RSS

Monthly Archives: May 2018

Ohai, India! Kau Pencuri Masa Jimba…

Sepanjang menghadiri persidangan di New Delhi India, aku sempat berjalan-jalan ke beberapa tempat-tempat menarik di sini. Mari kita ingatkan kembali Rukun Kental Diri yang aku catatkan dalam catatan yang lalu:-

  1. Semua orang akan nampak kau sebagai prospek duit. Hentikan tabiat untuk bersosial tak tentu hala di sini dengan orang tempatan yang tidak dikenali dan simpan ajelah rasa huznuzon itu di Malaysia.
  2. Kalau hendak berjalan-jalan, digalakkan guna Uber – bukan teksi dan bukan tuk tuk.
  3. Jangan minum air mineral dari jenama cap ayam dan diragui. Hargailah kesihatan anda. Ada yang ekstrem sampai masak balik air mineral yang dibeli.
  4. Jangan makan dan minum sebarang di sana. Masuklah restoran yang bersifat atau rangkaian makan segera yang anda percaya sebab kebanyakan kedai tepi-tepi jalan ini memang diragui tahap kebersihannya.
  5. Kalau ada orang approach apa-apa jualan, jangan beli kecuali memang kau rasa tak jumpa dah benda tu seluruh dunia kecuali yang dia pegang ni aje.
  6. Kalau ada orang tempatan buat cerita sedih, dah lima puluh hari tak makan, anak pun sama, emak jiran selimut tetangga semua tak makan – buat kering aje. Semua orang akan jaja cerita yang sama. In fact, kalau ada orang berdarah-darah depan kau pun, langkah aje dia dan teruskan kehidupan. (Tip paling terkesan dalam nurani aku hahaha…)

Untuk ke mana-mana, sila gunakan Uber. Uber boleh dipercayai dan harganya tidak akan lari jauh sangat bergantung kepada trafik. Kalau guna teksi dan tuk tuk, memang bersedialah untuk bergaduh – walaupun korang boleh bersembang dengan bahasa yang sama dan mencapai persetujuan harga sebelum setuju menggunakan perkhidmatan mereka. Pengalaman rakan-rakan, walaupun dah setuju harga somehow tiba-tiba bila dah sampai akan jadi harga lain pulak. Macam aku cakap, dia nampak muka kita, dia nampak duit aje. Aku memang takde tenaga nak bergaduh di sini. Jadi, Uber memang terbaik dan jimat.

HARD ROCK CAFE NEW DELHI

Tempat pertama yang aku pergi di New Delhi ialah Hard Rock Cafe. HRC ini terletak di dalam pusat membeli belah DLF Place Saket. Mujur di India takde Hooters. Itu memang akak boleh kena sawan tarik. Tapi itulah HRC paling menyedihkan yang pernah aku masuk. Design baju tak menarik, semuanya standard biasa – logo dan warna baju hitam atau putih. Keduanya – fridge magnet out of stock!!!! Weh, rasa luluh giler. Jauh kot nak datang India menunaikan permintaan orang tiba-tiba diorang cakap fridge magnet habis. Masa tu, rasa nak aje buat drama “for what? for what? Aku datang dari jauh kot” dekat sales person sana hahahaha….

Disebabkan misi gagal, kami mengambil keputusan untuk makan di restoran Chilis. Ini kerana aku tak yakin untuk makan sebarang ditempat yang tidak diketahui tahap kebersihannya. Sila baca balik Rukun Kental Diri.

 

SAROJINI NAGAR MARKET

Ha, cer teka siapa yang beriya-iya suruh aku datang ke sini kerana menurutnya kain sangat murah?

….makcik kentin RTM.

Kerana saranan dia, aku dan Kaka bertabah juga untuk ke sini dan merasai sendiri suasana pasar di India. Perasaan aku – cepatlah kita beli supaya kita cepat balik. Pasar ini tidaklah selesa sangat. Pada aku, ia kotor dan bau hancing seolah-olah benda wajib setiap kali melalui mana-mana pasar dan taman.

Kalau hendak beli sari yang murah, datanglah ke sini dan bertabahlah. Harga berbeza mengikut jenis kain dan corak. Jangan risau..tempat beli sari tu dalam bangunan bukannya berselerak di tepi-tepi jalan. Aku hanya beli 3 pasang kain. 2 untuk aku, dan satu lagi untuk kabadhak Intan. Selebihnya aku teman Kaka membeli.

Yang aku beli ini harganya tak sampai 400 rupees sepasang. Nama kedai Bhavyash Goyal Fabric & Saree. Oh, jangan risau. Korang lalu aje lorong kedai, pemilik kedai itu akan tegur dengan bahasa Malaysia.

Cuma aku sempat beli 5 helai baju. Harga sepasang 200 rupees. Jadi disebabkan aku takut menyesalnya tak beli baju di India, jadi aku belilah juga. Yup, dan aku tidak menyesal 🙂

 

JANPATH MARKET

Salah satu tempat untuk shopping. Banyak pilihan. Harga banyak harga tetap. Tapi kalau beli banyak dapatlah murah sikit, bergantung mood pemilik kedai tu macam mana.

Masa aku ke sini, konon cerita heboh beg viral Nora Danish. Aku memang tak reti langsung beg-beg, kain-baju aksesori ni. Apa yang aku ada, itu aku bedal sampai lunyai. Jadi aku hanya teman Kaka membeli. Weh, punyalah lama sebab rabun nak pilih – banyak yang cantik. Aku mudah aje – Oh, cantik yang ini…ok saya nak satu yang ini, nah duit, ok bye.

Disebabkan lama, kebetulan disebelah tempat aku duduk ada seorang lelaki tempatan. Jadi aku ajak dia bergambar sama. Bila aku post dalam Facebook, semua orang ingat aku bergambar dengan Syed Saddiq! Ok…nangis 5km.


AL-JAWAHAR RESTAURANT

Restoran ini berstatus halal dan terletak di Old Delhi. Ia berdekatan dengan Masjid Jama. Cari Gate No. 1, dan lorong di situlah letaknya kedai ini.

Aku memang suka makan. Jadi setiap kali hendak keluar, aku pasti cari tempat makan mana yang sedap dan kalau dapat yang halal, itu lebih bermakna. Kaka ajak aku makan di kedai ini kerana menerusi pembacaan, ayam changezi di sini adalah yang paling champion. Jadi kami berdua bersetuju untuk cuba dan langsung tidak menyesal. Sedap giler! Butter naan dia memang biadap. Dari segi harga, aku sifatkan harga makanan di sini macam harga makanan di Kuala Lumpur.

 

MASJID JAMA

Masjid Jama terletak di Old Delhi. Aku tak masuk sebab masjid ini sedang dalam proses renovation. Actually kita boleh aje masuk. Cuma aku tak masuk sebab dah lapar sangat.

Jujurnya aku tak suka Old Delhi…ia kotor, semak dan merunsingkan. Aku tak mahu elaborate sebab memang aku rasa lemas berlama-lama di Old Delhi. Red Fort Monument tidak jauhpun dari sini tetapi disebabkan aku sumpah tak selesa – so lepas makan kami terus balik. Nota tambahan, masa itu sudah mulai gelap. Jadi baiklah balik.


LAJPAT NAGAR CENTRAL MARKET

Dalam banyak-banyak pasar, ini lebih bersih dan meyakinkan. Cuma harga agak mahal berbanding Sarojini Market dan Janpath Market. Tapi korang akan selesa untuk membeli dan membelah.

 

ZAIKA MURADABADI CHICKEN RESTAURANT

Wow, namanya restoran. Macam tempat yang bersifat. Kami difahamkan nasi beriyani dan kebab di sini sangat sedap sampaikan ramai sanggup datang makan dan beratur.

Memanglah beratur…ada dua meja bulat kaki panjang tanpa kerusi. Makanlah kau berdiri dan berkongsilah meja kecik tu dengan pelanggan lain. Saiz kedai ini, tak ubah macam besar kedai Cool Blog aje. Tetapi…tetapi…tetapi….kebab dia sedap giler. 3 pinggan aku pesan. Nasi beriyani not bad. Beriyani dekat Haji Tapah atau Mahboob lebih lejen pada aku.

*kesemua tempat di atas aku pegi dengan menggunakan uber dan bukanlah agenda rasmi yang ada dalam jadual kursus.


Berikut adalah tempat yang dibawa oleh penganjur kursus pada hari terakhir kami di India. Kami pergi dengan 3 bas yang disediakan oleh urus setia. Makanya aku tidak dapat memberikan maklumat berkenaan kos untuk masuk dan kos-kos lain.

QUTAB MINAR

Qutab Minar dikhabarkan adalah menara tertinggi di India dan menara batu bata tertinggi di dunia!


HUMAYUN TOMB

Lambang kasih sayang abadi seorang isteri terhadap suaminya, lalu ketika suaminya meninggal dunia dia mengabadikan pusara suaminya di sini. Fuh, cinta agung Bega Begum terhadap suaminya Raja Humayun.

 

INDIAN GATE

Indian Gate atau Gerbang India lebih dikenali sebagai Tugu Peringatan Perang Seluruh India. Kami diberi masa 10 minit aje untuk bergambar di sini. “More than enough” katanya…kalau asal amik, asal ada memanglah cukup. Nak mencari angle tu  yang tak sempat. Sabar ajelah banyak-banyak Kak Beny…

 

RASHTRAPATI BHAVAN & PARLIAMENT HOUSE

Punyalah eksaited tengok jadual, kami semua akan melawat kediaman rasmi Presiden India. Sayangnya kami hanya boleh lalu aje kawasan ini dan boleh ambil gambar – dari dalam bas! Yang sedih tu, bas aku cerminnya punyalah tak bersih jadi memang terlepas gambar kediaman rasmi. Yang sempat hanya Parliament House, sebab bas pusing dua kali…sedih.

 

NASIONAL MUSEUM

Kami juga dibawa melawat masuk muzium. Tapi perasaan aku, muzium ini tak berapa best berbanding muzium negara kita dan muzium-muzium lain yang pernah aku pergi.


Sebelum excursion berakhir, kami dibawa ke Central Cottage Industries Emporium untuk agenda shopping. Tapi harga barang di sini bapak mahal. Kitorang semua masuk dan pandang sesama sendiri aje. Kalau berani, korang keluar dari sini dan berlari menyeberang jalan raya yang lebar giler langsung takde jejantas tu. Sebelah itulah kawasan Janpath. Shoppinglah macam nak runtuh di sana sebab sana lebih murah dan berbaloi.

Setakat itu dahulu catatan pengalaman tempat-tempat yang aku sempat singgah di New Delhi. Rasanya aku akan come out dengan catatan terakhir tentang observation bebas aku tentang New Delhi dari aspek keselamatan, kebersihan, Uber dan lain-lain. India memang amazing…apapun aspek penceritaan orang lain tentang India, ia tetap satu tempat yang akan berikan memori untuk dikenang. Secara peribadi, aku rasa kalau aku sempat ke kawasan setinggan di New Delhi, melihat sendiri keadaan di sana mungkin ia akan memberi kepuasan yang lebih. Tapi aku perlu akur dengan tuntutan jadual persidangan. Masa memang menghalang.

Dalam hati aku kata, aku akan jejak kaki lagi ke India 🙂

 

Posted by on May 25, 2018 in Catatan Dari India

Leave a comment

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Ohai, India – Asia Media Summit 2018

Tibalah masa untuk aku catatkan pengalaman tujuan utama aku ke India iaitu menghadiri persidangan Asia Media Summit 2018. Catatan lalu aku sudah bagitahu aku sempat tidur sekejap dalam satu jam. Lepas itu aku terus bersiap untuk ke kelas yang pertama.

HARI 1

Tajuk kelas ini ialah AIBD Regional Workshop on Augmented Reality and Virtual Reality. Wow sangat tajuknya. Apapun, aku bersetuju dengan pendapat panel jangan sesekali memandang rendah keupayaan VR untuk mendidik. Mungkin bukan untuk kita yang serba-serbi normal. Ia sangat berguna untuk mereka yang mempunyai kesukaran fizikal atau mental dalam kehidupan untuk memahami dan memudahkan hidup.

Fuh, mata rabak tak usah nak cakap. Mujur aku tidak tertidur lansung dalam kelas kerana topik pada hari itu sangat menarik dan membuat aku segar sepanjang masa. Disebabkan ini adalah hari pertama kursus bermula dan ramai peserta lain masib belum sampai kelas hari pertama ini habis awal. Sesi pagi dimulakan dengan pembentangan oleh Encik Gupta Naresh dari Samsung India.

Sesi petang pula dikendalikan oleh Encik Aale Raza dari Whiteways Systems Private Ltd. Kelas hari pertama ini habis awal dan aku terus naik bilik untuk tidur. Langsung tak keluar dan makan malam. Rasa penat mengharungi perjalanan ke sini tak habis lagi.

 

HARI 2

Hari ini aku bangun dengan penuh segar selepas badan mendapat rehat yang solid. Tapi punyalah lapar sebab dari petang semalam aku tak makan apa-apa. Selepas bersiap, aku terus ke kafe untuk bersarapan. Adapun aku terpaksa nobatkan di hotel inilah makanan untuk sarapan paling sedap, paling banyak pilihan dan paling sawan memilih makanan. Untuk minum air panas, tak payah susah-susah bancuh. Pelayan akan tanya kita hendak air apa dan mereka akan bawakan untuk kita. Aku tetap setia dengan coklat panas. Entah sejenis ketagihan apa yang berlaku kali ini.

Hari ini adalah hari kedua untuk kelas AR & VR. Seharian, penceramah kami ialah Puan Samantha Ramlu, Managing Director & Co-founder of Method and M Theory. Hari kedua ini aku duduk sebelah delegasi dari Fuji iaitu Ronyl Narayan dan Sivanesan Thangavel. Seorang boleh cakap hindi dan seorang boleh cakap tamil. Memang kami terus jadi rapat sebaik sahaja berkenalan.

Ketika waktu rehat, kami bertiga sudah jadi macam belangkas. Ke hulu hilir bersama-sama dan menggunakan peluang yang ada untuk bergambar sekitar kawasan hotel yang agak luas.

Hari ini semangatnya lain macam sikit sebab 4 delegasi dari Malaysia akan tiba iaitu Kaka dari Radio IM4U dan Kak Elly dan Nazie mewakili RTM. Mereka bertiga datang lewat sehari kerana kelas yang akan mereka masuk bermula hari ini. Insan-insan terpilih sahaja akan kena pre-summit dua hari hahaha…

 

HARI 3

Hari ini bermulanya pembukaan rasmi Asia Media Summit 2018. Hari ini juga beberapa delegasi dari Malaysia akan menyertai kami iaitu Encik Letchumanan Shanmugam (SUB Antarabangsa KKMM), Puan Salmah Ibrahim Melina (IPPTAR) dan Puan Munira Murad dari Seksyen Perhubungan Antarabangsa KKMM. Ketiga-tiga mereka akan membuat pembentangan dalam persidangan ini.

Satu yang menarik, dalam satu sesi pembentangan seorang pelakon wanita Bollywood turut hadir sebagai panel iaitu Twinkle Khanna. Maaf sangat…aku memang tak minat hindustan sebab aku lebih suka filem tamil. Kalau dia lalu sebelah memang aku tak tahupun yang dia itu artis. Disebabkan semua orang berbondong-bondong cuma bergambar dengan beliau, akak pun terpaksalah join the bandwagon dan seperti mereka semua – gagal teruk! Kawalan keselamatan sangat ketat.

Semua orang tak habis-habis bercerita pasal Twinkle Khanna. Sampailah bila Julie bagitahu suami dia Akshay Kumar baharulah kak Beni keluarkan ooooooo yang panjang. Biasalah…orang perempuan tak kenal, jantan ai kenal 🙂

Pada malamnya pula, diadakan Gala Dinner & Cultural Dance. Itulah cultural dance yang paling rumit untuk aku fahamkan jalan ceritanya pasal apa. Tiada penerangan langsung diberikan dalam bahasa Inggeris. Pandai-pandailah hadam sendiri. Yang aku tahu ada 2 putera yang suka memanah, seorang puteri, ada merak, ada buragas, ada manusia menggelepai-gelepai yang aku tak tahu dia tu manusia, burung, halimunan atau buluh?!? Macam itulah lebih kurang selama 20 minit menyulam rasa di dewan yang agak dingin suhunya.

Kami kemudiannya makan malam dan selepas itu aku segera naik bilik dan tidur. Letih sangat…

 

HARI 4

Hari ini ada dua dewan persidangan yang dibuka dan kami peserta boleh memilih untuk masuk dalam dewan mana yang kami suka. Aku dan Kaka masuk dalam dewan Media Business Model In The New Era.

 

Secara keseluruhan, aku memang rasa bertuah kerana terpilih untuk menghadiri persidangan ini. Lebih bertuah kerana ia berlangsung di India. Bukan lokasi yang menjadi soal tetapi pengisian yang aku dapat selama 7 hari berkampung di sini yang aku rebutkan.

Dalam catatan akan datang aku akan ceritakan tempat-tempat menarik di New Delhi yang aku  pergi, kepentingan penggunaan Rukun Kental Diri dan pemerhatian aku tentang aspek keselamatan di India.

 

Posted by on May 25, 2018 in Catatan Dari India

Leave a comment

Tags: , , , , , , , , , , , , ,

Ohai, India! Perjalanan Yang Penuh Warna…

Hari ini aku janji akan terus ceritakan pengalaman ke India. Tapi tak boleh tidak, aku kena bagitahu juga pengalaman aku melalui proses perjalanan, imigresen, menunggu di Lapangan Antarabangsa Indira Gandhi dan perasaan epik aku apabila aku menjejakkan kaki ke bilik hotel.

Untuk ke India, tiket aku ditaja oleh kerajaan negeri India. Dari Kuala Lumpur, aku akan transit di Singapura dengan menaiki Silk Air dan harus menunggu beberapa jam sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki Air India untuk ke New Delhi pula. Ini adalah pengalaman pertama aku perlu transit sebelum sampai ke destinasi. Selalunya penerbangan terus sahaja.

Ini juga pengalaman pertama aku menaiki Silk Air. Sangat selesa, staf ramah tamah dan masa aku pergi, pesawat tidak penuh sesak. Sempat aku berkenalan dengan seorang mat salleh yang berkerja di Singapura semasa menunggu untuk boarding. Menurutnya sebelum berkerja di Kota Singa dia berkerja di Tokyo, Jepun selama 3 tahun. Dari situ mulalah kami bersembang-sembang ringkas. Sayangnya aku tak sempat bergambar dan langsung lupa namanya. Ketika penumpang kelas perniagaan diminta masuk dahulu, dia mengajak aku masuk sama. Selamba dia bagitahu pemeriksa tiket yang aku akan masuk dengan dia. So kami berpisah tempat duduk dan tiada lagi komunikasi berlaku. Tapi semasa keluar dari pesawat sempatlah aku babaikan dia kejap.

Selama lebih kurang 45 minit perjalanan, aku melayan perasaan dan membaca majalah dalam pesawat untuk menghilangkan rasa boring. Aku kemudiannya tiba di Lapangan Terbang Changi dan bermulalah episod mereput di lapangan terbang.

Apapun, aku perlu ke kaunter tiket dahulu untuk mendapatkan tiket Air India. Bagasi aku sudah dimaklumkan akan terus dihantar ke India. Pegawai yang menguruskan tiket aku itu rasanya orang Malaysia. Dia memberikan aku isle seat dideretan yang tidak penuh. Katanya pesawat aku malam nanti boleh dikatakan fully booked. Isle seat aje mudah. Senang nak ke tandas. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 5 jam lebih.

Usai urusan tiket, aku dengan pantas cuba mendapatkan wifi percuma. Aku hanya perlu mencari mesin informasi untuk mendapatkan kata laluan sementara untuk melayakkan aku menggunakan wifi percuma selama 3 jam. Oh, lapangan terbang ini besar giler. Memang boleh sesat larat merayau dalam ini. Mujurlah mesin informasi yang perlu aku tuju tidaklah jauh sangat dari kaunter tiket tadi.

Disebabkan aku naif, aku bertanya pada seorang mat salleh yang sedang melayari internet menggunakan komputer berhampiran mesin informasi tadi. Alahai, dia pun tak tahu jadi aku cubalah buat sendiri dengan berpandukan arahan yang ada. Tak susah pun… Masukkan passport dan kemudian kata laluan akan diberikan. Bila dia tengok aku berjaya, dia pun minta aku bantu dan bermulalah persahabatan aku dengan mat salleh itu. Maaf aku tak dapat kongsi gambar dia dlm blog ini atas sebab-sebab tertentu. Tapi aku ada share dalam Facebook gambar aku dan dia melepak mengopi. Dia temankan aku sampailah waktu aku perlu daftar masuk untuk meneruskan perjalanan. Banyak perkara yang kami sembangkan bermula dari kopi, kerjaya, hobi sampailah pengalaman dia kena kelepet duit dengan pegawai imigresen di satu negara.

Ini juga pertama kali aku naik Air India. Woah, ramai giler satu flight dengan aku malam itu. Aku sudah mula mengantuk sebab seharian aku menahan tidur. Makanan dalam pesawat pula tak berapa kena dengan citarasa. Semuanya dalam keadaan terkawal sampailah lagi sejam sebelum sampai ke New Delhi. Aku terpaksa menunggu agak lama untuk ke tandas sebab orang dalam tu muntah-monggek dekat 10 minit. Bila dia keluar aje, terus dia bagitahu aku “it’s not very clean in there”. Mujur tandas satu lagi kebetulan kosong dan aku terus ke sana.

Pelbagai ragam manusia ada dalam tu. Berdengkur orkestra perkara biasa, yg bukak kasut kaki ke dinding, baring vertical horizontal semua ada. Oh, aku okay lagi…Mujur juga aku tidak menghirup bau-bauan kurang nyaman dari stoking (siap rujuk DBP utk ejaan) yang berleluasa dalam pesawat itu.

Sampailah masa pesawat sudahpun mendarat dan semua orang bersedia untuk turun, entah malaun mana kentut takde disiplin diikuti beberapa edisi yang lain. Weh, pekung!!!! Memang aku menahan muntah dah marah masa tu. Tiba-tiba macam ada pesta kentut pula. Tapi sebab telinga masih rasa berdesing, aku bawa-bawa bertenang juga.

Urusan imigresen di sini tidaklah terlalu rumit. Kalau buat visa secara dalam talian, kena ke kaunter hujung belah kanan. Prosesnya sahaja agak lama sebab aspek keselamatan memang sangat dititikberatkan. Ini memerlukan catatan yang lain. Selepas mengambil bagasi, aku cuba mencari kedai telekomunikasi untuk membeli simkad. Aku tak ingat kaunter mana aku beratur, tapi jurujual bertugas maklumkan simkad ini kalau aku beli dengan dia hanya akan diaktifkan esok petang kerana mereka mengalami gangguan sistem. Kalau nak segera, aku kena ke kaunter Vodafone dan dapatkan simkad perantau mana entah di sana.

Ingat tak aku cakap pasal “Rukun Kental Diri” orang sini pandang muka kau aje, mesti dia nampak duit? Aku tanyalah berapa harga simkad dan pakej yang ada. Tak menahan dia cakap harga simkad 1000 rupees! Masa aku google, simkad bole dapat dalam lingkungan harga 250 rupees – 850 rupees aje. Aku mulalah rasa tak puas hati. Dengan tanda harga apa benda langsung takde dan yang menjual itupun macam abang-abang cleaner yang tengah berehat. Ok babai. Memang aku tak beli.

Disebabkan aku sudah mula rimas, aku mahu terus menuju ke hotel. Aku difahamkan akan ada orang menjemput aku di lapangan terbang. Jenuh aku tengok kot-kot ada nama aku pada kertas-kertas yang dipegang oleh mana-mana manusia di situ. 2 kali aku tawaf. Haram tak nampak!

Mungkin dia tunggu aku di luar. Sebab di luar pun ada masyarakat menunggu tetamu dengan membawa segala jenis kertas dan sepanduk. Aku terus keluar dan tengok – pun takde! Ha, di sinilah rasa rimas semakin berleluasa. Aku sudah mula rasa macam, “alah beli ajelah simkad tadi, bukannya tak boleh claim pun”. Tak mahu aku mereput lama-lama di sini. Masalahnya, pegawai keselamatan yang jaga pintu tak benarkan aku masuk. Dia siap sound,“if you want to buy simcard why dont you buy before exiting the door?”. Jenuh nak terangkan rasional aku pasal simkad tadi tu.

Sabar weh..tempat orang. Aku bagitahu aku nak tengok balik dalam tu kot-kot ada sesiapa yang sambut aku tapi mungkin aku tak perasan atau dia baru sampai. Sudahnya dia kata dia boleh benarkan aku masuk dengan syarat, handphone beg semua tinggal dekat luar. Aku memang cuak. Bila dia tengok muka aku macam tak yakin, dia siap boleh cakap “you don’t worry this is a very safe place”. Memang tidaklah…

Gila tak worry! Segala mak nenek semua dalam beg tu. Sudahnya aku menunggu sahaja di luar. Pegawai keselamatan tadi pula asyik senyum-senyum sumbing macam nak cakap “padan muka kau, suruh tinggal beg tak mahu”. Agak-agak dalam 15 minit, aku perasan ada seorang pegawai rasmi dari lapangan terbang sedang membantu seorang acik mat salleh yang ada masalah pengangkutan. Lepas dia menguruskan acik tadi, aku minta bantuan dia untuk telefon hotel dan bertanya sama ada orang yang patut menjemput aku sudah sampai atau belum. Tak sampai 3 minit selesai! Aku dibawa ke hotel dan sepanjang perjalanan pemandu menceritakan tempat-tempat menarik yang ada di Old Delhi. Macam best…rasa nak pergi kalau ada masa.

Di New Delhi, aku akan menginap di Hotel Taj Enclave Diplomatic. Ini adalah hotel kedua dalam rangkaian Taj yang pernah aku duduk selepas Vivanta by Taj di Rebak Marina, Pulau Langkawi. Tapi aku langsung tak bayangkan aku akan duduk dalam hotel yang suasananya seolah-olah di Langkawi itu. Ok abaikan…

Aku tiba di hotel dalam pukul 5:30 pagi waktu India. Kawalan keselamatan memang ketat gile. Kenderaan yang aku naiki diperiksa dengan teliti sebelum dibenarkan masuk ke dalam premis hotel. Beg aku juga turut kena imbas sebelum aku dibenarkan masuk ke lobi hotel. Aku disambut oleh staf hotel yang bertugas dan tidak perlu ke kaunter untuk daftar masuk. Dia mempersilakan aku duduk di sofa mahal sahaja dan mengambil maklumat yang mereka perlukan. Agaknya sebab aku seorang aje yang daftar masuk odd time macam ini. Kemudian, aku diberikan kad akses dan dia tanya sama ada aku mahu minum air panas atau tidak. Dia tawarkan sama ada kopi atau teh. Aku dah tak larat nak minum air kopi…sejak pagi semalam asyik mengopi aje. Aku menolak dengan baik. Tapi kalau ada cokelat panas, itu aku mahu. Oh, ok ada..nanti akan ada orang hantar air coklat panas untuk aku. Aku bayangkan secawan ajelah.

Sebaik sahaja menjejak masuk ke dalam bilik, aku bukan sahaja rasa macam mahu lompat NSYNC malahan aku terasa macam mahu menggelepai-gelepai macam mermaid sebab bilik aku tu, Subhanallah cantik sangat! Besar, selesa dan nyaman…Sebiji macam pengalaman pertama kali duduk di Vivanta by Taj di Langkawi. Hilang letih, serabut, rimas dan bagai-bagai yang aku lalui sepanjang hari ini.

Tidak lama kemudian, pekerja hotel pula tiba menghantar air coklat panas yang aku pesan. Bukan secawan, satu teko ya rakan-rakan taulan. Biskut yang dia bagi tu, rasanya macam biskut raya. Usai makan aku ingatkan tak mahu tidur sebab aku kena masuk kelas yang pertama pukul 9:00 pagi nanti. Sekarang sudah hampir pukul 6:30 pagi.

Aku kemudiannya terbaring sambil menonton tv… atau tv tonton aku. Aku tak ingat apa dah lepas tu 🙂

bersambung…

 

Tags: , , , , , , , ,

Ohai, India! – Rukun Kental Diri

Sudah lama aku tak melepak dengan sahabat aku yang seorang ni. Bukan sebab aku potong dia, dia potong aku balik ke apa tapi sebab kami sama-sama sibuk. Rasanya kali terakhir aku melepak dengan dia sebelum aku terbang ke Jepun tahun lepas. Weh, lama giler tu!

Jadi baru-baru ini dia What’s App mengajak lepak. Aku okey aje, asalkan sebelum Isnin sebab aku akan terbang ke India hari itu.

“Whaat, i hate you! Biadap pergi India”

Makanya hari Ahad itu kami bersetuju untuk jumpa. Kebetulan aku dalam mode separa terkejut sebelum itu kerana seterika yang aku guna tiba-tiba meletup dengan tak bagi salam. Bolehlah aku keluar kejap selepas penat seharian mengemas rumah dan mengemas barang. Tujuan lain ialah aku minta dia teman untuk cari baju “BLTP”.

Kami bersetuju untuk melepak di Empire Shopping Galeri, Subang. Jenuh juga memilih tempat untuk makan dan mengopi. Akhirnya aku mengajak dia lepak di Vivo Pizza. Agak lama aku tak makan pasta di sini yang super cheezy dan super sedap. Alang-alang ada kopi sedap di sini, makanya kami melepak di sini sahaja tanpa perlu bertukar lokasi.

Sementara menunggu pesanan sampai, kami bersembang light-light dulu. Dia sudah ada pengalaman ke India. Jadi aku memang sangat perlukan pedoman-pedoman untuk aku explore New Delhi – kalau ada masa. Tapi perbualan kami terhenti sekejap bila makanan sampai. Fuh, biadap pasta yang aku pilih ni. Sedap giler! Jadi masa makan tak baik bercakap 🙂

Lepas makan baharulah kami mula bersembang. Aku namakan sesi ini sebagai sesi ‘Rukun Kental Diri’. Kalau diri tu tak kental, tak payahlah berangan untuk berjalan-jalan di India sama ada secara solo, duet ataupun Rabbani.

  1. Semua orang akan nampak kau sebagai prospek duit. Hentikan tabiat untuk bersosial tak tentu hala di sini dengan orang tempatan yang tidak dikenali dan simpan ajelah rasa huznuzon itu di Malaysia.
  2. Kalau hendak berjalan-jalan, digalakkan guna Uber – bukan teksi dan bukan tuk tuk.
  3. Jangan minum air mineral dari jenama cap ayam dan diragui. Hargailah kesihatan anda. Ada yang ekstrem sampai masak balik air mineral yang dibeli.
  4. Jangan makan dan minum sebarang di sana. Masuklah restoran yang bersifat atau rangkaian makan segera yang anda percaya sebab kebanyakan kedai tepi-tepi jalan ini memang diragui tahap kebersihannya.
  5. Kalau ada orang approach apa-apa jualan, jangan beli kecuali memang kau rasa tak jumpa dah benda tu seluruh dunia kecuali yang dia pegang ni aje.
  6. Kalau ada orang tempatan buat cerita sedih, dah lima puluh hari tak makan, anak pun sama, emak jiran selimut tetangga semua tak makan – buat kering aje. Semua orang akan jaja cerita yang sama. In fact, kalau ada orang berdarah-darah depan kau pun, langkah aje dia dan teruskan kehidupan. (Tip paling terkesan dalam nurani aku hahaha…)

Ini antara tip ringkas yang Farah kongsikan dengan aku. Weh, memang aku amalkan lahir bathin. Nantilah dicatatan akan datang aku akan terangkan kenapa Rukun Kental Diri ini perlu disematkan di dalam dada seorang pengembara khususnya kalau ke India.

Dia sempat juga berkongsi pengalaman melawat slums area di New Delhi. Kot la aku ada hajat untuk melihat sendiri dan membantu komuniti di situ. Aku memang teringin nak pergi kalau ada geng. Untuk pergi seorang diri, kirim salam ajelah. Lepas tazkirah Rukun Kental Diri itu, aku jadi lebih berhati-hati tapi tidak paranoia. Kalau ada yang terasa nak mencuba ke sana, boleh rujuk artikel ini untuk dapatkan maklumat lanjut.

Nasib aku sangat baik sebab dia sudi untuk hantar aku ke KLIA keesokan harinya. Selesai satu masalah. Sebelum ke KLIA, kami singgah makan di Restoran Chaba di Cyberjaya. Weh, Chaba ni restoran paling lejen yang pernah aku makan tomyamnya di Krabi! Tapi sayangnya kualiti tak sama. Aku tengok kelibat teh ais aje sudah gagal…tidak sepekat di Krabi.

Tidak habis di situ, kami menyambung sesi Rukun Kental Diri terakhir di Gloria Jean’s Coffees pula. Alang-alang, sempat juga bersembang-sembang kosong kot aku ada cita-citata untuk mengembara ke Pakistan. Weh, akak is goyah juga atas macam-macam faktor. Tapi sebab mungkin ia akan jadi kunjungan sekali dalam seumur hidup, memang aku pertimbangkannya masak-masak ranum.

Berdosa! Berdosa!

Esok aku akan mula bercerita tentang India. Maaflah intro ada 2 bahagian. Kalau aku sekalikan, nanti entry jadi panjang sangat. Tunggu esok ya… 🙂

 

Posted by on May 23, 2018 in Catatan Dari India

1 Comment

Ohai, India! – Kau Ingat Senang Nak Buat Visa?

Awal diberitahu nama aku antara yang dicadangkan untuk menghadiri persidangan di luar negara, aku tidaklah menaruh harapan yang terlalu tinggi. Masih, sekelumit rasa alangkah bertuahnya kalau dapat pergi tidak pernah hilang dari hati. Banyak sangat sebab aku mengharap dapat menghadiri acara seperti ini. Tidak kisahlah dalam negara, luar negara hatta INTAN sekalipun, pengalaman yang bakal aku dapat pastinya berguna dan dapat aku manfaatkan.

Mendengarkan ristaan perjalanan permohonan kelulusan kertas kerja yang disediakan oleh Unit Antarabangsa RTM memang buat aku rasa 50/50 – banyak sangat berjalan kertas kerja tu. Lama-kelamaan aku hampir lupa tentangnya kerana kala itu sibuk dengan urusan kerja di ambang PRU.

Kalau sudah tertulis rezeki itu milik kita, memang tak akan lari ke mana-mana. Bila kertas kerja itu kembali ke pangkal jalan, kesemua nama yang dicalonkan oleh jabatan lulus sepenuhnya. Baharulah aku mula senyum dan nampak sikit sinar. Oh, itu juga permulaan satu proses mendapatkan visa ke India yang sangat menguji kesabaran fizikal dan mental.

Untuk memahamkan proses permohonan visa, aku diminta menghubungi Zean, pegawai dari seksyen berita yang telah menghadiri kursus di India sekitar Januari yang lalu. Seperti aku, Zean juga lambat mendapat kelulusan dan proses perolehan visa yang dia lalui lebih kronik daripada pengalaman aku. Dari pejabat IVS VMS Malaysia Sdn. Bhd di Dataran Merdeka sehinggalah ke pejabat Kedutaan India di Mont Kiara – semua dia lalu!

Untuk pengetahuan, visa ke India boleh dibuat secara dalam talian ataupun pergi ke pejabat syarikat yang dinyatakan di atas. Kalau tak pasti di mana, cari sahaja Agro Bank – betul-betul depan bank itu. Beberapa dokumen telah diberikan oleh Julie dari Unit Antarabangsa RTM dan dengan penuh keyakinan aku rasakan cukuplah sudah semua dokumen itu. Antara dokumen yang perlu disediakan ialah seperti berikut:-

1. Passport
2. Salinan Passport 
3. Borang Permohonan (yang telah diisi – kalau isi secara dalam talian di Indian Visa Online. Kalau tidak, ada khidmat mengisi borang dengan bayaran RM20.00)
4. 2 gambar terkini – berwarna dengan latar belakang putih ( 2″ x 2″ )
5. 1 salinan tiket kapal terbang pergi dan balik India
6. Salinan kad pengenalan.

Untuk menghadiri seminar/kursus/persidangan, beberapa dokumen tambahan perlu dibawa iaitu:-

  • Surat jemputan dari penganjur
  • Surat dari Kedutaan India

Bagi kes aku, persidangan ini ialah Asia Media Summit 2018 yang dianjurkan oleh Broadcast Engineering Consultants India Limited (BECIL). Kementerian Informasi dan Penyiaran (Ministry of Information and Broadcasting) adalah wakil kerajaan India yang mengesahkan penganjuran persidangan. Jadi surat dari BECIL ialah surat dari penganjur manakala surat dari kedutaan India adalah dari Kementerian Informasi dan Penyiaran India.

Jadi, dengan penuh bergaya dan keyakinan, aku menuju ke kaunter dan menunjukkan semua dokumen yang sudah aku sediakan. Ingatkan dah okey semua tu. TAK!!!

Oh, sorry…your document is not complete.” kata pegawai wanita dikaunter.

Hah?! this are all given to me by the organizer… aku jawab, sopan tabah lagi sebab aku dapat rasa macam lama aje aku akan berkampung di tempat ini.

“No…no…no…Documents from the government. Give me letter from Ministry of External Affairs and Ministry of Home Affairs – from India. If you don’t have the document, cannot proceed.” (sebenarnya aku tak faham dia cakap apa ministry mana sebab selain laju sangat, dia macam merengus. So, aku suruh dia tulis pada kertas apa benda yang dia nak.)

Aku aku mundur 3 tapak dari kaunter dan membiarkan orang lain berurusan di kaunter. Ok..tenang-tenang dulu. Aku terus telefon Julie dan beritahu dokumen yang dia berikan tidak cukup. Julie minta aku buat visa online sahaja. Aku memang tak yakin, sebab pegawai itu bagitahu memang kena buat di sini juga. Aku dah mula serabut. Aku telefon wakil Asia-Pacific Institute for Broadcasting Development (AIBD), Puan Hamidah pula dan dia maklumkan dia sudah dapat surat dari 2 kementerian dan dia akan emel aku surat itu. Dalam hati aku memikirkan ‘ini mesti send balik dokumen yang sama yang Julie dah forward pada aku pagi tadi.’

Dalam 10 minit, aku terima emel dari Puan Hamidah.  Mujurlah aku dapat dokumen yang betul. Cuma masalahnya nak kena cetak semua dokumen itu dalam keadaan tiada kafe siber di kawasan berhampiran. Aku kena uruskan hari ini juga kerana aku buat visa ini pada hari Rabu. Hari Jumaat kena collect visa dan Isnin aku sudah bertolak ke India. Tiada hari dan masa lain. Nak buat visa itu pula sebelum pukul 2:00 petang. Sekarang sudah pukul 11:30 pagi. Aku sudah di sini dari pukul 10:00 pagi. Mujur sebelah 7E ada kedai fotostat yang menawarkan khidmat percetakan dengan harga RM1.00 sekeping. Belasahlah…nak patah balik pejabat untuk cetak hanya buang masa.

Sekali lagi aku ke kaunter dengan perasaan yang berdebar-debar. Kali ini pegawai lelaki pula di kaunter. Sangat ramah, mesra dan memudahkan. Aku diminta ke kaunter “khidmat mengisi borang permohonan” dan menunggu dengan penuh ta’azim. Adalah dalam 12 orang menunggu, kaunter ada 3 sahaja dan seorang mengambil masa antara 15 – 30 minit.

Selesai aje semua ini, sekali lagi aku kena ke kaunter dan menyerahkan kembali kesemua dokumen yang ada. Kali ini pegawai wanita itu lagi sekali di kaunter. Dia menyemak dokumen aku lagi sekali dan terus dia cakap “eh, saya dah bagitahu tadikan dokumen you tak cukup.

Weh, telinga aku panas…Dia tak puas hati dan terus masuk bilik memanggil pegawai lain. Tak tahulah supervisor dia ke, rakan sejawat ke. Pegawai itu menyemak dokumen aku lagi sekali dan meminta aku ke kaunter 3 untuk membayar kos visa. Eh, takde pulak isu dokumen tak lengkap bagai-bagai ini.

Dipendekkan cerita, aku membayar visa dengan harga RM373.56 dan selesaikan azab berantai pra-persediaan ke India ini. Di sini, aku sempat berkenalan dengan seorang pegawai dari IM4U, Kaka yang akan ke India untuk tujuan yang sama. Cantiklah, ada geng.


Ok, selesai masalah tiket – visa – surat jemputan etc.

Hari Jumaat, aku kembali ke tempat ini lagi untuk urusan mengambil visa dan passport. Nak ambil visa inipun ada ruang masa tertentu sahaja iaitu pada pukul 4:00 petang – 5:30 petang sahaja. Selamat maju jaya meredah Kuala Lumpur ya Anak-Anak Sidek sekalian dalam waktu-waktu begini.

Hari Sabtu pula, aku ke Berjaya Times Square dan Sungei Wang untuk urusan mencari kelengkapan yang perlu aku bawa dan menukar duit. Mujurlah baharu dapat elaun tertunggak sekelepuk. Adalah juga duit pegang di sana nanti.

Hari Ahad – ini penting. Aku akan melepak dengan Farah untuk urusan “Rukun Kental Diri”. Esoklah aku sambung. Inipun panjang berjela pun naik semak aku nak ingat balik…

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Posted by on May 22, 2018 in Catatan Dari India

Leave a comment

Tags: , , , , , , , ,

Skip to toolbar