Happy Mother’s Day 2019

Selamat Hari Ibu…
Happy Mother’s Day…

Setiap wanita sama ada pernah melahirkan atau tidak – kita adalah ibu, mama, bonda, mummy, mommy, ummi, Mak Long, Mak Ngah, Mak Uda, Mak Andak, Mak Lang, Mak Su waima Mak Encik kepada anak dan anak-anak saudara yang ada. Paling tidak, kita masih makcik kepada anak kawan-kawan kita. Justeru hari ini terangkum adalah hari kita semua…

Alangkah tingginya kewujudan dan kemuliaan kita dalam agama sampaikan syurga itu diibaratkan berada ditelapak kaki kita. Kerana itu, laluan kehidupan kita penuh dengan pancaroba dan tusukan duri hidup. Kekuatan yang kita ada sungguh misteri sampaikan kita sendiri tidak tahu bahawasanya kita dibekalkan dengan super power itu…

Teruslah mekar dan bersinar wanita-wanitaku sekalian. Kerana kekuatan yang kita pamerkan sebenarnya adalah contoh dan pemangkin semangat nyawa-nyawa lain dibelakangmu yakni suami, anak-anak, adik-beradikmu dan juga rakan-rakan yang lain.

Selamat Hari Ibu superwoman sekalian…
#forevermeansforever
#apabilakakbennymenulis

MENGENANGMU…RUDI KASSIM

 

Aku mula berkerja di RTM pada tahun 2004 dan ketika itu aku ditempatkan di Unit Hal Ehwal Awam. Sebagai Penolong Penerbit B27, aku banyak terlibat dengan suntingan bahan dan bilik editing adalah tempat wajib untuk aku kunjungi saban hari. Rudi Kassim…inilah sang editor yang sangat rapat dengan aku.

Mungkin sebab dia berkawan baik dengan Abang Zam Ali, Abang Atan Lut dan Wan Muta, jadi hubungan aku dengan Rudi cepat ngam. Ketika itu, aku dalam tim penerbitan rancangan Sembang@10. Penerbitnya ialah Abang Atan manakala Wan Muta sebagai SA. Kalau editing sampai larut malam, kami semua kerap keluar makan bersama. Sudah habis makan, baharulah kami meneruskan kerja-kerja editing yang tertunda.

Dari Nasi Lemak Kampung Baru ke Warung Rindu, steak Kampung Baru dan SS Curry House, aku jarang tertinggal untuk sesi lepak dan makan. Dengan gaji artis berjadual yang cucuk RM100 terus tinggal 3 angka, Rudi antara abang yang rajin payung aku makan selain mereka bertiga yang aku nyatakan tadi.

Rudi 15 tahun dahulu aku sifatkan sedikit garang dalam kelucuan yang ada dalam dirinya. Aku pernah kena jerkah beberapa kali kerana bahan offline yang bermasalah. Tapi dia kalau marah pun tak lama dan tak simpan dalam hati. Ajak pergi karoke di Bangsar Shopping Center sambil makan buffet yang lazat, dia okay kembali.

Perwatakan dia yang senang didekati membuatkan aku rasa terbuka untuk bersembang dengan dia tentang hal-hal peribadi. Maklum sahaja, aku bujang kala itu. Kadang-kadang terlepas juga kerisauan memikirkan aku akan berumahtangga. Dia banyak bagi nasihat dalam nada sembang berengkau aku dengan aku. Dan dalam cerita itu, gelak ketawa banyak mengisi perbualan kami. Alah, Rudi…siapa kenal dia tahulah…

Atas beberapa faktor, dia berhenti dari RTM walaupun ramai yang meminta dia menimbangkan balik keputusan yang akan dia pilih itu…

***

Tahun lepas, aku diminta menjadi panel untuk sesi interview Penyunting Piecemeal. Salah seorang yang hadir adalah – Abang Rudi! Ya, Allah…aku sudah bertahun-tahun tak jumpa dia. Aku ingat lagi, aku tanya dia “apa dah jadi?” Dan jawapan-jawapan yang dia beri ditambah dengan masalah peribadi yang dia lalui membuatkan aku dan seorang lagi panel, Salwati rasa masalah kehidupan yang kami lalu ini tidak seberapa sangat. Ada lagi manusia yang diuji tuhan dengan dugaan yang lebih dahsyat.

Mungkin rezeki dia, dia ditawarkan kerja semula sebagai penyunting visual. Setiap kali aku melawat kakitangan aku ditingkat 1, aku pasti menyapa dia dan kami akan melepak sebentar. Rudi ini bukan Rudi yang dahulu…Aku rasa Abang Rudi yang kembali ini lebih merendah diri, murah dengan senyuman dan penuh kesabaran. Mungkin pengalaman menjadikan dia berubah, berubah ke arah yang lebih baik.

Dan laluan hidup dia bukannya mudah. Dia hampir hilang arah bila ibunya meninggal dunia. Mungkin ditambah masalah peribadi, dia seolah tenggelam punca. Akhirnya dia berjaya susun balik kehidupannya dan bulan Mac lalu, dia berkahwin. Ha, ini satu cerita. Beriya-iya cerita pada aku ditangga tentang majlis nikah dan minta aku hadir. Tapi sampai ke sudah tak bagi jemputan. Tak apalah…kebetulan aku tiada di KL ketika majlis berlangsung. Dia bantai sorry aje sebab lupa…

Selepas berkahwin, baharulah aku nampak kehidupan dia semakin lancar. Dia seolah-olah berada di trek yang betul untuk hidup dengan selesa, bahagia dan teratur.

***

Ketika aku menerima mesej dari Salwati memaklumkan Rudi meninggal dunia, aku macam tak boleh percaya. Lambat untuk aku digest berita itu dalam keadaan aku tengah sibuk menguruskan persiapan untuk berbuka puasa. Jenazah ketiku itu dikhabarkan masih di pejabat. Untuk meredah kesesakan jalanraya ke RTM bukanlah satu tindakan yang tepat. Sebaik berbuka puasa, terus aku ke pejabat dengan harapan jenazah masih di sana. Walaupun trafik lancar, masa aku rasa bergerak sangat perlahan.

Hari ini pula aku mengada-ngada bawak beg sandang kecil. Selalunya beg sekolah merah akan aku usung ke mana sahaja dan dalam beg itu tersimpan pas kerja. Sampai sahaja dipalang keselamatan, aku meluru ke arah polis bantuan dan memaklumkan pas aku tinggal dan aku hadir atas sebab kecemasan. Mujur pegawai keselamatan memahami dan urusan aku lancar di situ.

Ya, jenazah masih dipejabat…dia terbujur kaku di bilik suntingan 6. Aku menyantuni ahli keluarganya yang ada dan menunggu sehingga jenazah dibawa ke PPUM. Aku kuatkan semangat banyak-banyak. Dalam hati, aku koyak. Tapi tahan ajelah sebab ada orang yang lebih memerlukan aku waras di situ. Ketika jenazah berlalu dari lobi Wisma TV dengan landrover polis, tanpa aku sedar air mata aku gugur tanpa dapat aku tahan.

Abang Rudi, kau rehatlah. Aku tahu kau penat. Buat keluarga arwah, salam takziah dan semoga tabah melalui dugaan ini.

Al-fatehah…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...