Hanya Rindu…

Sejak akhir-akhir ini kami jarang bergambar bersama. Bila mula sahaja nak bergambar berdua, pasti anak-anak akan datang dan menempel bersama. Gambar ini diambil pada bulan November tahun lepas, ketika kami bercuti untuk menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-13.

Sehari selepas bercuti, Hadi terus sakit. Ingatkan sakit biasa-biasa aje. Makin lama, makin teruk. Bermula kehidupan aku berulang-alik ke hospital setiap kali dia mengaduh sakit perut. Bahagian kecemasan tu sudah jadi macam rumah nombor 2 aku. Disebabkan itu, banyak urusan yang sepatutnya dilakukan bersama, aku kena kayuh sorang-sorang. Mujurlah aku tak sakit sepanjang tempoh itu. Berat Hadi turun drastik, 8 kilo hilang dalam tempoh sebulan.

Aku kena pastikan Hadi makan mengikut waktu yang ditetapkan. Kalau aku nampak dia penat atau sakit, aku akan bawa lari anak-anak dan beri masa untuk dia rehat. Aku juga akan sentiasa masak bubur untuk dia, terutama Sabtu dan Ahad disebabkan banyak benda yang dia tak boleh makan. Asyik makan bubur McD pun muak juga.

Selalu dia minta maaf kerana keadaan kesihatannya yang tidak begitu baik.
“B, sorry i tak dapat tolong you…”
” Sorry you kena buat semua benda…”
Dan macam-macam jenis maaf lagi setiap kali aku urut dia bila dia tengah sakit.

Bila permohonan aku bertukar tidak berjaya, aku memang rasa down. Macam mana dia nak uruskan anak-anak dalam keadaan dia sendiri tidak sihat sepenuhnya? Sudahlah dua-dua anak OKU. Aku hanya mampu bersabar dan berharap keluarga mentua akan bantu Hadi dan anak-anak di sana. Tak semua orang faham masalah kita apa. Nampak aje aku tenang, dalam hati memang tsunami. Semoga Allah kembalikan kesihatan semula pada dia…

Ini bukanlah permulaan 2020 yang ada dalam impian aku. Tetapi tidaklah itu menjadi punca untuk aku mengalah dan meratap sepanjang masa. Hidup kena terus…Tengah hari tadi aku tinggalkan anak-anak dan suami dengan perasaan yang bercampur-baur. Mujur anak-anak tidak menangis. Tetapi Eskandar seperti dapat mengagak aku tidak akan menidurkan dia malam ini.
“Mama kerja…mama sayang kita”. Aku akan ingat ayat itu setiap kali aku belek gambar-gambarnya dalam galeri telefon.

2020 – walau apapun dugaannya, aku tetap akan cuba menjadikan tahun ini tahun yang indah untuk dikenang. Tahun ini, genap 20 tahun aku dan Hadi bersama, melebihi separuh dari usia aku sendiri. Kita telah terbiasa bersama jadi bila aku seorang diri tanpa kamu di sisi, aku rasa terasing.

Satu hari nanti, aku pasti kita akan bersatu kembali menjadi sebuah keluarga yang sempurna. Penat sama-sama melayan karenah anak-anak dan bersandar bersama mengenang perjalanan hidup yang kita lalui.

Tempat aku, selayaknya disebelah kamu. Hmmmm….rindu.
#apabilakakbennymenulis
#abbyhadi
#20yearsoflove
#forevermeansforever
#baladaperindu
#5of365

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...