CORN DOG BIADAP…

 

Satu yang aku suka duduk di Melaka adalah Melaka ni syurga makanan. Segala mala yang pelik-pelik, yang viral, yang biadap dan bedebah sedapnya boleh korang jumpa di Melaka. Daripada asam pedas membawa ke mee besen, chicken rice ball ke keria antarabangsa, cocunut shake dan mango shake – semuanya tidak menghampakan.

Akhir-akhir ini, aku teringin sangat nak makan corndog mozarella cheese. Ada sekali aku beli di Pantai Dalam, dah macam paha ayam rupa parasnya. Rasa pulak setakat ok aje. Masih bersalut oksigen dan muak dimakan kalau sudah sejuk gedi.

Semalam, semasa misi mencari booba strawberry tiada satupun kedai yang jual corndog buka. Padahal semasa aku menyusur laluan Pantai Puteri beberapa hari lalu, aku perasan ada kedai yang jual makanan ini. Biasalah…bila Kak Benny kau nak, semua pakat-pakat tutup kedai. Ha, mee bandung paling sedap pernah aku makan di Melaka ini, kedainya sudah buka kembali selepas hampir 3 tahun buka suka-suki. Tapi tekak aku ni tak terasa nak makan. Kau tunggulah masa saka mee bandung aku datang…masa itu konfem dia tutup.

Ok berbalik cerita corndog. Sebenarnya tadi aku nak cari booba cokelat. Tapi kedai tu tutup. Kedai ni yang bukak. Paling best, ada dua kedai jual corndog – sebelah menyebelah pulak tu. Aku tersengih-sengih merayu corndog pada Hadi dan dengan senang hati dia tunaikan.

Ya ampun….inilah corndog paling biadap sedapnya. Tiada ruang oksigen, cheese boleh tarik 0.5 meter dari paras lidi dan rangup. Memang tidaklah aku berani nak cuba kedai yang lagi satu sebab aku takut dapat rasa hampa. Harga macam tempat lain juga, RM6 secucuk. Satu aje cukup…buat lepas gian.

Sekarang ni aku masih dalam misi mencari kedai booba paling best. Kalau jumpa nanti aku share…

Ok, nak tidur dulu. Esok anak-anak mula sekolah. Mama dia yang nervous. Anak elok aje. Oyasuminasai.
#apabilakakbennymenulis

SO…APA AZAM 2020?

Ada orang, setiap kali tahun baharu sibuklah dia mencipta azam. Ada manusia, dia pasang azam tak kira masa. Apa jenis makhluk berakal pun kita, asalkan ada azam bermakna anda ada sasaran. Pergilah jahannum bila biawak cakap azam aje lebih, capainya tidak. Sebab apa aku cakap macam tu? Sebab azam tu tiada tarikh yang tepat untuk dicapai. Azam itu kita sasarkan aje untuk capai pada tahun semasa. Kalau berjaya capai, tahniah badak! Kalau tidak, carry forward ajelah sampai azam itu jadi realiti.

Aku suka petik kisah ini bila cerita pasal azam. Masa aku jadi penerbit Selamat Pagi Malaysia lebih kurang 10 tahun dahulu, aku ada panggil 3 orang panel untuk bercerita pasal azam. Salah seorang panel, berbangsa India yang aku tidak ingat namanya berkata lebih kurang begini :-
“Tuliskan azam yang kita mahu dalam satu kertas. Senaraikan semuanya. Kemudian simpanlah kertas azam itu di satu tempat yang kita jarang jumpa. [Pemahaman aku adalah sorokkan kertas azam itu.] Satu hari nanti bila kita terjumpa kertas itu, akan ada azam yang kita tulis tercapai dan kita akan rasa berpuas hati dengan pencapaian kita.”

Sambil call shot, kepala otak aku berputar deras. Aku teringat catatan-catatan azam yang berlonggok dalam blog lama aku. Setiap tahun tanpa gagal aku akan tulis azam baharu tanpa revisit azam tahun sebelumnya. Kebanyakan azam yang aku tulis masih sama, bersifat carry forward.

Habis aje siaran, aku mula selongkar posting-posting lama. Sedar tak sedar, 70% azam aku tercapai, 20% berstatus carry forward dan 10% perlu execution dengan kadar segera. Tak payahlah share semua, aku share 20% yang berstatus carry forward tu azam nak kurus. Korang pun sama tersangkut kat skala 4 juga tang kurus-kurus ni.

Dan aku masih pegang kata-kata panel itu sampai sekarang.

Bila aku revisit balik azam-azam yang aku tuliskan dari 2010 – 2019, aku berjaya capai apa yang aku nak. Apa yang aku nak ini, bukan setahun punya azam terus jadi nyata.
1. Aku berjaya ada anak.
Ini makan tahun punya cerita. Usaha tak payah ceritalah, aku dapat juga. Berapa tahun aku berjaya capai? 7 tahun

2. Naik pangkat.
Aku masuk servis tahun 2005. Elok 5 tahun firasatnya sudah ranumlah untuk naik satu tangga. Aku boleh cerita panjang lebar apa yang jadi, pendek cerita – takde rezeki. 2017 baharulah naik satu takuk. Berapa tahun aku berjaya capai? 7 tahun bai…

3. Buat Sarjana
Kes berkait dengan di atas. Aku take a break kejap. Aku sepatutnya terus buat sarjana lepas habis ijazah. Disebabkan abah meninggal, aku terus kerja dan kuburkan hasrat itu. Adik-adik pulak masih kecil. Disebabkan situasi perihal 2, aku bulatkan tekad untuk cuti belajar. Berapa tahun aku berjaya capai? 11 tahun.

4. Belajar memandu & beli kereta
Ini paling epik. Sejak habis SPM punya azam, barulah tahun ini aku berjaya capai. Hilang dah penakut nak memandu yang bersaka dalam diri. Sebab anak-anak, aku kena jadi berani.
Berapa tahun aku berjaya capai? 21 tahun, gile!

5. Beli rumah
Hampir 7 tahun menyewa sejak kahwin. Nak beli rumah, asyik bertangguh aje. Sudahnya, tahun 2012 baru aku jumpa semi-D idaman hati. Berapa tahun aku berjaya capai? 6 tahun Hasbullah…

Ok, move on azam carry forward dan azam wajib tiap-tiap tahun.
1. Kurangkan berat badan
Setiap tahun, tanpa gagal berazam yang ini. Tidaklah kata tak berjaya langsung. Aku ni, kira solid la dari 10 tahun dulu. Tapi tahun ini aku berazam untuk lebih fit dan sihat. Sampai bila-bila pun azam ini kekal relevan dalam senarai.

2. Sambung PhD.
Aku sempat buat setahun aje pada tahun 2014. Stop sebab sibuk dengan anak-anak. Aku akan carry forward sampai dapat seru.

3. Setiap tahun, keluar dari Malaysia
Sama ada bercuti atau berkursus, I dont care. Aku hasratkan setiap tahun ke luar negara untuk kutip pengalaman hidup. Ada tahun aku berjaya, ada juga yang tidak. Tak mengapa…selagi boleh capai, kekal dalam senarai azam sampai bila-bila.

So, takde pertambahan azam ke? Gile takde…sebelum tahun 2020 tiba aku sudah ada azam itu. Tapi kali ini azam itu aku tidak ceritakan kepada umum sebab ia bersifat amat peribadi. Bila aku berjaya capai, aku pasti kongsikan. Ringkasnya, tahun 2020 nanti aku berazam untuk jadi lebih kuat, berani, gagah perkasa, perut Halle Barry dan pinggang Gwen Stefani. Kalau dapat, aku nak mula berlari. Dapat 5km ke 10km dulupun jadilah.

So, korang ada azam tak? Azam kena realistik. Jangan berazam nak kawin dengan Keanu Reeves pulak, sampai qiamat tak akan dapat. Realistik…ingat tu. Bombastik tak apa. Mister loba loba…
#apabilakakbennymenulis
#azam2020
#1of365

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...