Selamat Tinggal 2017!

Hari ini, 26 Disember 2017….bermakna 26 hari sudah aku tidak menulis dalam blog ini. Bukannya sebab tiada masa, tapi sebab banyak sangat yang berlaku tetapi terlalu sulit untuk aku ceritakan. Nantilah…bila ada kekuatan aku kongsikan juga.

Hari ini aku mahu imbas kembali apa yang terjadi sepanjang 2017. Yang seronok dan tidak semua itu pengalaman hidup untuk dikenang.

Aku menyambut hari lahir ke-36 di Krabi, Thailand pada bulan Januari. Memang rezeki sangat sebab aku dapat hotel 4* dan tiket flight dengan harga tak sampai RM450 seorang.

Aku menyambut ulang tahun 17 tahun bersama Hadi di Pulau Pinang. Tak sangka hubungan kami selama ini. Merasa juga duduk di Lexis Premier Suites, Teluk Kumbar. Bilik berharga RM400, campur tolak cukai dan diskaun keahlian. Kalau harga weekends lebih mahal. Kerana itu aku suka bercuti pada hari berkerja.

Aku berpeluang menghadiri Konsert Wings & Superfriends. Yang buat teruja sangat tu sebab ada M.Nasir aje hehehe…

Aku dapat kiriman bunga dan cokelat sempena Kiriman Kasih BKTV. Terima kasih kepada yang memberi.

Sempena Hari Ibu, Hadi belikan aku durian. Tak kisahlah bukan berstatus raja atau binatang yang penting dia belikan aku durian. Aku memang suka durian. Nak-nak kalau yang kuniang-kuniang warnanya…

Tahun ini – 2017, puteri syurga yang sangat aku rindukan berusia 5 tahun. Sehingga kini, aku belum pernah berjumpa dia di dalam mimpi. Aku masih menantikan saat itu.

Aku dipilih untuk berkursus di Jepun selama 26 hari! Ini memang mimpi jadi nyata dan ini juga adalah sejenis doa yang aku minta pada tuhan. Aku ingat lagi, doa aku bunyinya macam ini, “berikanlah aku peluang ini supaya dapat aku abaikan apa juga kekecewaan yang aku alami sepanjang 13 tahun aku berkerja.” Alhamdulillah…rezeki aku di sini. Aku dapat kawan-kawan baharu dan berjumpa dengan pelbagai ragam dan jenis manusia. Yang tak dijangkakan, aku berpeluang ke tempat-tempat menarik di sana. Agak gila kalau aku tampal semua gambar di Jepun itu kerana terlalu banyak gambar dan cerita menarik di sana. Boleh rujuk catatan bulan Julai dan Ogos untuk lebih faham.

Buat sendiri berus tu…

 

Garlic Naan + Mutton Curry Masala.

Satu yang paling aku ingat – Garlic Naan dan Mutton Curry Masala di Naan Inn, Kobe. Sumpah! Memang epik gila makanan ini. 5 kali aku berulang makan. Tak boleh kerap sangat sebab harga mahal 🙂

Menu wajib – Bukkake Udon + Fish Tempura

Satu lagi – Bukkake Udon di San Plaza, Sannomiya. Semenjak terjebak, hari-hari aku mengulang makan sampaikan atuk buat udon tu sudah kenal muka aku. Kalau takde member pun takde hal. Aku sanggup jalan kaki seorang diri. Padahal aku bukannya rajin sangat keluar berjalan. Penat berkursus membuatkan kecintaan aku pada katil di Kobe Monterey Hotel lebih tinggi. Itu belum cerita bathtub dia yang memanggil-manggil.

Suka menyakat acik ni

Dalam ramai-ramai umat Jepun yang aku kenal dan jumpa, aku paling rapat dengan Nakatani san. Dia makan semeja dengan aku dan beberapa geng lain masa jamuan makan malam di Doma-Doma. Lepas kenal-kenal dan bersembang, memang aku selesa dengan dia. Detik yang membuatkan kami lebih rapat adalah masa di Tokyo. Aku, Nakatani dan Kitamura melepak bertiga di Ginza. Memetik filem Cassablanca, “this is the beginning of a beautiful friendship”.

Akhirnya, rezeki aku datang juga. Aku dapat kenaikan pangkat B44 selepas 13 tahun berkhidmat. Aku hampir tidak mahu datang pada hari itu atas sebab-sebab tertentu. Selepas ditazkirahkan, aku setuju hadir dan aku tidak membuat throwback kenangan lalu disebabkan aku sudah “bersetuju” untuk mengabaikan kenangan-kenangan pahit masa lepas.

Jamuan perpisahan

Disebabkan itu, aku bertukar unit dari Unit Kandungan dan Kreatif ke Bahagian Pemasaran dan Promosi untuk mengetuai Unit Promosi. Maka berpisahlah aku dengan Unit Pentadbiran, Kewangan dan Dokumentasi yang hampir 3 tahun aku jaga.

Sepanjang 2017, 3 kali aku tidak boleh bercuti selama 28 hari. Aku menanggung 44 di UKK, kemudian di Unit Promosi kerana kenaikan pangkat dan kemudian menanggung 48 juga di sana. Seronok sangatlah sebab naik pangkat tiap-tiap bulan padahal yang menanggung pertama itupun elaunnya tak nampak bayang lagi.

Tapi badan penat ya amat..susah aku nak terangkan. Aku berkursus 26 hari di Jepun, balik aje terus masuk pejabat dengan tak sempat bercuti. Kemudian tak boleh bercuti lagi 28 hari. Habis aje edah, terus aku ajak Hadi ke Terengganu. Ingatkan cuti ini untuk masa berdua – tidak juga. Penuh agenda makan dan tengok wayang.

Sejak balik dari Jepun, aku belum lagi move on. Banyak benar memori dan rasa rindu pada pak angkat membuatkan aku terasa mahu ke sana lagi. Berkat bersukat-sukat belanja dengan elaun semasa di Jepun, aku berjaya juga merealisasikan hasrat untuk menyambut ulang tahun perkahwinan kami ke-11 di Osaka, Jepun. Maka elaun berkursus itu dari Jepun dia datang, kepada ekonomi Jepun juga dia kembali.

Aku bukan sahaja dapat jumpa dengan Nakatani, malah aku berpeluang berjumpa dengan coordinator aku di Kobe iaitu Kitamura.

Aku juga dapat berjumpa kembali dengan pegawai-pegawai dari Pacific Resources Exchange Center (Prex) iaitu Musha dan Sekino. Sempat kami merakam video bersama.

Kunjungan ke Osaka ini sangat bermakna sebab aku dapat bergambar sepuas-puasnya dan pergi ke mana destinasi yang aku tak sempat pergi dahulu. Masa berkursus, aku tidak berjalan sangat. Maka kali ini aku manfaatkan sepenuhnya. Merasalah ke Kobe, Himeiji, Kyoto dan tempat-tempat menarik lain di Osaka. Tapi paling tidak dapat aku lupakan ialah kisah menjejak kubur Allahyarham Syed bin Mohamed Alsagoff – salah seorang dari 3 rakyat Malaysia mangsa pengguguran bom atom di Hiroshima.

Mujur juga aku berjaya dapatkan tiket dengan harga yang murah, sekitar RM750 seorang. Hotel percuma kerana menggunakan kelayakan kelab percutian yang kami langgan. Belanja pengangkutan dalam RM250, simkad RM60 dan belanja makan RM250. Makan banyak save sebab rezeki aku murah, ramai yang sudi belanja. Paling aku tak sangka, aku berkenalan dengan seorang pengembara dari Australia, Olivia namanya. Kami bersembang semasa menunggu tren dan dia kemudiannya bersetuju untuk saing bersama untuk ke Umeda Sky Building. Sebelum itu, kami makan dahulu di Hooters,Osaka dan dia belanja kami berdua di sana. Memang aku dan Hadi terkejut gile sebab dia makan fries dan minum coke aje. Kami makan macam-macam sebab tak makan lagi dari pagi. Rezeki…rezeki…

Sejak balik dari Jepun, aku mula berhenti menulis. Ini sangat peribadi. Aku belum cukup kuat untuk berkongsi.

Eskandar dan Ezzudin akan mula masuk tadika tahun depan. Aku langsung tak sangka belanja untuk masuk tadika aje boleh luruh segala-mala simpanan yang ada. Kalau tidak, pasti aku tidak bercuti ke Jepun dan berjimat untuk duit persekolahan mereka. Nampak gayanya tahun depan aku kena lebih berhati-hati dalam berbelanja.

Apapun, aku berharap 2018 nanti akan terus gemilang dan memberikan warna-warna ceria dalam kehidupan aku kelak. Aku akan ke Thailand untuk meraikan hari lahir aku ke-37 di sana. Ini sudah dirancang awal kerana aku dapat baucar hotel percuma. Ini juga adalah masa yang sangat aku dan Hadi nantikan – masa berehat dan habiskan masa berdua.

Itu ajelah janjinya setiap kali nak bercuti bersama. Lepas sampai aje sana, mulalah berjalan tak henti-henti dan kemudian balik penat. Kemudian melalak lagi nak cuti dan berehat!

Omedetou Gozaimasu – You Are Special!

Akhirnya, hari yang aku nanti-nantikan selama 13 tahun berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia tiba juga. Aku pernah terfikir apabila hari ini tiba, aku akan punya selautan cerita susah senang, pahit maung, berjauh hati dan detik-detik lain yang menyebabkan aku rasa puas menerima watikah lantikan sebentar tadi…

Sayangnya tidak…semua itu hilang secara beransur-ansur. Jujur dan ikhlas aku beritahu, antara doa aku yang termakbul ialah aku mohon tuhan berikan aku peluang ke Jepun yang lalu agar dapat aku anggap, itu adalah hadiah menutup kesedihan aku yang tidak diberikan lantikan ini lebih awal atas apa juga faktor yang diputuskan mergastua.

Jadi aku putuskan untuk mengenang hari ini seperti tajuk catatan ini juga – You Are Special! You itu bukan aku sahaja…You itu ialah rakan-rakan aku yang turut sama naik pentas menerima lantikan yang sama. Yang menang award saban tahun tetapi masih belum dapat, yang berkhidmat lebih awal sedari artis berjadual hinggalah jawatan tetap, yang dijanjikan tetapi tidak ditepati dan yang utama, yang tetap setia mengerah keringat dan bertahan di RTM. Terima kasih, Ivan Toh kerana bertahan…kamu mutiara di sini. Teruslah setia dan bersama-sama kami.

Aku hampir-hampir enggan hadir ke majlis ini. Letih berkursus di Jepun masih belum habis, ditambah dengan semput yang macam nak datang balik ni. Lagi pula aku rasa tidak perlu aku raikan hari ini sangat kerana aku telah lama berjauh hati dengannya. For what? Tetapi Aie pujuk…dia minta aku fikir balik. Hadi pun cakap benda yang sama – It’s your day…jadi itulahnya. Aku hadir juga dalam pada serabut fikir nak pakai apa.

Yes, I am special today...baju dan shawl yang aku pakai hari ini segar dari ladang Subang Parade yang memang aku beli khusus untuk acara ini. Terima kasih kepada Haliza Mat Kharsa dan Intan Suhaida Sujas kerana membantu aku memakai shawl itu. Aku tak reti langsung nak lilit macam mana..rasa sangat pelik. Juga wangian aku pagi ini ditaja oleh kak Siti Marina.

Rasa gembira yang aku rasa hari ini lebih kepada gembira kerana berjumpa dengan rakan-rakan lama sama ada dari HQ dan negeri. Marril, Ares Arapa, Brownie Nayoi, Lucy Goh, abang Yahya, Saiful Arini dan ramai lagi! Mereka semua, sama ada satu lantikan dengan aku atau kami bertemu semasa kursus jabatan memang sudah lama sangat tidak bertemu. Nak bersembang lama-lama sangat pun tak sempat.

While it may seem small, the ripple effects of small things is extraordinary – Matt Bevin

Jadi buat semua kawan-kawan yang dihormati (walaupun ada yang langsung tak tegur aku tadi walaupun duduk sepelaung aje…),

Percayalah kita tidak terlambat dan tidak juga tercepat. Belum terlambat untuk kita mulakan sesuatu yang lebih hebat walaupun kita tahu, kita tertinggal 5 gerabak di belakang. Di mana juga kita ditempatkan, kita bersinarlah di sana..mungkin lebih benderang, mungkin lebih kemilau dan pasti lebih cemerlang dari kedudukan kita terdahulu.

Tahniah kepada bosses-bosses yang turut sama menikmati kenaikan pangkat. Ada yang pernah jadi bos aku, yang sepatutnya dapat lebih daripada itu – akhirnya disuratkan rezeki mereka juga adanya. Rezeki tidak pernah salah alamat, tetapi posmen kita boleh persoalkan.

Kepada Geng Kentin dan Geng Durian, enjoy your day! May our friendship last forever. 

****

Kepada Aie, terima kasih kerana belanja aku makan dan meraikan hari ini. Sebulan aku teringin mahu makan rendang limpa dengan teh ais dan hari ini kau realisasikan hajat itu. Kau tak perlu bagi aku bunga, kek, buku ramalan bintang dan lain-lain bagi membuktikan kekuatan friendship kita. Apa yang ada sudah sangat mencukupi. Aku terima seadanya dan berharap perpisahan kita nanti tidak akan menyebabkan kita semakin jauh.

Ohai, rendang limpa terbaik

Kepada abang Shuhaimi Mohamed, terima kasih kerana sudi kidnap saya  dan meraikan hari ini – walaupun sekejap sangat. Nanti kita makan durian sama-sama, ya..

Lama tak dating dgn abang

Juga rakan-rakan yang membaca catatan saya, sudi komen, berikan like dan memberi ucapan tahniah – saya ucapkan terima kasih yang sesungguhnya.

Dapat juga bergambar dengan DM 🙂

Keluarga dan kawan-kawan memang banyak mewarnai hari-hari saya. Tetapi saya paling tidak bersabar untuk berkongsi kegembiraan ini dengan Mama saya, Puan Siti Zainiah Sulaiman kerana dalam setiap cerita dan air mata yang tumpah kerana kerja, beliaulah pendengar setia dan penguat semangat saya. Saya percaya apa yang berlaku hari ini adalah disebabkan mustajabnya doa seorang ibu…i love you so much! 

Minggu depan juga Baini akan bawa Mama pergi holiday... 🙂

Omedetou gozaimasu!

Kerana Farmville Country Escape : Send Me Seed

2b9ffd6d144911c4009f6d7597f80bba

Bila kita tak faham, kita tanyalah soalan. Bukannya sebab kita bodoh sangat. Kita hanya nak jawapan sahaja. Kita tidak menggunakan bahasa yang kasar dan ganas pun. Kita minta maaf tatabahasanya tidaklah cemerlang mana. Pokok pangkalnya kita nak tahu sahaja.

Kita nak tahu juga hubungan persahabatan ukhuwwah mukminin yang terjalin sekalian lama ini plain macam roti kosong atau mengisi kesepian teman berbicara kerana diriku tidak mempunyai teman-teman lain yang memahami. Teman tapi mesra ke? Kekasih Gelapku Ungu ke? ataupun Diam-diam jatuh cinta kak melah?

Kita pun suka orang caring farmasi dekat kita. Kitakan wanita lemah muslimah solehah selfie duckface bibir tebal terjeluih macam kena sengat lebah. Kita pun ramai kawan lelaki macam itu. Bujang…laki orang, Dato’..Datuk,Tan Sri, gay, lelaki konfius. Punyalah jujur hubungan persahabatan kita tu, awak. Sekali pun kita tak pernah mish you leviu dan levi’s jeans dengan diorang. Diorang pun sama. Paling cemerlang, take care and be good aje.

Kami pun berkongsi minat yang sama. Main ukelele, berkebun Farmville Country Escape dan menonton Ceria Popstar. Sumpah! Diorang tak pernah bagi sneek peak siapa yang tersingkir walaupun diorang tahu kita tak sempat tengok lagi. Kita memang happy Aniq masuk final. Seronok kak Jac..Siap amik video dengan Chakra Khan upload kat Facebook. Mujur kak Jac tidak berjanji untuk belanja sesiapa kek Zawara atau kopi stabak kalau Aniq memang. Cayalah..Hold The Door!

Hari itu, kita tak sihat, awak. Demam batuk tak berhenti. Mujur tak pengsan masa masak meggi kat dapur masa MC aritu. Tak ada sesiapa pun kawan-kawan kita yang sudi datang nak hantarkan ubat ke…nak masakkan sup ke..atau nak tolong punch in kad dekat mesin TMS. Tak boleh lewat, awak…10 minit aje kena pilih alasan kenapa kau datang lewat. Padahal mentibang tu bukannya tak tahu depan gate RTM tu hiwey Mex jem hanaaat. Mujur suami akak balik tengah hari itu dan hantar akak ke klinik – walaupun sibuk meeting tak abis-abis. Caring farmasi kan..kan…kan…sebab itu akak suka dia sangat-sangat dan akak faham kalau ada ungka lain suka dekat dia jugak.

Oh, berbalik persahabatan biar jujur ikhlas dihati 4U2C tadi…

Maklumlah kita ni bini orang. Kita jaga betul adab perhubungan kita supaya orang tak cakap kita ni miang gatal birah, ain, ha, ho…kang tahu dek partner orang tu terpaksa pulak kita hide atau deactivate Facebook. Di zaman serba IT dan dengan ledakan teknologi pung pung pung ni senang aje orang nak tahu kita kerja kat mana, suka makan apa dan posing selfie macam mana. Mujur mak kita memang dah nasihatkan jangan terjuih sangat bibir tu..dibakar neraka karang.

Kalau kita nak terpengsan, terkadiaq arrest pun kita tak bagitahu dekat kawan-kawan kita tu. Tak payahlah…kecuali kita bagitahu kita nak wasiatkan harta kita pada dia, maka kita tak kisah sangatlah.

Kita jangan risau…kita bukannya tak sekolah. Kita tak sekolah kat negeri mat salleh itu kita mengakulah, kita rendah sikit pengalaman. Ada ilmu jangan ujub. Dosa..Skool kita biasa-biasa aje tapi dia ajar jugalah perang saraf, Civil War dan public diplomacy. Tq Prof Munis! Aristotle pun ada berkata ‘tepuk sebelah tangan tak berbunyi, tapi kalau tepuk di muka lazat bersari’. Kita adil dan saksama. Kalau salahkan nyamuk jangan kelambu dibakar. Kita Mortein nyamuk tu dan kita nila-nilakan kelambu itu juga.

Jadi jawablah soalan kita. Kita nothing to hide. Kita tak menyahaktif mana-mana medium media sosial sebab kita sayangkan stalker yang dahagakan bahan penulisan kita yang ilmiah ini.

Kelambu itu pun kita dah tak nak. Kita rasa nak sedekah aje dekat awak. Sebab setiap kali kita nampak kelambu tu kita rasa marah kenapalah kita duduk dikejiranan yang banyak nyamuk yang bakal mengundang aedes dan kadiaq arrest.

 

 

Kamu Yang Bawaku Terbang

image
Aku sudah beritahu. Aku tidak suka dalam keramaian. Aku serabut dan rasa sendiri. Aku tidak tahu mahu menumpukan perhatian kepada siapa sebab semua orang seolah gila perhatian. Kerana itu aku cenderung bersendiri dan menanti kamu dengan melayan diri sendiri.

Aku meneroka daripada satu ruang hibur ke ruang hibur yang lain. Bukan jenis itu yang aku suka. Bukan jenis itu yang aku mahu. Aku tidak suka muzik hiruk-pikuk macam nak pecah gegendang telinga. Juga lelaki yang kecenderungannya boleh dipertikai mengutus salam kenal dengan niat terselindung. Apatah lagi dalam satu ruang seolah akuarium yang aku perlu berbasahan untuk ke seberang sana.

Aku bosan! Aku rasa asing..

Aku nanti akan dikau di luar pintu masuk. Selepas semua khalayak bangun bertepuk sorak terkhayal dengan persembahanmu memainkan imaginasi mereka. Kamu akhirnya muncul di situ.

Aku ingat jelas. Warna baju itu Royal Blue, ada Ace Club di depannya. Kamu pantas mendapatkanku. “Adakah kamu gembira melihatku?” Masakan tidak. Dadaku berombak kencang tanda keterujaan yang teramat. Sumpah aku sukakan apa yang aku lihat di depan mata ini. Sumpah cantik! Entah berapa kali aku katakan padanya. Dia hanya ketawa kecil. Kalau tidak disebabkan keadaan, mahu sahaja aku mendakap dia di situ juga!
image

“Okay, sekarang kamu mahu apa? Mintalah apa sahaja.”
Seriously?
Boleh bawaku terbang?

Serentak tanganku ditarik dan betul…dia bawaku terbang. Tidak terbang ke langit. Kami terbang menembus setiap jalan utama. Semua manusia yang ada dikeliling jalan bersorak tatkala kami berdua melintasinya khalayak dengan bergaya dalam bersahaja. Aku perhatikan riak-riak dengki mata yang melihat. Tentu mereka tertanya mengapa aku yang dipilih, bukannya mereka yang berhabis beratusan ringgit semata-mata mahu melihat persembahan dia.

Jauh aku dibawa mengembara. Daripada satu jalan ke jalan..daripada satu lorong ke lorong sampaikan aku jadi kagum dan simpati padanya. Dia membawaku terbang dengan penuh kudrat yang ada. Sampai aku katakan peluh yang mengalir itu lebih meriah berbanding peluh yang terhasil apabila dia beraksi. Aku akui..aku jatuh sayang padanya.

Makin lama, kami menghampiri satu kawasan perumahan. Kelihatan sekumpulan manusia seperti sedang berkumpul seolah sesuatu yang tragis telah berlaku. Aku perhatikan keliling. Tiada muka yang aku kenali. Adakah ini perhimpunan satu bangsa sahaja? Serentak itu kelihatan satu kakak bertudung – anak mami barangkali dan terus kami merapati dia.

Kamu maklum sahajalah..dengan nama yang dikenali dan baju persembahan yang masih tersarung membuatkan kamu terus dikerumuni gadis-gadis cantik yang pantas mengambil peluang untuk bersembang. Perlahan-lahan aku kebelakang dan kemudian aku terus terasa dipinggirkan. Sudah aku katakan…aku tidak selesa dalam keramaian manusia.

Tidak lama aku menyendiri. Dia menghampiriku dan membisikkan mengapa dia perlu masa untuk bersama gadis-gadis itu. Salah seorang daripada mereka telah berjanji untuk menyelesaikan satu masalah yang membebaninya.

“Kamu perlu faham itu..kamu perlu faham itu. Aku akan mendapatkanmu selepas semuanya selesai.” Dalam pada rancak dia bersembang dengan mereka, adakalanya matanya tetap mencuri memerhatikan aku yang setia menanti.

Tidak lama untuk otakku memberitahu kebenaran hujung pangkal cerita ini. Dia akan datang bila dia perlukan aku sementara aku sentiasa memerlukan dan menghargai dia. Cuma dia perlu tahu…dia yang bawaku terbang.

Sekian.

Kata-Kataku Bukan Mimpi

image

Satu mimpi besar yang aku kejar.
Mimpi itu aku harap akan mengubah keadaan daripada sedia ada kepada lebih baik.

Tapi aku bertindih dengan mimpi yang satu lagi. Mimpi itu juga aku kejar bersama mimpi-mimpi yang lain.

Sekarang aku harus kejar keduanya – walau serabai, walau rabak, walau barai. Yang nyata aku berperang dengan masa.

Aku tidak sempat untuk lari ke hutan dan belok ke pantai. Aku hanya larat menambah bilangan mimpi dan mencungap mengejarnya satu persatu…

Teruskan bermimpi, badak!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...