RSS

Daily Archives: October 4, 2018

Ohai, India – Ohai, This Is Nubra Valley!

22 September 2018 РHari ini, hari terakhir bersarapan dengan berlatarbelakangkan jajaran Himalaya di Hotel Kusyu. Kusyu ni, maknanya epal. Tapi setakat hari ini, aku belum dijamu dengan epal lagi. Oh, kami tak jadi berpindah hotel kerana semua hotel ada masalah wifi. Alang-alang kami sudahpun bayar penuh secara dalam talian. Walaupun terseksa hidup tanpa dapat melayari internet, alhamdulillah Benny selamat (ok, poyo giler!). Beberapa posting lepas, aku ada bagitahu yang kami telah membeli simkad semasa di Amritsar. Sayangnya, semua simkad prabayar tidak boleh digunakan ditempat yang bersempadan dengan negara lain Рdalam kes ini, sempadan Pakistan. Maka simkad itu statusnya mereput tanpa belaian.

Menu sarapan pagi ini istimewa sedikit. Mungkin sebab kami yang banyak ragam ini akan daftar keluar, maka kami dapat makanan yang amat meriah – termasuk dengan sebaldi buah-buahan tempatan dan paratha nan gebu. Bertemankan kopi panas, kami menanti pemandu kami, Karma Sonam yang berjanji untuk datang pada pukul 9:00 pagi. Dia sedikit lewat tetapi kami tak kisah langsung kerana pengembaraan akan bermula beberapa detik sahaja lagi. Aku dan Farah berebut mahu duduk depan. Tapi disebabkan Farah cakap dia muak kalau duduk belakang, maka aku beralah dan duduk belakang dengan senyap dan sopan. Disebabkan hanya kami berdua, Karma siap bawa raga pick nick yang berisi epal (yeay!), jus buah-buahan, tisu basah, hand sanitizer, termos, madu dan lain-lain lagi. Dah macam poket doraemon raga dia tu. Kos sewaan kereta dengan pemandu lebih kurang RM1000 – RM1200, 3 hari 2 malam full day tour. Kalau naik 4-6 manusia lagi jimat sebab boleh split harga. Hotel di Nubra Valley nanti tak termasuk dalam kos itu. Itu kena cari sendiri atau minta bantuan pemandu untuk cadangkan mana hotel yang sesuai. Kami memang percaya sepenuhnya kepada pemandu kami ini. Nanti dalam posting akan datang, aku akan buat satu catatan khas untuk dia.

Sebaik sahaja kenderaan kami keluar dari pagar hotel, aku sudah membayangkan perjalanan merentas gunung-ganang seperti yang kami lalui beberapa hari lalu. Ya, betul sebijik-sebijon seperti dalam imaginasi aku. Tetapi, dengan berlatarbelakangkan Himalaya, permandangan yang aku hadap sangat cemerlang. Perjalanan ke Nubra Valley agak lama – antara 4-5 jam bergantung keadaan jalan. Karma memberhentikan kami di tempat tumpuan pelancong bergambar. Tapi aku tidak banyak bergambar di sini hanya ambil video sahaja sebab sudah banyak gambar dalam telefon aku yang lebih kurang sama.

 

Dalam perjalanan, Farah dan Karma banyak bersembang. Aku dengar dan mencelah sekali-sekala. Karma adalah rakyat Tibet yang mendapat perlindungan di India. Dia seorang Buddhist yang aku sifatkan sangat taat, alim dan beriman. Memulakan perjalanan dengan doa, di awal perjalanan mendengar lagu chanting dan sangat menghormati perempuan – pada aku itu sudah cukup perfect. Kami berdua sangat selesa dengan dia. Bila dia dan Farah bercerita pasal Dalai Lama, monastery, Tibet dan China, aku tidak banyak mencelah. Maklum sahaja ilmu tidak cukup. Jadi aku hanya mendengar sahaja sambil melayan pemandangan yang indah di luar sana.

Ketika hampir sampai di Khardung La, dia memberhentikan kenderaan. Banyak kenderaan lain tersangkut di hadapan. Rupa-rupanya ada falling rocks di hadapan sana. Kami berhenti betul-betul di puncak gunung dengan pemandangan gunung bersalji yang sangat cantik. Masa ini, salji tidak turun tetapi angin sejuk menelusup tulang-temulang aku – walaupun sudah berbaju 3 lapis! Punyalah sejuk…Apa lagi, memang aku bergambar dan mengambil video sepuas-puasnya. Aku betul jadi kanak-kanak riang di situ. Tetapi tidak lama kenderaan kami berhenti kerana pembersihan hampir selesai dalam 15 minit sahaja. Jadilah…memang rezeki aku diberi peluang bergambar di puncak-puncak gunung yang kalau dalam keadaan biasa, kenderaan memang tidak boleh berhenti.

Di Khardung La, semua kenderaan wajib berhenti. Di sinilah semua pengunjung bergambar macam nak gila sebab suasananya yang cantik dan bersalji. Kebetulan…memang kebetulan sangat sebaik sahaja kami sampai, salji turun! Jadi korang boleh bayangkan 2 perempuan dari Malaysia yang eksaited macam nak giler bergambar dan main salji bagai. Aku rasa macam keajaiban sangat sebab kalau ikutkan, salji tidak turun di bulan September. Suhu lebih kurang -5 darjah selsius. Aku mula-mula tak pakai sarung tangan tapi sebelum aku beku jadi patung cendana di sana, aku sarungkan juga. Setelah puas bergambar, kami kembali ke kereta dan Karma membuatkan kami berdua teh halia madu panas. Disebabkan aku tengah sejuk, dapat teh halia madu panas adalah situasi kenapa tidak (rupanya ada cerita kenapa dia buatkan kami air di sini..nanti aku ceritakan dalam posting akan datang).

Kami meneruskan perjalanan kembali. Selang beberapa jam, aku pula minta Karma berhenti sebab aku nampak satu permandangan yang sangat cantik. Aku aje yang bergambar di sini. Entah kenapa, aku rasa tempat ini sangat familiar. Aku pernah mimpikan tempat ini beberapa kali. Ok, tak apalah tu. Kami kemudiannya berhenti makan di satu tempat yang takde sekeping pun gambar aku ambil di sini. Sebabnya, tengah lapar teruk. Walaupun menu makan aku itu menu biasa iaitu nasi putih, dhal, palpadom dan aloo gobi, aku tetap berselera makan dengan ditemani chai panas. Tapi, ada satu tapi di sini. Abang yang jaga kedai tu sebijik muka dia macam Loque Butterfingers. Setiap kali dia lalu, ekor mata aku ni sentiasa mengejar kelibat dia. Helok kau! Masa ini, Karma tidak join kami makan. Aku tak biasa sebenarnya makan tanpa pemandu bersama sebab aku layan manusia macam kawan tak kisahlah dia siapa. Mungkin dia segan sebab ini pertama kali dia keluar dengan kami. Perempuan…muslim pulak tu.

 

Kami sempat singgah di Diskit Monastery yang pemandangan di sekeliling kawasan itu seolah-olah aku berada di Rohan! Sangat cantik dan menenangkan. Seperti biasa, kami bergambar di sini.

Kami kemudiannya sampai di satu hotel di Nubra Valley. Aku tak pasti namanya apa. Macam tak ada nama. Kami percaya pada Karma, jadi okay sahajalah mana yang dia cadangkan. Ha, satu nak bagitahu. Perangai hotel di sini ialah kita boleh tawar harganya berapa. Jadi tawar punya tawar, dapatlah harga yang ok. Tak ingat berapa. Nanti dalam posting terakhir aku cuba untuk buat breakdown costing kami selama 14 hari ini berapa. Cuma masalah kawasan ini, letrik hanya berfungsi pukul 7 – 11 malam sahaja. Masa itulah baharu dapat wifi percuma. Haih, sabar ajelah. Sementara itu, aku merengek-rengek pada Karma mahu teh halia madu panas yang super sedap itu. Dengan senang hati dia sediakan untuk kami berdua. Baik betul Karma ni. Ok, masa ini, ais aku dengan dia belum mencair lagi. Aku masih ada rasa tak payahlah kenal sangat – tak reti aku nak bersembang.

Kami berehat seketika sebelum mengambil keputusan untuk ke Sand Dune. Kena bayar tapi tak mahal mana, tak sampai RM6. Tak ingatlah pulak spesifik berapa, tapi mereka cas ikut kepala. Sand Dune ialah kawasan padang pasir dan kita boleh naik unta di sini. Serius tak mahal…dalam RM20 untuk 30 minit. Tapi kami berdua memang taubat nasuha untuk naik binatang. Ala, padang pasir ajepun. Jalan cukup. Cantik tempat ini. Kita boleh sewa ATV kalau mahu. Aku setakat bergambar riang dan menghabiskan masa sahaja. Balik hotel pun bukannya boleh online. Nak tidur, noooo….sayang kot datang jauh-jauh tapi kau tidur. Daaan, ada oisis di sini. Aku rasa macam sempurna betul kembara aku di sini. Segala macam benda aku merasa nampak dan alami.

Disebabkan kebosanan, kami kembali ke rumah inap semula. Tapi tak masuk bilik, aku dan Farah bersembang di luar sahaja. Kemudian, Karma datang menyertai kami dan membawa sepiring epal. Sambil sembang, sambil makan. Baharulah aku merasa makan epal di India. Oh, di hotel ini penuh dengan pokok epal. Yang merah, yang hijau dan kuning semua warna ada. Dan pemiliknya pun sudah beri kebenaran untuk kami makan, kalau mahu. Masih di sini, hanya Farah dan Karma meneruskan perbualan politik dan sosioekonomi mereka. Aku hanya mendengar sahaja, sambil memangkah Candy Crush. Aku rasa macam dalam kelas Dr. Munis pun ada…belajar segala masalah perang, wilayah autonomi dan lain-lain lagi. Sempat kami memesan chai masala panas kepada adik yang menjaga rumah inap ini. Handsome! Aku tak tipu..muka dia sebijik sebijon macam Bruce Wayne masa muda dalam drama Gotham.

Akhirnya pukul 7:00 malam menyapa dan teranglah suasana senja di sini. Aku terus online tanpa segan silu sambil menantikan waktu makan malam. Harga sewa bilik ini termasuk makan malam dan sarapan pagi. Jadi berbaloilah dengan harga yang kami bayar. Ditambah dengan adik super cute yang menjaga tempat ini, indah-indah belaka jamuan mata aku di sana. Oh, petang tadi, aku cakap kat adik tu, awak ni handsome. Amik kau, sepanjang masa bertanya kami nak apa-apa lagi tak. Mintak aje dekat dia, dengan pantas dia bawa keperluan yang kami minta. Nampak tak ciri-ciri kemengada-ngadaan sang musafir di bumi Ladakh?

Sebijik sebijon

Capaian wifi dalam bilik tak kuat. Ada aksi-aksi melekap di dinding macam cicak kerana mendakwa laju di situ (seriously?). Aku pula sanggup bersejuk di luar balkoni sambil berwhat’sapp dengan beberapa manusia yang aku rindui. Tiba-tiba Karma muncul depan mata aku. Terkejut sekejap. Dia cakap something like – sejuk luar ni, dan dah malam. Tak mahu masuk bilik ke? Aku beri alasan tengah uruskan hal kerja. Tak lama kemudian, aku masuk bilik juga. Bukan sebab sudah puas online, tapi sebab sejuk yang menggila. Sekali angin bertiup, aku rasa kesejukan yang melampau. Kalau lama-lama, boleh demam aku begini atau semput. Sebelum tidur, aku makan dahulu beberapa pil wajib sambil berharap badan aku mampu bertahan untuk beberapa hari lagi.

Ok, setakat ini dahulu…Esok aku akan ceritakan pengalaman di Pangong Lake yang macam mimpi bila aku sampai situ.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Skip to toolbar