KADANG-KADANG AKU RASA MACAM MANUSIA YANG GAGAL…

 

Aku yakin ramai yang pernah berperang dengan perasaan macam itu. Rasa gagal sebagai seorang suami atau isteri, gagal sebagai ibu atau bapa, gagal menjadi anak yang baik atau gagal dalam pencapaian kerjaya. Setiap orang akan melalui konflik dalaman ini dan hanya iman sahaja menentukan keputusan yang kau akan ambil untuk mengubah keadaan. Kalau baik, baiklah dapatnya. Kalau salah, meranalah – bukan sahaja diri sendiri malah orang yang terdekat dengan kita akan terpalit sama.

Hari ini aku nak menulis tentang gagal memahami anak…setepatnya, aku gagal memahami anak syurga aku, Judin. Walaupun Judin autisme, setakat ini dia bukannya jenis mengamuk-ngamuk tak tentu hala. Just jangan kacau dia. Kalau dia tengah main, jangan usik mainan dia. Makanan dia pun sama. Jangan usik. Please jangan nasihatkan aku, “jangan gunakan perkataan jangan, nanti bla..bla…bla…75km.”. I dongker… Setakat ini anak-anak aku tak pandai nak hadam perkataan bersulam-sulam emas ini. Ya, tidak, jangan, no, faham tak memang skrip wajib dalam rumah aku. Diorang faham, akupun faham – settled.

Judin belum boleh bercakap macam kanak-kanak lain seusia dia. Setakat beritahu perkara asas macam makan, susu, mandi dan mainan tu lepaslah. Kalau terlalu rumit, dia akan pimpin tangan kami dan tunjukkan apa benda yang dia nak. Semua ini adalah perubahan yang sangat besar dan kami cukup bersyukur.

Sudah 3 malam aku tidak cukup tidur. Judin asyik kejutkan aku dan paksa aku bawa dia ke bilik air. Dia akan duduk macam mahu buang air besar sambil menyanyi-nyanyi riang dalam tu, sementara aku terpisat-pisat menanti dia selesai. Kemudian dia akan mandi. Satu sesi ini mengambi masa hampir satu jam! Kalau 3 kali? Memang mata panda aku hari-hari. Kalau tak layan, dia akan mula tarik rambut aku, debik aku sedas dua dan menangis menjerit-jerit. Jadi aku layankan juga sementara Hadi sudah lena habis. Dia sendiri penat dengan rutin yang dia lalu. Fine…

Aku syak Judin sembelit. Tapi elok aje buang air macam biasa. Mungkin dia panas, tu sebab dia mandi. Badan macam ruam, tapi tidak begitu meriah dan serius. Haih…apa masalah kamu ni? Jadi aku mula kurangkan susu dan banyak beri dia minum air mineral. Mujur dia minum macam biasa dan tidak menolak.

Hari kedua dia berperangai sebegitu, aku dan Hadi mula terasa terganggu sebab kami ingatkan dia sibuk mahu main air. Kelakuan dan masa yang diambil tetap sama. Layan jugalah…penat nanti pandailah dia tidur.

Semalam, kepenatan membuatkan kami hilang sabar. Aku sudah 2 hari tak cukup tidur. Hadi pula macam nak demam. Judin asyik menangis-nangis dan keluar masuk bilik air. Tapi kali ini tindakan dia lebih agresif dan menyakitkan. Dia takkan beduk orang lain, memang aku aje yang kena. Dan kalau sakit, haaih…kudrat baby sumo sangat. Lepas tu mulalah. Hadi marah Judin sebab buat aku, aku marah Hadi sebab buat Judin.

Aku terus bawa Judin turun bawah dan bentang toto. Pasang Didi and Friends dengan harapan dia baring dan tidur depan TV. Bila aku turun, Eskandar pun turun sama sebab tak mahu berenggang dengan aku. Tapi laki mak ni tahu aku tengah taufan, turunlah juga selimutkan awek dia dan kemudian naik balik. Kejap aje Judin diam…dia keluar masuk bilik air dan mandi macam selalu. Kali ini aku biarkan aje sebab aku betul-betul penat. Lantakkan main air ke, main shower gel ke…penat karang pandailah dia tidur. Pukul 2:30 pagi, aku sudah hampir lena dan Judin kejutkan aku untuk bantu dia pakai baju. Dia kemudian baring sebelah aku dan tertidur.

Sudahnya, aku langsung tak sedar alarm berbunyi. Aku bangun agak lewat, tapi masih sempat untuk keluar rumah sebelum 5:40 pagi. Mood aku pagi itu ke laut yang paling dalam dan bergelora. Penat…penat sangat. Aku sendiri penat mengeluh penat bila orang tanya. Tapi itulah hidup yang aku lalu. Hadi pula pagi itu sakit kepala dan badan dia panas.

Sekitar 3:30 petang, aku dapat text dari cikgu beritahu badan Judin naik bintik-bintik. Ah, sudah..chicken pox ke? Terus aku balik awal dan ambil dia di taska. Aku just nampak Klinik Rheya aje walaupun aku yakin Dr. Rishnu tak bertugas petang tadi. Tak kisahlah… Disebabkan Judin OKU, aku tak dikenakan cas konsultasi. Kos ubat dalam RM35 sahaja.

Sampai sahaja di rumah, Judin terus masuk bilik air dan mandi sendiri. Selesai mandi, aku lumur Calamine Losyen dan berikan dia ubat. Sempat aku rest kejap sebelum bergegas ambil Eskandar pula di tadika. Sampai sahaja rumah, kedua-dua adik beradik ini bermain dengan riang sambil aku menahan amarah dalam kecewa sebab Eskandar simpan rambutan yang sudah aku kopek dalam freezer! Perangai semua ni…

Kemudian, Judin tidur…dia nampak sangat tenang. Aku tahu, dia mesti penat sebab beberapa hari sudah dia menahan sakit.

Masa tu, jiwa mak-mak yang ada dalam hati aku terus barai… Dia hanya anak kecil yang innocent. Tapi aku ni…tak boleh nak faham diri dia. Inilah detik gagal sebagai seorang ibu yang merincih hati aku sehalus-halusnya…

Hadi balik dan Judin masih tidur. Aku beritahu apa yang jadi. Aku nampak dia kesal. Lepas makan, dia terus naik bilik dan angkat Judin. Dia bawa Eskandar keluar dan beri ruang pada aku untuk berehat. Masalahnya, bila kau terlalu penat, kau tak boleh tidur apatah lagi lena. Aku dah rasa macam katak…terkedip-kedip mata, tapi tak berlayar juga.

Biasalah…bila anak-anak dah tidur, penyesalan yang kau rasa bila memandang mereka memang membuatkan kau benci diri sendiri…

#apabilakakbennymenulis
#myautisticson
#judin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...