Salam Aidilfitri Untukmu…

Assalammualaikum semua yang membaca coretan terakhir sebelum Syawal menjelang 2 hari lagi. Dikala ramai umat pekerja kerajaan, swasta, berkerja sendiri, penganggur dan pelajar sudah berpusu-pusu balik ke kampung masing-masing, aku masih dipejabat menyiapkan beberapa kerja yang tidak pernahnya surut. Yang surut kadang kala hanya kesabaran dan keimanan yang disebabkan kekurangan aku sebagai seorang insani yang lemah.

Subuh tadi, tatkala hujan mencurah-curah membasahi bumi Bandar Saujana Putra, aku dan suami memaksa diri kami untuk bangkit dan bersiap siaga untuk ke pejabat. “Kenapalah kita kena kerja diwaktu hujan subuh-subuh ini?” Sebab kita tak amik cuti, bapa beruang…Trafik pagi tadi tidaklah seteruk selalu. Mungkin ada yang terus bergerak ke kampung masing-masing selepas sahur.

Selepas menyelesaikan beberapa tugasan wajib, aku mengambil peluang yang ada untuk spring cleaning meja Menteri Kewangan yang super serabut dilanda taufan audit dan MoF. Bersilih ganti acara melawat kawasan sampaikan aku tiada masa untuk menguruskan susunan kertas yang bertimbun.

Umum mengetahui kalau aku mula acara spring cleaning besar-besaran itu, tandanya jiwa raga aku tengah serabut. Betul la..ada sedikit. Maklum sahaja semakin akhir Ramadan, semakin mudah jiwa kita diusik. Aku membelek kad-kad raya yang aku terima dan aku sangat bersyukur dan berterima kasih kerana ada juga yang mengingati diri aku. Terima kasih kepada Puan Noriah Letuar, Puan Norma Aziz, En. Aie dan Puan Liz atas kiriman kad raya, kuih tart dan dodol.

Aktiviti aku pagi ini dilatari lagu-lagu raya oleh artis Ambang Klasik Sdn Bhd. Tidak boleh tidak, aku teringat seorang kawan lama yang sukakan semua lagu dalam album itu. Entah apa ceritanya sekarang? Kami pun sudah tidak berkawan dan berhubung. Dia berubah, aku lagilah berubah jauh dari paksi. Biarlah masing-masing membawa haluan dan kenangan kami sejak zaman sekolah dahulu anggap sahaja memori lama nan berhabuk.

Oh, ya…anak-anak sudah kami tinggalkan di rumah mama pada malam Rabu yang lalu. Taska mereka tutup. Saat ini, anak-anak, mama dan Ameera sudahpun sampai di Melaka. Tahun ini, insya Allah semua anak-anak Khairi akan berkumpul di Melaka. Aku tidak boleh ingat barang satu tahun yang kami berlima beradik beraya bersama pada hari raya pertama. Memanglah tak boleh ingat – memang tak ada! Yang sudah kahwin akan tetap dengan sistem penggiliran balik kampung. Tetapi sejak rumah yang aku beli di Melaka siap dan boleh diduduki, hari raya pertama tetaplah di Melaka. Aku dan Hadi tidak perlu bergilir-gilir hatta membaling dadu untuk tentukan giliran beraya. Krismas ke, Tahun Baharu Cina ke, semuanya di Melaka. Don’t mess with Melaka! (eh, tiba-tiba…)

Aku belum sempat ke kubur arwah abah dan arwah anakanda Cahaya Balqis di Tanah Perkuburan AU4. Hadi terlalu sibuk menyiapkan tesis. Hanya sekali sahaja kami balik ke Taman Permata. Hujung minggu yang lain banyak dihabiskan di rumah sahaja. Tapi tahun ini, aku okay. Tahun lepas yang mencabar sikit. Tarikh hari raya jatuh sehari selepas tarikh Cahaya Balqis meninggalkan aku. Emosinya lain macam…

Tahun ini konsepnya, tak mahu sedih-sedih. Banyak sudah rahmat yang tuhan berikan. Yang bersalam-salam sebelum cuti juga aku pesan, tak mahu sedih-sedih. Pesanan khidmat masyarakat yang kononnya meruntun jiwa sedu sedan hiba memang aku tak mahu tengok.

Persiapan hari raya juga seadanya. Aku tidak ada pakaian baharu, Hadi pun sama. Kami dahulukan anak-anak dan keperluan mama. Aku pun tak tahu mama akan masak apa untuk juadah pagi raya nanti. Tapi aku harap kuah kacang beliau yang datang dari syurga itu tidak ditinggalkan. Itu menu wajib..Aku bercadang untuk masak spagetti dan cucur udang pada hari raya kedua atau ketiga nanti. Masa itu, pandang rendang pun dah tak sudi.

Rasanya sampai sini sahaja dahulu aku menyusun cerita. Dari hati yang paling dalam, aku ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua. Maafkan sekiranya ada salah dan silap sama ada yang aku sedari ataupun tidak. Berhati-hatilah di jalan raya dan santunilah semua manusia yang ada disekeliling kita.

Salam ikhlas,

Siti Nurbaini Khairi a.k.a akusangpenerbit

Salam Ramadan dan Selamat Berpuasa

Masuk hari ini, sudah 4 hari kita berpuasa. Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat menunaikan ibadah puasa tahun ini dengan sempurna. Berdasarkan kiraan paksi sisi kiri kanan bersepuh-sepih, rasanya puasa penuh aku tahun ini.

Seperti tahun lepas, aku berhasrat untuk tidak berbelanja di pasar ramadan. Sudah berapa kali aku terkena dengan kualiti makanan yang tidak mengikut piawaian. Aku tidak kisah sangat harganya sedikit mahal, sebab aku faham masalah harga barang yang semakin naik. Tapi rasa tu, kadang-kadang sekali suap terus jatuh sedih, kecewa dan menyesal. Itu belum masuk pengalaman aku beli sate, tapi ayamnya sudah tak elok, nasi ayam dengan pakej telur lalat dan kuih tepung bungkus yang basi. Jadi tahun ini, seperti tahun lepas juga. Kak Benny akan kuatkan semangat untuk masak sendiri makanan untuk berbuka waima telur goreng mata sekalipun.

Puasa pertama, kami semua adik-beradik berbuka puasa di rumah mama. Aku bersetuju untuk berbuka puasa di rumah mama pun agak lambat. Sepatutnya, rancangan kami balik ke Melaka. Tetapi dengan keadaan trafik yang super kronik Jumaat lalu, langsung kami batalkan hasrat itu. Ada pulak permintaan hati ke hati nak suruh aku masak padrik cendawan petang itu. Nak buat macam mana, takde rezeki dia. Mungkin kerana hari pertama puasa, banyak barang dapur yang habis. Cendawan habis, baby corn habis, ayam pun habis!

Dalam kepala aku menu berbuka hanya satu – aku nak kentang masak berlada yang mama masak. Terima kasih, mama kerana masakkan lauk yang aku mintak. Sedap sangat-sangat rasanya sampaikan tidak berbaki. Habis aku bedal. Walaupun abang Jas beli KFC, kentang berlada juga yang aku tala sampai tersandar. Air untuk berbuka puasa pun meriah juga. Air mangga, air jagung, air bandung dan air teh o panas. Untuk aku, Hadi belikan Teh Ais Thai.

Punyalah kuat kecintaan aku pada kentang  masak berlada, esoknya aku repeat lagi sendiri. Walaupun tak sesedap mama masak, tapi cukuplah untuk berbuka puasa. Kan dah kobarkan tadi, tahun ini serba-serbi sederhana aje dan ringkas.

Tahun ini, pintu mall dan butik sudah terkatup rapat. Hari kedua puasa aku tak sedar jam berbunyi. Langsung tak sahur kami berdua pagi itu. Aku lupa pula jam tu setting weekdays lain, weekends pun lain. Kaedahnya, pakai ajelah baju apa yang ada. Tapi sebenarnya memang aku tak mahu berbelanja sangat tahun ini. Banyak keperluan lain yang perlu aku asingkan. Jadi baik Ramadan dan Syawal, memang serba-serbi bersederhana dalam berbelanja.

Ramadan kali ini, aku tidak akan post apa-apa gambar makanan. Aku tidak akan post gambar aku mengaji dan gambar aku bertelekung. Done sahur, done berbuka, done mungkin bila nanti, kita akan bertemu lagi pun aku tak akan post. Tapi aku tidak kisah kalau rakan-rakan lain post benda itu. Tiada masalah…Tiada sebab spesifik kenapa aku buat macam ini. Mungkin selepas raya nanti aku boleh ceritakan pengalaman aku apabila pertama kalinya tiada sekeping gambar makanan yang aku tampal untuk berkongsi dengan rakan-rakan.

Mungkin juga aku akan buat post pasal menu berbuka puasa secara one shot dan kentang masak berlada akan menjadi menu paling kerap aku makan ­čÖé No, aku tak mengandung. Kalau mengandung aku dah┬ámintak mama masak pajori noneh.

Setakat ini dahulu…selamat berpuasa semua!

Samba Sambal 3 Ramadan

IMG_20160608_191811

Aku terbangkit lambat pagi itu. Aku sendiri tak pasti alarm tak berbunyi atau berbunyi tapi aku yang tak sedar. Mujur Hadi terjaga dan kejutkan aku pagi itu. Sudah pukul 5.00 pagi rupanya!

Mujurlah lauk semalam masih tersisa. Ada seekor lagi ikan masak taucu. Aku sempat masak telur dadar dan baki teh gandum Oishi pantas dituang ke dalam bekas air ditemani beberapa ketulan air batu. Walaupun ringkas, terasa nikmatnya bersahur.

Kalau nak diikutkan, ini tahun kedua aku mendisiplinkan diri untuk bersahur dan tidak membeli makanan di pasar juadah. Sebelum ini, aku memang tak peduli sangat bangun awal untuk bersahur. Cukup setakat makan berat pada malam sebelumnya. Nyatanya cara begini lebih berkat dan jimat. Subuh-subuh itu jugalah masa aku nak bersembang dengan Hadi.

Selepas sahur, kami berdua menyiapkan anak-anak. Badan Ezzudin masih panas. Suhu agak tinggi, padahal malam semalam macam dah surut sikit deman tu. Aku nekad hantar aje dahulu dia ke taska. Aku positif panas dia tu kejap aje sebab ini sudah hari ketiga. Sepatutnya demam dia sudah kebah.

Yup, Alhamdulillah…sedikit lega petang itu badannya tidak panas sangat. Demam manja-manja aje. Ezzudin tetap aktif. Sebelum berbuka, aku beri anak-anak makan dahulu. Kedua-duanya ada selera makan dan Eskandar berebut-rebut minta disuap dahulu – siap potong que!

Untuk menu berbuka, aku masak sambal sotong. Cili tak letak banyak sebab takut pedas. Tapi hasilnya masih pedas, kata Hadi. Entah pada aku lazat aje. Tapi tak bertambah nasi pulak sebab nasi yang dituang Hadi agak banyak. Sebotol sparkling water yang aku dapat tahun lepas menyulami nasi berbuka hari ini. Wow, rezeki iftar yang hebat. Sedap juga air tu. Kalau aku tahu, dah lama aku sesahkan.

Esok untuk sahur tidaklah payah sangat. Sambal sotong masih berbaki. Kalau perlu aku tanak sedikit nasi dan masak telur taucu sahaja. Aku dan anak-anak masuk tidur awal. Pukul 9.00 malam sudah masuk bilik. Biarkanlah bapaknya mengemas di bawah dan kemudian mempunyai masa untuk diri sendiri.

Lekung-Lekang 2 Ramadan

Bbms_SSCAAAor0t

Pagi itu aku bangkit dengan penuh semangat. Sejak semalam sudah terbayang kentang masak berlada untuk dibuat sahur. Nasi pun belum aku tanak. Memang sengaja mahu masak kedua-duanya pagi subuh itu juga.

Tang..tang…tang..tang…

Agak bingit dapur pagi itu dengan lekungan lesung batu. Bertabahlah jiranku sekalian sebab memang lesung batu itu sahabat baik aku di dapur.  Tidak lama aku memasak. Tak sampai 30 minit pun.

Aku dan suami bersahur sambil menonton Game of Thrones dengan tenang. Mujurlah tiada birah yang setakat pengetahuan aku yang terkadiaq arrest dan sibuk nak ulang kaji episod ini di laman Facebook yang telah dinyahaktifkan. Itu memang last warning. Sekali lagi ada episodik yang merengsakan memang akak tak segan silu berkunjung muhibah ke pejabatnya. Oh, dan membawa sahabat baik akak seperti yang dinyatakan di atas.

Suhu badan Ezzudin tidak setinggi semalam. Tapi pengalaman anak-anak demam ni suhu mereka turun naik, turun naik sampai 3 hari. Kemudian baharulah okay. Jadi aku pesan pada cikgu di taska untuk memberi Ezzudin ubat sekitar jam 11.00  pagi.

Seperti yang aku jangka, petang itu suhu badannya naik balik. Aku berikan ubat dan bagi dia makan bubur yang Hadi bawa balik dari pejabat. Tak mahu dia makan…setakat 3 suap. Eskandar makan juga bubur tu, tapi main-main. Susah betul nak suruh dia makan. Mana larat aku nak masak pasta hari-hari untuk dia semata.

Aku sempat masak ikan masak taucu untuk berbuka puasa. Ha, ini kali pertama aku masak taucu ya. Bukan sebab aku tak tahu masak. Tersangatlah tahunya. Taucu bukan menu pilihan aku sebenarnya. Kalau ada, makan. Tak ada, tak cari dan tak kisah.

Tapi kabadak Intan itu telah mempengaruhi pemikiran aku dengan cerita ikan masak taucunya minggu lepas. 6 ekor ikan selar comel selamat berenang-renang dalam lautan taucu yang baunya sungguhlah menggoda iman. Kalau arwah abah masak, dia akan taruh timun dalam taucu tu. Tapi aku ini bukanlah pemakan timun. Jadi memanglah aku tidak bubuh timun.

Apapun aku rasa happy sebab Eskandar makan taucu itu. Ezzudin yang demam pun berkali-kali tambah. Jadi sohehlah taucu akan ada dalam menu wajib keluarga aku selepas ini.

Ok selesai hari kedua berpuasa tanpa membeli apa-apa  makanan dari pasar juadah.

1 Ramadan

Ramadan_Kareem

1 Ramadan menjelma kembali. Terasa cepat betul masa berjalan tahun ini. Rasanya macam baharu sebulan lepas aku ke Pattaya, padahal Januari sudah berbulan meninggalkan aku.

Agak awal, tetapi baju raya untuk kami sekeluarga sudahpun aku sediakan. Sebelum puasa lagi sudah selamat dibeli sebelum harga menjadi mengarut. Jadi tahun ini temanya color block – black and orange.┬áItu warna pilihan suami dan aku relakan sahaja. Oren kot, mana mungkin aku bangkang ­čÖé

bmw-i8-c102814072015184556_1

Apapun, aku juga mahu mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua kawan-kawan sekalian. Terima kasih atas kiriman niat berpuasa, terima kasih atas kata-kata hikmah dan video jenaka. Semoga kita semua dapat beribadat dengan tenang tanpa mencanang.

Jadi subuh semalam aku bersahur dengan menu yang sangat simple, nasi putih, telur goreng dadar dan lebihan sambal nasi lemak kelmarin. Itupun sudah sedap sangat rasanya. Aku cuba menjamah kurma yang kami beli di Tesco tapi tekak seakan susah untuk menerima. Kurma salut coklat, ditabur kelapa…eh, ada badam pula di dalamnya. Hipster sangat! Aku mahukan kurma lembut gebu bersari dan kurang manis. Tengoklah hujung minggu ini kalau rajin aku mencari kurma pula.

Lepas sahur, aku terus menyiapkan anak-anak untuk dihantar ke taska. Oh, anak-anak sudah sebulan duduk dengan kami. Justeru rutin kami sangat padat dan aku tak cukup tidur! Badan Ezzudin panas. Aku selit termometer. Ah, sudah…38.6! Suhu macam ini memang tak sesuai hantar taska. Kesian kat dia dan kesian juga pada kawan-kawan dia yang lain. Kot berjangkit nanti semua kena.

IMG_20160606_170116

Seharian kerja aku menuam badan dia dan memastikan dia selesa. Makan langsung tak mahu. Tekak tak sedap agaknya. Mungkin kerana hanya kami berdua sahaja di rumah, Ezzudin tidak meragam berat. Tetap mahu berkepit dengan aku, tapi pasrah bila aku letak dalam crib.

Hari pertama berpuasa ini, aku tidak masak. Sudah ada jemputan berbuka yang menanti. Terima kasih kepada tuan-tuan yang sudi menjemput. Sebaik Hadi sampai rumah, terus kami ke Palace of The Golden Horses. Mujur trafik lancar. Sebaik memasuki premis POGH, si Eskandar tak habis-habis waaaah sini, waaaah sana. Suka sangat dia tengok kuda.

IMG_20160606_174847

Ini adalah kali pertama kami berbuka puasa di luar dan membawa dua anak kecil. Sangat mencabar dan menguji kesabaran. Makan terpaksa bergilir, take 5 juga begitu. Tapi mungkin semalam sebab seorang tak sihat dan seorang pula pula hyper, agak terkejar-kejar juga kami makan. Sayangnya aku tidak dapat tunggu lama untuk rakaman program Teh Tarik Che Ta. Sebelum aku sendiri kena sawan tarik dengan anak-anak yang sudah mula meragam, maka terpaksalah kami beransur dahulu.

IMG_20160606_203630

Sebelum balik, sempat juga aku bergambar dengan Che Ta dan anak perempuannya yang super cute! Terima kasih Kak Noriah Letuar untuk kredit foto aku bersama Aaisyah.

13406734_1274303809264301_5311782465268552089_n

13346714_1274303795930969_7283699183587892514_n

IMG_20160606_204125

Anak-anak masih segar dan bertenaga sepanjang perjalanan balik ke rumah. Cuma Ezzudin tidak bertahan lama dan terlelap sementara Eskandar setia menonton konsert Metallica. Aku dan Hadi agak penat. Tapi Game of Thrones episod 7 belum kami tengok. Cadangan asalnya, Hadi terus naik bilik atas  dan tidurkan Eskandar. Aku pula di bawah akan tidurkan Ezzudin sambil menuam badannya. Bila Eskandar tidur, dia akan turun dan kami akan menonton GoT. 11.00 malam, tak turun. 11.30 malam tak turun. 12.00 malam pun tak turun-turun.

Sudahnya 12.30 malam aku mendukung Ezzudin dan naik bilik. Dua-dua telah selamat berlayar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...