Selamat Tinggal 2017!

Hari ini, 26 Disember 2017….bermakna 26 hari sudah aku tidak menulis dalam blog ini. Bukannya sebab tiada masa, tapi sebab banyak sangat yang berlaku tetapi terlalu sulit untuk aku ceritakan. Nantilah…bila ada kekuatan aku kongsikan juga.

Hari ini aku mahu imbas kembali apa yang terjadi sepanjang 2017. Yang seronok dan tidak semua itu pengalaman hidup untuk dikenang.

Aku menyambut hari lahir ke-36 di Krabi, Thailand pada bulan Januari. Memang rezeki sangat sebab aku dapat hotel 4* dan tiket flight dengan harga tak sampai RM450 seorang.

Aku menyambut ulang tahun 17 tahun bersama Hadi di Pulau Pinang. Tak sangka hubungan kami selama ini. Merasa juga duduk di Lexis Premier Suites, Teluk Kumbar. Bilik berharga RM400, campur tolak cukai dan diskaun keahlian. Kalau harga weekends lebih mahal. Kerana itu aku suka bercuti pada hari berkerja.

Aku berpeluang menghadiri Konsert Wings & Superfriends. Yang buat teruja sangat tu sebab ada M.Nasir aje hehehe…

Aku dapat kiriman bunga dan cokelat sempena Kiriman Kasih BKTV. Terima kasih kepada yang memberi.

Sempena Hari Ibu, Hadi belikan aku durian. Tak kisahlah bukan berstatus raja atau binatang yang penting dia belikan aku durian. Aku memang suka durian. Nak-nak kalau yang kuniang-kuniang warnanya…

Tahun ini – 2017, puteri syurga yang sangat aku rindukan berusia 5 tahun. Sehingga kini, aku belum pernah berjumpa dia di dalam mimpi. Aku masih menantikan saat itu.

Aku dipilih untuk berkursus di Jepun selama 26 hari! Ini memang mimpi jadi nyata dan ini juga adalah sejenis doa yang aku minta pada tuhan. Aku ingat lagi, doa aku bunyinya macam ini, “berikanlah aku peluang ini supaya dapat aku abaikan apa juga kekecewaan yang aku alami sepanjang 13 tahun aku berkerja.” Alhamdulillah…rezeki aku di sini. Aku dapat kawan-kawan baharu dan berjumpa dengan pelbagai ragam dan jenis manusia. Yang tak dijangkakan, aku berpeluang ke tempat-tempat menarik di sana. Agak gila kalau aku tampal semua gambar di Jepun itu kerana terlalu banyak gambar dan cerita menarik di sana. Boleh rujuk catatan bulan Julai dan Ogos untuk lebih faham.

Buat sendiri berus tu…

 

Garlic Naan + Mutton Curry Masala.

Satu yang paling aku ingat – Garlic Naan dan Mutton Curry Masala di Naan Inn, Kobe. Sumpah! Memang epik gila makanan ini. 5 kali aku berulang makan. Tak boleh kerap sangat sebab harga mahal 🙂

Menu wajib – Bukkake Udon + Fish Tempura

Satu lagi – Bukkake Udon di San Plaza, Sannomiya. Semenjak terjebak, hari-hari aku mengulang makan sampaikan atuk buat udon tu sudah kenal muka aku. Kalau takde member pun takde hal. Aku sanggup jalan kaki seorang diri. Padahal aku bukannya rajin sangat keluar berjalan. Penat berkursus membuatkan kecintaan aku pada katil di Kobe Monterey Hotel lebih tinggi. Itu belum cerita bathtub dia yang memanggil-manggil.

Suka menyakat acik ni

Dalam ramai-ramai umat Jepun yang aku kenal dan jumpa, aku paling rapat dengan Nakatani san. Dia makan semeja dengan aku dan beberapa geng lain masa jamuan makan malam di Doma-Doma. Lepas kenal-kenal dan bersembang, memang aku selesa dengan dia. Detik yang membuatkan kami lebih rapat adalah masa di Tokyo. Aku, Nakatani dan Kitamura melepak bertiga di Ginza. Memetik filem Cassablanca, “this is the beginning of a beautiful friendship”.

Akhirnya, rezeki aku datang juga. Aku dapat kenaikan pangkat B44 selepas 13 tahun berkhidmat. Aku hampir tidak mahu datang pada hari itu atas sebab-sebab tertentu. Selepas ditazkirahkan, aku setuju hadir dan aku tidak membuat throwback kenangan lalu disebabkan aku sudah “bersetuju” untuk mengabaikan kenangan-kenangan pahit masa lepas.

Jamuan perpisahan

Disebabkan itu, aku bertukar unit dari Unit Kandungan dan Kreatif ke Bahagian Pemasaran dan Promosi untuk mengetuai Unit Promosi. Maka berpisahlah aku dengan Unit Pentadbiran, Kewangan dan Dokumentasi yang hampir 3 tahun aku jaga.

Sepanjang 2017, 3 kali aku tidak boleh bercuti selama 28 hari. Aku menanggung 44 di UKK, kemudian di Unit Promosi kerana kenaikan pangkat dan kemudian menanggung 48 juga di sana. Seronok sangatlah sebab naik pangkat tiap-tiap bulan padahal yang menanggung pertama itupun elaunnya tak nampak bayang lagi.

Tapi badan penat ya amat..susah aku nak terangkan. Aku berkursus 26 hari di Jepun, balik aje terus masuk pejabat dengan tak sempat bercuti. Kemudian tak boleh bercuti lagi 28 hari. Habis aje edah, terus aku ajak Hadi ke Terengganu. Ingatkan cuti ini untuk masa berdua – tidak juga. Penuh agenda makan dan tengok wayang.

Sejak balik dari Jepun, aku belum lagi move on. Banyak benar memori dan rasa rindu pada pak angkat membuatkan aku terasa mahu ke sana lagi. Berkat bersukat-sukat belanja dengan elaun semasa di Jepun, aku berjaya juga merealisasikan hasrat untuk menyambut ulang tahun perkahwinan kami ke-11 di Osaka, Jepun. Maka elaun berkursus itu dari Jepun dia datang, kepada ekonomi Jepun juga dia kembali.

Aku bukan sahaja dapat jumpa dengan Nakatani, malah aku berpeluang berjumpa dengan coordinator aku di Kobe iaitu Kitamura.

Aku juga dapat berjumpa kembali dengan pegawai-pegawai dari Pacific Resources Exchange Center (Prex) iaitu Musha dan Sekino. Sempat kami merakam video bersama.

Kunjungan ke Osaka ini sangat bermakna sebab aku dapat bergambar sepuas-puasnya dan pergi ke mana destinasi yang aku tak sempat pergi dahulu. Masa berkursus, aku tidak berjalan sangat. Maka kali ini aku manfaatkan sepenuhnya. Merasalah ke Kobe, Himeiji, Kyoto dan tempat-tempat menarik lain di Osaka. Tapi paling tidak dapat aku lupakan ialah kisah menjejak kubur Allahyarham Syed bin Mohamed Alsagoff – salah seorang dari 3 rakyat Malaysia mangsa pengguguran bom atom di Hiroshima.

Mujur juga aku berjaya dapatkan tiket dengan harga yang murah, sekitar RM750 seorang. Hotel percuma kerana menggunakan kelayakan kelab percutian yang kami langgan. Belanja pengangkutan dalam RM250, simkad RM60 dan belanja makan RM250. Makan banyak save sebab rezeki aku murah, ramai yang sudi belanja. Paling aku tak sangka, aku berkenalan dengan seorang pengembara dari Australia, Olivia namanya. Kami bersembang semasa menunggu tren dan dia kemudiannya bersetuju untuk saing bersama untuk ke Umeda Sky Building. Sebelum itu, kami makan dahulu di Hooters,Osaka dan dia belanja kami berdua di sana. Memang aku dan Hadi terkejut gile sebab dia makan fries dan minum coke aje. Kami makan macam-macam sebab tak makan lagi dari pagi. Rezeki…rezeki…

Sejak balik dari Jepun, aku mula berhenti menulis. Ini sangat peribadi. Aku belum cukup kuat untuk berkongsi.

Eskandar dan Ezzudin akan mula masuk tadika tahun depan. Aku langsung tak sangka belanja untuk masuk tadika aje boleh luruh segala-mala simpanan yang ada. Kalau tidak, pasti aku tidak bercuti ke Jepun dan berjimat untuk duit persekolahan mereka. Nampak gayanya tahun depan aku kena lebih berhati-hati dalam berbelanja.

Apapun, aku berharap 2018 nanti akan terus gemilang dan memberikan warna-warna ceria dalam kehidupan aku kelak. Aku akan ke Thailand untuk meraikan hari lahir aku ke-37 di sana. Ini sudah dirancang awal kerana aku dapat baucar hotel percuma. Ini juga adalah masa yang sangat aku dan Hadi nantikan – masa berehat dan habiskan masa berdua.

Itu ajelah janjinya setiap kali nak bercuti bersama. Lepas sampai aje sana, mulalah berjalan tak henti-henti dan kemudian balik penat. Kemudian melalak lagi nak cuti dan berehat!

Majlis Tahlil dan Syukur Ramadan

Semalam, Badan Kebajikan Program TV (BKTV) telah mengadakan satu lagi aktiviti sebelum tibanya bulan puasa. Program ini dinamakan Majlis Tahlil dan Syukur Ramadan yang disertai oleh unit-unit di bawah Bahagian Program TV. Perancangan mengadakan program ini adalah lebih kurang sebulan yang lepas. Ia diketuai oleh kabadhak Intan dan dibantu oleh AJK-AJK BKTV yang lain. Sebelum itu, terima kasih diucapkan kepada insan-insan yang sudi menyumbangkan duit dan kudrat bagi menjayakan majlis nan ringkas ini.

Majlis ini dimulakan dengan tazkirah oleh Ustaz Shukri dan kemudiannya diikuti dengan bacaan Yasin dan tahlil. Walaupun tak boleh baca, aku duduk tekun juga dibelakang. Bacaan Ustaz Shukri sangat indah. Aku sendiri hampir-hampir sebak juga sebab sebelum itu dia ada pesan, niatkanlah untuk ibu dan bapa sama ada masih hidup ataupun telah pergi. Aku teringat arwah abah…sedih sangat 🙁

Kali ini tiada makan secara berhidang. Bungkus pek sahaja senang. Usai majlis, semua AJK makan berjemaah bersama-sama dan kemudiannya mengemas kembali Balai Perdana yang kami gunakan.

Selepas itu, aktiviti bergambar. Hai, yang ini tak menahan gayanya. Baru sahaja Pengarah Program TV kami berikan ucapan ringkas berkenaan overhaul amalan, bacaan dan sikap. Berdasarkan semangat fotografi yang dipamerkan, rasanya 1 Ramadan nantilah mula tu 🙂

AJK diminta memakai jubah hitam. Itulah pertama kali aku berjubah hitam…bahu jatuh ke, kain senteng ke, stokin bola ke, kasut sukan ke – I don’t care. Baju itu adalah hadiah daripada mak mentua dan aku happy menggayakannya walaupun tak berapa nak reti bergaya. Sebelum ambil gambar siap ada yang touch up muka. 🙂

Terima kasih kepada Pengerusi BKTV, Puan Noriah Letuar, Naib Pengerusi, Encik Aie Sarkase dan ketua program Puan Intan kerana penganjuran majlis ini. Santai, ringkas dan tepat ke sasaran. Juga AJK-AJK lain yang berusaha membantu kelancaran program – Kak Ne, Kak Elly, Kak Gee Melan, Kak Siti Marina, Kak Simah, Kak Intan, Salwati, Shidah, Farah Syahnaz, Yang Faziatun, Abang Jin (Happy birthday lagi!) dan Aizat. Kehadiran bosses juga sangat kami hargai. Selain Puan Norliza, Pengarah Program TV, majlis turut dihadiri oleh Puan Che Rohana Che Omar, Puan Khairani Yasin, Puan Kalsom Semon, Puan Zauyah, Puan Zainab dan Puan Asiah. Mungkin ada lagi bosses lain yang hadir, tapi aku tak perasan. Maafkanlah DJ Dave.

Pada aku secara peribadi, kehadiran kakitangan dibawah bumbung Program TV itulah sebenarnya kejayaan majlis ini. Terima kasih kepada yang melapangkan masa. Ramai yang tidak dapat hadir atas faktor kerja. Tak apalah…mungkin boleh sertai aktiviti yang lain pula nanti. Kepada wakil-wakil unit yang hadir, terima kasih lagi sekali. Terima kasih ni, kalau ucap lapan juta kali pun tak akan cukup.

Maaf sangat tak berapa nak bantu sebab masa-masa inilah banyak benar kerja yang datang. Aku setakat sempat ketip kurma aje (bungkus orang lain).

Selepas ini, UKK bukan lagi dibawah Program TV. Kami telah diserahkan kepada Bahagian Strategik. Bagaimanapun, penglibatan kami akan datang setakat sebagai ahli bersekutu sahaja. Selamat maju jaya kepada BKTV.. Selamat menerima pengerusi dan naib pengerusi baharu.

p/s : terima kasih Kak Ner kerana beri keizinan untuk ambil gambar ini semua. Itu sebab banyak muka dia sahaja 🙂

Kiriman Kasih BKTV

Rasa bercampur-baur bila kala melayari Facebook minggu lepas. Kelab BKTV mengadakan aktiviti Kiriman Kasih sempena ulang tahun RTM ke-71 dan hampir semua posting warga RTM di Angkasapuri minggu lepas berkongsi kiriman bunga, coklat dan biskut yang mereka terima. Semuanya gembira dengan hadiah yang mereka dapat.

Aku pandang ajelah…

Seminggu aku terpaksa bertugas di luar kawasan. Apa sangatlah sumbangan setakat sorting order yang ada 2 hari sebelum acara berlangsung. Memang kebetulan tarikh aku berkursus selisih dengan hari Kiriman Kasih BKTV ini. Dari kejauhan sahaja aku melihat AJK lain bertungkus-lumus menyiapkan pesanan – sampai larut malam di pejabat pun ada. Punyalah komited mereka semua ini…

3-11 April aku di luar kawasan..memang terasa lamanya…

Hari ini aku masuk ke pejabat dengan rasa risau. Risau takut-takut bunga untuk aku yang dikirim oleh seseorang itu sudah layu. Of course aku tahu aku akan dapat satu bunga..aku yang sorting order kan dah kabo tadi. Aku juga ada buat kiriman untuk staf-staf bawah seliaan aku. Beberapa teks terima kasih dari mereka menunjukkan kiriman aku selamat sampai kepada penerimanya.

Sekonyong-konyong aku menuju ke meja, Ya, Ampun! Penuh meja dengan kiriman bunga dan coklat – oh, bercampur sekali 3 kotak teh pelbagai perisa yang di hadiahkan oleh mereka yang bercuti di Cameron Highland baru-baru ini. Betullah orang cakap..kadang-kadang sikit-sikit benda, walaupun kecil tapi impaknya besar pada penerima.

Terima kasih yang teramat buat bos Puan Noriah Letuar, bos Aie Sarkase, Eja, Ruby dan Farah atas ingatan kalian. Memang terharu sangat rasanya pagi tadi…Bunga ros merah tu rasa nak buat air detoks, minum dan kunyah dengan kapas-kapasnya sekali 🙂

Coklat itu pula pasti makan masa untuk aku habiskan..sebab aku ni dah tak tahan benda nan manis-manis. Sekali-sekala aku kunyah juga sambil-sambil tanda tangan kontrak yang menimbun.

Teh 3 kotak pelbagai perisa iaitu anggur, oren dan lemon itu pula pasti menemani menghangatkan aku dalam suasana penyaman udara penjabat yang sejuk gedi sesuka-suki ini.

Tak habis perasaan aku yang terharu ya amat dihadiahkan kiriman di atas, Kak Ros pulak hadiahkan cenderamata dari Korea.

Tengah hari pulak Aie belanja aku makan rendang limpa di kedai favorite…Ditemani teh aisnya yang marvelous, memang indah menu makan tengah hari tadi.

Aik…perut tak sempat bertenang, dapat pulak kiriman Mc Donald’s dari Kak Mira dan Liz..Ya, Allah…..murahnya rezeki hari ini!

Sesungguhnya perasaan hari ini agak sukar untuk aku ungkapkan. Yang pasti, aku bersyukur dan berterima kasih atas semua ini. Aku cuma harap rasa hormat, sayang, percaya dan muhibah yang ada ini akan berpanjangan antara kita semua.

Kesimpulan terbesar dari aktiviti ini ialah kita boleh tahu siapa yang ingat dan hargai diri kita…dan siapa yang tidak. Sudah terang tidak perlukan lampu suluh 🙂

Kejuaraan Boling BKTV 2016

Pada hari Sabtu yang lalu, Badan Kebajikan TV RTM (BKTV) telah berjaya menganjurkan pertanding boling bagi merebut Piala Pengarah Program TV bertempat di Metro Point, Kajang. Aktiviti ini adalah penutup bagi tahun 2016 selain merupakan acara tahunan BKTV. Sebanyak 14 tim di bawah Program TV  termasuk satu tim AJK dan satu tim VIP mengambil bahagian dengan tema Crazy Bowling. Macam-macam busana dan gaya ada…

 

Sebenarnya bukan mudah untuk menganjurkan aktiviti seperti ini dalam bulan Disember. Dengan bertembung majlis kahwinlah, bercutilah dan komitmen-komitmen lain yang kebetulan jatuh pada hari minggu, dapat 14 tim pun dah kira besar rahmat. Awalnya kami menyasarkan 17 tim untuk bertanding. Dapat 14 pun ok dah..Tempat dan tarikh asal iaitu pada 10 Disember di The Summit, USJ terpaksa ditukar disebabkan masalah-masalah ini dan hasilnya, majoriti bersetuju dibuat pada 17 Disember 2016….ini adalah cubaan pertama. Insya Allah tahun depan lebih meriah lagi sambutannya. Nama kumpulan dan tema pasukan adalah seperti berikut :-

  1.  Tim VIP – Transformer
  2. Tim AJK – Red Devils (memang masuk gua beramai-ramai)
  3. Drama – All Blacks
  4. TV1 – C4
  5. TV2 – Pelikat Fusions
  6. Hiburan 1 – Dut Dut Dut Badut
  7. Hiburan 2 – Sharp Shooter
  8. Konti – Crazy Phoenix
  9. TVi – Raincoat
  10. Sukan – Deep Purple
  11. UMD – Kita Bakor
  12. Program Studio – Tibai Aje (Mokcun)
  13. UKK 1 – Aura Kasih
  14. UKK 2 – Mengongoi

Acara dimulakan dengan ucapan ringkas Pengarah Program TV iaitu Puan Norliza Ali. Selepas ucapan, beliau membuat balingan mula dan berjaya menjatuhkan 8 pin..itu tak prektis! Kalau prektis, merayu Shalin Zulkifli suruh boss besar jadi coach dia.

Unit Kandungan dan Kreatif telah menghantar 2 tim iaitu Tim Aura Kasih dan Tim Mengongoi bagi mewakili unit kami. Tim Aura Kasih terdiri daripada Suria Nasir, Kalaivanee, Hisyamuddin dan Kak Piah manakala Tim Mengongoi terdiri daripada Abang Azami, Azizul, Mior dan Huda. Memang target kami ialah untuk mendapatkan Piala Pengarah Program TV, jadi Tim Mengongoi adalah sandaran kami.

Tim Aura Kasih itu pula tim memeriahkan suasana sahaja. Disebabkan Hisyamuddin salah tempat, sempat juga aku ganti. Itu adalah kali pertama aku main boling. Jahanam ke longkang semuanya. Ada sekali strike, baru nak riak, fault pulak….Kak Piah yang mendakwa baru pertama kali usik bola boling tu pun boleh jatuhkan 8 biji pin..sekali baling! Yang lain-lain tu asal lepas ajelah. Memang patutlah tim ini ditukar nama menjadi Aura Kasihan 🙂

Aku adalah pengurus untuk kedua-dua pasukan dan aku sangat bangga dengan komitmen mereka semua. Tim Mengongoi berjaya mengharumkan nama UKK sekaligus menjadi juara pertama yang membawa balik Piala Pengarah Program TV. Abang Azami turut membawa balik hadiah bagi kategori individu lelaki terbaik dengan jatuhan pin terbanyak. Nasib baik LNPT tu tak boleh ubah..kalau tak aku dah tambah markah untuk kelapan-lapan peserta ni 🙂


Tahniah diucapkan kepada pasukan yang menang. Kepada yang kalah, ada setahun lagi masa untuk mengasah skill.

Apapun, semua ini tidak akan berjaya tanpa sokongan Pengerusi BKTV iaitu Puan Noriah Letuar, Timbalan Pengerusi iaitu Encik Aie Sarkase dan ahli-ahli BKTV yang lain iaitu Puan Intan Izelea, Puan Ellie, Puan Ne, Cik Shida Ali, Encik Shaheezam, Puan Farah Syahnaz, Puan Simah, Puan Maszuita, Puan Fauziah Melan, Puan Salwati dan Puan Tamil. Terima kasih yang terindah buat bekas AJK BKTV iaitu Puan Noriah Kasimin kerana sudi menyertai aktiviti kami walaupun sudah bergelar pesara. Semoga hubungan kita semua akan berkekalan dan dirahmati hendaknya.

Saya mohon maaf kepada semua AJK BKTV, Tim Mengongoi dan Aura Kasih kerana tidak dapat berada lama di sana. Anak-anak sudah mula mengganas dan kami perlu beransur untuk ke majlis lain. Juga maafkan saya sekiranya ada gambar pasukan yang tidak saya masukkan. Kalau diberikan gambar itu, boleh saja saya selitkan kemudian. Juga maaf sekiranya saya tertinggal memberi kredit kepada mereka yang terlibat bagi menjayakan Kejuaraan Boling BKTV 2016 ini.

p/s: Saya pinjam ya gambar-gambar ini…tq

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...