Ohai, Kursus Lagi!

Masuk kursus yang aku hadiri ini, makanya aku sudah selamat 15 hari berkursus, melebihi tempoh 7 hari yang diwajibkan untuk kakitangan kerajaan. Tahun ini, seperti tahun lepas juga. Kami tidak disyaratkan menghadiri kursus 7 hari. Satu untungnya post aku sekarang ini ialah aku tidak pernah kurang kursus. Ada sahaja jemputan dan arahan. Sebagai kakitangan yang menurut perintah, aku hadir.

Sebenarnya aku hadir sebagai wakil. Risau juga kalau ada pertukaran peserta kena mengikut jantina. Ini kita kena faham masalah orang sebab aturan bilik ni kadang-kadang boleh sawan kalau jadi urus setia. Aku nak elakkan masalah-masalah duniawi ini aje. Mujurlah semuanya okay…

Kursus ini diadakan pada 18 – 21 Mei 2017 bertempat di INTURA. Satu masalah aku kalau berkursus di luar kawasan ialah mana nak letak anak. Kebetulan pula Hadi kena ke Terengganu pada 17 – 20 Mei 2017. Kalau tak, dia aje boleh uruskan anak-anak. Mahu tak mahu, kami terpaksa letak anak-anak dirumah mama. Kami hantar anak malam Selasa. Sengaja hantar lambat dengan harapan budak-budak ni terus tidur dan kami boleh balik tanpa mereka sedar. Aduhai, Eskandar boleh tabah tahan mata dia sampai pukul 11.00 malam! Ezzudin pula dah lama lelap. Yang itu disiplin tidur dia memang aku sanjung tinggi.

Kursus yang aku hadiri ini bertajuk “Bengkel Strategi Promosi dan Penjenamaan Saluran TV”. Sebenarnya tajuk tu panjang lagi…hahaha.

Kami bertolak dengan menaiki bas, bas itu pulak dua tingkat. Aku memanglah gayat tinggi-tinggi ni. Aku duduk bawah aje dengan rakan-rakan kursus lain. Sepanjang perjalanan aku sibuk main BingoBlitz. Lama tak main…jauh dah aku tertinggal.

Takde siapa kata aku ni kelakar
Penceramah tanya, siapa aku berdasarkan slide ini. Aku cakap bercita-cita tinggi

 

Aktiviti kursus agak padat. Tidaklah padat sampai takde masa langsung nak rehat. Kalau ada masa senggang tu memang aku sentiasa dalam bilik aje. Aku memang tidak ada posting apa-apa langsung berkenaan kursus ini sepanjang aku di sana. Memang aku jenis yang tidak bergambar. Yang mana kebetulan ada tu sebab kebetulan aku di sana aje..kecuali gambar-gambar dalam kelas.

Setiap kali kursus, aku selalu berdoa tidak ada aktiviti menjaga telur. Jaga telur..ala, jaga jangan kasik pecah. Lagi satu, janganlah ada aktiviti melukis. Kali ini jaga telur takde, tapi kena lukis muka sendiri dan kemudiannya orang akan cari kita berdasarkan gambar yang kita lukis. Lukisan memanglah aku gagal… Walaupun lukisan muka yang aku lakar tu tak semenggah, ada juga yang berjaya teka itu aku. Aku pun berjaya mencari pemilik wajah lukisan yang diberikan kepada aku. Biasalah tu, manusia telus mata hehehe…

Aku dapat hadiah 2 hadiah –  satu sebab jawab soalan dari penceramah. Penceramah pun bukanlah orang yang asing…Terima kasih En. Zainal 🙂

Aku juga dapat cenderamata “Peserta Paling Dinamik”. Terima kasih kepada yang mencadangkan dan bersetuju.

Banyak ilmu yang aku dapat melalui kursus ini. Encik Hafiz Mustapha dan Puan Azie dari Cutecarry Sdn Bhd berkongsi ilmu berkenaan imej dan penjenamaan. Aku tidak mahu mengulas kandungan ceramah. Bukan tak mahu berkongsi, tapi ada beberapa perkara baik kita simpan sesama sendiri sahaja..

Bosses yang menyertai kursus ini juga sangat sporting dan happening. Memang skema gaban tak wujud di sini.

Kumpulan 4 Fun yang paling confident dengan keputusan yang dibuat, walaupuuuun….

Selain itu, aku rasa seronok berkenalan dengan kawan-kawan dari unit lain dan terhibur dengan perangai yang masing-masing tonjolkan. Boleh nampak siapa yang jovial, siapa yang tegas, siapa yang gila-gila dan siapa sebenarnya yang ada isi.

Seperti biasa, setiap kali ada kursus atau majlis yang bertema aku pasti serabut. Tema kali ini ialah hijau dan kuning. Dengar macam tak kronik. Tapi bila masa untuk mencari apa yang kita nak, dan-dan itu semuanya serba takde! Selalu kalau aku ke pasar malam, melonggok kasut warna hijau dan kuning. Bila aku ada hajat nak beli, satu pun takde hatta kasut budak. Itu belum masuk aku pinjam baju Rio kabadhak Intan dengan konfiden saiznya kenalah dengan susuk badan perkasa ini. Zahanam, saiz S! Sebakul aku kena gelak petang tu…mujurlah aku jumpa saiz L dalam almari baju Hadi. Aku ingatkan takde dah baju tu aku sedekah kat orang.

Terima kasih Aie Tailor

Terima kasih urus setia kerana menganjurkan kursus ini, menyediakan tempat penginapan yang super selesa dan mendapatkan katering yang bagus itu. Tak pernah sejarah aku berkursus menu dari pagi membawa ke malam semuanya sedap-sedap belaka. Buat air panas pun sedap…rasa macam nak suruh dia meniaga dekat kantin RTM aje.

Begitulah aku menghabiskan hari minggu yang lalu…

p/s : Mohon maaf kepada sesiapa yang aku lupa ucapkan Selamat Hari Lahir pada hari Jumaat – Ahad. Aku tiada masa berlama-lama bermain Facebook..Juga kepada kawan-kawan yang aku tagged nanti di Facebook. Kalau tak suka, untagged aje…

Semua Orang Ada Nilai

image

Bulan November adalah bulan yang sangat sibuk dan memenatkan. Banyak urusan kerja terutama bab-bab kewangan perlu diselesaikan. Hari berkerja sudahlah padat dengan tugasan wajib. Hujung minggu pula penuh dengan agenda kursus jabatan. Punyalah sibuk sampaikan bulan ini aku tidak sempat membaca dan mengulang kaji secara efektif. Mana tidaknya, tiga minggu berturut-turut aku perlu menghadiri kursus yang dibuat pada hujung minggu.

Apapun, tanggungjawab wajib dilaksanakan sebaik-baiknya. Minggu ini aku berkursus di Lumut, setepatnya di Marina Cove. Kursus ini dinamakan “Bengkel Pembangunan Minda Kreatif & Pemantapan Pasukan Kerja”. Ia dihadiri oleh kakitangan sepejabat dan beberapa peserta lain yang dijemput daripada bahagian saluran,kewangan dan BPR.

Boleh dikatakan semua peserta sudah saling kenal-mengenali kerana sering berhubung dalam urusan kerja. Jadi komunikasi dan ice breaking tidaklah renyah sangat.

Biasalah kursus…berkenal-kenalan, pembahagian kumpulan dan persembahan kumpulan. Kalau cemerlang sikit adalah sesi karoke dan makan malam istimewa. Tapi bukan itu yang mahu aku kongsikan.

Dalam satu aktiviti, pada tangan kami ditulis satu nombor yang melambangkan nilai kami secara individu. Nombor ditulis secara rawak. Ada yang bernilai serendah 5 sen dan setinggi 50 sen. Penceramah akan memaklumkan nilai saham di bursa saham dan kami perlu mengumpulkan peserta mengikut nilai saham yang diniagakan. Memang kecoh dan huru-hara, tapi menyeronokkan.
image

Apa yang penting selain keseronokan beraktiviti ialah nilai daripada aktiviti itu dan objektif kenapa ia dibuat. Secara tersirat, semua pekerja mempunyai nilai kekuatan sendiri. Walaupun sumbangan kita kecil tapi itulah yang melengkapkan satu proses kerja. Setiap individu tidak boleh dinafikan sumbangannya.

Ada banyak lagi aktiviti lain yang dibuat. Yang masuk dalam kolam memang aku mengelak sebab kepala pun sudah separa pening dan aku mengantuk kerana makan ubat. Aku sempat melelapkan mata di kafeteria dan tersedar bila tiba-tiba semua peserta yang berada dalam kolam menyanyikan lagu Isabella.. Haram jadu betul..
image

Yang penting masa kursus kita kena seronokkan hati. Kalau tidak, badan sahaja di situ tetapi jiwa sudah melayang.  Aku memang bernasib baik kerana dikelilingi manusi yang sentiasa cuba menceriakan suasana.
image

Posted from WordPress for Android

Kursus..

halilintar

Sudah dua minggu berturut-turut hujung minggu terisi dengan kursus. Sukar untuk faktor kesihatan berkompromi kerana ada masanya kudrat disesah sehampir maksima. Pasca kursus – tersadai!

Masih aku teringat pada En. Lalat, penceramah paling dingin dalam sejarah kursus. Semoga Allah SWT merahmati beliau atas segala ilmu yang dicurahkan, termasuk semua penceramah yang pernah singgah dalam kamus hidup aku.

Syaitan Di Mata..

Tired-Eyes-Logo

Untuk 3 hari, aku menghadiri kursus pengurusan rekod di IPPTAR. Aku baru 3 minggu kembali ke pejabat selepas 2 tahun bercuti panjang. Jika cuti yang aku ambil itu dikira sebagai kursus, makanya sudah 730 hari aku menghadiri kursus, melebihi 7 hari kursus wajib yang disyaratkan kepada semua kakitangan kerajaan.

Cuma ada beberapa muka familiar di situ. Agak kelakar sebab ada beberapa orang yang tidak perasan itu aku kerana beberapa perubahan yang ketara. Padahal sebelum itu ada yg pernah menjadi bos aku dan ada juga yang pernah berkerjasama dengan aku di luar kawasan untuk tempoh yang lama satu masa dulu. Tapi selepas itu, semuanya normal kembali.

Dugaan berkursus semua orang pasti mengalaminya. Paling epik, kemengantukkan yang amat dasyat. Sejurus mata terlelap seolah kita terus disedut ke alam baharu. Tersentak sekali-sekala kerana suara penceramah yang sengaja dikuatkan atau tersengguk kerana terkejut. Aku mengalaminya pada hari pertama.

Hari kedua dan ketiga semuanya okay..Kerana ketika itu sudah adanya penglipurlara dalam setiap kursus.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...