters,Osaka dan dia belanja kami berdua di sana. Memang aku dan Hadi terkejut gile sebab dia makan fries dan minum coke aje. Kami makan macam-macam sebab tak makan lagi dari pagi. Rezeki…rezeki…

Sejak balik dari Jepun, aku mula berhenti menulis. Ini sangat peribadi. Aku belum cukup kuat untuk berkongsi.

Eskandar dan Ezzudin akan mula masuk tadika tahun depan. Aku langsung tak sangka belanja untuk masuk tadika aje boleh luruh segala-mala simpanan yang ada. Kalau tidak, pasti aku tidak bercuti ke Jepun dan berjimat untuk duit persekolahan mereka. Nampak gayanya tahun depan aku kena lebih berhati-hati dalam berbelanja.

Apapun, aku berharap 2018 nanti akan terus gemilang dan memberikan warna-warna ceria dalam kehidupan aku kelak. Aku akan ke Thailand untuk meraikan hari lahir aku ke-37 di sana. Ini sudah dirancang awal kerana aku dapat baucar hotel percuma. Ini juga adalah masa yang sangat aku dan Hadi nantikan – masa berehat dan habiskan masa berdua.

Itu ajelah janjinya setiap kali nak bercuti bersama. Lepas sampai aje sana, mulalah berjalan tak henti-henti dan kemudian balik penat. Kemudian melalak lagi nak cuti dan berehat!

Happy Mother’s Day : Part 2

Sebelum menjelangnya Hari Ibu, inbox aku sudah mula disinggahi dengan kiriman-kiriman bunga maya lengkap dengan pencalonan Most Loving and Prettiest Mum Award. Jujurnya, aku tak tahu nak bagi reaksi yang macam mana untuk pemberian ini. Nak aku pulangkan balik dan bagi 15 orang lain, dah macam emel berantai la pulak. Nak select all, kena ingat juga tak semua suka menerima kiriman seperti ini.

Untuk itu aku biarkan sahaja mesej ini tu dalam inbox. Sambil-sambil itu aku berhasrat untuk membuat posting seperti ini bagi menghargai pemberian mereka. Terima kasih yang teramat kerana sudi memilih nama aku, mengingati aku dan untuk pencalonan tanpa trofi itu 🙂

Ini termasuk juga kiriman Happy Bear pada hari Sabtu yang lalu…

**************

When you are a mother, you are never really alone in your thoughts.  A mother always has to think twice, once for herself and once for her child. – Sophia Loren

Selalu aku terbaca perkongsian artikel di Facebook tentang betapa tingginya pengorbanan seorang ibu, seksanya nak melahirkan anak tulang seolah dipatah serentak berkerat-kerat, menguruskan anak istimewa dan artikel-artikel lain yang membuatkan aku rasa masalah orang lain lebih besar daripada masalah aku. Itu belum cerita pasal nafkah tak cukup, mintak balik dan yang paling tak guna – tak bagi langsung.

Kemudian bergelut pula dengan anak-anak. Anak satu lain ragamnya. Anak dua bersumo sentiasa dan yang lebih banyak anak tu siap ada tag team. Rumah pun tak bersifat macam orang lain..Kain basuh 2 hari sekali kalau ada masa. Payah sangat tunggu hujung minggu sampai pagar jiran pun kita tumpang nak sidai kain baju anak. Bila orang datang rumah, boleh pulak keluarkan SOT “orang lain beranak juga, helok aje rumahnya.”

Untuk ulasan nenek lampir di atas, jangan segan silu. Sedekahkan evil eye yang paling menusuk pandangan. Kalau kening boleh bercantum, buat terus!

Kalau dapat suami yang sama-sama bantu menguruskan rumah, memang tak terasa sangat letih dan tekanannya. Kalau dapat yang jenis bagi Arahan 20 dan Arahan Perbendaharaan, memang keluhan 17 kilometer selang sejam ajelah yang terkeluar. Dapat yang boleh bawa berbincang, redalah sikit tekanan. Dapat yang dia aje betul, pandai-pandailah jaga perasaan sendiri.

Belum lagi beranak normal vs Cesarean, susu badan vs susu formula, Tabika Kemas vs Smart Kids dan lain-lain yang berperang sesama sendiri ini mak-mak semuanya. Yang nak pertahankan kudrat siapa lebih letih – suri rumah atau ibu bekerja pun macam tak membantu juga sembangnya.

Kita ini manusia…Kita semua ada set masalah yang tersendiri. Masalah kita semua pun tak sama. Cara kita menangani masalah pun lagilah tak sama. Kalau kita tak support sesama sendiri dan memahami masalah orang lain, makanya perenggan di atas ini tidak akan berkesudahan.

Anak aku ada dua..dua-dua lelaki. Kalau tidak, aku sudah ada seorang anak gadis berusia 5 tahun, pada tahun ini. Membesarkan 2 orang ini sahaja, aku rasa macam seluruh kudrat, tenaga, isotonik dan molekul-molekul lain cepat drain. Ada masanya aku rasa nak jerit suruh mereka diam bila mereka bergaduh dan menangis. Itu belum masuk aku nak join diorang menangis sama supaya aku tak stress sangat. Perangai lain termasuk mencampak botol susu sampai pecah, merampas makanan sesama sendiri dan akhir-akhir ini – menumpang katil kami kalau terkejut tidur malam sambil menguis-nguis minta simpati dan space dan kemudiannya menendang kami laki bini daripada katil kerana dia nak space yang lebih besar dan selesa!

Menconteng dinding tu boleh maaf lagi, menconteng wallpaper! Simbah-simbah sirap dilantai macam menabur bunga rampai pada pengantin dan menghalang semua program TV pilihan kami sepanjang masa. Seorang makan nasi tak mahu telur, seorang lagi makan telur tak mahu nasi. Kalau nak senaraikan semua, aku rasa macam nak hantuk dinding pada desktop ini pun ada.

Tapi itulah…mereka budak-budak lagi. Memang budak-budak nak membesar perangainya pelbagai dan menuntut kesabaran dan tenaga yang lebih. Setiap kali aku baca artikel – jangan jerit pada anak, jangan pukul umur gini-gini-gini aku gelaaaaak aje….

Apapun, aku sangat sayangkan Eskandar Dzulkarnain dan Ezzudin Dzulfikar. Merekalah yang menjadikan aku lebih manusia sebenarnya. Kadang-kadang bila malam nak recap kehidupan sebelum tidur, aku selalu rasa menyesal dan menangis sebab gagal kawal perasaan aku pada mereka berdua. Hadi faham..sebab dia ada perasaan yang sama.

It’s okay once in a while ada rasa nak tinggalkan anak-anak dan berehat seketika.

It’s okay untuk ada perasaan marah, dissappointed dan fed-up apatah lagi jealous dengan anak orang lain yang kita nampak macam baik dan senonoh aje. Percayalah..anak dia itupun macam-macam perangainya. Anak kita mungkin lambat bercakap, tatabahasa tak banyak dan tidak ada emosi berbanding anak orang lain yang umur 4 tahun dah pandai baca suratkhabar, main piano, mewarna dengan cantik ataupun pandai mandi wajib. Budak pun tak sama tumbesarannya…

Apa yang penting, kita kena ada rasa gembira dalam rumahtangga itu. Gembira dalam kemarahan, gembira dalam kesedihan, gembira dalam kesakitan – apa juga jenis gembira. Ibu ini tuhan jadikan semulajadi kuat. Kalau dia sakit pun, dialah paling kuat.

Kerana itu, walau apapun sepak terajang dunia, kita kena kuat.

Selamat Hari Ibu!

Happy Mother’s Day!

“Happy Mother’s Day, B…” disusuli dengan teks ucapan lain oleh beliau yang membuatkan aku rasa sangat dihargai dan terharu.

Hampir 4 tahun menjadi seorang ibu, tahun ini baru aku dengar ucapan itu. Sebelum-sebelum ini memang takde, dan aku tidak kisah sangat pun. Tapi semalam aku saja aje tanya. Konsepnya, tak tanya, tak tahu. Tak tanya, tak dapat.

Me : B, hari ini Mother’s Day..yu takde bagi ai apa-apa ke?

Him : I bagi yu masa ai…

Me : Oh, masa yu…ha, ohlahainya…. thank you sangat…

 

Wow..dia bagi masa dia. Abis masa aku tu apa?

Memang hari ini tak tahu nak buat apa dan kemana. Nak balik Melaka macam jauh sangat, nak makan spagetti dengan teh hijau yang super sedap di Tanjung Malim pun macam jauh sangat. Sudahnya Hadi buat keputusan untuk ke Janda Baik. Saja berjalan-jalan dikawasan itu. Kalau boring, boleh lanjutkan naik lagi ke atas Pahang sebab barang-barang anak sudahpun aku siapkan.

Aku mengenakan baju yang Hadi belikan beberapa bulan dahulu di GM Klang. Itu baju favorite kami berdua. Sepanjang perjalanan kami bersembang-sembang kosong. Kami kemudiannya berhenti di Genting Sempah untuk makan tengah hari.

Aku, Hadi dan Eskandar makan McD manakala untuk Ezzudin, Hadi belikan Nasi Ayam King. Usai makan, lampin anak berdua itu kami tukar dan terus kami meronda di kawasan Janda Baik. Ada lebih 10 tahun aku tak masuk dalam kawasan ini. Sudah tidak ada kepentingan dan tujuan. Kami melihat kawasan JB yang bersih, cantik dan tenang. JB tak besar mana pun, habis pusing Hadi terus mengarah balik ke Kuala Lumpur. Maknanya kami tidak jadilah bermalam di Pahang.

Sebelum balik, kami merancang untuk ke Shah Alam untuk pergi ke Kedai RM2. Aku perlu top-up stok cokelat untuk memujuk anak-anak sekiranya ada krisis. Misi ini kategori penting juga pada aku.

Tiba-tiba Ezzudin muntah! Habis car seat…keluar semua nasi ayam yang dia makan. Tapi dia tidak meragam atau menangis. Terus kami berhenti di stesen minyak yang berhampiran dan membersihkan kereta. Kemudian dia muntah lagi…

Kami terus balik. Memang batal agenda Kedai RM2. Sampai aje kawasan BSP, aku ternampak ada satu kain rentang apa benda entah..tapi yang aku perasan teh tarik 10 sen!

“B, teh tarik tu 10 sen…” aku beritahu Hadi. Dia kata dia tak perasan kain rentang tu.

Him :Yu nak teh tarik ke? I patah baliklah…

Me : Eh, tak..i bagitahu aje..

Him : Takpelah..i patah balik

Me : Sebenarnya yu yang nak teh tarikkan? Yu gunakan ai untuk capai cita-cita yu…

Him : Benar…

Me : Sebenarnya i nak durian…boleh yu belikan durian?

Him : No!

Jadi sebelum balik, kami bungkus 2 plastik teh tarik. Sampai rumah, Ezzudin muntah lagi! Aje kelam-kabut aku menguruskan muntah dia…Macam itulah dia, tak lama lepas tu muntah juga lagi. Aku panggil Hadi, dia tak menyahut. Rupanya dia keluar bawa Eskandar, entah kemana.

Tak lama kemudian dia balik. Aku bagitahu Ezzudin muntah tak berhenti. “Takpelah…yu makan dulu. I belikan yu durian. Karang i bawa dia gi klinik”.

Wow..dia belikan durian..durian yang super sedap gemuk gebu gebas dan kuniang-kuniang!

“Happy Mother’s Day, sayang….”

Begitulah sambutan Hari Ibu yang aku lalui. Malamnya, ada dekat 4 kali Ezzudin masih muntah-muntah. Dia tak lalu makan langsung. Minum susu pun enggan. Habis katil kami, tilam dia, toto dan selimut-selimut yang ada. Seharian hari ini, sampailah ketika ini aku masih belum berhenti mendobi. Cuma hari ini baharu 2 kali dia muntah. Mujur lepas makan tengah hari tadi dia tak muntah dah. Sabarlah Judin…demam nak besar tu. Nak sambut beriya-iya pun aku susah hati sebab anak tak sihat…

Dengan mama aku sekali belum sempat aku wish Happy Mother’s Day..Tapi hadiahnya aku sudah beli Rabu lalu.

Sekian.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...