Yeay! Hari Pertama Sekolah….

Semalam adalah hari pertama anak-anak bersekolah. Jumaat lepas mereka sudahpun melalui sesi orientasi. Difahamkan Eskandar toyak manakala adiknya tenang-tenang aje sambil main mainan yang banyak di tadika mereka.

Semalam rasa berdebar juga, okay tak anak-anak? Berdasarkan gambar yang Hadi kirim, rasanya macam ok aje. Judin aku tak risau sangat sebab dia memang jenis bangun awal. Kadang-kadang tu awal sangat. 5.00 pagi dah bangun. Eskandar tidak macam tu..kadang-kadang kalau dikejut dia cranky sikit (Judin pun cranky juga kalau kena paksa bangun). Tengok gambar riang aje…jadi aku assume ok ajelah. Ibu bapa tidak dibenarkan berada di kawasan tadika. Pendek kata, dah hantar anak masing-masing lepas tu baliklah. Tak payah bersidai di premis tadika, mengganggu konsentrasi anak-anak aje nanti.

Anak-anak memang aku biasakan tidur awal. Judin paling berdisiplin. Kalau 9.30 malam tak naik lagi dia dah mula menggelisah. Eskandar pula suka tahan mata dia. Jaranglah anak-anak masih berjaga sampai pukul 11.00 malam. Kalau adapun maknanya siang diorang dah tidur lamalah tu.

Rutin baharu bakal bermula. Kelmarin rutin gosok baju. Selepas ini pula ialah membaca nota harian dari cikgu dan mengulang pelajaran anak-anak di rumah. Mudahnya buat revision sikit-sikit bagi anak-anak ingat apa yang diorang belajar di sekolah tadi. So far semalam tiada apa lagi. Anak-anak tidak pula menampakkan unsur-unsur keletihan malam semalam sedangkan aku dan Hadi dah rasa penat sangat ya amat. Ragam mereka di kedai makan semalam sudah cukup membuat aku lelah. Penat…penat sangat.

****

Hari pertama aku berkerja untuk tahun 2018 ini juga berjalan lancar. Kerja ok, makan pun sedap. Maknanya episod berangan nak diet belum bermula lagi. Ok setakat itu dulu…

Selamat Tahun Baharu 2018!

It’s not a great start. Not even a good start. It is a start…

1 Januari 2018 bermula dengan mengemas rumah dan bilik tidur di awal pagi kerana ada orang yang akan datang ke rumah untuk membaiki kipas siling dan ganti gas pada penyaman udara – sangkanya. Janji pukul 9.00 pagi tapi sampai 11.30 pagi haram tak muncul. Memang tidaklah kami telefon suruh datang sebab kalau janji pun ke laut, hasil kerja entah macam mana.

Semasa menanti manusia pada para di atas,  entah saudara mara ipar duai tokcik jiran sebelah ni park kereta betul-betul macam nak masuk dalam rumah aku – sampai nak buka pagar pun tak lepas. Aku pun pelik kenapa dia tak letak aje kereta dia di luar rumah aku tanpa perlu menyondol depan pagar rumah. Aku bagi 10 minit aje, sebelum aku offer parking ajelah dalam rumah akak ni ha… Biarlah laki akak kuarkan kereta untuk korang masuk.  Agaknya dia pun serba-salah anak-anak aku dah menjengok-jengok, kereta itupun bergerak dan parking depan rumah aku. Itu logiklah sikit, tapi itupun tak boleh fikir.

Misi hari ini ialah menyiapkan keperluan anak-anak untuk ke sekolah esok.  Sulam nama yang dihantar di Seksyen 7 siap dengan jayanya. Kemudian,  misi seterusnya ialah ke kedai foto untuk mengambil gambar passport Eskandar dan Ezzudin. Eskandar tu aku tak risau sangat. Si Judin tu… Konfem dia tak boleh duduk diam. Aku siap bagitahu jurugambar agar bersabar sikit dengan Judin sebab dia special. 2 kali snap dah ok! Lepas tu dia mula rasa seronok dan mahu duduk di kerusi itu lagi untuk bergambar 🙂

Dalam perjalanan balik,  kami singgah di McD Seksyen 26. Maklum ajelah,  burger Prosperity datang kembali. Terus beli yang double, sebab lepas ini tak tentu akan mengulang lagi. Disebabkan Shah Alam hujan,  aku ajak Hadi makan terus dalam kereta. Mulanya dia enggan. Oh, sombong. Terus aku makan burger aku dan offer segigit padanya. Tatkala membaham gigitan pertama itu, deria rasa dia mula berhubung dan dia terus mencapai burger miliknya dan kami makan bersama-sama…

Malam ini tidak seperti malam yang lain. Bermulalah rutin baharu menggosok pakaian sekolah anak-anak. Baju aku sendiri pun jarang aku gosok. Disebabkan perubahan hidup ini,  maka aku akan bersahabat dengan seterika berat gedabak yang jarang aku sentuh.

Sudut kehidupan yang lain,  aku dan Hadi baharu sedar kucing yang kami sedekah makan hari-hari itu adalah kucing betina. Patutlah banyak nau kucing berbunyi-bunyi mengajak berjimak akhir-akhir ini. Paling kami tak sangka,  kucing itu sudah bersalin dan anaknya ada dalam kotak kasut di luar rumah kami. Sudah satu hal nak bagi nama pulak. Nanti-nantilah fikirkan nama… Dalam kepala aku ialah Baelish atau Michael Bolton kalau jantan dan Marcella kalau betina.

Macam yang aku cakap pada Hadi,  It’s not a great start, not even a good start. It is a start… Permulaan ini tidaklah seteruk mana.

Selamat Tahun Baharu 2018! Hidup tidak selalu indah,  tapi jangan menyerah kalah.

Selamat Tinggal 2017!

Hari ini, 26 Disember 2017….bermakna 26 hari sudah aku tidak menulis dalam blog ini. Bukannya sebab tiada masa, tapi sebab banyak sangat yang berlaku tetapi terlalu sulit untuk aku ceritakan. Nantilah…bila ada kekuatan aku kongsikan juga.

Hari ini aku mahu imbas kembali apa yang terjadi sepanjang 2017. Yang seronok dan tidak semua itu pengalaman hidup untuk dikenang.

Aku menyambut hari lahir ke-36 di Krabi, Thailand pada bulan Januari. Memang rezeki sangat sebab aku dapat hotel 4* dan tiket flight dengan harga tak sampai RM450 seorang.

Aku menyambut ulang tahun 17 tahun bersama Hadi di Pulau Pinang. Tak sangka hubungan kami selama ini. Merasa juga duduk di Lexis Premier Suites, Teluk Kumbar. Bilik berharga RM400, campur tolak cukai dan diskaun keahlian. Kalau harga weekends lebih mahal. Kerana itu aku suka bercuti pada hari berkerja.

Aku berpeluang menghadiri Konsert Wings & Superfriends. Yang buat teruja sangat tu sebab ada M.Nasir aje hehehe…

Aku dapat kiriman bunga dan cokelat sempena Kiriman Kasih BKTV. Terima kasih kepada yang memberi.

Sempena Hari Ibu, Hadi belikan aku durian. Tak kisahlah bukan berstatus raja atau binatang yang penting dia belikan aku durian. Aku memang suka durian. Nak-nak kalau yang kuniang-kuniang warnanya…

Tahun ini – 2017, puteri syurga yang sangat aku rindukan berusia 5 tahun. Sehingga kini, aku belum pernah berjumpa dia di dalam mimpi. Aku masih menantikan saat itu.

Aku dipilih untuk berkursus di Jepun selama 26 hari! Ini memang mimpi jadi nyata dan ini juga adalah sejenis doa yang aku minta pada tuhan. Aku ingat lagi, doa aku bunyinya macam ini, “berikanlah aku peluang ini supaya dapat aku abaikan apa juga kekecewaan yang aku alami sepanjang 13 tahun aku berkerja.” Alhamdulillah…rezeki aku di sini. Aku dapat kawan-kawan baharu dan berjumpa dengan pelbagai ragam dan jenis manusia. Yang tak dijangkakan, aku berpeluang ke tempat-tempat menarik di sana. Agak gila kalau aku tampal semua gambar di Jepun itu kerana terlalu banyak gambar dan cerita menarik di sana. Boleh rujuk catatan bulan Julai dan Ogos untuk lebih faham.

Buat sendiri berus tu…

 

Garlic Naan + Mutton Curry Masala.

Satu yang paling aku ingat – Garlic Naan dan Mutton Curry Masala di Naan Inn, Kobe. Sumpah! Memang epik gila makanan ini. 5 kali aku berulang makan. Tak boleh kerap sangat sebab harga mahal 🙂

Menu wajib – Bukkake Udon + Fish Tempura

Satu lagi – Bukkake Udon di San Plaza, Sannomiya. Semenjak terjebak, hari-hari aku mengulang makan sampaikan atuk buat udon tu sudah kenal muka aku. Kalau takde member pun takde hal. Aku sanggup jalan kaki seorang diri. Padahal aku bukannya rajin sangat keluar berjalan. Penat berkursus membuatkan kecintaan aku pada katil di Kobe Monterey Hotel lebih tinggi. Itu belum cerita bathtub dia yang memanggil-manggil.

Suka menyakat acik ni

Dalam ramai-ramai umat Jepun yang aku kenal dan jumpa, aku paling rapat dengan Nakatani san. Dia makan semeja dengan aku dan beberapa geng lain masa jamuan makan malam di Doma-Doma. Lepas kenal-kenal dan bersembang, memang aku selesa dengan dia. Detik yang membuatkan kami lebih rapat adalah masa di Tokyo. Aku, Nakatani dan Kitamura melepak bertiga di Ginza. Memetik filem Cassablanca, “this is the beginning of a beautiful friendship”.

Akhirnya, rezeki aku datang juga. Aku dapat kenaikan pangkat B44 selepas 13 tahun berkhidmat. Aku hampir tidak mahu datang pada hari itu atas sebab-sebab tertentu. Selepas ditazkirahkan, aku setuju hadir dan aku tidak membuat throwback kenangan lalu disebabkan aku sudah “bersetuju” untuk mengabaikan kenangan-kenangan pahit masa lepas.

Jamuan perpisahan

Disebabkan itu, aku bertukar unit dari Unit Kandungan dan Kreatif ke Bahagian Pemasaran dan Promosi untuk mengetuai Unit Promosi. Maka berpisahlah aku dengan Unit Pentadbiran, Kewangan dan Dokumentasi yang hampir 3 tahun aku jaga.

Sepanjang 2017, 3 kali aku tidak boleh bercuti selama 28 hari. Aku menanggung 44 di UKK, kemudian di Unit Promosi kerana kenaikan pangkat dan kemudian menanggung 48 juga di sana. Seronok sangatlah sebab naik pangkat tiap-tiap bulan padahal yang menanggung pertama itupun elaunnya tak nampak bayang lagi.

Tapi badan penat ya amat..susah aku nak terangkan. Aku berkursus 26 hari di Jepun, balik aje terus masuk pejabat dengan tak sempat bercuti. Kemudian tak boleh bercuti lagi 28 hari. Habis aje edah, terus aku ajak Hadi ke Terengganu. Ingatkan cuti ini untuk masa berdua – tidak juga. Penuh agenda makan dan tengok wayang.

Sejak balik dari Jepun, aku belum lagi move on. Banyak benar memori dan rasa rindu pada pak angkat membuatkan aku terasa mahu ke sana lagi. Berkat bersukat-sukat belanja dengan elaun semasa di Jepun, aku berjaya juga merealisasikan hasrat untuk menyambut ulang tahun perkahwinan kami ke-11 di Osaka, Jepun. Maka elaun berkursus itu dari Jepun dia datang, kepada ekonomi Jepun juga dia kembali.

Aku bukan sahaja dapat jumpa dengan Nakatani, malah aku berpeluang berjumpa dengan coordinator aku di Kobe iaitu Kitamura.

Aku juga dapat berjumpa kembali dengan pegawai-pegawai dari Pacific Resources Exchange Center (Prex) iaitu Musha dan Sekino. Sempat kami merakam video bersama.

Kunjungan ke Osaka ini sangat bermakna sebab aku dapat bergambar sepuas-puasnya dan pergi ke mana destinasi yang aku tak sempat pergi dahulu. Masa berkursus, aku tidak berjalan sangat. Maka kali ini aku manfaatkan sepenuhnya. Merasalah ke Kobe, Himeiji, Kyoto dan tempat-tempat menarik lain di Osaka. Tapi paling tidak dapat aku lupakan ialah kisah menjejak kubur Allahyarham Syed bin Mohamed Alsagoff – salah seorang dari 3 rakyat Malaysia mangsa pengguguran bom atom di Hiroshima.

Mujur juga aku berjaya dapatkan tiket dengan harga yang murah, sekitar RM750 seorang. Hotel percuma kerana menggunakan kelayakan kelab percutian yang kami langgan. Belanja pengangkutan dalam RM250, simkad RM60 dan belanja makan RM250. Makan banyak save sebab rezeki aku murah, ramai yang sudi belanja. Paling aku tak sangka, aku berkenalan dengan seorang pengembara dari Australia, Olivia namanya. Kami bersembang semasa menunggu tren dan dia kemudiannya bersetuju untuk saing bersama untuk ke Umeda Sky Building. Sebelum itu, kami makan dahulu di Hooters,Osaka dan dia belanja kami berdua di sana. Memang aku dan Hadi terkejut gile sebab dia makan fries dan minum coke aje. Kami makan macam-macam sebab tak makan lagi dari pagi. Rezeki…rezeki…

Sejak balik dari Jepun, aku mula berhenti menulis. Ini sangat peribadi. Aku belum cukup kuat untuk berkongsi.

Eskandar dan Ezzudin akan mula masuk tadika tahun depan. Aku langsung tak sangka belanja untuk masuk tadika aje boleh luruh segala-mala simpanan yang ada. Kalau tidak, pasti aku tidak bercuti ke Jepun dan berjimat untuk duit persekolahan mereka. Nampak gayanya tahun depan aku kena lebih berhati-hati dalam berbelanja.

Apapun, aku berharap 2018 nanti akan terus gemilang dan memberikan warna-warna ceria dalam kehidupan aku kelak. Aku akan ke Thailand untuk meraikan hari lahir aku ke-37 di sana. Ini sudah dirancang awal kerana aku dapat baucar hotel percuma. Ini juga adalah masa yang sangat aku dan Hadi nantikan – masa berehat dan habiskan masa berdua.

Itu ajelah janjinya setiap kali nak bercuti bersama. Lepas sampai aje sana, mulalah berjalan tak henti-henti dan kemudian balik penat. Kemudian melalak lagi nak cuti dan berehat!

Ohai, Happy 11th Anniversary!

18 November 2017 lalu, genaplah usia perkahwinan aku dengan Hadi selama 11 tahun. Cadangan asal, aku mahu sambut di Jepun. Tetapi tiket super mahal, maka aku anjakkan percutian ke Jepun seminggu awal dari tarikh ulang tahun perkahwinan kami ini. Tak apalah, merasa juga bercuti di sana walaupun kosnya agak gila juga. Tapi aku tak belanja banyak mana pun. Elaun semasa berkursus aku simpan dan catu berbelanja menjadikan percutian ke Jepun ini seolah ditaja juga. Jadi duit itu dari Jepun ia datang, kepada Jepun ia kembali 🙂

Jadinya Sabtu lalu, kami memikirkan di mana untuk kami raikan hari istimewa ini bersama-sama anak-anak. Mujur cuaca pagi itu menyebelahi kami lantas kami bersetuju untuk pergi ke satu tempat yang membahagiakan anak-anak, tapi merengsakan ibu dan bapa iaitu….Zoo Negara!

Anak-anak tak boleh duduk diam

Ini adalah kali pertama aku bawa anak-anak ke sini. Eskandar sangat seronok melihat binatang-binatang yang ada sebab dia sudah kenal binatang. Ezzudin seperti biasa, tiada perasaan dan meragam kerana cuaca agak panas. Sampaikan masa persembahan haiwan, dia tidak boleh duduk diam. Mana tempat yang tak boleh masuk, situlah dia nak pergi. Sudahnya aku bawa dia masuk dalam akuarium manakala Hadi dan Eskandar dapat melayan persembahan dengan tenang.

Aku tak ingat bila kali terakhir ke Zoo Negara. Ia berlaku sama ada semasa aku bawa rakan-rakan aku dari Brunei atau semasa aku tidak tahu aku mengandungkan arwah Cahaya Balqis. Antara 5-7 tahun macam tu. Masa itu, panda pun tak pernah bermimpi akan bermigrasi ke Malaysia. Penguin aje tarikan terkini yang ada di Zoo Negara kala itu.

Tiket masuk aku sifatkan agak mahal, RM44 untuk dewasa dan RM16 untuk kanak-kanak. Tapi mengenangkan kos untuk maintain penjagaan tempat itu sendiri bukannya murah, aku tabahkan juga. Naik tram juga kena bayar secara berasingan untuk pergi dan balik. Aku tak pasti berapa ringgit sebab Hadi yang bayar. KFC yang aku bangga-banggakan ada dalam zoo ini pun sudah tutup dan dikhabarkan sudah menjadi surau. Makanan dalam ini juga mahal. Baiklah bawa bekal kalau rajin dan ramai kerabat. Bayangkan keropok Super Ring yang harga tak sampai RM2 itu dijual dengan harga RM4.50 sepeket. Boleh almarhum kalau bawa anak-anak ramai dan semua nak seorang satu.

Mujurlah ada vending machine yang mempromosikan air isotonik baharu yang dijual dengan harga RM1.50 satu. Sedap juga air Lucozade Sport ini, macam 100Plus sikit rasanya. Bolehlah aku tekan 2 kali. Standard air tin biasa dijual dengan harga RM3 dan ke atas.

Oh, sempat juga aku ambil gambar tempat dating Cikgu Shaari dan Cikgu Norkiah dalam filem Masam-Masam Manis.

Apa yang penting, anak-anak seronok dalam zoo ini. Kasihan juga melihatkan Hadi terpaksa memikul Eskandar bila dia mahu lihat binatang yang nun sayup menyorok di belakang kandang masing-masing. Semua binatang keletihan dan tidak aktif…Banyak terdampar kelesuan dalam kepanasan kecuali panda yang bersuhukan penyaman udara seperti dalam pejabat aku nan indah tersergam itu. Oh, sekarang tidak perlu bayaran masuk untuk melihat panda. Tiket yang kita beli tu dan disekalikan untuk semua tempat di dalam zoo ini.

Selepas balik dari zoo, anak-anak kami tempatkan dirumah mama seketika. Aku dan Hadi mahu menikmati makan malam berdua. Dalam kepala otak, aku sudah terbayangkan Tennessee Steak TGIF yang super enak bersari. Kami ke Wangsa Walk sahaja kerana di situ premis TGIF paling dekat dengan rumah mama. Sebaik masuk ke Wangsa Walk, Hadi terperasan ada satu kedai Jepun, Ajitei Teppan & Grill Restaurant. Dia ajak aku makan di sini. Aku okay aje, kalau ada okonomiyaki. Sejak makan di Dotonbori dua minggu lepas, aku asyik terbayang-bayang sosnya yang sedap itu.

Ya, ada jual dan aku langsung setuju!

Kami memesan Okonomiyaki, Yaki Tori, Oyster Cheese, Niku Udon, air sirap dan teh hijau.

Okonomiyaki!
Niru Udon
Yaki Tori
Oyster Cheese
Not bad untuk makanan Jepun

Iya, yang memilih sirap kahwin itu hakaklah orangnya.

Sambil makan, kami bersembang-sembang kecil dan lebihnya menikmati makanan dengan tenang. Adalah ucapan Happy Anniversary to you, Happy Anniversary to me, i love you, i love you more dan madah-madah cinta biasa berbalas sesama sendiri. Tahun ini, banyak cabaran dan dugaan dalam perkahwinan kami. Tapi kami tahu, cabaran masa hadapan lebih menduga dan kami kena sabar untuk melalui semua ujian tuhan ini.

Aku berharap hubungan kami ini berpanjangan dan cinta sentiasa kuat dalam hati masing-masing. Banyak-banyakkan bersabar dalam mendepani urusan anak-anak dan sama-samalah kita memudahkan urusan masing-masing.

Hadi Hamzah, me love you long time 🙂

Mama dan abah bersama-sama tangan anak zombie yang tidak boleh tengok kami bergambar berdua

Ohai, Malaysia…I’m Back!

JICA Kansai

Pukul 11.30 pagi aku sudah daftar keluar dari Hotel Monterey Kobe. Terus berkumpul di lobi dan menunggu travel agent untuk langkah seterusnya. Badan aku sudah mula sakit-sakit dan minta simpati. Aku sudah mula rasa macam nak kena semput. Ini mesti sebab semalam aku banyak bantai minum ais batu dalam keadaan cuaca yang sangat panas dan asyik menangis sedih.

Mujur ada kawan-kawan yang ada stok ubat lebih sedekahkan pada aku yang mana logik untuk aku makan. Aku tak larat serba-serbi. Dengan tak lalu makannya lagi. Menyeret beg untuk masuk dalam bas pun separuh nafas dibuatnya. Takdelah shopping apapun, tapi berat nota aje tu. Aku tak buang, sayang!

Drama di airport juga menambah punca stress. Kejap line sini, kejap line sana. Selagi beg tak masuk kargo, selagi itu aku runsing. Flight pukul 4.00 petang, tapi kami dah sampai airport pukul 1.00 tengah hari. Kami difahamkan ramai orang Jepun bercuti summer holiday dan untuk mengelakkan kesesakan, kami kena sampai awal. Masalahnya kaunter pun banyak benar tomakninahnya. Mujur selesai dengan aman walaupun agak lambat.

Almost satu pertiga masa perjalanan aku tido, sebab sebelum itu aku ada ambil ubat yang boleh membawa kearah kemengantukkan. Itu yang aku mahu…nafas pun sudah mula berbunyi pelik. Jadi aku tak sembang sangat pun dengan Aifa atau Yasmin yang duduk sebelah aku. Seorang layan cerita Jepun, seorang layan cerita Korea. Jadi aku layan emosi ajelah.

Sebenarnya nk tunjuk mamat Jepun hensem tu aje
Antara gambar berkumpulan yang terakhir
This is gang nasi dagang!

Sampai di airport KLIA2 sekitar 10.30 malam. Menunggu bag keluar pun punyalah lama. Aku pasrah ajelah. Entah siapa bantu aku angkatkan beg. Terima kasih sangat..Yang janji nak reunion sebelum balik pun aku tak join. Aku dah tak sabar nak jumpa Hadi.

Hadi tunggu di pintu 2. Aduhai…pelik benar muka dia. Baru sebulan aku tinggalkan dia dah jadi rupa itu. Kalau 3 bulan, mahu janggut mujahidin 🙂

I miss you so much…

Dia bawa aku makan McD. Aku tak kisah makan apa, yang penting aku nak makan ayam halal. Merasa ayam goreng spicy. Ya Allah, syukurnya dengan rezeki larut malam itu. Anak-anak dirumah mama…jadi kami tidak makan dengan terkejar-kejar. Aku dah rasa lain macam sangat. Mesti amik gas juga ni…Pagi itu terus ke Poliklinik Rheya. Tapi doktor handsome yang selalu rawat aku tu tak kerjalah pula. Lepas 2 sesi, aku balik dan terus tido.

Petang itu baharulah kehidupan aku bermula. Hadi tanya, aku nak makan apa? Aku memang teringin sangat nak makan steak di TGIF. Sambil-sambil itu bolehlah tukar balik duit dari yen ke RM dan menguruskan hal gajet baharu.

Kami ke Subang Parade. Semua urusan selesai, kecuali TGIF. Renovation la pulak…takpelah aku makan nasi ayam The Chicken Rice Shop aje. Di Subang Parade, aku sempat beli 2 pasang baju yang sangat cantik dan shawl untuk aku pakai pada hari perjumpaan dengan direktorat RTM nanti.

Malam itu aku tidur awal kerana masih bawah pengaruh ubat. Jujurnya, aku tak sabar nak tunggu pagi sebab nak ambil anak-anak di rumah mama. Rindu yang teramat…jantung aku bergerak laju selagi aku tak dapat dua budak debok tu.

Bersama-sama Dato Ibrahim

Tapi sebelum itu, aku menghadiri majlis perkahwinan anak Dato Ibrahim Che Mat di Bizmilla Insya Mall, Pudu. Sejak sebelum aku ke Jepun beliau sudah beri undangan dan mesej menjemput. Jadi aku ke sana dahulu.

Tidak juga terus balik, kami singgah ke Melawati Mall pula sebab Hadi nak beli loafers. Sempat kami ajak Maikel dan Leeya untuk mengopi bersama. Aku memang hantu kopi…Nak cari kopi yang sedap macam di Jepun agak payah. Tapi Jamaica Blue ini boleh tahan sedapnya. Selepas balik Melawati Mall, singgah Giant Taman Permata pulak. Aku nak cari inner. Ok misi selesai.

Baharulah balik rumah mama. Masa masuk rumah mama, aku jalan perlahan-lahan untuk melihat anak-anak dari jauh. Eskandar dan Ezzudin sedang panjat meja dan cuba menggodek-godek TV mama yang elok tersangkut. Perlahan aku beri salam dan Eskandar meluru mendapatkan aku…

Judin..walaupun blur, aku guna juga
Entertain anak…cute, eh 🙂

Aduh, aku rasa sayu giler. Rindu sangat-sangat. Memang dia tak lepaskan aku. Ezzudin sengih-sengih takde perasaan sangat. Tapi bila aku mula dukung dia, mulalah dia buat perangai beratkan badan dan tak mahu aku lepaskan dia. Kamu udahlah debok…semakin berat pulak tu.

Terubatlah rindu aku 26 hari terpisah dengan keluarga tersayang. Aku memang bertuah sebab Hadi boleh menguruskan anak-anak sepanjang ketiadaan aku. Sampai malam Hadi setia menguruskan semuanya…aku masih tidak berapa sihat. Asal makan ubat, mulalah aku cepat tidur.

Thank you so much, love…

It’s good to be back! Dunia realiti kembali menyapa diri dan bayangan 26 hari di Jepun mula beransur-ansur pergi. Aku harus berpijak di bumi yang nyata. Tipulah jika aku kata tiada langsung ingatan aku tentang Jepun. Serius banyak..antaranya setiap kali ada uruk-hai jalan bersepah-sepah memanjang memang mulut aku terlepas “sumimasen!” meminta mereka jadi manusia balik. Pergi Petronas tengok selection kohii yang ada, mulalah bandingkan dengan Lawson atau Family Mart. Mulut aku sentiasa humming lagu Sukiyaki dan aku kerap belek gambar-gambar masa di sana dan membaca mesej dari Nakatani.

Akan ambil masa ni..akan ambil masa…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...