RSS

Daily Archives: August 2, 2018

Perihal Cinta

“Macam mana kita nak tahu, kita ada rasa cinta pada seseorang?”

Tiba-tiba kena terjah dengan soalan macam ini, agak susah aku nak bagi jawapan yang solid. Berapa kali kening berkerut dan menelan air liur juga untuk menjawabnya. Sebab cinta itu pada aku sangat luas. Cinta kepada pencipta, pasangan, ibu bapa dan keluarga, makhluk bernyawa dan paling penting, cinta kepada diri sendiri dahulu – baharulah kita boleh menzahirkan kecintaan kepada yang lain-lain dengan rasa cinta yang sesungguhnya. Ini belum aku masuk pada jajahan cinta kepada hobi dan benda tidak bernyawa yang lain. Mudahnya, apa yang membuat jantung boleh bergerak lebih pantas dan memberi emosi yang stabil / tidak stabil kepada manusia – itulah tanda cinta dirasai. Tak berbalas ini masalah lain. Lain kali cerita yang itu.

Berapa cepat rasa cinta itu boleh bertapak dalam jiwa?

Pun soalan yang payah juga nak jawab. Kalau kita memang ada perasaan pada seseorang dan dia balas balik – sumpah, cepat. Tapi kalau kita mengejar cinta orang, ini makan masa dan kesabaran yang sangat tinggi. Aku kejar cinta aku sangat lama, dari zaman universiti. Apa prahara yang datang kami rempuh dan berkesudahan kami masih bersama. Paling penting, komunikasi kena berlangsung. Kalau tidak, memang ranap ditelan masa. Betul kita boleh capai apa yang kita mahu kalau ada usaha dan kesabaran. Tetapi, masih bergantung juga kepada jiwa yang dikejar itu. Kalau tak mahu, usahalah macam manapun tak dapat juga. Mudahnya, kalau aku tahu tak boleh capai, aku tak kejar. Kalau tak dah lama aku kejar cinta abam Blake Shelton sebelum disambar kakak Gwen Stefani.

Hubungan yang terjalin saban hari, pasti membibitkan rasa cinta dan sayang. Kita tak sedar sangat sebab semuanya ada didepan mata. Kawan-kawan rapat, yang bertegur sapa setiap kali keluar masuk lif, bertemu di kantin ataupun rakan sekelas semuanya ada tapak dalam hati kita. Ditakdirkan mereka meninggalkan kita, masa itu baharulah kita sedar rupa-rupanya ada sekelumit rasa cinta dan sayang pada insan itu walaupun setakat kawan biasa-biasa. Ini aku lalu banyak kali. Lebih mudah untuk aku anggap mereka berpindah ke tempat lain berbanding menerima hakikat mereka sebenarnya berada di negara abadi.

Aku selalu sebut pasal kimia setiap kali orang tanya pasal hubungan jiwa. Kalau kimia kuat, kenallah baharu satu jam sekalipun, rasa macam sudah kenal lama dan selesa. Bebas bercerita apa juga cerita dan paling seronok, boleh bergurau kasar tanpa terasa hati. Ini susah nak dapat. Tapi bila dapat, kena simpan. Sebab pengalaman mengajar semakin tua usia kita, semakin sikit kawan-kawan yang tinggal. Bukan tinggal sebab bergaduh ke apa (ada juga), lebih kepada faktor circumstances. Perubahan status diri seperti berkahwin, naik pangkat atau berpindah memainkan faktor utama semakin kurangnya kawan-kawan yang kita ada. Rasa cinta dan rindu pada persahabatan yang ada masih di situ, cuma kadarnya menyusut. Lama-kelamaan kita lantakkan aje situasi ini. Nak kawan, kawan tak mahu, sudah.

Masih dalam konteks kimia. Pada aku, selagi ada komunikasi dan kenangan yang kuat, sesiapapun pasti lekat dalam hati aku. Tak kisahlah kenal masa berkursus ke, masa bercuti atau apa juga situasi lain, kalau sayang dalam hati aku kuat dan keikhlasan aku rasa – aku akan pegang dia selama-lamanya. Jarak bukan pemisah. Kalau tidak masakan aku sanggup ke Jepun untuk berjumpa pak angkat aku di sana dan ke Brunei untuk melawat bapa angkat aku yang sakit. Itu satu penzahiran cinta pada manusia yang tiada pertalian saudara pun.

Dalam hubungan berkeluarga pun sama. Apa yang aku dan Hadi buat selain tanggungjawab, ia juga penzahiran cinta. Cinta pada keluarga dan anak-anak…Kerana itu, walaupun kadang-kadang rasa ranap, pemahaman cinta ini membuatkan semuanya harus dan perlu dilalui waima apapun dugaan yang membadai. Ingat tak, aku pernah tulis pasal aku kena sengat lipan semasa mengandungkan Ezzudin. Masa itu, Eskandar masih bayi. Walaupun tengah sakit dan menangis-nangis, aku pastikan bilik tidur itu secured dulu supaya Eskandar tidak disengat lipan yang sama. Itu terang-terang kerana cinta. Juga bila tiba-tiba Hadi belikan aku durian atau teh ais yang super sedap kerana kasihankan aku penat mengemas rumah, aku terima perlakuan itu sebagai lambang cinta.

Jadi, berapa jauh aku akan pergi kerana cinta? Wow…sangat jauh. Tak kisahlah keluarga, kawan-kawan atau strangers. Kalau aku rasa aku boleh, aku buat. Kalau aku tak mampu, akan ada cara untuk aku tunjukkan rasa cinta. Aku manusia yang jarang belikan hadiah. Paling-paling belanja makan atau hantar ucapan, ya itu aku akan buat. Kalau lebih rapat, adalah kejutan-kejutan yang akan aku buat tapi ini jarang sekali berlaku sebab aku bukan jenis macam itu. Tapi kena ingat, bila aku berhenti buat ini semua, maknanya aku sudah tidak ada rasa dalam hati. Semua boleh pergi jahnam…Cepat rasa cinta aku datang, cepat juga ia pergi kalau hati aku sudah kena sagat berkali-kali.

“Macam mana kita nak tahu, kita ada rasa cinta pada seseorang?” Menjawab pokok soalan. Kau akan tahu. Hati kau akan tahu. Takde satu modul lengkap untuk beritahu. Kita tahu diri kita. Yang kita tidak tahu ialah dipihak satu lagi. Sebab itu kita (perempuan) akan tanya soalan-soalan menyemakkan kepala lelaki macam “you sayang i tak? you rindu i tak?” dan bongok-bongok lain sebab soalan macam ini bukannya sekali jawab – settled sampai kita mati. Hati boleh berubah macam pasir di pantai. Itu belum kau kena soalan “kenapa yu sayang ai?” – kalau jawapan tak kena spefifikasi konfem muncung sehari.

Jujur sahaja pada diri sendiri…

Masih, jika ingin menerawang dan menebak makna cinta, kena cinta diri sendiri dahulu. Buat diri sendiri happy dan reward diri sendiri. Walaupun orang kata cara kita membelai diri itu salah kerana tidak kena dengan diri mereka – lantakkan aje. So, tellĀ  me apa cara yang betul? Kerana itu aku selesa memetik ukulele walaupun suara tidaklah bertahap biduan. Kalau super sedap, aku tak jadi penerbit rancangan.

Sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posted by on August 2, 2018 in Macam-Macam Hal

Leave a comment
Skip to toolbar