RSS

Monthly Archives: January 2018

Ohai, Phuket 2018!

Bayangkan dalam satu percutian yang sepatutnya menenangkan jiwa raga, tiba-tiba masa daftar masuk hotel anda dimaklumkan hotel itu tidak pernah menerima apa-apa tempahan atas nama anda atau pasangan. Ada rasa macam “why God? why?” beberapa kali dan berperasaan sejenis ujian apakah ini?

Itulah yang aku rasa dalam episod percutian aku baru-baru ini.

Sebelum melarat jauh, aku ceritakan dahulu rentetan yang membawa aku ke bumi indah Phuket, Thailand. Tahun lepas, aku dihadiahkan pakej percutian 3 hari 2 malam oleh Aie Sarkase. Dia dapat pakej itu kerana membeli handphone Vivo (yang ketika itu masih suci, belum ditandatangan oleh Datuk CT Nurhaliza). Antara lokasi yang ditawarkan ialah di Jakarta, Bandung, Phuket dan Bangkok – kalau tak silap. Disebabkan aku merancang untuk menyambut hari lahir aku di Thailand, maka aku dan Hadi bersetuju untuk menebus pakej ini di Phuket. Semua urusan mak nenek ini diuruskan oleh Hadi. Akak order aje…

Aku sudah 2 kali berkunjung ke Phuket. Ia adalah antara lokasi terbaik di Thailand untuk berjalan-jalan, makan dan berehat. Disebabkan aku mahu berehat yang sesungguhnya, Phuket menjadi pilihan pertama. Dengan pengalaman 2 kali meronda Patong dan jajahan sekelilingnya, aku merasakan kunjungan kali ini tidak akan menjadi padat seperti kunjungan terdahulu.

Kami memilih Hotel Ansino Bukit. Hadi menambah tempahan bilik secara persendirian lagi satu malam untuk menjadikan percutian kami 4 hari 3 malam. Aku iyakan aje sebab masa sibuk-sibuk booking hotel ini, aku tengah serabut membuat itinerary perjalanan ke Osaka untuk trip anniversary November lalu. Tiket pergi-balik dengan penerbangan AirAsia sudah aku uruskan bagi memudahkan kerja Hadi. Kalau tak silap harga tiket tak sampai RM350 seorang untuk pergi dan balik.

Entah kenapa, aku tergerak untuk membeli simkad. Jadi aku beli di web www.hello1010.my dengan harga RM29. Padahal di Thailand merata-rata kafe pasti ada wifi. Tapi aku rasa aku perlu juga simkad. Rupa-rupanya ada hikmah disebalik semua keputusan itu.

Penerbangan pergi ke Phuket tiada masalah sangat. Flight delayed 30 minit, tetapi tetap sampai on time. Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, kami terus membeli tiket minivan untuk ke Patong dengan harga 180 baht. Punyalah nak berjimat. Kalau naik teksi, kos lebih kurang 800 baht sahaja. Tetapi kerana hari masih panjang dan kami tidak mengejar apa-apa, maka naik minivan lebih berbaloi – sangkanya!

Rasanya minivan itu boleh memuatkan dalam 12 umat. Banyak mat salleh bagak-bagak dalam tu, jadi bayangkanlah kesempitan dan perebutan aircond yang bakal berlaku. Sudah elok aku duduk di barisan kedua, eh pemandu suruh aku keluar pula. Ada pelancong lain disumbatkan masuk. Hadi pula duduk dibelakang sekali. Ah, sudah…apakah kejadiannya?

Mujurlah rezeki aku dapat duduk di depan sekali – sebelah pemandu. Jadi perjalanan satu jam ke Patong dalam keadaan panas terik itu tidak merengsakan aku langsung. Aircond direct. Yang duduk belakang dah maki berkati-kati – termasuklah Hadi yang sepanjang perjalanan berpeluh teruk.

Usai sampai di hotel, urusan check in tidaklah serumit mana. Biasa sahaja seperti hotel-hotel lain yang pernah kami duduk. Kami daftar masuk bilik sekitar pukul 5.30 petang waktu Thailand dan berehat seketika sebelum turun semula ke lobi untuk mencari motorsikal untuk disewa.

Serabut di hotel bermula…

Pengurus hotel memaklumkan ada 2 tempahan hotel atas nama Hadi untuk tarikh 16 Januari dari dua agensi yang berbeza iaitu Agoda.com dan Hotel.com/Booking.com (salah satu). Selama ini, kami tidak pernah pun gunakan agensi lain. Semua tempahan hotel gunakan Agoda. Itu tidaklah kecoh sangat sebab apapun terjadi, tempahan itu wujud. Cuma untuk tempahan 2 malam berikutnya, pihak hotel enggan menerima baucar yang kami bawa kerana mereka maklumkan mereka tidak pernah berurusan/ada akaun dengan Hotel.com (syarikat yang menawarkan baucar kepada kami menempah hotel ini dengan menggunakan Hotel.com).

Oleh kerana aku dan Hadi dalam keadaan lapar, kami beritahu akan berurusan dengan syarikat terbabit dan maklumkan kepadanya pagi esok. Kami terus sewa motorsikal, pusing pulau seadanya dan mencari kedai makan. Sewa motorsikal sehari ialah 250 baht. Tapi mood memang dah swing 180 darjah. Kami singgah makan di Kesuma Seafood, tempat yang pernah aku dan Hadi makan 7 tahun lalu. Disebabkan memikirkan masalah hotel untuk esok, kami seakan hilang semangat dan selera makan. Makanan dia ok aje sedap macam dahulu.

Kerana itu aku tidak posting apa-apa dalam media sosial tentang updates kami di sini.

Selepas makan, kami terus balik hotel. Kasihan Hadi…dia tidak sihat kerana kena food poisoning sejak 2 hari lepas. Ubat pun dia lupa bawa. Mujurlah dalam travel bag aku memang sentiasa ada ORS dan ubat-ubat untuk sakit yang ringan.

Bila aku minta Hadi berhubung dengan syarikat yang terlibat, sejenis kesabaran juga tu sebab waktu kerja di Malaysia sudah pun berakhir. Nombor telefon bimbit wakil syarikat seperti dalam web pulak salah. Sudahnya Hadi hanya menghantar emel dan mengharapkan pihak syarikat itu balas – esok pagi! Buatnya emel itu tak dibalas macam mana?

Ah, tak boleh jadi. Mujurlah saki-baki pengalaman masa di Edisi Siasat dahulu memang ada dalam diri. Semua element aku gunakan untuk mencari contact person dari syarikat tersebut bagi mendapatkan bantuan. Tak habis di situ, aku siap personal message di Facebook beberapa orang yang aku rasakan ada kaitan dengan syarikat yang menawarkan pakej tersebut. Antara carian yang aku gunakan ialah Rewards and You, Business Booster dan Masterz Myind Sdn Bhd. Sempat aku terjumpa beberapa posting orang persendirian yang berterima kasih kepada syarikat di atas kerana berjaya menebus pakej percutian mereka. Jadi aku positif, aku tidak kena scam, aku tidak kena tipu.

Dipendekkan cerita, aku amat berterima kasih kepada Puan Roselin Das yang membalas mesej aku di messenger dan membantu urusan aku di sini. Teramat besar terima kasih juga kepada Encik Sharizat dari Rewards and You kerana membantu bersungguh-sungguh urusan kami di sini. Entah apa benda yang pihak hotel mahu / tak faham / tak dapat semuanya Encik Syarizat uruskan dengan pantas. Mujurlah aku beli simkad – menjadikan urusan perhubungan aku lancar di sini. Mungkin itu hikmahnya.

Sebenarnya, booking kami itu ada, cuma method yang digunakan semasa tempahan tidak difahami oleh pengurus hotel. Tapi aku langsung tidak salahkan mana-mana pihak sebab orang lain redeem guna baucar yang sama, ok aje. Tapi mungkin sebab dia redeem di Langkawi, jadi kalau ada masalah senanglah untuk dapatkan bantuan. Cuma kes aku ini kes unik. Aku tak salahkan pihak hotel sebab cara dia borak dengan kami macam dia pernah kena kelepet dengan tempahan palsu. Jadi dia risau benda macam itu jadi lagi. Selesai masalah tempahan hotel. Kami diminta untuk daftar keluar dari bilik sedia ada dan daftar masuk semula petang nanti.

Tengah sibuk-sibuk nak kemas barang dan daftar keluar, pintu bilik air pulak terkunci. Alahai…apa lagi? Dua kali telefon receptionist baharulah bantuan tiba.

Beg besar kami tinggalkan di lobi. Aku dan Hadi mahu cari tempat untuk makan tengah hari dan sekali lagi meronda pantai dengan tenang. Sumpah tenang! Sudah tak perlu fikir masalah hotel lagi. Kami melepak di pantai Patong dan kemudian makan di Restoran Pantai.

Oh, tuhan…sedap giler makanan di sini. Yang amatlah sedapnya – sambal belacan. Sebenarnya sambal belacan dijual dengan set ulam-ulaman. Tapi aku mana makan rumput-rampai ni. Jadi aku minta sambal sahaja…bayar pun tak mengapa. Ambik kau sebekas sambal ni 30 baht. Sedap sampai menjejes-jejes air mata kerana kepedasannya. Itu tak boleh lawan harga sebekas sambal belacan di Restoran Chaba, Krabi – 50 baht harganya.

Kecintaan aku pada teh ais Thailand memang tidak dapat disangkal lagi…

Selepas makan, kami balik ke hotel untuk daftar masuk semula. Sayangnya bilik kami ini tiada balkoni. Sekali lagi kami menghadapi masalah dengan bilik air – paip air pulak rosak. Mujurlah kali ini bantuan dengan pantas datang dan semuanya okay kembali.

Memang sepanjang petang berehat semata di dalam bilik dan melayan saluran Warner Bros. Aku main handphone, Hadi pun sama. Rehatlah sepuasnya dan melayan diri sendiri. Sudah lama aku impikan percutian sebegini! 🙂 Menjelang senja, aku ajak Hadi ke pantai untuk mengambil gambar senja di pantai. Dia membawa aku ke Pantai Karon dan kami termenung hampir satu jam menunggu matahari terbenam.

Hadi mengambil gambar time lapse manakala aku snap snap snap mana yang rasa menarik. Port kami lepak itupun sudah strategik sangat rasanya. Gambar super cantik! Akak is happy!

Memang menjadi tabiat kami kalau bercuti ialah mencari dan melepak di Hooters. Hooters di Patong tidak sehebat di Pattaya dan makanannya tidak banyak pilihan seperti di Osaka, Jepun. Usai hujan kami terus balik dan sambung berehat. Tak pergi berurut dan tidak pergi night market. Kami agak berhati-hati dalam pemilihan makanan sebab perut masing-masing tengah sensitif. Nak makan, pergi kedai yang bersifat.

*****

Setiap pagi, kami akan bersarapan di hotel. Roti bakar 2 set, omelette kosong dan air jus. Itu aje yang aku yakin untuk makan. Kemudian kami akan berehat dibilik melayan saluran Warner Bros dan menjelang tengah hari akan merayap cari tempat untuk makan tengah hari.

Cuma pagi hari kedua di sini kami berjalan-jalan disekitar pekan Rawai dan bergambar di Phrom Thep View Point. Patong memang kami tak berapa layan sangat sebab terlalu padat. Lebih seronok melepak di kawasan yang cantik, tidak ramai orang dan tenang.

Seperti semalam, kami makan tengah hari di Restoran Pantai. Aku masih setia dengan menu semalam dan air semalam 🙂 Petangnya, baharulah kami melepak di Pantai Patong. Cantik juga suasana senja di sini, tetapi tidak setanding semalam.

Kami makan malam di Le’Grill Restaurant. Makanan di sini halal dan pelayannya semua bertudung. Yang penting, black pepper sauce dia memang terbaik. Lepas makan, kami terus mencari tempat untuk berurut. Tapi entah kenapalah nasib yang mengurut aku tu punyalah kuat dia tekan sampai bengkak badan aku dibuatnya. Rasa menyesal pulak pergi urut kali ini. Makan masa 4 hari juga untuk badan aku okay balik.

Itulah antara pengalaman aku bercuti di Phuket kali ini. Cukuplah 3 kali di sini. Akan datang aku mahu meneroka tempat baharu pula. Macam-macam dugaan di Phuket buat aku rasa rimas pula. Paling akhir, simkad Digi aku pulak hilang di sini. Tapi itu tidak rumit sangat sebab selepas apa yang berlaku, hilang simkad hanya satu masalah yang kecil. Buat baharu di mesin layan diri 3 minit selesai. Bayar RM10 aje.

Dan hari terakhir di Patong, aku terjumpa kedai sushi halal tapi kami berdua dah kenyang bentak…deng!

Jadi itula saja ceritanya. Kalau penat korang membaca, penat lagi aku yang melaluinya 🙂

p/s: Harga teksi dari Patong ke Phuket 800 baht sahaja, tempah di hotel. Kalau cari yang bersidai-sidai di gigi jalan diorang minta 1000 baht. Bila kita tak mahu, dia akan tawar. Tapi aku tak berani…buatnya dia tinggal tepi jalan aje naya.

 

Tags: , , , , , , , , , , , , , , ,

Happy Birthday, Benny!

Happy Birthday to someone who is full of unbelievable awesomeness! Yes, that’s right. It’s my birthday.

20 Januari 2018….makanya aku sudah berusia 37 tahun. Belum 40 lagi seperti terjahan Puan Norliza tahun lepas. Aje sentap aku mendengarnya 🙂

Alhamdulillah… Tahun ini sambutannya sederhana tetapi santai. Pertama sekali, terima kasih kepada staff Unit Promosi dan Kreatif kerana sudi meraikannya – seminggu awal! Memang aku terkejut sebab asalnya mesyuarat Khamis 2 minggu lalu adalah untuk meninggalkan amanat kepada penyelaras yang bertugas dan bertemu semua kakitangan bagi sesi pertama 2018. Terima kasih atas kehadiran semua dan kek yang sedap itu. Eskandar aje makan separuh 🙂

Petang itu kami gunakan kesempatan yang ada untuk bergambar beramai-ramai.


16 Januari – Aku terima ucapan hari lahir kedua dari Pak angkat, Nakatani. Alang-alang, aku minta dia simpankan newsletter PREX edisi Januari kerana ada ucapan tahun baharu aku dalam keluaran itu. Moga-moga ada rezeki aku menjejak bumi Jepun lagi untuk berjumpa dia dan rakan-rakan lain di sana.

Tahun lepas, aku ke Krabi untuk menyambut hari lahir di sana. Tahun sebelum itu aku ke Pattaya. Tahun ini aku memilih untuk ke Phuket pula. Makanya, 3 tahun berturut-turut aku ke Thailand dan menyambut hari lahir di sana. Kisah ke Phuket ini aku akan tulis dalam catatan yang lain kerana kisahnya panjang – walaupun cerita perjalannya tidak banyak.

Tidak menang tangan aku membalas ucapan-ucapan hari lahir yang rakan-rakan titipkan khususnya di Facebook dan What’s App. Sampai aku terlepas pandang yang mana belum sempat aku balas. Terlalu banyak! Adalah dalam 20% dari jumlah sahabat maya yang berada di FB 🙂

Macam aku bagitahu tadi, sambutan hari lahir aku santai aje. Dalam pada bercuti di Phuket, aku sempat membalas ucapan yang ada sebab aku beli simkad Thailand. Oh, waktu Malaysia lewat satu jam dari waktu Thailand.

Kerana itu bila Hadi ucapkan selamat hari lahir pada aku pada pukul 11.30 malam, aku dengan penuh yakin bagitahu “eh, belum lagi..ada lagi setengah jam”. Jangan berangan. Itu waktu Siam…ini waktu Malaysia 🙂

Hemoh…hemoh…hemoh….

Terima kasih semua. Aku sangat hargai kiriman ucap selamat kalian.

 

Akemashite Omedetou!

Masih lagi dalam mood tahun baharu 🙂

Sebulan lalu aku diminta oleh wakil PREX untuk membuat ucapan tahun baharu untuk dimasukkan dalam newsletter mereka bagi edisi Januari 2018. Dalam ucapan itu, diminta masukkan mood tahun baharu dan sedikit pengalaman masa berkursus di Jepun. Aku jadi stuck kejap, sebab tak tahu nak tulis apa dengan limit perkataan sebanyak 150 patah perkataan aje kot. Kalau nak cerita pengalaman, aku boleh terbitkan buku sebab terlalu banyak cerita menarik di sana.

*Pemilihan tiada kena-mengena best students hahahaha…

Adalah dalam 3 kali bertukar tajuk penulisan, maka akhirnya aku putuskan untuk menulis pasal ‘positive vibes’. Ini sebab bos aku sekarang ini tersangat melekat aura positive vibes dan aku dapat idea dari situ.

Satu yang aku tak sangka ialah ia akan diterbitkan dalam nihonggo! Akak confident dalam bahasa Inggeris. Jadi bila terjemahkan balik dengan google translate, jadilah sebegini 🙂

Sebenarnya, teks asal ialah seperti berikut :-

Selamat Tahun Baharu!

It’s time to start the New Year with positive vibes and appreciate life no matter what obstacles we are facing at work or in our personal life. Running away from problems is the worst thing we can do to deal with the challenges in front of us. New Year is a great time to reflect on the changes we need to make.

After attending the LEP2.0 Management Training for Junior Officer in Kobe last August, the way I perceived work-related stress changed entirely. I never thought a simple exercise like identifying our problems and put it on a “problem tree” can lead to clearer decisions and multiple solutions. It’s true; the problem is not the problem. The problem is your attitude about the problem. Thanks to PCM Method and Prof. Nakaya sensei for emphasizing the importance of teamwork and ethics as a government officer.

Now, it’s time to gear up with new energies and start setting new goals for the New Year. Be the transformation that you wish to see at your workplace and take the initiatives to make things better. Remember, positive vibes always attract positive results in life.

Terima kasih kepada Farah Zamira yang membantu membetulkan tatabahasa nan tunggang terbalik dalam jangka masa yang singkat. Nanti kita lepak Kak Mah Tomyam Kg Baru ya.. 🙂

p/: tak pasti macam mana dari Nakaya sensei boleh jadi Dr. Nakatani huhuhu….rindu pak angkat 🙂

 

Posted by on January 4, 2018 in Azam Baharu, Jepun, LEP2.0

Leave a comment

Yeay! Hari Pertama Sekolah….

Semalam adalah hari pertama anak-anak bersekolah. Jumaat lepas mereka sudahpun melalui sesi orientasi. Difahamkan Eskandar toyak manakala adiknya tenang-tenang aje sambil main mainan yang banyak di tadika mereka.

Semalam rasa berdebar juga, okay tak anak-anak? Berdasarkan gambar yang Hadi kirim, rasanya macam ok aje. Judin aku tak risau sangat sebab dia memang jenis bangun awal. Kadang-kadang tu awal sangat. 5.00 pagi dah bangun. Eskandar tidak macam tu..kadang-kadang kalau dikejut dia cranky sikit (Judin pun cranky juga kalau kena paksa bangun). Tengok gambar riang aje…jadi aku assume ok ajelah. Ibu bapa tidak dibenarkan berada di kawasan tadika. Pendek kata, dah hantar anak masing-masing lepas tu baliklah. Tak payah bersidai di premis tadika, mengganggu konsentrasi anak-anak aje nanti.

Anak-anak memang aku biasakan tidur awal. Judin paling berdisiplin. Kalau 9.30 malam tak naik lagi dia dah mula menggelisah. Eskandar pula suka tahan mata dia. Jaranglah anak-anak masih berjaga sampai pukul 11.00 malam. Kalau adapun maknanya siang diorang dah tidur lamalah tu.

Rutin baharu bakal bermula. Kelmarin rutin gosok baju. Selepas ini pula ialah membaca nota harian dari cikgu dan mengulang pelajaran anak-anak di rumah. Mudahnya buat revision sikit-sikit bagi anak-anak ingat apa yang diorang belajar di sekolah tadi. So far semalam tiada apa lagi. Anak-anak tidak pula menampakkan unsur-unsur keletihan malam semalam sedangkan aku dan Hadi dah rasa penat sangat ya amat. Ragam mereka di kedai makan semalam sudah cukup membuat aku lelah. Penat…penat sangat.

****

Hari pertama aku berkerja untuk tahun 2018 ini juga berjalan lancar. Kerja ok, makan pun sedap. Maknanya episod berangan nak diet belum bermula lagi. Ok setakat itu dulu…

 

Selamat Tahun Baharu 2018!

It’s not a great start. Not even a good start. It is a start…

1 Januari 2018 bermula dengan mengemas rumah dan bilik tidur di awal pagi kerana ada orang yang akan datang ke rumah untuk membaiki kipas siling dan ganti gas pada penyaman udara – sangkanya. Janji pukul 9.00 pagi tapi sampai 11.30 pagi haram tak muncul. Memang tidaklah kami telefon suruh datang sebab kalau janji pun ke laut, hasil kerja entah macam mana.

Semasa menanti manusia pada para di atas,  entah saudara mara ipar duai tokcik jiran sebelah ni park kereta betul-betul macam nak masuk dalam rumah aku – sampai nak buka pagar pun tak lepas. Aku pun pelik kenapa dia tak letak aje kereta dia di luar rumah aku tanpa perlu menyondol depan pagar rumah. Aku bagi 10 minit aje, sebelum aku offer parking ajelah dalam rumah akak ni ha… Biarlah laki akak kuarkan kereta untuk korang masuk.  Agaknya dia pun serba-salah anak-anak aku dah menjengok-jengok, kereta itupun bergerak dan parking depan rumah aku. Itu logiklah sikit, tapi itupun tak boleh fikir.

Misi hari ini ialah menyiapkan keperluan anak-anak untuk ke sekolah esok.  Sulam nama yang dihantar di Seksyen 7 siap dengan jayanya. Kemudian,  misi seterusnya ialah ke kedai foto untuk mengambil gambar passport Eskandar dan Ezzudin. Eskandar tu aku tak risau sangat. Si Judin tu… Konfem dia tak boleh duduk diam. Aku siap bagitahu jurugambar agar bersabar sikit dengan Judin sebab dia special. 2 kali snap dah ok! Lepas tu dia mula rasa seronok dan mahu duduk di kerusi itu lagi untuk bergambar 🙂

Dalam perjalanan balik,  kami singgah di McD Seksyen 26. Maklum ajelah,  burger Prosperity datang kembali. Terus beli yang double, sebab lepas ini tak tentu akan mengulang lagi. Disebabkan Shah Alam hujan,  aku ajak Hadi makan terus dalam kereta. Mulanya dia enggan. Oh, sombong. Terus aku makan burger aku dan offer segigit padanya. Tatkala membaham gigitan pertama itu, deria rasa dia mula berhubung dan dia terus mencapai burger miliknya dan kami makan bersama-sama…

Malam ini tidak seperti malam yang lain. Bermulalah rutin baharu menggosok pakaian sekolah anak-anak. Baju aku sendiri pun jarang aku gosok. Disebabkan perubahan hidup ini,  maka aku akan bersahabat dengan seterika berat gedabak yang jarang aku sentuh.

Sudut kehidupan yang lain,  aku dan Hadi baharu sedar kucing yang kami sedekah makan hari-hari itu adalah kucing betina. Patutlah banyak nau kucing berbunyi-bunyi mengajak berjimak akhir-akhir ini. Paling kami tak sangka,  kucing itu sudah bersalin dan anaknya ada dalam kotak kasut di luar rumah kami. Sudah satu hal nak bagi nama pulak. Nanti-nantilah fikirkan nama… Dalam kepala aku ialah Baelish atau Michael Bolton kalau jantan dan Marcella kalau betina.

Macam yang aku cakap pada Hadi,  It’s not a great start, not even a good start. It is a start… Permulaan ini tidaklah seteruk mana.

Selamat Tahun Baharu 2018! Hidup tidak selalu indah,  tapi jangan menyerah kalah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Skip to toolbar